Friday, February 11, 2011

Negara ke-196 di peta dunia

BARANGKALI agak kejam untuk mengklasifikasikan bahawa Republik Sudan adalah negara ketiga yang paling mengerikan untuk dilawati. Sudan juga signifikan dengan perang saudara. Ia juga sinonim dengan kedaifan, kelaparan dan kematian.
Pangkalan utama kumpulan pemberontak dunia juga dipercayai bertapak di sini. Osama Laden dikatakan telah beroperasi selama lima tahun di Sudan. Imej negara ini sangat gelap.
Pelancong juga tidak ada hati untuk singgah. Wartawan agensi antarabangsa kaget apabila dihantar membuat liputan. Bagi tentera beragama Islam, bertugas di bumi Sudan dianggap sebagai satu jihad.
Hampir setengah abad, 48 juta rakyat republik ini menderita. Selepas berjaya keluar daripada cengkaman British dan mencapai kemerdekaan pada tahun 1956, pergolakan menjadi bertambah rumit.
Sungguh malang apabila sebuah negara yang kaya dengan sumber minyak mentah menjadi negara yang paling miskin di Afrika.
Setelah lama bergelut, akhirnya Isnin lalu, atas permintaan rakyatnya, Sudan terbahagi kepada dua. Secara rasminya, sebuah negara baru yang dinamakan Sudan Selatan diisytiharkan merdeka sekali gus akan terangkum dalam peta dunia.
Dengan itu, Sudan Selatan akan menjadi negara ke-196 jika kiraan mengambil kira Republik Taiwan yang masih belum mendapat pengiktirafan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Amerika Syarikat (AS).
“Atas nama rakyat (AS), saya mengucapkan selamat kepada rakyat Sudan Selatan kerana referendum yang akhirnya memihak kepada wilayah ini merdeka.
“Saya secara rasminya mengiktiraf Sudan Selatan sebuah negara berdaulat dan merdeka pada Julai 2011,” kata Presiden AS, Barack Obama kepada Reuters.
Referendum atau pungutan suara yang dijalankan pada 9 hingga 15 Januari lalu diadakan kesan daripada Perjanjian Navaisha antara Khartoum (kerajaan Sudan) dengan Tentera Pembebasan Rakyat Sudan (SPLA).
Memetik laporan The Telegraph UK pula, Presiden Sudan, Omar Hasan Ahmad al-Bashir atau Omar al-Bashir berkata, pihaknya menerima keputusan itu dengan hati terbuka kerana itu pilihan rakyat di wilayah itu.
Di tanah tumpah darahnya sendiri, Presiden itu dianggap sebagai pemimpin yang serba lemah dan menyokong keganasan.
Konflik antara wilayah Sudan Utara dan Sudan Selatan yang dipicu oleh pertikaian minyak di Blok 5A (di Sudan Selatan), ideologi dan perbezaan etnik telah menjadikan republik itu umpama padang jarak padang tekukur.
Secara keseluruhannya, pecahan etnik di Sudan terbahagi kepada 52 peratus berkulit hitam, 39 peratus Arab, enam peratus Beja sementara bakinya adalah orang luar.
22 tahun berperang


Menyusuri fakta negara paling terbesar di benua Afrika ini, Sudan Utara dihuni oleh penduduk berketurunan Arab yang beragama Islam. Wilayah selatannya dihuni oleh majoriti penduduk Kristian yang masih berpaksikan kepada fahaman animisme.
Selepas satu dekad Perang Saudara Sudan Pertama (1955-1972) yang melibatkan dua wilayah ini berakhir, 11 tahun kemudian iaitu pada tahun 1983, Perang Saudara Sudan
Ledakan bom bertubi-tubi dan bunyi tembakan yang bertalu-talu bergema tidak kira siang atau malam. Perang sekali lagi mendominasi negara ini selepas Presiden Sudan ketika itu, Jaafar Muhammad An-Numeiri menggariskan Piagam Sudan.
Piagam itu adalah berteraskan landasan Islam seratus peratus dan mengetepikan hak bukan Islam. Ramai yang panas hati terutama kepada penduduk wilayah Selatan yang beragama Kristian.
Akhirnya, perjanjian damai komprehensif atau Perjanjian Navaisha dimeterai di Nairobi, Kenya pada 2005 dan kerajaan Sudan bersetuju mengadakan referendum yang berteraskan dua perkara.
Yang pertama, menentukan pemisahan antara utara dan selatan Sudan. Sementara yang kedua, menentukan wilayah mana yang akan menguasai Abyei yang kaya dengan sumber minyak.
Memasuki penamat abad ke-21, perang saudara dilihat makin reda. Namun, dunia dikejutkan dengan konflik di Darfur, barat Sudan pula.
Berbeza dengan perang sebelum ini, konflik itu merujuk kepada pergaduhan sesama penduduk Islam berlainan etnik antara suku kaum Afrika dengan penduduk keturunan Arab.
Pada awalnya, puak-puak ini hanya berebut sumber asli tetapi akhirnya berubah menjadi isu politik. Sengketa yang memuncak pada tahun 2003 dikatakan bermula apabila militan Arab Badwi, Janjaweed yang dirujuk sebagai tentera Mahdi, muncul.
Kumpulan ini dikatakan mendapat sokongan penuh daripada Omar al-Bashir yang menentang SPLA.
Antara pemimpin paling menonjol dalam SPLA ialah oleh mendiang Kolonel John Garang. Bagaimanapun, cakap-cakap politik mengatakan AS dan Israel adalah dalang di sebalik perang ini.
Korban perang terdahsyat
Peperangan memang merugikan. Ia hampir meranapkan keseluruhan Sudan yang berkeluasan 2.5 juta kilometer persegi itu.
Mengikut data daripada PBB, 40 peratus rakyat Sudan hidup dalam kedaifan dan 18 peratus daripadanya hidup menganggur.
Hanya 15 peratus penduduknya boleh membaca dan dua peratus sahaja tamat sekolah rendah. Pemandangan kanak-kanak atau wanita memegang senjata adalah lumrah di sana.
Gejolak Sudan begitu parah. PBB turut melaporkan lebih 300,000 terkorban sementara 2.7 juta penduduk Sudan hilang tempat tinggal dan tempat-tempat awam hancur sama sekali.
Konflik Darfur menambahkan lagi sengsara yang ditanggung. Kira-kira 2.5 juta penduduk menjadi pelarian, 4 juta diancam kebuluran dan penyakit sementara 200,000 nyawa melayang.
Tambah menyayat hati, ribuan wanita dicabul atau dijadikan pelacur dan kanak-kanak diseksa dengan zalim. Angka kematian dalam perang ini merupakan salah satu yang terbesar selepas Perang Dunia Kedua.
Untuk perang Darfur ini juga, Setiausaha Asun PBB, Ban Ki Moon berkata, pihaknya telah menanggung kos sebanyak AS$2 bilion (RM6.2 bilion) bagi operasi pertama pasukan pengamannya.
Jika kita melihat haru-biru di Mesir sungguh menakutkan, momentum yang dirasai di Sudan lebih hebat. Demonstrasi di sana sini. Hampir setiap hari mahasiswa di wilayah Khartoum dan Gezira menentang kenaikan harga barang yang melampau.
Satu kajian menunjukkan jika perbalahan masih tidak berpenghujung selama 10 tahun lagi, Sudan diramal akan kerugian sebanyak lebih RM300 bilion.
Pada 7 Februari lalu, Pengerusi Suruhanjaya Referendum Sudan Selatan, Mohammed Ibrahim Khalil menyerahkan hasil referendum kepada Omar al-Bashir dalam satu majlis bersejarah di ibu kota Khartoum.
Turut hadir ialah pemimpin Sudan Selatan, Salva Kiir. Sudan Selatan diumumkan merdeka sepenuhnya pada 9 Julai ini. Juba dijadikan ibu kota negara baru dunia itu. Bagi pemerhati politik, keputusan pemisahan antara utara dan selatan Sudan sudah diduga.
KANAK-KANAK Sudan Selatan yang selama ini terjejas akibat perang saudara dijangka dapat kembali ke sekolah seperti biasa.
Harapan
Alasannya mudah, di utara dan selatan negara itu masing-masing mempunyai pegangan agama dan jati diri yang berbeza. Keputusan untuk membawa haluan sendiri adalah jalan yang terbaik.
Memetik laporan Reuters, kemerdekaan yang diperoleh Sudan Selatan telah mendorongnya mempertimbangkan untuk bergabung dengan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dalam usaha mendakwa Omar al-Bashir yang melakukan jenayah perang di Darfur.
Pembinaan kepada sebuah negara baru memang bukan kerja mudah. Lihat saja negara yang baru merdeka seperti Kosovo dan Timor Leste. Mereka masih merangkak. Bagi Sudan Selatan juga, banyak perkara perlu diselesaikan.
Mereka sedang memikirkan mata wang sendiri, lagu dan juga bendera kebangsaan. Pekerja mereka yang selama ini menetap di kontena perlu dipindahkan. Begitu juga dengan jaringan jalan raya yang sangat teruk.
Baru-baru ini, pejabat Kementerian Perumahan Sudan mengusulkan satu usul luar biasa iaitu mahu meletakkan 10 ibu kota di Sudan Selatan dalam bentuk haiwan seperti badak dan zirafah dalam petanya. Ia juga masih di peringkat cadangan.
Kedua-dua blok itu juga masih belum memutuskan bagaimana menyelaraskan masalah ekonomi termasuk pembahagian kekayaan sumber bumi.
Sebelum ini, sebahagian daripada 98 peratus hasil minyak di Sudan Selatan diproduksikan di wilayah itu tetapi proses disuling dan diurus dijalankan oleh Sudan. Barangkali ia bakal diubah.
Adakah Sudan Selatan yang dihuni majoriti penduduk Kristian akan membuat hubungan diplomatik dengan Israel? Jawapannya juga akan diketahui kelak.
Meskipun Omar al-Bashir kelihatan sedikit kecewa dengan keputusan referendum, beliau tetap berharap Sudan Selatan yang baru merdeka itu akan terus menjadi sahabat baiknya.
Dengan pengumuman Sudan Selatan sebagai sebuah negara berdaulat, maka, secara rasminya, nama Sudan digugurkan daripada daftar negara yang menaja keganasan. Anak-anak Sudan diharap juga dapat kembali ke sekolah semula seperti kanak-kanak lain.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...