Monday, April 18, 2011

BN semakin sukar raih undi Cina

SHAH ALAM – Majoriti undi kaum Cina akan terus memihak kepada DAP dan Pakatan Rakyat (PR) sehingga pilihan raya umum akan datang, melainkan jika parti MCA, Gerakan dan SUPP boleh melawan hujah pihak pembangkang. 

Penganalisis politik, Datuk Dr Zainal Keling berkata, parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) sejak pilihan raya umum 2008 lalu sehingga Pilihan Raya Negeri Sarawak kelmarin seperti hilang arah dan terikut-ikut dengan permainan DAP. 

Menurutnya, jika parti komponen BN berasaskan kaum Cina masih gagal mendapatkan sokongan, maka undi kaum tersebut selama-lamanya akan memihak kepada DAP dan sekali gus merugikan semua pihak. 

“Pola undian ini pasti akan berterusan sehingga pilihan raya umum akan datang, walaupun pelbagai bantuan diberikan, undi kaum Cina tetap terus memihak kepada DAP. 

“Sepanjang kempen, DAP sering menggunakan isu konon-kononnya kaum Cina di negara ini ditindas, kezaliman dan sebagainya, jadi tugas MCA, Gerakan dan SUPP memperbetulkan persepsi yang tidak tepat ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam. 

Ditanya mengenai kemungkinan tiada wakil kaum Cina dalam Kerajaan Negeri Sarawak, Zainal berkata BN perlu ‘menghukum sedikit’ kaum Cina kerana itu adalah kehendak mereka sendiri. 

“BN patut utamakan pengundi yang telah menyokong mereka, kerana ia adalah mandat rakyat, jadi BN perlu buat sesuatu sama ada mahu hukum atau pun tidak,” katanya. 

Sementara itu, Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah dan Penyelidikan) Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Sivamurugan Pandian berkata, BN perlu memastikan ada wakil kaum Cina dalam kerajaan walaupun jelas undi kaum terbabit tidak menyebelahi mereka. 

Menurutnya, ia adalah peluang terbaik bagi BN menunjukkan keikhlasan mereka bahawa walaupun majoriti kaum Cina menolak, namun wakil kaum tersebut tetap ada dalam kerajaan demi menjaga kepentingan mereka. 

“Mungkin dengan cara ini, kaum Cina akan melihat semula kejujuran BN dan tidak mustahil memilih mereka nanti,” katanya. 

Pada Pilihan Raya Negeri Sarawak kelmarin, BN memperolehi 55 kerusi DUN, DAP 12 DUN, PKR 3 DUN dan Bebas satu. Paling mengejutkan apabila Presiden SUPP, Tan Sri Dr George Chan yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri tewas di DUN Piasau kepada calon DAP, Ling Sie Kiong.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...