PKR akan membangkitkan isu 380 pekerja Dawama Sdn Bhd - penerima konsesi Dewan Bahasa dan Pustaka - yang mendakwa dicutikan tanpa gaji untuk tempoh tidak pasti ke Dewan Rakyat.
Timbalan Presiden PKR Azmin Ali (bawah) berkata, beliau akan mendesak pihak berkuasa menyiasat dakwaan bahawa pemotongan gaji untuk caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak dibayar oleh majikan.
"Ini adalah jenayah serius yang perlu diambil tindakan yang tegas," katanya yang juga anggoa parlimen Gombak.
Beliau juga berkata, PKR memberi tanggungjawab kepada aktivis kesatuan sekerja parti itu Abdullah Sani bagi mengangkat isu itu ke Kementerian Sumber Manusia di Putrajaya.
"Di harapkan agar masalah ini dapat diselesaikan segera dan pekerja-pekerja terbabit mendapat keadilan serta kebajikan mereka terjamin," katanya.
Sebelum itu, Azmin pada pagi ini menerima memorandum daripada Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dawama Zainal Awit di hadapan Kompleks Dawama di Hulu Kelang berkenaan arahan cuti tanpa gaji.
Notis berkenaan bertarikh 29 Julai dan arahannya berkuat kuasa pada 1 Ogos.
4 kali memo pada TPM
Dalam kenyataannya petang ini, Azmin menyifatkan tindakan itu sebagai zalim dan tidak berperikemanusiaan, khususnya apabila notisnya dikeluarkan tatkala umat Islam menyambut Ramadan.
"Hal ini sudah tentu memberi kesan dan tekanan emosi kepada keluarga pekerja-pekerja ini," kata Azmin.
Beliau juga menyelar tindakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa tidak melayan atau memberikan respons walaupun sudah empat kali diberikan memorandum oleh kesatuan sekerja.
"Perkara ini juga membuktikan bahawa projek pengswastaan tajaan kerajaan BN telah gagal untuk meningkatkan prestasi dan pencapaian serta menjamin kebajikan pekerja," katanya.
Katanya, sudah menjadi amalan BN apabila sesuatu projek pengswastaan gagal, pengurusan syarikat terus dilindungi dan menikmati kemudahan dan keuntungan yang besar manakala kebajikan pekerja terus diabaikan.
"Saya berpandangan bahawa alasan yang diberikan oleh Dawama bahawa syarikat sedang mengalami masalah kewangan untuk membiayai operasi harian adalah tidak munasabah.
"Hal ini memandangkan syarikat mempunyai konsesi yang besar daripada pihak kerajaan melalui Perjanjian Konsesi Pengswastaan Dewan Bahasa dan Pustaka bertarikh 19 Jun 2002," katanya.
No comments:
Post a Comment