Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia menafikan penduduk tetap (PR) telah didaftarkan sebagai pengundi.
Sebaliknya, kata pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Yusof kesilapan itu mungkin berpunca akibat kecuaian teknikal Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
"Saya fikir senarai nama PR di laman web JPN adalah senarai lama yang belum dikemaskini,” kata Abdul Aziz dalam SMS kepadaMalaysiakini malam semalam.
Katanya, hanya rakyat Malaysia yang boleh memohon untuk mendaftar sebagai pengundi.
"PR tidak dibenarkan kecuali Kementerian Dalam Negeri meluluskan permohonan mereka sebagai rakyat Malaysia. Jika tidak permohonan mereka sebagai pengundi secara automatik akan ditolak oleh sistem saringan SPR selepas menyemak status mereka dengan sistem JPN - Agency Link Up System (Alis)," katanya.
Namun, kata Abdul Aziz SPR akan mempamerkan daftar pemilih tambahan yang dikeluarkan setiap empat bulan untuk tatapan umum selama seminggu.
"Pengundi di kawasan itu boleh membantah (jika mendapati ada penyelewengan),” katanya.
Abdul Aziz mengulas kontroversi di mana terdapat dakwaan bahawa penduduk tetap didaftarkan sebagai pengundi dan nama mereka tersenarai pada daftar pemilih tambahan yang baru. Status penduduk tetap itu kemudiannya 'dinaik-taraf' sebagai warganegara dalam beberapa jam, mengikut sistem pengesahan online JPN.
No comments:
Post a Comment