Saturday, September 24, 2011

DAP gantung keanggotaan Manoharan enam bulan


KUALA LUMPUR 23 Sept. - Jawatankuasa disiplin DAP telah menggantung keanggotaan Anggota Dewan Undangan Negeri Kota Alam Shah M. Manoharan selama enam bulan berhubung kenyataannya bahawa Jalur Gemilang perlu ditukar.

Pengerusinya, Tan Kok Wai berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat jawatankuasa itu di ibu pejabat parti di sini, hari ini.

"Kami memutuskan untuk menggantungnya selama enam bulan kerana kami berpendapat ulasannya amat serius. Keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan bahawa dia telah memohon maaf dan menarik balik kenyataan itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Manoharan dikecam berhubung entri dalam Facebooknya yang mencadangkan supaya Jalur Gemilang diubahsuai kerana reka bentuk sekarang menyerupai bendera Barisan Nasional dan tidak melambangkan Malaysia.

Beberapa pemimpin BN mempersoalkan sikap DAP yang membisu berhubung perkara itu dan mencabar parti itu supaya mengambil tindakan disiplin ke atas Manoharan.

Ketika dihubungi, Manoharan berkata, beliau akan merayu terhadap tindakan itu tetapi enggan mengulas. - Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...