LONDON - Gergasi bola sepak Liga Perdana England, Chelsea semalam mengesahkan Luiz Felipe Scolari sebagai pengurus baru mereka musim depan.
Meskipun berdepan masalah bahasa, namun kedatangan jurulatih kelahiran Brazil itu ke Stamford Bridge tetap dialu-alukan banyak pihak.
Scolari ketika ini sedang membimbing skuad Portugal dalam kempen Euro 2008 dan semalam, pasukan itu menjadi negara pertama melayakkan diri ke suku akhir.
Scolari salah seorang daripada jurulatih terbaik di dunia dengan memiliki rekod hebat sebagai jurulatih kelab dan skuad kebangsaan.
"Beliau adalah pilihan yang tepat tetapi sebagai menghormati tugasnya bersama skuad Portugal di Euro 2008 ketika ini, kami tidak mahu mengulas lebih lanjut,'' kata Chelsea dalam satu kenyataan, semalam.
Selasa lalu, Scolari ada memberi bayangan mengenai perpindahannya ke Chelsea dengan memberitahu media bahawa beliau tidak punya masalah untuk berpindah dari Lisbon ke London.
Kontraknya bersama pasukan kebangsaan Portugal berakhir pada 29 Jun ini, iaitu sejurus tamat Kejohanan Eropah.
Scolari pernah membawa Brazil merangkul Piala Dunia 2002, selain membimbing Portugal muncul naib juara Euro 2004.
Satu-satunya masalah yang bakal dihadapi jurulatih berusia 59 tahun apabila tiba di Stamford Bridge nanti pastinya masalah bahasa kerana beliau tidak boleh berbahasa Inggeris.
Begitupun, tidak ramai yang melihat perkara itu sebagai satu masalah besar, penjaga gol Chelsea, Petr Cech antara orang pertama mengalu-alukan kedatangan Scolari.
"Beliau seorang pengurus yang mempunyai karisma, punya pengalaman hebat dan memiliki rekod hebat. Saya cukup teruja untuk bekerja dengannya.
"Saya harap semua pencapaiannya yang lepas dapat dimanfaatkan bersama Chelsea,'' kata Cech yang sedang beraksi di Euro 2008 bersama Republik Czech.
Perlawanan kompetitif pertama Scolari sebagai pengurus Chelsea adalah aksi Liga Perdana England musim 2008-09 yang dijadual bermula pada 16-17 Ogos.
Bekas pemain antarabangsa Scotland, Alan Hansen percaya, Scolari atau nama gelarannya 'Big Phil' adalah pilihan terbaik untuk membimbing Chelsea, yang dipenuhi pemain-pemain berbakat.
"Bila anda memasuki bilik persalinan, anda memerlukan seorang yang berkarisma, Luiz memiliki semua itu, malah beliau juga memiliki rekod yang hebat.
"Saya percaya beliau adalah pilihan yang tepat, seperti yang telah dilakukan ketika membimbing Portugal,'' kata Hansen.
Scolari tidak mempunyai pengalaman membimbing kelab dalam kancah liga Eropah tetapi dia pernah menjadi jurulatih kelab di Amerika Selatan dan menjulang dua kejuaraan Copa Libertadores bersama Gremio Porto Alegre pada 1995 dan Palmeiras 1999.
Pelantikan Scolari memperlihatkan keseriusan Chelsea untuk memburu kejuaraan Eropah buat kali pertama, biarpun media meramalkan kelab itu mungkin terpaksa membelanjakan 100 juta pound untuk mendapatkan pemain baru.
Satu lagi persoalan yang timbul, bagaimana Scolari hendak berkomunikasi dengan pemainnya sedangkan beliau tidak mampu bertutur dalam bahasa Inggeris.
"Jurulatih seperti Fabio Capello (pengurus England) juga tidak pandai berbahasa Inggeris, tetapi dia ada masa untuk belajar kerana jadual perlawanan pasukan kebangsaan tidak terlalu sibuk.
"Tetapi di Chelsea, perlawanan berlangsung setiap minggu. Saya tidak tahu bagaimana Scolari hendak berkomunikasi dengan pemainnya, tetapi ia harus dianggap sebagai satu cabaran,'' kata bekas pemain Chelsea, Gavin Peacock. - AFP
No comments:
Post a Comment