Thursday, June 5, 2008

Kenaikan harga minyak, hadiah kerajaan 'PM terlampau' - Mahfuz

Wan Nordin Wan Yaacob
Wed | Jun 04, 08 | 9:01:36 pm MYT

KOTA BHARU, 4 Jun (Hrkh) - Pengumuman kenaikan harga minyak (diesel RM1.00 dan petrol RM0.78 sen) oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi disifatkan sebagai hadiah dari kerajaan 'PM terlampau' kepada rakyat.

Demikian kata Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar kepada Harakahdaily hari ini ketika diminta mengulas pengumuman kenaikan harga minyak yang dibuat kerajaan sebentar tadi.

Sambil menyatakan ia sebagai satu tindakan yang terlampau, Mahfuz berkata kerajaan Abdullah Badawi sekali lagi menipu rakyat dengan tanpa sebarang petanda terus mengumumkan kenaikan harga minyak pada tahap tertinggi, sedangkan sebelum ini menyatakan kenaikan harga bahan bakar akan dikaji dan berkemungkinan berlaku pada Ogos ini.

Namun tanpa sebarang isyarat awal, kerajaan terus membelakangkan kepentingan rakyat dengan menaikkan sekali lagi harga minyak pada satu tahap yang cukup menjerat kehidupan rakyat.

"Ini keputusan dari kerajaan yang terlampau, rakyat dihadiahkan dengan kenaikan RM0.78 sen harga petrol sementara diesel sehingga RM1.00; satu kenaikan tertinggi yang pernah dicatatkan," ujarnya.

"Dengan tindakan ini, rakyat dihumban kerajaan Umno/BN kepada satu kehidupan yang lebih teruk tanpa sebarang belas kasihan," ujar Mahfuz.

Baginya tindakan ini sekali lagi satu penipuan di mana sebelum ini semasa pilihan raya umum yang lalu, kerajaan berjanji tidak akan menaikkan harga minyak.

Sebaliknya selepas tiga bulan pilihan raya umum berlalu dengan rakyat hampir menolak kerajaan yang ada, kerajaan BN membalas dendam dengan menaikkan harga kepada tahap yang melampau.

"Kita akan berbincang dengan NGO dan Pakatan Rakyat untuk membuat tindakan bantahan.

"Saya bimbang jika pilihan raya lalu rakyat telah memberi signal yang jelas kepada kerajaan agar jangan mempermainkan rakyat, kali ini rakyat bakal memberi signal kepada kerajaan untuk berundur dengan kenaikan harga minyak ini," ujarnya.

Sementara itu dalam tinjauan Harakahdaily di stesen-stesen minyak di sekitar Ketereh dan Machang, deretan kenderaan sedang bersesak untuk mengisi minyak berikutan pengumuman kerajaan sebentar tadi.

Kesesakan hampir 5 kilometer berlaku di Ketereh sementara di Kok Lanas pula kesesakan bermula daripada Jalan Kok Lanas ke Ketereh berhampiran Stesen Minyak Caltex Jalan Kota Bharu Kuala Krai.

Ramai yang ditemui merungut dengan kenaikan harga minyak yang melampau ini.

Petikan Harakah Daily

Petrol naik 78 sen, diesel naik RM 1, rakyat masih diam?

Dengan “ganas”nya kerajaan BN menaikkan harga minyak secara besar-besaran. Petang tadi, Abdullah Badawi membuat pengumuman yang telah menyebabkan stesen-stesen minyak dipenuhi oleh pengguna-pengguna yang berebut-rebut untuk membeli minyak dengan harga RM 1.92 seliter buat kali terakhir.

Pengumuman mengejutkan. Dengan secara tiba-tiba rakyat dikejutkan bahawa harga minyak akan dinaikkan selepas jam 12 malam ini. TV3 milik Media Prima kroni kepada Abdullah Badawi melaporkan ada stesen-stesen minyak yang sudah mula tutup dengan alasan minyak telah habis. Ini perkara biasa, minyak dikatakan telah habis oleh kerana mereka ingin mendapat untung jika menjual selepas jam 12 malam ini.

Tahun lalu dalam sebuah forum yang bertajuk Jenayah dan Rasuah: Malaysia Dalam Bahaya, Naib Presiden PAS meramalkan bahawa kerajaan akan menaikkan harga minyak sebanyak 70 sen selepas pilihanraya umum ke 12. Klik disini. Hampir tepat ramalan pemangku Menteri Besar Kelantan itu.

Dengan pengstrukturan subsidi yang baru, kerajaan dikatakan akan dapat menjimatkan wang sebanyak RM 4 billion.

Diantara persoalan yang harus ditimbulkan ialah kemana wang ini akan pergi? Untuk pembangunan? Pembangunan untuk rakyat atau untuk syarikat kroni, anak dan menantu?

Abdullah mengumumkan pemberian rebet kepada pengguna kenderaan. Berita dibawah dipetik dari Malaysiakini:

Bagi pemilik kenderaan persendirian, berkapasiti enjin sehingga 2000cc serta ‘trak pick-up’ dan jip berkapasiti enjin sehingga 2500cc, bayaran tunai sebanyak RM625 setahun bagi setiap kenderaan, akan diberikan.

Bagi pemilik motosikal persendirian, berkapasiti enjin sehingga 250cc, bayaran tunai RM150 setahun.

Bayaran tunai diberi apabila pemilik kenderaan dan motosikal membayar atau memperbaharui lesen kenderaan bermotor.

Bayaran ini meliputi kenderaan dengan cukai jalan yang berkuatkuasa 1 April 2008 hingga 31 Mac 2009.

Bayaran ini ditunai dalam bentuk kiriman wang (money order) di pejabat Pos di seluruh negara mulai 1 Julai 2008.

Bagi pemilik kenderaan dan motosikal yang tidak termasuk dalam kategori bayaran tunai tersebut, kabinet memutuskan untuk mengurangkan cukai jalan mengikut kadar berikut, berkuatkuasa 1 Jun.

Bagi pemilik kenderaan persendirian petrol dan diesel berkapasiti enjin melebihi 2000cc, cukai jalan akan dikurangkan sebanyak RM200.

Bagi motosikal persendirian berkapasiti enjin lebih 250cc, cukai jalan akan dikurangkan sebanyak RM50 tertakluk kepada cukai jalan minima RM2. Baca seterusnya disini.

Shahrir Samad dalam wawancara dengan TV3 yang dikuasai oleh menantu PM mengakui bahawa sistem rebet ini pasti akan menimbulkan masalah yang besar. Akan tetapi kerajaan tidak boleh berbuat apa-apa.

Kenaikkan harga petrol sebanyak 41 peratus dan diesel sebanyak 63.3 peratus sudah pasti akan memberi kesan yang besar kepada majoriti rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah.

Jeanne Abdullah, Rosmah Mansor dan Nori Abdullah sudah pasti tidak akan terjejas sekalipun harga petrol dijual dengan harga RM 50 seliter.

Apa yang boleh dilakukan oleh rakyat Malaysia untuk menghalang penindasan ini daripada berterusan? Apakah keputusan kabinet Abdullah-Najib itu muktamad?

1) Protes dalam bentuk piket dan demonstrasi aman secara besar-besaran sehingga harga minyak diturunkan pada kadar asal. Nota: Demonstrasi yang dianjurkan perlulah tersusun dengan mantap dan dihadiri oleh jumlah rakyat yang ramai. Sekurang-kurangnya seperti ini. Oleh yang demikian penganjur tidak perlu terburu-buru untuk mengadakan demonstrasi ini. Roadshow diseluruh negara perlu diadakan terlebih dahulu agar partisipasi rakyat dari seluruh negara dapat direalisasikan.

2) Kedua kita boleh menganjurkan hartal secara besar-besaran diseluruh negara.

Apa itu hartal?

Hartal adalah salah satu bentuk “civil disobedient” yang dilakukan untuk menuntut sesuatu perkara ataupun membantah sesuatu perkara. Ia adalah satu tindakan untuk menuntut kerajaan, pemerintah ataupun penjajah untuk menukar sesuatu keputusan yang tidak popular ataupun menindas rakyat. Kalau tak faham lagi, sila klik disini.

Bayangkanlah jika hartal atau boikot diseluruh negara dilakukan. Sudah pasti negara tidak dapat berfungsi dan kerajaan terpaksa akur ditangan rakyat.

Mengapa tidak dihentikan pembaziran kerajaan terlebih dahulu? Mengapa tidak dipotong gaji menteri terlebih dahulu? Mengapa tidak dipotong elaun menteri terlebih dahulu?

Jawapannya mudah, kerajaan BN tidak pernah berniat dan berminat untuk menjaga kebajikan rakyat.

Jika rakyat terus diam, jangan terkejut dalam jangkamasa 10 tahun ini harga petrol akan dinaikkan sehingga RM 50 seliter. Anda tidak percaya?

petikan amin iskandar

Wednesday, June 4, 2008

Perdana Menteri humban rakyat ke arah hidup lebih terdesak

Wartawan Kita
Wed | Jun 04, 08 | 7:43:57 pm MYT

KOTA BHARU, 4 Jun (Hrkh) - Terima kasih rakyat Malaysia yang memberi kuasa kepada Barisan Nasional (BN) untuk bertakhta semula pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Hari ini BN membalas budi baik itu dengan menaikkan harga petrol sebanyak 41 peratus. Kerajaan telah menunaikan janjinya dan terimalah pengundi BN dengan dada terbuka.

Pengerusi Perhubungan KeADIlan Kelantan, Haji Abdul Aziz Kadir berkata, kerajaan BN benar-benar sudah membalas budi rakyat Malaysia dengan kenaikan bebanan hidup yang semakin mendesak sekarang.

"Inilah hadiah istimewa kepada mereka yang mengundi BN pada pilihan raya umum lalu. Kerajaan membalas pengorbanan rakyat dengan menghumbankan mereka ke kancah kehidupan yang lebih teruk.

"Tidak pernah berlaku dalam sejarah tamadun Malaysia begitu teruk pengurusan negara di bawah Perdana Menteri yang hanya diselamatkan oleh wakil-wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak pada pilihan raya umum lalu," katanya di sini.

Petang tadi Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen iaitu daripada RM1.92 kepada RM2.70. Ini bermakna kenaikan sebanyak 41 peratus.

Manakala harga minyak diesel pula naik kepada RM2.58, naik RM1 berbanding harga sekarang sebanyak RM1.58 seliter. Kenaikan harga bahan api itu akan berkuatkuasa mulai tengah malam ini.

Sejak awal 2004, Abdullah sudah tujuh kali menaikkan harga petroleum dan ia ternyata berjaya mencecah rekod Perdana Menteri sebelum ini.

Kenaikan harga itu merupakan sebahagian langkah kerajaan untuk mengawal subsidi bagi menampung kenaikan petrol, diesel dan gas, yang dijangka berjumlah RM56 bilion tahun ini.

Abdul Aziz yang juga anggota Parlimen Ketereh berkata, kerajaan BN cuba memujuk rakyat dengan membandingkan harga minyak dengan negara-negara lain di Asia Tenggara.

"Kerajaan sebenarnya cuba memperbodohkan rakyat dengan statistik seperti itu, sedangkan negara terbabit bukan pengeluar minyak seperti Malaysia.

"Lagi pun kos hidup rakyat di negara berkenaan seperti Thailand jauh lebih rendah berbanding di negara ini," ujarnya.

Oleh itu beliau percaya masa untuk kejatuhan Perdana Menteri yang begitu lemah sudah tiba dan rakyat perlu bergerak seiring dengan Pakatan Rakyat bagi mengembalikan semula negara ke landasan yang betul.

Sementara itu, orang ramai mulai berpusu-pusu ke stesen-stesen minyak di sekitar bandar ini sebelum kenaikan 78 sen berkuatkuasa tengah malam ini. - mj/mks.


Harakah Online

Petrol Dan Diesel Naik Mulai Tengah Malam Ini, Umum PM


Bukan 3 kupang dah.... tapi 78 kupang. Hadiah untuk pengundi kerajaan BN


PUTRAJAYA, 4 Jun (Bernama) -- Berkuatkuasa tengah malam Rabu harga petrol dan diesel masing-masing akan meningkat sebanyak 78 sen dan RM1 bagi setiap liter, umum Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata berikutan kenaikan itu harga baru petrol dipam adalah RM2.70 seliter manakala diesel RM2.58 seliter.

Bernama

Harga petrol naik 78 sen

Jun 4, 08 5:04pm

Harga petrol naik sebanyak 78 sen - satu pertambahan besar dari RM1.92 sekarang kepada RM2.70.

Manakala harga minyak diesel pula naik kepada RM2.50 - naik 92 sen berbanding harga sekarang sebanyak RM1.58 seliter.

Kenaikan sebanyak 41 peratus bagi petrol dan 58.2 peratus bagi diesel akan berkuatkuasa mulai tengah malam ini.

Kenaikan harga itu adalah sebahagian daripada langkah kerajaan untuk mengawal subsidi bagi menampung kenaikan petrol, diesel dan gas, yang dijangka berjumlah RM56 bilion tahun ini.

Kerajaan juga mengumumkan pemberian rebet kepada pengguna kenderaan.

Mengikut skim tersebut tersebut, kenderaan di bawah 2000cc akan menerima RM625 setahun - rebat bagi 800 liter di bawah harga baru.

Pemilik motosikal pula akan diberi rebet RM120. Bayaran akan dibuat melalui wang pos.

Difahamkan rebet teresbut akan dibayar apabila pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan kenderaan mereka.

Kerajaan dijangka menjimatkan RM4 bilion di bawah penstrukturan semula skim subsidi tersebut.

Jika harga petrol dijual mengikut harga penuh pasaran, ia boleh mencecah setinggi hampir RM4 seliter - naik 100 peratus.

Bagaimanapun, kerajaan dijangka menuju ke arah memansuhkan terus pemberian subsidi pada masa depan.

http://www.malaysiakini.com/news/83941

Zahidi minat jadi Ketua Pemuda

Zahidi minat jadi Ketua Pemuda

KANGAR 2 Jun - Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin menyatakan hasratnya untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan parti itu, Disember ini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Besar berkata, minatnya untuk bertanding jawatan itu mendapat sokongan penuh daripada Badan Perhubungan UMNO Perlis.

''Saya berhasrat mengukuhkan UMNO melalui sokongan dan penglibatan Pemuda terutama selepas menyaksikan beberapa negeri di utara tanah air dirampas parti pembangkang.

''Pada masa ini, saya melihat perlunya seorang pemimpin yang dapat menarik minat golongan muda daripada pelbagai kumpulan untuk menyokong wadah perjuangan yang dibawa oleh UMNO," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas perjumpaan bersama Jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Perlis di sini hari ini.

Sebelum ini, beberapa individu secara terbuka menyatakan kesediaan bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO yang dikosongkan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein setelah memimpin sayap itu sejak sedekad lalu.

Mereka yang dijangka bertanding termasuk Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir dan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.

Zahidi memberitahu, keputusannya untuk bertanding jawatan itu juga berikutan terhakisnya kepimpinan muda terutamanya di wilayah utara selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu.

''Pada hemat saya, pemimpin Pemuda perlu lebih berani bersuara dalam menangani pelbagai masalah akar umbi yang melibatkan golongan muda.

''Pandangan dan suara Pemuda perlu jelas dalam usaha membangunkan golongan muda di negara ini tanpa mengira sesuatu kaum sahaja," jelasnya.

Sebelum ini, Zahidi belum pernah bertanding bagi merebut jawatan tertinggi sayap kanan parti UMNO itu.

Utusan Malaysia

Rais tanding Naib Presiden

leh ZULKIFLI JALIL

PUTRAJAYA 2 Jun - Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menjadi pemimpin UMNO ketujuh menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti Disember ini.

Bagaimanapun kesediaan beliau berbuat demikian dengan syarat sistem kuota kelayakan bertanding dihapuskan terlebih dahulu.

Menurutnya, sikap enggan mengumumkan pendirian bertanding jawatan itu sebelum ini berpunca kerana dirinya masih beranggapan bahagian-bahagian UMNO masih cenderung kepada perilaku 'mata duitan'.

''Saya sendiri pernah mengalami perkara ini beberapa tahun lalu sebab saya ini jenis yang tidak berduit.

''Kerana itu saya tidak melonjakkan apa-apa ramalan atau pendirian untuk bertanding. Namun jika tiada sistem kuota tetapi sekadar dua (bahagian) mencadang dan satu (bahagian menyokong), saya sedia bertanding Naib Presiden.

''Pemimpin-pemimpin besar dalam UMNO tidak harus gusar (jika sistem kuota dihapuskan), saya percaya rekod anda akan dinilai dengan sebaik-baiknya oleh ahli-ahli parti," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Enam pemimpin lain yang telah menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden ialah penyandangnya, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik.

Mengikut peraturan yang diluluskan pada Perhimpunan Agung Khas UMNO Oktober 1988, kelayakan untuk bertanding jawatan Naib Presiden memerlukan sokongan daripada 10 peratus atau 19 bahagian daripada keseluruhan 191 bahagian parti di seluruh negara.

Pemilihan UMNO akan bermula di peringkat cawangan dari 17 Julai hingga 24 Ogos ini, disusuli peringkat bahagian (9 Oktober hingga 9 November) sebelum pemilihan peringkat Pusat ditentukan oleh sekurang-kurangnya 1,700 perwakilan pada Perhimpunan Agung parti dari 16 hingga 12 Disember.

Dalam pada itu, Rais yang ditanya tentang kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa beliau adalah antara empat calon yang dianggap paling layak oleh bekas Presiden UMNO itu untuk mengambil alih tempat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata: ''Saya hargai pandangan beliau tetapi saya telah 'ukur baju di badan sendiri' bahawa jawatan Naib Presiden sahaja kelayakan saya. Bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden biarlah sesiapa nak bertanding, janganlah sekat."

Mengulas mengenai perjumpaan ahli-ahli MT pada Khamis dan Jumaat ini di Shah Alam, Rais berkata, ia akan membincangkan pandangan mengenai perjuangan tulen parti.

Kata beliau, antara yang dijangka dibincangkan ialah soal sistem kuota kelayakan bertanding selain untuk memberi penghormatan kepada UMNO bahagian terutama semasa membuat pencalonan dan cadangan pada perhimpunan agung nanti.

''MT UMNO akan mengadakan perbincangan dari hati ke hati dan semua pihak akan memberi pandangan secara ikhlas.

''Dan bagi saya, para pemimpin UMNO perlu menyisihkan soal antara setia pada parti dan menjadi pengikut kepada mana-mana pihak. Sikap untuk menjadi pak turut tidak wajar dibiarkan berterusan sehingga merencatkan perjuangan parti," katanya.

utusan malaysia

Dua maut bas masuk gaung di Lebuh Raya Karak

03/06/2008 10:38pm

KUALA LUMPUR 3 Jun — Dua orang penumpang sebuah bas persiaran maut manakala 41 yang lain cedera termasuk 17 cedera parah apabila bas yang mereka naiki terbabas lalu terjunam ke dalam gaung sedalam sembilan meter di Km 22.5 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dekat sini petang tadi.

Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Selayang Abd Wahab Ariffin berkata kedua-dua penumpang itu seorang lelaki dan seorang wanita mati di tempat kejadian yang berlaku pada kira-kira pukul 6 petang.

Beliau berkata wanita yang maut itu berasal dari Seremban dan lelaki tersebut yang juga rakyat tempatan belum diketahui maklumat mengenai dirinya.

Kedua-dua mereka mati akibat kecederaan teruk di kepala dan badan.

Katanya pelancong asing juga adalah antara penumpang yang cedera.

Bagaimanapun kewarganegaraan mereka belum dapat dipastikan. Abd Wahab berkata ketika kejadian, bas itu yang dalam perjalanan dari Genting Highlands ke ibu negara dipercayai dipandu laju dalam keadaan hujan lebat sebelum ia tiba-tiba hilang kawalan dan terjunam ke dalam gaung tesebut.

"Kejadian itu disaksikan oleh beberapa orang awam yang melalui lebuh raya itu serta Orang Asli dari sebuah perkampungan berhampiran.

"Mereka kemudian turun ke dalam gaung untuk menyelamatkan penumpang dengan memecahkan cermin bas sementara menunggu anggota bomba tiba 10 minit kemudian,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata 44 orang anggota bomba dari balai bomba Ampang Jaya, Jalan Hang Tuah, Wangsa Maju dan Selayang bertungkus-lumus selama dua jam bagi mengeluarkan mayat serta mangsa lain yang tersepit di dalam bas yang remuk itu menggunakan tali.

Katanya operasi mencari dan menyelamat itu turut dibantu oleh dua ekor anjing dari Unit Anjing Polis di Jalan Klang Lama di sini. "Mangsa terakhir berjaya dikeluarkan pada pukul 8 malam dan operasi menyelamat ditamatkan 15 minit kemudian ekoran cuaca yang gelap serta hujan lebat,” katanya.

Abd Wahab berkata mayat kedua-dua penumpang dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat manakala 17 mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Selayang, 17 mangsa ke HKL manakala tiga orang mangsa lagi ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dengan menggunakan 10 buah ambulan.

— BERNAMA

Harga baru petrol Ogos

Inilah hadiah utama untuk rakyat Malaysia dar Kerajaan Barisan Nasional sempena kemenangan mereka dalam pilihanraya yang lepas.

Malaysia sebuah negara pengeksport Minyak, tetapi rakyat tertindas dengan harga minyak yang melambung, dan macam biasa "FAKTA NOMBOR" akan di war-warkan untuk menunjukkan minyak Malaysia masih lagi murah. Hakikatnya fakta tersebut tidak relevan kerana ratio nya tidak tepat kerana faktor tukaran duit dan pendapatan rakyat mereka. Contoh Singapura minyak RM5.07 per liter tetapi gaji seorang Eksekutif Akaun di Malaysia ialah RM2,500 (Rujuk sini) manakala di Singapura ialah SD2,500 (rujuk sini) bersamaan RM5,913.71 (tukaran RM 1 = SD 0.422).
Inilah pakar ekonomi Malaysia, senatiasa membuat perbandingan yang tidak relevan.
RM8juta senang-senang dibazirkan untuk CYC tetapi untuk rakyat?

petikan Berita Harian


KUALA LUMPUR: Pengguna mungkin terpaksa membayar lebih bagi petrol dan diesel mulai Ogos ini jika Jawatankuasa Kabinet Menangani Inflasi yang bermesyuarat hari ini memuktamadkan pelbagai cadangan bagi penstrukturan semula skim subsidi bahan api berkenaan.

Ketika membayangkan perkara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad, berkata penstrukturan mekanisme baru skim subsidi bahan api itu sudah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan dan akan diputuskan Jawatankuasa Kabinet Menangani Inflasi.

"Ia akan berlaku dan mungkin pada Ogos ini. Kita akan menggunakan masa dua bulan ini untuk melakukan kajian terperinci bagi penstrukturan semula skim subsidi," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, semalam.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang diminta mengulas kenyataan Shahrir itu berkata, keputusan muktamad mengenai perkara berkaitan subsidi bahan api akan diumumkan esok.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat kelapan Majlis Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana Kebangsaan di Bank Negara Malaysia petang semalam, Abdullah berkata Jawatankuasa Kabinet Menangani Inflasi akan bermesyuarat hari ini bagi memuktamadkan pelbagai cadangan untuk pertimbangan akhir mesyuarat jemaah menteri.

"Kita mahu memastikan apa juga keputusan yang akan dibuat adalah terbaik untuk rakyat," katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga mahu langkah yang akan diumumkan itu nanti berkuat kuasa serta-merta bagi mengelak spekulasi.

Abdullah yang juga Menteri Kewangan berkata, pengumuman itu sepatutnya dibuat Jumaat lalu, tetapi tidak dapat dilakukan berikutan beberapa menteri tidak dapat menghadiri mesyuarat Kabinet kerana menghadiri persidangan di luar negara.

Mengenai kenyataan Shahrir yang membayangkan harga petrol dan diesel akan naik mulai Ogos ini, Perdana Menteri berkata:

"Dia (Shahrir) kata ia satu kemungkinan. Apapun keputusan muktamad berkaitan subsidi dan minyak akan diumum Rabu ini (esok)," katanya.

Abdullah juga enggan mengulas ketika ditanya sama ada penguatkuasaan serta-merta keputusan yang akan diumum esok akan turut membabitkan kenaikan harga minyak.

"Tak usah tanya semua itu, anda tunggulah... cuma tinggal sehari saja lagi (untuk pengumuman)," katanya.

Sebelum itu, Shahrir menjelaskan walaupun harga petrol dan diesel naik, subsidi minyak masih tetap dinikmati rakyat.

Beliau juga memberi jaminan kenaikan itu tidak akan menjejaskan rakyat kerana penstrukturan semula skim subsidi dilakukan bagi menegakkan prinsip kesaksamaan dan keadilan.

"Skim subsidi baru ini adalah berdasarkan keperluan dan bukannya penggunaan. Pada hari ini, tiada sekatan kepada subsidi yang kita peroleh kerana ia berasaskan kepada penggunaan. Kalau kita menggunakan 200 liter sebulan pun, kita akan mendapat subsidi bagi setiap liter yang kita beli.

"Ia bermakna ia satu sistem subsidi yang tidak menjurus kepada penyelesaian masalah. Sepatutnya subsidi itu diberi kepada kumpulan yang memerlukan pertolongan," katanya.

Beliau berkata, penstrukturan semula itu adalah antara pendekatan kerajaan dalam menangani peningkatan beban tanggungan subsidi berikutan kenaikan harga minyak dunia.

Harga minyak dunia meningkat secara mendadak sehingga mencecah lebih AS$130 setong ketika ini.

Shahrir berkata, subsidi yang ditanggung kerajaan untuk petrol, diesel dan LPG tahun ini dijangka mencecah RM56 bilion, berbanding RM37.4 bilion pada 2000 hingga tahun lalu.

Mengenai larangan penjualan petrol dan diesel kepada kenderaan asing di stesen minyak yang beroperasi dalam lingkungan 50 kilometer dari sempadan, beliau berkata ia hanya langkah sementara.

Katanya, larangan itu mungkin ditarik balik selepas sistem pengurusan subsidi bahan api yang sesuai diputuskan Jawatankuasa Kabinet Menangani Inflasi pada Ogos ini.

Beliau berkata, kerajaan bertindak demikian untuk mengurangkan ketirisan subsidi yang membabitkan kos tinggi dan seharusnya dinikmati rakyat negara ini, khususnya golongan berpendapatan rendah.

"Larangan penjualan itu sudah berkuat kuasa di sempadan Malaysia-Thailand mulai hari ini, manakala sempadan dengan Singapura pada 9 Jun," katanya sambil menambah larangan itu tidak membabitkan motosikal.

Shahrir mengakui menerima laporan bahawa beberapa kegiatan perniagaan rakyat tempatan di sempadan terjejas berikutan larangan itu, tetapi menegaskan kerajaan tetap melaksanakannya demi kebaikan semua pihak, terutama untuk mengurangkan penyaluran subsidi kepada mereka yang tidak berkaitan.

Larangan itu membabitkan semua stesen minyak dalam lingkungan 30 hingga 50 kilometer di sempadan Malaysia-Thailand meliputi Perlis, Kedah, utara Perak dan Kelantan serta Malaysia-Singapura, iaitu di beberapa daerah di Johor termasuk Kulai dan Johor Bahru.

Harga petrol di negara ini hanya RM1.92 seliter dan diesel (RM1.58), berbanding di Thailand RM4 seliter bagi petrol dan diesel RM3.50 seliter, Indonesia (RM2.57), Filipina (RM3.45), Singapura (RM5.07) dan United Kingdom (RM7.03).

Tuesday, June 3, 2008

Sinopsis Novel (Tidak Aku Bersuara)




Tajuk : TIDAK AKU BERSUARA
Karya : NORHAYATI BERAHIM
Penerbit : NB Kara Sdn Bhd
Bil M/S : 680
Harga : RM24.00

Sinopsis :
Jeslina merupakan anak perempuan tunggal pasangan Azman dan Khatijah. Jeslina dibesarkan oleh neneknya di kampung semenjak kecil lagi kerana Azman dan Khatijah bertugas di luar negara. Dikampung, Jeslina rapat dengan Odin, sepupu beliau dan merupakan anak kepada Mak Long Juriah (kakak Azman).

Walaupun berjauhan dengan keluarga Jeslina tetap gembira bersama dengan neneknya sehinggalah terjadi satu peristiwa hitam ke atas Jeslina semasa beliau berusia 15 tahun. Jeslina telah dirogol oleh bapa saudaranya sendiri iaitu Haji Taib, suami kepada Mak Long Juriah. Hanya Odin yang mengetahui kejadian tersebut dan menjadi tempat untuk Jeslina berlindung, tetapi malangnya Odin terlampau lemah dan tidak berupaya untuk melindungi Jeslina malah telah cuba untuk menjauhi diri daripada Jeslina. Semenjak itu, kehidupan Jeslina di kampung tidak bahagia tapi malangnya kedua ibu bapanya tidak pernah bertanyakan sama ada beliau bahagia atau pun tidak di kampung. Jeslina berusaha untuk meninggalkan kampung yang memberikan peristiwa hitam kepada beliau.

Akhirnya Jeslina berjaya ke sekolah berasrama dan semenjak daripada itu beliau telah berazam untuk tidak lagi kembali ke kampung. Setelah tamat sekolah beliau telah menyambung pelajarannya ke Glasgow Scotland. Semejak itu, beliau tidak pernah pulang ke Malaysia.

Di Glasgow, Jeslina telah berkawan rapat dengan Dr Budi Utomo seorang pensyarah sebuah universiti disana yang berasal daripada Brunei. Walaupun telah berusia hampir 50an, Dr Budi Utomo masih lagi bujang. Persahabatan mereka amat rapat dan Jeslina amat senang dengan Dr Budi Utomo malah Dr Budi Utomo mengetahui segala peristiwa hitam yang pernah berlaku pada Jeslina.

Azman dan Khatijah berusaha untuk memujuk Jeslina kembali ke Malaysia, tapi malangnya Jeslina tetap berkeras hati untuk tinggal di Glasgow. Azman juga sempat berpesan kepada Dato Mohid, rakan rapat Azman, untuk berusaha membawa Jeslina kembali ke Malaysia jika beliau meninggal. Dato Mohid merupakan rakan sekolah Azman dan mereka berdua amat rapat sekali semenjak dari bangku persekolahan. Dato Mohid mempunyai isteri, Datin Rosnah, yang lumpuh disebabkan oleh kemalangan dan seorang anak lelaki, Razman.

Setelah Azman meninggal dunia, Dato Mohid berusaha mencari jalan untuk membawa Jeslina kembali untuk tinggal di Malaysia. Jeslina hanya pulang sekejap sahaja di Malaysia semasa ayahnya, Azman, meninggal dunia.

Secara kebetulan, Razman tertarik dengan Jeslina. Razman telah berusaha untuk memikat Jeslina. Walaupun hati Jeslina tawar untuk menerima sebarang lelaki, tetapi Razman tetap berusaha. Jeslina tetap cuba untuk mengelak dari berkahwin dengan Razman kerana takut dengan peristiwa silam beliau. Jeslina juga sanggup untuk lari ke Glasgow kembali dan meminta Dr Budi Utomo untuk mengahwininya, tetapi Dr Budi Utomo tidak sanggup kerana beliau takut dengan jarak umur antara mereka yang terlampau jauh. Keputusan Dr Budi Utomo ini mengakibatkan Jeslina terpaksa menerima pinangan Razman.

Setelah berkahwin, Jeslina tetap dingin terhadap Razman kerana beliau masih lagi phobia dengan peristiwa silam yang berlaku ke atasnya 20 tahun dahulu. Keadaan ini mengakibatkan Razman tertekan. Akhirnya tanpa usul periksa Razman telah menceraikan Jeslina kerana menganggap beliau curang dan mempunyai kekasih lama. Jeslina membawa diri kembali ke Glasgow.

Dengan dorongan dan semangat daripada Dr Budi Utomo, Jeslina akhirnya kembali ke Malaysia dan bersedia untuk menceritakan sejarah hitam beliau kepada keluarganya dan keluarga bekas suaminya. Ini ialah untuk mengelakkan segala prasangka buruk mereka terhadapnya.

Akhirnya Hj Taib dihadapkan ke mahkhamah dan dihukum penjara. Jeslina pula berkahwin dengan Dr Budi Utomo dan kembali bermaustautin di Malaysia.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...