Saturday, July 12, 2008

Cabul atlet:Ramanathan jalani penjara 4 tahun

Petikan: Utusan Online


PUTRAJAYA 11 Julai – Bekas jurulatih olahraga kebangsaan, C. Ramanathan, 72, hari ini mula menjalani hukuman penjara empat tahun yang dikenakan terhadapnya selepas Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan yang melepaskannya daripada tuduhan mencabul kehormatan dua atlet remaja wanita berusia 15 dan 16 tahun.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Zainun Ali memutuskan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan Ramanathan daripada kedua-dua tuduhan itu pada 24 Februari 2005 selepas membenarkan rayuan pendakwa raya terhadap keputusan itu.

Zainun bersidang bersama Hakim Datuk Wira Abu Samah Nordin dan Hakim Datuk Sulong Matjeraie. Rayuan pula dikemukakan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Eddie Yeo dan Jamhirah Ali.

Dengan keputusan itu, Mahkamah Rayuan sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang mensabitkan Ramanathan atas tuduhan mencabul 12 tahun lalu.

Bagi setiap tuduhan, jurulatih itu diperintah menjalani hukum penjara empat tahun secara serentak.

Ramanathan kelihatan gelisah ketika mahkamah membacakan keputusan itu. Selepas mahkamah bersidang, dia membuat beberapa panggilan telefon sebelum dibawa ke Penjara Kajang.

Dia didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen pada 1996 atas tuduhan mencabul kehormatan kedua-dua mangsa, ketika itu berusia 15 dan 16 tahun.

Ketika pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 4 Oktober 1994, dia didakwa melakukan perbuatan tersebut antara pukul 9 dan 10 malam 23 dan 27 Oktober 1992 di Bangunan Persatuan Bola Keranjang Amatur Malaysia (MABA), Jalan Hang Tuah di ibu negara.

Sehingga hari ini, Ramanathan tidak pernah dipenjarakan setelah Mahkamah Sesyen membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan dengan jaminan RM10,000.

Tiga tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan rayuan Ramanathan dan mengetepikan sabitan dan hukumannya atas dua alasan iaitu kelewatan Hakim Mahkamah Sesyen mengeluarkan alasan penghakiman serta perilaku saksi-saksi ketika memberi keterangan.

Sementara itu, peguam Karpal Singh yang mewakili Ramanathan memberitahu, pihaknya akan memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan bagi menyemak keputusan Mahkamah Rayuan tersebut Isnin ini.

“Kami juga akan memfailkan notis perakuan segera pada Isnin ini supaya permohonan ikat jamin terhadap Ramanathan didengar secepat mungkin,” ujarnya.

Hakim Zainun ketika membacakan penghakiman tersebut berkata, kelewatan Hakim Mahkamah Sesyen mengeluarkan alasan penghakimannya selepas lima tahun keputusan disampaikan bukan satu penafian keadilan terhadap Ramanathan.

Menurut beliau, kelewatan itu tidak menyebabkan prejudis kepada Ramanathan kerana Hakim Mahkamah Sesyen menyampaikan keputusannya pada 8 November 1996 manakala penghakiman bertulis dikeluarkan pada 26 Oktober 2001.

“Keadilan terhadap perayu tidak dinafikan kerana Hakim Mahkamah Sesyen menyampaikan keputusannya kurang daripada tempoh sebulan selepas Ramanathan dipanggil membela diri,'' ujarnya.

Hakim Zainun turut menyatakan mahkamah membenarkan rayuan pendakwa raya selepas meneliti keseluruhan prosiding perbicaraan dan rayuan di peringkat Mahkamah Tinggi.

Saravanan tinggalkan majlis Jamuan Presiden MIC

Petikan: Utusan Online


KUALA LUMPUR 11 Julai - Ketua Penerangan MIC, Datuk M. Saravanan meninggalkan majlis makan malam Presiden MIC yang dianjurkan sempena Perhimpunan Agung MIC Ke-62 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam ini.

Ketika dihubungi Saravanan berkata, beliau meninggalkan majlis yang turut dihadiri Presiden parti, Datuk Seri S. Samy Vellu atas sebab-sebab peribadi.

"Saya memang meninggalkan majlis itu malam ini tetapi saya tidak akan memberi komen tentang perkara ini kepada media.

"Apa yang saya lakukan adalah kerana sebab-sebab tertentu yang tidak akan saya dedahkan,'' katanya.

Utusan Malaysia difahamkan, Saravanan yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan meninggalkan dewan jamuan pada pukul 8.40 malam ekoran masalah protokol majlis.

Keadaan menjadi tegang apabila ramai penyokongnya turut mengikutnya meninggalkan majlis tersebut.

Sementara itu Bernama melaporkan tindakan Saravanan dan pengikutnya itu menimbulkan kemarahan Samy Vellu yang kemudian turut meninggalkan majlis.

Perhimpunan Agung MIC ke-62 akan diadakan esok di PWTC.

Memorial Datuk Onn Jaafar musnah terbakar

BATU PAHAT 11 Julai – Memorial Datuk Onn Jaafar yang terletak di kawasan Kelab Golf Batu Pahat di sini musnah dalam satu kebakaran petang ini.

Lebih 70 peratus bangunan yang pernah menjadi kediaman Allahyarham Datuk Onn itu hangus dijilat api.

Beberapa barang berharga yang disimpan di dua buah bilik pameran turut musnah dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu.

Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Penjaga memorial itu, Mohd. Azhar Saad, 25, berkata, dia dan rakannya, Noor Suriya Mohd. Rahim, 29, tiada di tempat kejadian kerana menunaikan solat Jumaat dan makan tengah hari.

“Antara barangan lama yang terdapat dalam bilik pameran itu ialah tiga buah tepak sirih lama, sebuah radio, telefon lama dan perabot serta beberapa barang antik,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di lokasi kejadian di sini.

Memorial itu disenggarakan oleh Yayasan Warisan Johor (YWJ) sejak tahun lalu dan masih belum dibuka kepada orang ramai.

Mohd. Azhar berkata, memorial itu mempunyai dua buah bilik pameran, sebuah bilik tayangan dan beberapa barang berharga peninggalan Datuk Onn.

Datuk Onn yang merupakan pengasas UMNO dilahirkan pada 1895. Beliau meninggal dunia pada 1962 ketika berusia 67 tahun.

Anaknya, Allahyarham Tun Hussein Onn ialah Perdana Menteri yang ketiga manakala cucunya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kini Menteri Pelajaran.

Pegawai Operasi Balai Bomba Jalan Timah Sari, Bakri Mohamad memberitahu pemberita, pihak bomba menerima panggilan daripada orang awam mengenai kebakaran memorial itu pada pukul 2.36 petang.

“Dua jentera bomba dari balai itu dan Jalan Md. Khalid dengan 22 anggota tiba ke tempat kejadian pukul 2.41 petang dan api berjaya dikawal empat minit kemudian,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Majlis Kebudayaan Batu Pahat, Datuk Ariss Samsudin dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Perancangan Kerja Raya dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Ahmad Zahri Jamil melawat tempat kejadian petang ini.

Ahmad Zahri melahirkan rasa sedih kerana muzium tersebut adalah antara kesan sejarah yang penting di daerah ini.

Beliau berharap kerja-kerja membaik pulih bangunan berkenaan dapat dilakukan dengan segera.

“Kita akan buat taksiran kerugian dan berapa kos yang diperlukan untuk kerja-kerja baik pulih berkenaan. Kerosakan perlu dibaiki segera,” katanya.

Ariss pula menambah, kebakaran itu menyedihkan masyarakat di daerah ini kerana kerja-kerja mengumpul pelbagai artifak sejarah berkaitan Datuk Onn baru selesai dilakukan oleh Yayasan Warisan Johor.

Menurutnya, memorial itu sepatutnya dibuka kepada orang ramai tidak lama lagi.

Samy sedia undur, cabar perwakilan kemuka usul tidak percaya

Petikan: mStar Online
12-07-2008 12:24:42 PM

Oleh G. MANIMARAN dan ARIFFUDDIN ISHAK

KUALA LUMPUR: Selepas tersinggung dengan kerenah perwakilan ketika majlis makan malam semalam sempena Perrhimpunan Agung MIC Ke-62, pagi ini Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu mengejutkan ramai dengan berkata, beliau sanggup meletakkan jawatan jika itu yang ahli-ahli parti tersebut inginkan.

Justeru, Samy Vellu juga meminta para perwakilan supaya mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap kepimpinannya.

Kata beliau, usul itu boleh dibawa petang ini.

Selepas Samy Vellu mengeluarkan kenyataan itu, wakil media telah diminta keluar dewan perhimpunan agung berlangsung.

Perhimpunan Agung MIC dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pukul 10 pagi tadi.

Perhimpunan agung kali ini hanya berlangsung sehari berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Samy Vellu merupakan Presiden MIC paling lama memegang jawatan itu.

Beliau tewas dalam pilihan raya umum ke-12 8 Mac lalu dengan gagal mempertahankan kerusinya Sungai Siput.

BERITA TERDAHULU:

Majlis makan malam MIC tukar detik singgung Samy Vellu

Menjelang Perhimpunan Agung MIC Ke-62 yang berlangsung hari ini, majlis makan malam yang diadakan untuk meraikan para perwakilan semalam bertukar menjadi detik menyinggung perasaan dan mengecewakan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu yang meninggalkan program itu lebih awal daripada sepatutnya

Ini kali pertama majlis makan malam berakhir satu setengam jam lebih awal daripada dijadualkan.

Ia dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pagi ini.

Samy Vellu yang turut tersinggung dengan tindak-tanduk sesetengah perwakilan yang tidak menghormati majlis persembahan kebudayaan yang berlangsung keluar dewan majlis makan malam kira-kira lima minit sebelum pukul 10 malam.

Samy Vellu hanya berucap kira-kira lima minit - sesuatu yang berlainan sejak beliau memimpin MIC hampir 30 tahun.

Samy Vellu, Presiden paling lama memegang jawatan itu, ketika berucap mengatakan bahawa beliau tidak akan berucap lama dan akan meninggalkan majlis dalam lima minit.

Sebelum meninggalkan majlis, Samy Vellu sempat berucap kepada hadirin dengan berkata beliau tidak akan lagi menganjurkan majlis seumpama itu sekiranya para perwakilan tidak berminat.

Laporan Bernama menyebut beliau juga meminta maaf kepada para perwakilan.


Bekas Timbalan Presiden Datuk S. Subramaniam berkata, Samy Vellu "agak tersinggung apabila perwakilan mula bersembang sesama sendiri tanpa memberi tumpuan kepada persembahan yang diadakan."

Para perwakilan mula bercakap di kalangan mereka sebaik sahaja menu selesai dihidangkan dengan cepat dan tidak mahu mengikuti persembahan, katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun difahamkan perasaan kecewa Samy Vellu bermula dengan tindakan Ketua Penerangan MIC, Datuk M. Saravanan meninggalkan dewan majlis itu berlangsing iaitu dewan konvensyen Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Saravanan yang memasuki dewan itu kira-kira pukul 8.30 malam keluar tidak sampai 15 minit kemudian.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan itu mengesahkan keluar awal dewan tetapi enggan menyebut mengapa berbuat demikian.

Difahamkan Saravanan, Ahli Parlimen Tapah bertindak keluar apabila beliau tidak ditempatkan di meja utama, yang turut menempatkan mereka yang tidak memegang jawatan kanan dalam parti.

Tindakan Saravanan menyebabkan hampir 30 peratus perwakilan turut mula meninggalkan dewan.

Perhimpunan agung MIC ke-62 hari ini merupakan yang pertama selepas pilihan raya umum ke-12 8 Mac lalu.

Perhimpunan kali ini hanya akan berlangsung sehari berbanding dua hari masa-masa lalu.

Samy Vellu sebelum ini pernah memberitahu bahawa persidangan sehari itu akan memberi tumpuan kepada penjenamaan semula parti bagi membolehkan lebih semua ketua cawangan parti yang hadir memahami konsep itu.

BN Perlu Sisih Amalan Parti Perkauman, Kata Samy Vellu

12 Julai, 2008 12:34 PM

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) perlu membebaskan dirinya daripada amalan politik perkauman dan menjadi parti pelbagai kaum dalam erti kata sebenar, jika ingin mendapatkan semula sokongan dan kepercayaan rakyat, kata Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu hari ini.

Beliau berkata BN juga perlu bersuara dalam satu nada, di samping memastikan keperluan dan sensitiviti semua kaum di negara ini dihormati dan dipenuhi.

"Saya rasa masanya sudah tiba bagi BN memainkan peranan dengan lebih bersungguh-sungguh sebagai pelindung bagi Malaysia yang mempunyai rakyat pelbagai kaum. Ini akan membantu kita mengetepikan politik perkauman," katanya pada majlis perasmian Perhimpunan Agung MIC ke-62 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Sabtu.

Perhimpunan itu disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Perhimpunan sehari yang dihadiri 3,300 anggota perwakilan itu dirasmikan Perdana Menteri dan Pengerusi BN Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Samy Vellu berkata orang ramai perlu melihat BN sebagai parti gabungan yang sentiasa menghormati dan mengambil berat terhadap semua rakyat Malaysia, tanpa mengira etnik.

"Tempoh 12 bulan lepas merupakan masa yang amat mencabar bagi kita, daripada segi politik dan ekonomi. Sebagai pemimpin, kita perlu menghadapi keadaan ini dengan semangat serta keazaman yang lebih tinggi," katanya.

Samy Vellu berkata masyarakat India hari ini melihat dan menerima MIC sebagai sebahagian daripada kerajaan dan oleh itu, setiap tindakan kerajaan dianggap sebagai tindakan parti juga.

Katanya sejak 50 tahun lepas, kerajaan BN telah mendapat sokongan tidak berbelah bagi daripada masyarakat India.

Beliau berkata sokongan masyarakat India terhadap BN menurun pada pilihan raya umum 8 Mac lepas kerana ada di kalangan mereka merasakan bahawa kebanyakan isu yang dekat di hati mereka, tidak ditangani dengan sewajarnya oleh kerajaan.

"Tetapi, yang berlalu itu, biarlah berlalu," kata beliau sambil menggesa BN supaya terus melangkah ke depan bagi memenuhi keperluan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Beliau berkata penubuhan Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan Najib bagi menangani masalah yang dihadapi kaum India merupakan langkah tepat ke arah itu.

"Saya harap kita gunakanlah peluang ini untuk melahirkan perubahan dasar yang akan memberi kesan positif terhadap usaha meningkatkan taraf hidup kaum India di negara ini.

"Kita dalam MIC yakin bahawa masyarakat India Malaysia akan kembali memberi sokongan penuh dan tidak berbelah bagi kepada kerajaan BN," katanya.

-- BERNAMA

PM Umum Langkah Segera Bantu Tingkatkan Pendidikan Kaum India

12 Julai, 2008 12:32 PM

PM Umum Langkah Segera Bantu Tingkatkan Pendidikan Kaum India

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan beberapa langkah segera bagi meningkatkan tahap pendidikan pelajar kaum India, sama ada di peringkat sekolah atau universiti yang boleh memberikan manfaat jangka panjang kepada kaum ketiga terbesar negara ini.

Beliau berkata kerajaan antaranya telah bersetuju untuk menambah bilangan sekolah Tamil bantuan modal yang banyak terdapat di luar bandar ditukar menjadi sekolah bantuan penuh.

"Kerajaan juga akan menyegerakan proses penggabungan atau konsolidasi sekolah-sekolah Tamil yang muridnya kurang daripada 50 orang," katanya semasa berucap merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-62 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Menurutnya kerajaan juga bersetuju supaya pelajar-pelajar di University Asian of Medicine, Science and Technology (AIMST) kelolaan MIC di Kedah boleh memohon biasiswa tempatan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Melalui langkah ini AIMST adalah universiti swasta kelima yang diperakukan sedemikian seepas beberapa universiti lain antaranya Monash University, Swinburne University dan University of Nottingham.

Bernama

11 ketua bahagian di K'tan dicabar

Petikan: MalaysiaKini
Muda Mohd Noor | Jul 10, 08 2:34pm

Kecuali Ketereh, Bachok dan Gua Musang, sebelas lagi ketua bahagian Umno di Kelantan dijangka dicabar dalam pemilihan parti, September ini.

annuar musaKetua Umno Ketereh ialah Datuk Seri Annuar Musa yang juga ketua perhubungan Umno negeri, manakala ketua Umno Gua Musang ialah Tengku Razaleigh Hamzah dan Bachok pula Datuk Awang Adek Hussein.

Mesyuarat cawangan Umno akan bermula 17 Julai ini, manakala mesyuarat bahagian bermula pada 9 Oktober depan. Perhimpunan agung yang akan menyaksikan pemilihan pucuk pimpinan Umno akan berlangsung pada 16-21 Disember depan.

"Tindakan mencabar ketua-ketua bahagian ini merupakan satu tindakan protes ahli-ahli Umno terhadap kepimpinan bahagian ekoran kekalahan teruk dalam pilihanraya umum lalu.

"Mereka mahu menukar muka-muka lama yang dilihat tidak mampu menghadapi pembangkang termasuk dalam pilihanraya umum akan datang," kata sumber-sumber Umno negeri.

Ketua bahagian Pengkalan Chepa, Datuk Dr Nik Zain Nik Omar menghadapi saingan tiga penjuru. Beliau bakal dicabar oleh ketua pemuda Umno negeri, Dali Husein dan muka baru, Rofli Ishak.

Pengerusi syarikat perkapalan Nepline Berhad itu, sudah tiga penggal menjadi ketua bahagian dan juga tiga kali bertanding dalam pilihanraya umum tetapi semuanya kalah.

Manakala di Kubang Kerian pula, ketua bahagian sekarang, Mohd Fauzi Ismail, akan dicabar oleh timbalannya, Ghani Mamat.

Pertahan jawatan

Di Pasir Putih, Datuk Kamaruddin Mohd Noor yang sudah empat penggal tidak dicabar, kali ini akan berdepan saingan empat penjuru.

Beliau bakal dicabar oleh Zawawi Ismail (ketua pemuda bahagian), Hashim lsmail (naib) dan Datuk Shukri Mohamad (bekas Ahli Dewan Undangan Negeri).

Ketua bahagian Pasir Mas, Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman pula dijangka tidak mempertahankan jawatan kal ini.

Ini dan memberi peluang kepada timbalannya, Hanafi Mamat berentap dengan ahli jawatankuasa bahagian, Fauzi Mamat untuk.

Manakala ketua bahagian Rantau Panjang, Datuk Mohd Zain Ismail dijangka dicabar oleh timbalannya, Abdullah Mat Yassim.

Manakala di Kuala Krai pula, penyandang Datuk Ramzi Abdul Rahman dijangka dicabar bekas ketua bahagian, Datuk Wan Zaid Abdullah dan Sayed Mohd Ali Saipuddin Sayed Yacob yang kini timbalan ketua bahagian.

Di bahagian Tanah Merah, jawatan ketua bahagian kosong ekoran kematian penyandangnya Datuk Hashim Shafin.

Undur diri

Ekoran itu, dua calon akan berentap merebut jawatan tersebut. Mereka ialah pengerusi Redland Berhad, Datuk Ismail Hassan yang juga bendahari Umno bahagian dan bekas ketua pemuda bahagian Datuk Ikmal Hisham.

Manakala di Machang pula, ketua bahagian sekarang Datuk Ismail Mamat disebut-sebut akan mengundurkan diri atas faktor usia.

sazmi miahBerikutan itu, dua nama disebut-sebut akan mengisi kekosongan tersebut. Mereka ialah timbalan ketua bahagian, Datuk Jazlan Yaakob dan bekas ahli Parlimen Machang, Datuk Sazmi Miah yang kini ketua pemuda bahagian.

Di Jeli, menteri pertanian dan industri asas tani, Datuk Mustapa Mohamad dijangka dicabar oleh bekas ketua Pemuda bahagian, Zahari Kechik.

Berbanding bahagian lain, Kota Baru bakal menyaksikan `perang besar' antara menteri jabatan perdana menteri, Datuk Zaid ibrahim dengan setiausaha politik timbalan perdana menteri, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh.

Zaid dianggap mewakili kumpulan perdana menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi manakala Mohd Fatmi pula dari kumpulan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Ku Li: PM silap langkah

Petikan MalaysiaKini
Jul 11, 08 10:21am
Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan langkah Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan pelan peralihan kuasa pada pertengahan 2010 dan bertanding sebagai presiden Umno merupakan satu langkah yang silap.

Katanya jawatan presiden Umno itu ditentukan oleh ahli Umno dari peringkat akar umbi dan tidak wajar bagi Abdullah untuk serahkan kuasa kepada sesiapa pun.

ku li tengku razaleigh and umno agm 241106"Banyak pihak tidak menyedari bahawa perdana menteri perlu mendapatkan restu pelbagai pihak terutamanya dari Yang di-Pertuan Agong," katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan ketua-ketua cawangan Umno di jajahan Bachok malam tadi, demikian menurut laporan Bernama.

Beliau berkata selama ini Abdullah merupakan "caretaker" (penjaga) kepada Umno kerana pemilihan parti itu sepatutnya berlaku tahun lepas namun ianya ditunda berikutan pilihan raya umum ke-12.

Tengku Razaleigh berkata keputusan Abdullah itu tidak akan mengubah pendirian beliau untuk bertanding bagi jawatan presiden pada pemilihan parti yang dijangka Disember ini.

Semalam Abdullah mengumumkan bahawa beliau akan menyerah kuasa kepada timbalannya Datuk Seri Najib Razak pada Jun atau pertengahan tahun 2010.

Perdana menteri berkata, keputusan tersebut diterima oleh MT dan pemimpin-pemimpin parti itu.

"Saya telah beri penjelasan mengenai perkara ini kepada MT dan ketua-ketua bahagian, termasuk Pemuda, Wanita dan Puteri sebentar tadi.

"Mereka boleh menerimanya dan memberi hormat berdiri kepada keputusan saya," kata Abdullah semalam.

Abdullah berkata, beliau memilih Najib kerana beliau seorang yang baik dan boleh menjadi pemimpin yang baik.

"Peralihan kuasa bermula dengan apa yang umumkan hari ini. Dalam jangka masa itu, saya akan bertanding jawatan presiden parti dan saya telahpun nyatakannya kepada Datuk Najib (untuk bertanding presiden)," kata perdana menteri lagi.

Bakri: Kes bala bukan 'lakonan' polis

Petikan: Malaysia Kini

Jul 11, 08 5:19pm

Tindakan penyiasat persendirian P Balasubramaniam dan keluarganya melarikan diri ke luar negara bukanlah atas arahan atau 'lakonan' pihak polis, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Mohd Bakri Zinin.


mohd bakri zininKatanya, tuduhan yang mengaitkan tindakan Balasubramaniam dengan polis adalah tidak berasas.

Menurutnya, tuduhan itu tidak seharusnya timbul kerana polis menjalankan siasatan secara telus dan profesional dalam mencari kebenaran tanpa mempunyai sebarang motif lain.

"Mengapa mesti heret pihak polis sekali dalam situasi seperti ini? Janganlah perkara ini dijadikan sebagai 'media court', ini bukan satu lakonan, inilah kenyataan, realiti yang perlu disiasat secara profesional dan teratur untuk kita mengetahui kebenaran sesuatu perkara.

"Polis bukan pelakon...saja-saja berlakon untuk jadi popular, tetapi
hakikatnya kita siasat dan beri informasi yang benar untuk memastikan orang awam sentiasa peka dengan senario sebenar," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan seminar pada Simposium Sains Forensik dan Undang-Undang Jenayah di Kuala Lumpur hari ini.

akuan bersumpah

Menurut Bernama, sebelum ini dilaporkan bahawa polis berjaya mengesan Balasubramaniam serta keluarganya di sebuah negara jiran selepas dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu dan mengambil keterangan daripada penyiasat persendirian itu berhubung akuan bersumpahnya.

p balasubramaniamMenteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar semalam berkata Balasubramaniam meninggalkan negara ini bersama keluarganya ke luar negara kerana bimbang keselamatan mereka terancam selepas membuat dua akuan bersumpah berkaitan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Mohd Bakri turut menafikan andaian bahawa siasatan telah dihentikan selepas Balasubramaniam dan keluarganya ditemui.

"Siasatan kita tidak berhenti di sini, sekiranya sudah cukup semua bukti yang nyata, kita tiada masalah untuk bawa perkara tersebut kepada peguam negara.

"Siasatan kita punya asas (bukti), jika tiada asas kita akan siasat lebih lagi dan sekiranya kita mempunyai sebarang kes, kita akan cadangkan pada peguam negara untuk mendakwa. Polis hanya menyiasat tetapi pendakwaan di bawah kuasa peguam negara," katanya.

Muhyiddin: Tempoh terlalu lama?

TOKYO 10 Julai - Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sesetengah pihak berpendapat tempoh peralihan jawatan dalam UMNO yang dirancang pada 2010 adalah terlalu lama.

“Ada yang menyatakan kebimbangan kalau tempoh sepanjang itu keadaan tidak akan bertambah meyakinkan. Ini hal-hal yang perlu ambil kira,” katanya.

Oleh yang demikian, katanya, ada ahli UMNO yang berpendapat adalah lebih baik anggota-anggota parti sendiri yang memutuskan soal kepimpinan parti.

“Kita akan lihatlah. Tempoh pemilihan ini masih panjang. Kenapa tergesa-gesa untuk buat keputusan sekarang. Tetapi tidak mengapa, tempoh pemilihan bulan 10 (Oktober) maka waktu itu UMNO yang bersidang di tiap-tiap bahagian tentu akan menilai sama ada apa yang diputuskan suatu yang mereka sukai ataupun mereka ada pandangan masing-masing,” katanya.

Muhyiddin, yang kini mengetuai misi perdagangan dan pelaburan selama enam hari ke Jepun, berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menyerahkan jawatan Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional kepada Datuk Seri Najib Tun Razak pada pertengahan 2010.

Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berharap sebarang keputusan yang dibuat oleh Majlis Tertinggi UMNO tidak mengongkong mana-mana pihak untuk membuat keputusan yang mereka fikir adalah yang terbaik untuk mereka.

Beliau berkata, sekiranya UMNO masih mengamalkan sistem demokrasi, ia pasti tidak akan menghalang anggota parti daripada menyuarakan apa yang terbaik untuk mereka dan parti.

Bagaimanapun, katanya, keputusan yang dibuat di peringkat Majlis Tertinggi adalah sesuatu yang perlu dihormati.

“Tetapi yang tidak kurang pentingnya ialah pandangan setiap ahli UMNO yang diwakili di peringkat cawangan dan bahagian. Mereka ada kemahuan… mereka ada aspirasi… mereka juga ada harapan,” katanya.

http://www.utusan.com.my

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...