29 Jun, 2008 21:23 PM
TEMERLOH, 29 Jun (Bernama) -- Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata beliau masih belum memutuskan untuk bertanding jawatan ketua pergerakan itu pada pemilihan parti Disember ini kerana masih belum mendapat gambaran sebenar sokongan akar umbi terhadapnya.
Beliau berkata sekalipun mendapat sambutan hebat setiap kali melawat pergerakan pemuda Umno bahagian, namun sambutan itu disifatkannya sebagai adat biasa bagi meraikan pemimpin yang datang.
"Masih terlalu awal untuk membuat keputusan," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Pemuda Umno Bahagian Temerloh di sini, Ahad.
Beliau berkata calon-calon lain yang menawarkan diri sebelum ini juga perlu menilai sokongan akar umbi terhadap mereka sebelum memutuskan untuk bertanding jawatan itu.
Khairy berkata beliau mungkin akan "mendapat ilham" bagi memutuskan untuk bertanding atau sebaliknya jawatan itu selepas menamatkan jadual perjumpaan dengan akar umbi seluruh negara pada 17 Julai depan.
Mengulas tentang laporan polis oleh seorang lelaki berusia 23 tahun di Balai Polis Travers, Kuala Lumpur yang mendakwa diliwat oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Jun lepas di sebuah tempat di ibu negara, Khairy berkata laporan itu mungkin hanya satu konspirasi pihak Anwar sendiri yang cuba meraih simpati masyarakat terhadapnya.
Khairy berkata bekas Timbalan Perdana Menteri itu sanggup melakukan apa sahaja taktik untuk menarik perhatian masyarakat kononnya beliau sedang menghadapi ancaman di negara ini.
"Kemungkinan Anwar sendiri yang menyuruh pembantunya itu supaya membuat laporan polis dan ini adalah satu taktik konspirasi beliau untuk meraih simpati orang ramai," katanya.
Khairy berkata biarlah pihak polis melakukan siasatan terperinci berhubung laporan berkenaan.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment