petikan: Harian Metro
VIENNA: Pertarungan merebut takhta Euro 2008 kini tertumpu kepada pertembungan dua pemain tengah antara Micheal Ballack dan Cesc Fabregas, mempertaruhkan kekuatan kapten Jerman itu dengan kelincahan pemain Sepanyol dalam penentuan final, awal pagi esok.
Jika Ballack dan rakan sepasukannya, Torsten Frings serta Thomas Hitzlsperger mampu menguasai perlawanan maka sejarah kemenangan Jerman akan kembali berulang, kali ini di Stadium Ernst Happel.
Bagaimanapun jika Fabregas, Xavi, Andres Iniesta dan jentera Sepanyol yang lain mampu menggempur dan memusnahkan keampuhan kubu lawan, maka penantian Sepanyol untuk meraih trofi selama 44 tahun akan berakhir.
Fabregas dilihat sentiasa mengisi bangku simpanan dalam kebanyakan perlawanan sepanjang laluan Sepanyol ke final tetapi selepas menampilkan aksi cemerlang sewaktu menggantikan penyerang, David Villa hingga membelasah Russia, 3-0 menjadikan pemain itu sebagai pilihan utama.
Jurulatihnya, Joachim Loew turut berpegang kepada matlamat kemenangan yang sama. “Kami mempunyai mentaliti juara dan akan membawanya ke final,” katanya mengenai misi Jerman meraih gelaran Eropah keempat selain memiliki tiga Piala Dunia.
Sepanyol yang beraksi dalam final pertama sejak 1984 dan memburu kemenangan kedua selepas kejayaan Euro 1964 di laman sendiri, menyedari cabaran yang perlu dihadapi mereka tetapi kini dengan keyakinan yang semakin bertambah selepas berjaya melepasi halangan apabila sering tewas di peringkat suku akhir dalam mana-mana kejohanan besar.
“Jerman adalah Jerman dan mereka dilihat mampu menang biar siapa pun yang diturunkan,” kata jurulatih Sepanyol, Luis Aragones.
“Bagaimanapun kami bukan pasukan yang mudah ditentang, terutamanya dengan corak permainan pantas yang dimiliki,” katanya.
Setiap pasukan dijangka hanya menurunkan satu penyerang iaitu Fernando Torres bagi Sepanyol dan Miroslav Klose mewakili Jerman yang menjaringkan dua gol dalam dua perlawanan terakhirnya, memikul tanggungjawab lebih besar berbanding pemain tengah.
Gandingan dua pemain Jerman, Bastian Schweinsteiger dan Lukas Podolski dengan jumlah lima gol yang dijaringkan, mampu menjadi ancaman baik sebagai penggerak mahupun penyudah.
Jentera Sepanyol turut memiliki momentum tambahan, apabila mula membentuk lima pemain barisan tengah yang lebih mantap selepas Villa selaku penjaring terbanyak kejohanan cedera dalam separuh masa pertama yang hampir pasti terlepas peluang ke final, Khamis lalu.
Sejak sepak mula menentang Russia, Sepanyol dilihat lebih berbisa berbanding ketika menentang Itali di mana kehadiran Fabregas memberi sentuhan istimewa apabila menyertai pasukan utama.
Mereka mungkin berpeluang untuk memenangi perlawanan itu sekiranya berjaya menembusi empat pemain di barisan pertahanan Jerman.
Ancaman berterusan Klose memberikan cabaran berbeza buat pasukan lawan tetapi pertahanan Sepanyol juga dilihat semakin kemas dengan kemampuan bek tengah Carles Puyol mampu mengesan sebarang bahaya manakala penjaga gol Iker Casillas mengawal ketat kubu Sepanyol. -Reuters
No comments:
Post a Comment