Saturday, July 12, 2008

EZAM MERACAU!

Petikan: Laman Marhaen
Oleh
Zulfazdli Md Noordin

Salam sejahtera kepada semua teman seperjuangan. Terpanggil saya menulis adalah untuk rasa hati yang memberontak kesan tuduhan serta lemparan kata nista serta cerca daripada AHLI UMNO CAWANGAN DI BAHAGIAN PETALING JAYA, Ezam Md Nor satu-satunya anak Pak Md Nor yang bernama Ezam.

Kehairanan saya timbul kerana setiap hari batang tubuh yang bernama Ezam makin menjadi-jadi cabarannya umpama kata orang tua-tua bagai 'murai tercabut ekor'. Mengelabah, meracau, merapu & melalut seperti orang yang mabuk. Kenapa yang dia sibuk setiap kali mengajukan cabaran seperti dalam Buletin 1.30 TV3 suku sebentar tadi? Kenapa dia mahu menjadi jaguh tatkala semasa dalam PKR dahulu maki hamun kepada UMNO terutama kepada insan-insan yang menuduh Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang peliwat. Teringat taklimat semalam bersama seluruh kepimpinan PKR Bahagian & AJK Perhubungan & AMK Negeri Pulau Pinang apabila Dr Mansor Othman MPT keADILan pusat yang menjawab soalan salah seorang hadirin dalam taklimat. Jawapan Dr Mansor cukup ringkas, 'saya tak mahu komen biarlah anda semua nilai sendiri sebab kalau ceramah Ezam di pentas keADILan, saya pun tak gamak nak kata macam dia dok ceramah, kasar betul'

Bila disiarkan sebentar tadi dalam buletin 1.30 Ezam kata jangan sampai dia bersumpah mendedahkan siapa Anwar Ibrahim jika dia dihina mendapat jutaan ringgit kerana menyertai UMNO keluar dari mulut Anwar atau pun Wan Azizah. Terfikir sejenak, aku keliru, bab sumpah ni bagi manusia yang bernama Ezam sudah menjadi kebiasaan. Keluarkanlah CD Ceramah Ezam dulu-dulu, bukan takat Sumpah Keramat atau Sumpah Seranah lain tapi menyumpah dengan UMNO sampai satu tahap kepada AHLI UMNO kena tanya la kepada Ezam. Jangan tanya Ezam 'Apa Yang U Maki Umno' tapi tanya dia 'Apa Lagi Yang U Tak Kata Kat UMNO' masa dalam PKR. Habis sumpah seranah & ucapan yang keluar dari mulut Ezam hingga waktu itu anak muda menjadikan dia sebagai ikon keberanian menentang kezaliman pemerintah.

Kenapa nak tunggu keluar dalam mulut Anwar atau Wan Azizah? Untuk pengetahuan Ezam, saya sempat berjumpa dengan teman seperjuangan anda dulu dari Pulau Pinang, sekarang ini mereka ialah Exco Angkatan Muda Malaysia iaitu saudara Amizudin Ahmat & saudara Zulkifli Ibrahim, bagaimana respon Dato' Seri Anwar berkenaan isu Ezam sibuk nak cabar Anwar. Jawapan Anwar cukup untuk menjawab cabaran daripada Ezam, Anwar maklumkan 'Biar la, dia nak belajar macam mana politik. Banyak lagi agenda kita kepada rakyat'. Terfikir pula saya, bila Ezam mengatakan bahawa nak tunggu keluar dari mulut Anwar nak sentuh berkenaan nama EZAM. Buang masa Ezam nak tunggu, bukan Anwar sahaja bahkan ramai kalangan pimpinan pusat termasuklah Din & Zul yang Ezam kenal cukup rapat dengan mereka ini pun tak pernah nak usik atau menghina Ezam.

Saya juga mendapat tahu bahawa AMK Pusat pernah membangkitkan isu berkenaan cabaran & keceluparan saudara. Sekali lagi saudara diselamatkan oleh saudara Amizudin, Zulkifli, Abd Rahman & beberapa lagi teman Exco untuk tidak membincangkan mengenai Ezam sehingga mereka telah membuat keputusan abaikan dari melayan karenah kebudak-budakan Ezam dengan menumpu kepada misi pembangunan membawa agenda rakyat serta memperkasakan parti. Saya rasakan ada dua kemungkinan tindakan itu dibuat, sama ada Exco AMK Pusat masih sayangkan Ezam sebab itu mereka tidak mahu pukul habis-habisan Ezam dalam pentas politik ataupun Exco AMK Pusat tidak pernah menganggap kewujudan Ezam di pentas politik.

Andaikan anggapan kedua betul, Ezam perlu rasa malu & sedar bahawa tindakan Ezam cuba mencari publisiti glamour atau cubaan menjadi jaguh dengan menonjolkan diri dalam media-media bak kata pepatah hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. Sedarkah Ezam, bukan sahaja AHLI UMNO yang meluat dengan tingkah laku Ezam bahkan saya sempat dihubungi teman lama yang saya cukup yakin tidak mengikuti perkembangan politik dari dekat tiba-tiba menghubungi saya & memaki hamun kepada manusia yang bernama EZAM MD NOR.

Saya cukup berpuas hati sikap kematangan politik AMK Pusat yang 'Ignore' saja segala tohmahan serta cabaran EZAM, tetapi yang paling penting Anwar tidak memberi respon kepada EZAM membuatkan dia tidak setaraf dengan Pimpinan parti di semua peringkat di pusat. Layak saya samakan taraf EZAM dengan AJK WANITA KeADILan BAHAGIAN. Nasihat saya kepada Ahli UMNO sahaja, pada EZAM tak guna nasihat sebab dia ego, penting diri, menipu, hipokrit, tak malu dan banyak lagi.

Tanyakan kepada EZAM
Catatan : A.J.E. bermaksud 'Adakah Jawapan Ezam'

1.Mana dia 6 kotak rasuah pemimpin UMNO yang ada ditangan anda?
A.J.E:Saya cakap sebab Anwar cakap ada pada dia, jadi tanyala Anwar.

2.Kami tahu skandal Rafidah berkaitan saham & AP,kenapa EZAM masuk UMNO?
A.J.E:Saya yakin kepimpinan DS Abdullah & DS Najib yang menunjukkan komitmen menanggani rasuah yang tidak pernah di lakukan mana-mana pemimpin negara.

3.Dato Seri Anwar Ibrahim masa jadi pemangku dia terus pinda akta rasuah itu bukan saja komitmen tapi pelaksanaan membenteras rasuah?
A.J.E:Itu dulu, dia pun bukan bersih, saya tahu siapa Anwar saya tak nak aibkan

4.Jawab soalan saya,kalau nak ikut komitmen lawan rasuah,Anwar dah tunjukkan. Kenapa masih pilih UMNO?
A.J.E:Macam saya kata tadi la, saya yakin dengan perubahan DS Abdullah

5.Dalam PKR dulu saudara selalu tak sehaluan dengan Pimpinan sama ada dlm kalangan pemuda itu sendiri Saifuddin, Saiful Izham, Lokman sehingga Azmin Ali?
A.J.E:Saya tegur cara mereka ini juga di ajar dalam islam, kalau mereka tak mahu dengar tak guna saya jadi ketua pemuda PKN, baik saya tumpu pada agenda rakyat. UMNO pilihan saya.

6.Tetapi pertembungan saudara membuatkan org lain terlibat sama. Contoh dulu Cikgu Bard tak ada masalah dengan Saifuddin & Azmin tapi kerana pertahankan saudara dia bertembung dengan Saifuddin & Azmin?
A.J.E:Saya tak minta dia bertembung kerana saya, biar saya dah la berdepan

7.Saya dengar dakwaan Amizuddin Ahmat Exco Kanan AMK Pusat mengenai saudara bukan seorang pejuang tetapi pekerja kerana sepanjang dalam keADILan saudara di biayai sehinggakan Ezam & Isteri dibiayai ke mekah tahun sudah?
A.J.E:Tak betul, itu semua fitnah pada saya.Saya ke mekah pun duit hasil simpanan saya selama 10 tahun.

8.Sejak masuk UMNO ni, lain sungguh jawapan saudara ya? Dah lama buat keja menipu ni? Semua soalan saya langsung tak menunjukkan jawapan sebenar.
A.J.E:Saya tak pernah bohong, saudara tak tahu yang Anwar tu kaki liwat, tapi saya tak mahu aibkan dia, saya ada bukti.

Oleh itu, saya cabar saudara EZAM untuk buktikan siapa dia Anwar? Tak perlu bagi alasan 'JIKA' keluar dari mulut Anwar atau Wan Azizah sebab Ezam masuk UMNO kerana habuan jutaan ringgit. Jangan gunakan alasan 'tak mahu aibkan' sebab dulu tiada istilah tersebut sewaktu saudara londeh Mahathir, londeh anak menantu Paklah, londeh Najib-Rosmah, londeh Hishamuddin Hussien Onn, londeh Khir Toyo & kami tak lupa langsung apa yang kamu dakwa pemimpin pada UMNO. Sebab tu saya mahu anda jumpa EZAM tanya dia 'ADA APA LAGI YANG DIA TAK KATA PADA UMNO' semasa dalam PKR? Dulu kata PKR jangan cabar saya, sekarang kata pula, 'JIKA' Anwar & Wan Azizah desak. Belit-belit la lu Ezam.

Anwar, Wan Azizah & seluruh kepimpinan pusat tak ada masa nak layan bincang isu anda, jadi saya buka gelanggang EZAM buktikan siapa ANWAR supaya demi AQIDAH kami layak tahu kerana kami adalah orang yang akan pertahankan insan di zalimi bukan sahaja pada Anwar. Buktikan, buktikan & buktikan jangan hanya tahu menyalak macam anjing salak bukit. Kamu penipu besar, benarlah kata-kata Lokman Noor Adam sebelum ini mengenai EZAM. Iaitu PEMBOHONG!!!

(penulis adalah Timbalan Ketua AMK bahagian Bayan Baru, Pulau Pinang)

12.07.2008

Khaled Nordin tawar diri bertanding Naib Presiden UMNO

Petikan: Utusan Online

12/07/2008 5:58pm

JOHOR BAHRU 12 Julai - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti Disember ini.

Menteri Pengajian Tinggi itu berkata, beliau bersedia untuk bertanding jika mempunyai cukup pencalonan daripada bahagian-bahagian UMNO dari seluruh negara.

"Saya tidak menghalang mana-mana bahagian mencalonkan saya untuk jawatan Naib Presiden UMNO dan saya tidak akan berkecil hati kalau orang lain yang menang nanti kerana apa yang penting sekarang ialah memperkukuhkan UMNO," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis perasmian berkelompok Persidangan UMNO Cawangan-Cawangan dan Taklimat UMNO Bahagian Pasir Gudang di Plentong di sini hari ini.

Terima Anugerah Kebesaran Pulau Pinang; Datin Seri Wan Azizah kini bergelar Datuk Seri

datuk-sri-utama.jpg

Suara Keadilan.Com - Sumbangan dan ketokohan Presiden KeADILan Dr Wan Azizah Wan Ismail diabadikan dalam sejarah negara apabila beliau dikurniakan darjah kebesaran Pulau Pinang: Darjah Panglima Pangkuan Negeri sempena Ulangtahun Yang Dipertuan Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas.

Di rasmikan dalam suatu majlis sambutan ulangtahun pada Sabtu 12 Julai, anugerah yang dikurniakan kepada Dr Wan Azizah Wan Ismail itu membawa gelaran Datuk Seri.

Dr Wan Azizah Wan Ismail, isteri kepada mantan Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, menjadi ikon gerakan reformasi selepas suaminya dipecat dan dihukum atas tuduhan rasuah dan sodomi pada 1998. Mengepalai jutaan rakyat menuntut reformasi di seluruh negara, Dr Wan Azizah Wan Ismail diangkat sebagai Presiden Parti Keadilan Nasional (Adil) yang ditubuhkan pada 1999, dan seterusnya Parti KeADILan Rakyat pada 2002.

Dalam Pilihanraya Umum 1999, Dr Wan Azizah memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh. Beliau bertahan dan berjaya mengekalkan kerusi Permatang Pauh dalam PRU 2004, ketika teman-teman seperjuangannya rebah satu-persatu disapu kebangkitan politik Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi.

Keseorangan, beliau terus cekal membawa suara rakyat bersama-sama rakan-rakan politik dari Pas dan DAP.

Pada PRU12 yang lalu, Dr Wan Azizah sekali lagi membuktikan bahawa hasrat BN merampas Permatang Pauh dari tangannya adalah angan-angan semata-mata. Beliau mengekalkan kerusi Parlimen itu, bahkan menambahkan majoriti undi dari 590 kepada 13,388 undi.

Dr Wan Azizah Wan Ismail - tokoh, profesional, ibu dan isteri - diberi penghormatan oleh rakan-rakan Pakatan Rakyat selaku Ketua Pembangkang di Parlimen. Perlantikan beliau melakar satu lagi sejarah, menjadikannya wanita pertama dilantik Ketua Pembangkang di negara ini.

Warga Editorial Suara Keadilan mengucapkan tahniah kepada Dr Wan Azizah Wan Ismail. Moga Allah memberi ketabahan dan kekuatan kepada beliau mengharungi ombak badai politik mutakhir ini.

Parlimen ditutup pada orang ramai Isnin ini

Petikan: MalaysiaKini
Jul 12, 08 5:24pm

Kesemua anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat dinasihatkan supaya tidak membawa tetamu mereka ke kawasan Parlimen seperti yang dibenarkan sebelum ini pada persidangan Dewan Rakyat Isnin ini.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata langkah keselamatan itu terpaksa diambil selepas beliau mendapat maklumat satu demonstrasi besar-besaran akan diadakan oleh pihak pembangkang sama ada di dalam ataupun di luar kawasan Parlimen, Isnin ini.

wan azizah and pakatan rakyat parliament motion of no confidence on pak lah 100708Ia ekoran tindakan Ketua Pembangkang Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail mengetuai 14 ahli Parlimen pembangkang mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kepada Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, yang akan memutuskan sama ada menerima atau menolak usul itu, Isnin ini.

"Saya difahamkan, sama ada usul ini akan diterima ataupun ditolak, saya telah mendapat maklumat satu demonstrasi besar-besaran akan dibuat sama ada di dalam atau di luar kawasan Parlimen, Isnin ini," katanya.

Nazri berkata pihak polis akan membuat kawalan yang ketat dan hanya akan membenarkan ahli Parlimen sahaja masuk ke dalam kawasan Parlimen, demikian menurut laporan Bernama.

"Saya telahpun menghubungi Speaker memaklumkan
tentang tindakan yang saya ambil ini, semata-mata untuk keselamatan ahli-ahli Parlimen dan juga kawasan Parlimen.

Terpulang pada polis

"Keselamatan Anggota-anggota Parlimen dan keselamatan kawasan Parlimen adalah diutamakan dan kita tidak mahu apa-apa perkara yang tidak diingini berlaku dalam kawasan Parlimen," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan penduduk di Kampung Ngok, Beluru di Kuala Kangsar hari ini.

nazri abdul aziz looking to the rightDitanya sama ada pihak media yang membuat liputan akan turut terjejas dengan langkah keselamatan tersebut, Nazri berkata perkara itu adalah terpulang kepada pihak polis.

"Media, memanglah mereka bertugas. Jadi apa juga tindakan yang diambil oleh pihak polis itu terpulang kepada budi bicara mereka kerana akhirnya polis yang bertanggungjawab di atas keselamatan di kawasan itu," katanya.

Beliau berkata orang ramai juga tidak akan dibenarkan memasuki kawasan Parlimen pada Isnin ini kecuali mereka yang perlu hadir kerana bertugas.

Mohamed Nazri berkata sama ada langkah keselamatan tersebut akan dilaksanakan pada Isnin ini ataupun hari-hari berikutnya adalah bergantung kepada maklumat-maklumat yang diperolehi pihaknya mengenai perkara tersebut.

Ditanya sama ada langkah keselamatan itu berkemungkinan akan menyebabkan ahli Parlimen pembangkang memboikot sidang Dewan Rakyat Isnin ini, Mohamed Nazri berkata, "dia nak boikot, boikotlah... itu dia punya hal lah tapi saya nak bagi nasihat kepada mereka supaya jangan membawa lima orang tetamu itu kerana polis akan membuat kawalan ketat," katanya.

Usul tidak percaya: Wan Azizah alu-alukan lebih banyak sokongan

Petikan: mStar Online
12-07-2008 07:32:55 PM


PULAU PINANG:
Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengalu-alukan lebih banyak Anggota Parlimen daripada Barisan Nasional untuk menyokong usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Katanya, beliau tidak mengharapkan suatu perubahan dalam kerajaan, sebaliknya perwakilan bagi suara rakyat didengar di Parlimen.

"Proses itu tidak akan membabitkan sebarang pengundian dan kami tidak akan memfailkan usul itu buat kali kedua sekiranya Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak memberi kebenaran kali ini," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menerima Darjah Utama Pangkuan Negeri (DUPN), yang membawa gelaran "Datuk Seri Utama", sempena sambutan ulang tahun ke-70 Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas di sini hari ini.

Dr. Wan Azizah berkata, beliau menyerahkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk menerima usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

Usul itu disokong oleh dua Anggota Parlimen daripada Parti Maju Sabah (SAPP) iaitu Datuk Eric Enchin Majimbun (Sepanggar) dan Datuk Dr Chua Soon Bui (Tawau).

Khamis lepas, Dr. Wan Azizah memfailkan usul tergempar undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri di Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Jika diterima, usul itu, yang difailkan mengikut Peraturan Mesyuarat 18(1) and 18(2), akan didengar dan diputuskan Isnin ini.

Tiada pengundian akan dibuat memandangkan usul itu hanya akan dibahaskan. BERNAMA

Pelan serah kuasa 2010 gagalkan pakatan Najib-Muhyiddin?

Petikan: mStar Online
12-07-2008 06:40:25 PM

PORT DICKSON: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mendedahkan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membentuk satu pakatan untuk merebut dua jawatan tertinggi parti pada pemilihan Disember ini.

Bagaimanapun ia tidak menjadi kenyataan dengan pengumuman pelan peralihan kuasa 2010 membabitkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Najib yang diumumkan kelmarin.

Kata Dr. Mahathir, beliau difahamkan bahawa Najib, Timbalan Perdana Menteri, sepatutnya mencabar Abdullah yang telah memutuskan untuk mempertahankan kerusi Presiden manakala Muhyiddin, Naib Presiden pula merebut jawatan Timbalan Presiden.

"Saya diberitahu kerjasama ini telah dipersetujui secara lisan oleh kedua-dua mereka. Malah, penyokong-penyokong mereka juga sudah mula berkempen untuk menjayakan kerjasama Najib-Muhyiddin," kata beliau.

"Bagaimanapun Najib telah memungkiri ini (pakatan) apabila terperangkap dengan langkah Abdullah dalam soal peralihan kuasa," kata beliau kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan di Port Dickson Golf and Country Club di sini.

Majlis itu dianjurkan oleh Kelab Alumni Sek Bukit Saujana, Persatuan Anak Keturunan Jawa Port Dickson dan Perwaris Perkembar Port Dickson.

Kelmarin Abdullah mengumumkan pelan peralihan kuasa dalam UMNO dengan beliau akan bersara pada Jun 2010 dan menyerahkan kedudukannya kepada Najib.

Ahli-ahli Umno menerima perkembangan itu dengan pendirian bercampur aduk.

Abdullah dan Najib masing-masing dipilih ke jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno tanpa cabaran pada 2004.

Dalam reaksinya, Muhyiddin, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, sesetengah pihak berpendapat tempoh peralihan jawatan dalam Umno yang dirancang pada 2010 adalah terlalu lama.

"Ada yang menyatakan kebimbangan kalau tempoh sepanjang itu keadaan tidak akan bertambah meyakinkan. Ini hal-hal yang perlu ambil kira," katanya.

Oleh yang demikian, katanya, ada anggota parti yang berpendapat adalah lebih baik anggota-anggota parti sendiri yang memutuskan soal kepimpinan parti.

Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah pula menyifatkan langkah Abdullah mengumumkan pelan peralihan kuasa pada pertengahan 2010 dan bertanding sebagai Presiden UMNO merupakan satu langkah yang silap.

Ketika ditanya sama Najib atau Muhyiddin ada memberitahu beliau mengenai perkara itu, Dr. Mahathir berkata, mereka tidak memaklumkan kepadanya.

"Saya ada orang saya sendiri yang memberitahu saya perkara ini dan saya pasti perkara ini benar," katanya.

Dr. Mahathir menambah, keputusan Najib untuk tidak meneruskan hasrat beliau merebut jawatan Presiden juga telah menjejaskan imej dan kredibiliti beliau.

Ramai yang menganggap ini merupakan cara terbaik untuk memulihkan Umno tetapi Najib telah menggagalkan langkah Muhyiddin, kata bekas Presiden Umno itu.

Kata Dr. Mahathir, Najib mempunyai kelebihan jika beliau memutuskan untuk mencabar Abdullah.

Sehubungan itu katanya, kini ada kemungkinan Muhyiddin akan bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Malah Muhyiddin, katanya, mempunyai peluang untuk menang jika menentang Najib.

"Jika Muhyiddin menang dan menjadi Timbalan Presiden, adakah Abdullah masih memberi laluan kepada Najib menjelang Jun 2010," katanya.

Dr. Mahathir memberitahu, Umno kini dilanda budaya "saya sokong anda, anda sokong saya."

Katanya, Abdullah mesti menyerahkan kuasa sekarang memandangkan Najib memerlukan masa untuk memimpin negara mengikut pendekatannya.

"Tempoh dua setengah tahun sebelum pilihan raya umum akan datang tidak cukup. Ia hanya akan menyebabkan kekalahan lebih buruk kepada Barisan Nasional dan Umno," katanya.

NAJIB YAKIN KEPADA SISTEM V

Petikan: Laman Marhaen


Najib dilaporkan sudah bersumpah nafi mengenali altantuya. Kini tinggal dia dengan Tuhan.

Alangkah eloknya kalau Najib juga bersumpah nafikan setiap satu apa yang ditulis dalam akuan bersumpah RPK yang melibatkan namanya itu.

Dilaporkan juga pemimpin-pemimpin kanan UMNO tepuk tangan sebagai tanda yakin kepada sumpah Najib. Tetapi adakah Najib dan pemimpin UMNO yakin kepada sistem bahawa sumpah yang dibuat dalam mesyuarat UMNO itu valid atau tidak samada dalam kontek agama atau undang-undang Negara yang diamalkan?.

Adakah Najib yakin sumpahnya itu sebahagian dari sistem rasmi yang diamalkan dalam Negara?

Laporan bersumpah RPK dilapor dan dibuat mengikut sistem yang diamalkan sekarang. Kalau sumpah Najib itu tidak dilakukan mengikut sistem bagaimana ia boleh nafikan laporan bersumpah RPK?.

Apa yang dikhuatirkan ialah amat malang jika setiap keputusan yang dibuat dalam mesyuarat UMNO dikira sebagai sebahagian dari sistem negara. Atau inikah yang dimaksudkan oleh Najib apabila dia menyebut bahawa dia yakin pada sistem?

Dalam kes yang lebih besar lagi dan hangat kini ialah peralihan kuasa dari Abdullah ke Najib yang diumum oleh Abdullah akan berlaku pada pertengahan 2010. Nampaknya trend ini sudah dijadikan sebahagian dari sistem. Sistem yang diwarisi oleh Mahathir.

Nampaknya Mahathir bukan saja memunah ranahkan sistem kehakiman dan kepolisian Negara, tetapi hal-hal perlantikan Perdana Menteri pun turut terheret sama.

Sekali lagi adakah Najib yakin dengan sistem peralihan kuasa yang diperkenal oleh Mahathir kepada Abdullah itu kini terpakai kepadanya pula?.

Berdasarkan sejarah dan pemerhatian yang dapat dilihat, Mahathir tidak menyerah kuasanya selagi keselamatannya tidak terjamin selepas kuasa diserahkan.

Sebaliknya kini apabila Mahathir dapat mengesan keselamatannya kurang terjamin lalu dia bertindak di luar dugaan seolah mengharamkan sistem yang diciptanya itu hingga memecat dirinya sendiri keluar UMNO.

Berdasarkan trend ini Abdullah juga tentulah akan menyerahkan kuasanya selepas merasa dirinya terjamin untuk berbuat demikian. Oleh yang demikian masa diperlukan oleh Abdullah untuk memastikan dirinya selamat sebelum menyerahkan kepada Najib.

Soalnya adakah proses ini berlaku di atas landasan yang dikatakan sebagai sistem yang rasmi sifatnya?

Bagi UMNO, mereka nampaknya menerima kedua-duanya – sumpah penafian najib dan peralihan kuasa itu sebahagian dari sistem. Soalnya adakah ia ditulis dimana-mana dalam bentuk dokumen sistem yang rasmi?

Ia disoal begini bukan kerana apa melainkan dibimbangi nasibnya jadi seperti kontrak sosial yang sehingga kini tidak ada apa-apa yang berbentuk rasmi dalam mana-mana sistem yang ada dalam Negara.

Sesuatu yang tidak bersifat sistem dan rasmi adalah dikhuatiri akan merugikan masa depan melayu dalam jangkamasa panjang dalam ‘tanah air’ mereka sendiri.

Muramatsu
Grenoble Cedex, France

Mangsa binatang

Petikan: Harian Metro

Oleh Efindi Badarudin, Sarah Zulkifli, Intan Mas Ayu Shahini dan Omar Osman


SUNGAI PETANI: “Hampir setiap inci tubuhnya, termasuk bahagian mata dan pipi terdapat kesan lebam serta bengkak, manakala kepala cedera teruk.

“Saya dan suami serta ahli keluarga sangat terkejut serta tak percaya melihat keadaan fizikal mayat arwah. Bagi saya, kecederaan dialami arwah bukannya dilakukan manusia, sebaliknya binatang,” kata Tengku Rohani Tengku Ayob, 52, ibu kepada Megat Mohd Amirul Adha Sobri, 22, yang mati dipercayai didera di sebuah pusat pemulihan di Kajang pada 26 Jun lalu

Tengku Rohani berkata, hatinya hancur dan sayu sebaik menatap tubuh anak lelaki daripada dua beradik itu di rumah mayat Hospital Ampang, Selangor.

Menurutnya, mereka yang melakukan perbuatan itu memang kejam dan tidak berhati perut.


“Apa yang dilihat pada seluruh tubuh arwah adalah penderaan amat zalim dan kami tidak boleh menerima perbuatan itu.

“Saya tidak menyangka keadaan bertukar sebaliknya kerana ketika Megat dihantar lebih sebulan lalu, fizikalnya sihat serta tidak menghidap sebarang penyakit.

“Saya akan tuntut pembelaan sewajarnya atas setiap titik darah, peluh dan jeritan azab kesakitan yang ditanggung arwah,” katanya.

Tengku Rohani tidak dapat menahan sebak ketika menceritakan nasib malang menimpa arwah anaknya kepada wartawan Harian Metro di rumahnya di Taman Sejati Indah, dekat sini, semalam.

Megat Mohd Amirul Adha meninggal dunia dipercayai didera di pusat pemulihan yang dikendalikan pihak swasta itu.

Doktor yang melakukan bedah siasat mengesyaki mangsa mati akibat didera kerana terdapat kesan lebam dan kecederaan di seluruh tubuhnya lalu membuat laporan polis.

Tengku Rohani berkata, sebagai ibu yang melahirkannya, dia reda dengan kematian arwah, tetapi terkilan serta sukar menerima cara kematiannya akibat diperlakukan begitu ganas dan kejam.

“Saya juga sedih apabila seorang daripada pelatih pusat pemulihan itu yang diselamatkan pada 6 Jun lalu memberitahu, arwah merayu-rayu meminta nyawa daripada ustaznya ketika dipukul kerana sedang berpuasa.

“Malah, pelatih itu juga memberitahu, sepanjang di pusat itu, arwah sering menjadi imam dan mengajar pelatih membaca al-Quran serta mengadakan tazkirah waktu malam.

“Saya berharap dengan pendedahan mengenai arwah, kejadian seperti itu tidak berulang lagi,” katanya.

Dia juga menyerah sepenuhnya kepada polis bagi mengambil tindakan terhadap individu terbabit selain mahu pihak berkuasa membongkar segala yang berlaku di rumah pemulihan berkenaan.

“Bagi memastikan kes arwah mendapat pembelaan sewajarnya, saya melantik peguam bagi mengawasi kes itu serta mengambil tindakan undang-undang ke atas pentadbir rumah pemulihan itu,” katanya.


Massa terpantas, Fisichella terbabas

Petikan: Utusan Online


LONDON - Pemandu Ferrari, Felipe Massa telah mencatat masa terpantas kelmarin dalam sesi latihan terakhir Formula Satu (F1) bagi persiapan Grand Prix Jerman minggu depan di Hockenheim, sementara Giancarlo Fisichella yang memandu untuk Force India terlibat dalam kemalangan.

Ketika ini, pemandu dari Brazil itu, mengumpul 48 mata bersama juara dunia yang juga rakan sepasukannya Kimi Raikkonen dan pemandu McLaren, Lewis Hamilton dalam separuh perlumbaan musim ini dan merupakan satu-satunya pemandu yang mencatatkan masa 1 minit 15 saat, manakala masa terbaik ialah 1 minit 14.989 saat.

''Ia merupakan hari yang paling baik. Kami telah melakukan banyak percubaan dan saya perlu mengatakan bahawa kereta berada dalam keadaan terbaik. Ini bermakna kami juga mampu untuk memberi saingan di dalam litar ini, yang juga menjadi sasaran utama bagi pesaing kami,'' kata Massa.

Massa yang memenangi tiga perlumbaan musim ini, telah mendahului senarai pemandu keseluruhan sebelum perlumbaan minggu lepas di Gran Prix Britain di Litar Silverstone di mana dia terbabas sebanyak lima kali di atas permukaan litar basah dan menamatkan perlumbaan di tempat yang ke-13.

Pemandu Britain, Jenson Button yang memandu jentera Honda telah mencatatkan masa kedua terpantas 1 minit 15.081 saat dalam cuaca yang cerah dan panas, sementara pemandu McLaren, Heikki Kovalainen mencatat masa ketiga terpantas, 1 minit 15.289 saat.

Sesi tersebut terpaksa dihentikan selepas pemandu Itali, Fisichella, yang terlibat dalam pelanggaran pada sesi ujian di Silverstone bulan lepas, melanggar dinding.

''Bahagian belakang kereta mengalami masalah dan saya hilang kawalan terus melanggar dinding litar.

''Kereta saya telah melintasi litar dan tiada ruang untuk saya mengelak dari terus melanggar dinding. Saya tidak mendapat sebarang kecederaan tetapi kereta mengalami kerosakan yang teruk,'' katanya.

Pasukan Toyota yang berada ditempat keempat untuk kategori pengeluar selepas perlumbaan di Silverstone, telah menguji enjin 'sirip jerung' terbaru sebelum menukarkannya kepada enjin standard.

- Reuters

Bekas penuntut saman UiTM

Petikan: Utusan Online


SHAH ALAM 11 Julai - Seorang pegawai pemasaran dan jualan sebuah syarikat perakaunan yang mendakwa terjatuh dari aras ketinggian enam meter di kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini dua tahun lalu, hari ini memfailkan saman di Mahkamah Tinggi untuk menuntut ganti rugi daripada UiTM atas dakwaan cuai.

Nur Fairuzah Amat @ Saini, 26, yang menamakan UiTM sebagai defendan memfailkan writ saman melalui peguam Keppy Wong di pejabat pendaftar mahkamah itu di sini pada pukul 10 pagi ini.

Plaintif dalam pernyataan tuntutannya mendakwa pada 21 Mei 2006, beliau telah hadir ke Bangunan Menara Sultan Abdul Aziz Shah di UiTM untuk mengambil jubah bagi tujuan menyertai upacara raptai konvokesyen sempena tamat pengajian sepenuh masa program ijazah dalam bidang perakaunan.

Ketika berada di tingkat dua di persekitaran lobi lif, plaintif mendakwa telah terlanggar sesuatu yang menyebabkannya terjatuh dari balkoni ke tingkat bawah.

Plaintif mendakwa pentadbir bangunan UiTM yang ketika itu dalam proses pengubahsuaian telah gagal meletakkan sebarang notis amaran, papan tanda mahupun sebarang bentuk halangan bagi mengelakkan kawasan tersebut dihampiri.

Nur Faizurah mendakwa, pagar besi yang mengelilingi balkoni tersebut telah dialih untuk kerja-kerja pembinaan.

Ekoran kejadian itu, plaintif mendakwa telah menjalani pembedahan di bahagian tulang belakang di sebuah pusat perubatan swasta dengan kos RM32,256.94.

Beliau mendakwa dirinya perlu menjalani pembedahan kedua pada Mac lalu dengan anggaran kos RM60,000.

Menurut plaintif, beliau telah menuntut supaya UiTM membiayai semua kos perubatannya namun defendan telah mengarahkan kontraktor pembinaan berbuat demikian.

Kontraktor terbabit didakwa hanya membayar RM20,000 dan enggan membiayai perbelanjaan berikutnya. Sehingga ke hari ini, plaintif mendakwa masih berhutang dengan pusat perubatan itu.

Justeru, plaintif menuntut ganti rugi khas RM13,256.99 dan ganti rugi am yang akan ditaksirkan, faedah dan kos serta relif lain yang difikirkan perlu dan wajar oleh mahkamah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...