Informasi didalam blog ini adalah daripada sumber-sumber berita media internet.Sebarang komen @ pendapat, sila email ke cardozas02@gmail.com
Thursday, July 24, 2008
BPR Ambil Keterangan Daripada Empat Pemandu Exco Kerajaan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 24 Julai (Bernama) -- Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah mengambil keterangan daripada empat pemandu Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu berhubung kos penyenggaraan Proton Perdana V6 Executive yang terlalu tinggi.
Enam pegawai BPR berkenaan telah datang ke Wisma Darul Iman, pusat pentadbiran kerajaan Terengganu, sejak petang semalam dan pagi tadi bagi mengambil dokumen-dokumen berkaitan untuk diteliti.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong mengesahkan perkara itu tetapi enggan mengulas lanjut mengenainya.
"Saya mengesahkan pegawai BPR telah mengambil keterangan daripada empat pemandu Exco berhubung perkara berkenaan dan pada hari ini mereka selesai berbuat demikian kira-kira pukul 1.15 tengah hari tadi," katanya kepada pemberita di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Bagaimanapun, difahamkan pegawai BPR berkenaan turut mengambil keterangan daripada pegawai-pegawai kanan di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.
Dua hari lepas, pejabat Menteri Besar Terengganu dalam satu kenyataan memberitahu, kerajaan negeri itu terpaksa membayar kos yang tinggi untuk menyenggara kereta nasional itu sejak 2004 hingga sekarang.
Kos senggaraan yang tinggi itu dijadikan alasan oleh Menteri Besar Datuk Ahmad Said bagi meluluskan pembelian 14 buah kereta Mercedes E200 Kompressor sebagai kenderaan rasmi Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri itu.
Pembelian kereta Mercedes itu yang berharga RM245,000 sebuah adalah untuk kegunaan 10 Anggota Exco kerajaan negeri, sebuah untuk Speaker Dewan Undangan Negeri dan tiga lagi untuk Setiausaha Kerajaan, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-Undang negeri.
Ketika ditanya sama ada BPR akan mengambil keterangan daripada beberapa individu lagi, Mokhtar berkata: "saya tidak tahu...(bagaimanapun) kerajaan negeri akan memberi kerjasama kepada BPR bagi memastikan siasatan kes ini berjalan lancar.
"Jika ada penyelewengan, kerajaan negeri tiada mempunyai masalah dengan BPR untuk mengambil tindakan," katanya.
Beliau menjelaskan kereta Proton Perdana V6 Executive itu, telah dihantar sendiri oleh pemandu exco atau pegawai kanan kerajaan negeri itu untuk diselenggara di bengkel-bengkel yang dilantik dan pihaknya akan membuat bayaran berdasarkan tuntutan yang dikemukakan.
Mokhtar berkata setiap exco kerajaan negeri mempunyai dua pemandu iaitu seorang yang merupakan kakitangan tetap dan seorang lagi yang dilantik sendiri oleh mereka secara kontrak.
Beliau berkata kerajaan Terengganu akan terus menggunakan kereta Mercedes E200 Kompressor sementara menunggu surat rasmi daripada Kabinet berhubung arahan tidak membenarkan penggunaan kereta berkenaan sebagai kenderaan rasmi kerajaan negeri.
"Sebanyak 15 buah kereta Proton Perdana V6 Executive exco dan pegawai kanan kerajaan negeri itu masih digunakan untuk kegunaan bersama (pool)," katanya.
-- BERNAMA
Kajian Kadar Tol Dalam Peringkat Akhir, Kata Mohd Zin
KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya kini dalam proses akhir untuk mengemaskinikan segala data mengenai kajian menyeluruh tentang terma perjanjian sedia ada dengan syarikan konsesi tol bagi mengurangkan atau memansuhkan kadar tol di seluruh negara.
"Kita dalam peringkat mutakhir mengemaskinikan segala data dan kita telah buat beberapa opsyen serta satu unjuran trafik yang baru yang berasaskan kepada kapasiti infrastruktur yang sedia ada.
"Kita juga kaji apakah kalau kita bagi pengurangan tol, apakah nilai syarikat konsesi tanggung untuk hari ini dan apakah nilai tanggungan pada masa depan," kata Menterinya Datuk Ir Mohd Zin Mohamed dalam wawancara 60 Minit Bersama Menteri yang disiarkan di RTM 1 Rabu malam.
Kementerian katanya telah menubuhkan satu jawatankuasa khas, Jawatankuasa Kajian Kadar Tol yang diketuai oleh pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan menjemput pakar akademik, pakar perunding serta firma yang berpengalaman tentang perjanjian konsesi untuk mengkaji dan menilai semula terma sedia ada.
Katanya beliau akan membentangkan kepada jemaah menteri hasil kajian itu dalam waktu terdekat sebelum keputusan muktamad dibuat.
Mohd Zin berkata kajian itu meliputi data trafik pada sesebuah lebuh raya dan juga bagaimana kutipan itu digunakan oleh pihak konsesi.
"Mana-mana perjanjian konsesi yang sedia ada saya menilai semula supaya mana-mana terma yang boleh dirunding semula kita akan ambil peluang supaya akhirnya pihak konsesi akan berdaya maju, rakyat akan mendapat keuntungan dan kerajaan tak tanggung bebanan terhadap infrastruktur ini," katanya.
Beliau berkata tumpuan kajian juga diberikan kepada pengguna yang bergantung kepada laluan lebuhraya bertol di kawasan bandar.
Mengenai pemberian 10 peratus daripada semua kontrak melebihi RM10 juta kepada kontraktor Kelas F, Mohd Zin mahukan polisi itu diteruskan supaya kontraktor itu terus meletakkan pembinaan sebagai karier dan bukan kerja sebagai sampingan.
"Tugas utama kita di kementerian yang berurusan dengan kontraktor ialah kita mahu mereka ini berjaya di tapak pembinaan walaupun menghadapi pelbagai tekanan.
"Sebagaimana Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), sektor pembinaan penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)" katanya.
Beliau berkata dalam Kajian Separuh Penggal RMK-9 itu industri pembinaan menyumbang 5.21 peratus daripada 6.1 peratus KDNK.
-- BERNAMA
Wednesday, July 23, 2008
Ahmad Said Nak Pekenakan Deris Jusoh.. BPR Kena Siasat
Antara Proton Perdana dan Idris Jusuh - Mana lebih punah?
Menteri Besar Terengganu tidaklah kata Proton Perdana itu tidak baik dan beliau juga tidak kata Mantan Menteri Besar Terengganu, Idris Jusuh tu kaki rasuah; cuma dia kata:
Kos menyenggara Proton Perdana V6 Executive yang dibayar oleh kerajaan Terengganu pernah mencecah RM175,229.97 dan RM132,357.76 sebuah untuk tempoh empat tahun.
Ini satu lagi tugas untuk BPR. Gani Patail jangan pula kata tidak cukup bukti sebab kerajaan negeri sedia mengemukakan bukti terperinci kos penyenggaraan dan kerosakan tersebut.
Walau apa pun alasan yang diberi , Ahmad Said ini bijak berpolitik – dia nak pekenakan Idris Jusuh ni!Bila beliau kata ‘tempoh empat tahun’ maknanya dia merujuk kepada era Idris Jusuh.
Sebelum ini dia sebut contoh kos membaiki Proton Perdana RM50 ribu sahaja .Tapi bila Najib dah buat komen tentang pembelian Merc dan orang bising pasal beliau boros bebelanja, `dan dah jadi isu besar,barulah didedahkannya kos yang pernah dibayar oleh kerajaan sewaktu Idris Jusuh yang menelan Ratusan ribu!
Kalau RM50 ribu pun orang marah, apakan lagi RM Ratusan Ribu!! Inilah liciknya Ahmad Said nak pekenakan Idris Jusuh!
Tetapi mesej sebenar yang beliau nak sampaikan ialah, Idris Jusuh tu dah punah langsung tak guna dibaiki lagi seperti mana Proton Perdana tu - mengabihkan duit aje!
PAS tolak muzakarah, syor muqabalah dengan Umno
23-07-2008 10:24:39 PM
Oleh G. MANIMARAN dan NURUL AIN HUSSAIN
NIK Abdul Aziz Nik Mat (tengah) dikerumuni wartawan selepas menghadiri mesyuarat tertutup pemimpin tertinggi parti itu di sini, hari ini. Hadir sama Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr. Haron Din (kiri), Presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang (belakang) dan timbalannya Nasharudin Mat Isa (dua, kiri). - fotoBERNAMA
PETALING JAYA: Empat hari selepas Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mendedahkan tiga pertemuan telah diadakan membabitkan beliau dan tiga pemimpin PAS sejak pilihan raya umum 8 Mac lalu, pemimpin-pemimpin PAS petang ini sebulat suara menolak muzakarah membabitkan Umno-PAS.
Sebaliknya, pemimpin-pemimpin kanan PAS yang bertemu petang ini di Kelantan mengesyorkan diadakan muqabalah sahaja - pertemuan bersemuka.
Perkembangan ini menandakan PAS menolak sebarang dialog kerjasama politik kedua-dua parti.
Majlis Tertinggi Umno akan mengadakan mesyuarat petang esok.
Sambil menegaskan PAS sememangnya berminat untuk mengadakan pertemuan dan bersemuka dengan pemimpin Umno bagi membincangkan mengenai masa depan umat Islam, pemimpin-pemimpin parti itu berkata, perbincangan itu perlu diadakan secara bersemuka berbentuk "muqabalah" dan bukannya dalam bentuk perdebatan yang dinamakan muzakarah seperti diminta oleh Umno.
Justeru, kata Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sekarang beliau menutup fail berhubung syor "muzakarah" tetapi membuka konsep "muqabalah".
"Apa yang saya dimaklumkan ialah pertemuan-pertemuan (sebelum ini) dengan Umno hanya diadakan atas dasar peribadi. Kesemua itu adalah benar dan ia dilakukan untuk memperkukuhkan Islam," kata beliau kepada pemberita
Kata sepakat itu dicapai dalam satu pertemuan yang diadakan kira-kria tiga jam di kediaman Menteri Besar Kelantan itu di Kota Bharu.
"Saya mahukan muzakarah itu ditukarkan kepada muqabalah dalam membincangkan isu berkaitan umat Islam kerana ianya lebih sesuai," kata Nik Abdul Aziz.
Pertemuan itu diadakan tiga hari selepas beliau menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan pertemuan bersifat muzakarah antara pemimpin Umno-PAS.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa turut hadir pada mesyuarat itu.
Hadi mengetuai rombongan empat wakil Majlis Syura menemui Nik Aziz bagi menerangkan isu muzakarah dan tiga pertemuan yang telah diadakan dengan Umno.
Kelmarin, Nik Abdul Aziz melahirkan pandangan bahawa sebarang usaha untuk mengadakan muzakarah antara PAS dan Umno perlu dihentikan segera kerana jika ia diteruskan, parti berteraskan Islam itu bakal menghadapi perpecahan.
Beliau mendakwa muzakarah itu merupakan gimik Umno semata-mata untuk menjatuhkan PAS.
"Saya nak tanya kepada orang PAS sama ada nak jaga PAS atau Islam. Kalau nak jaga PAS, ini (muzakarah) bukan caranya dan jika nak jaga Islam juga bukan ini caranya kerana berkawan dengan Umno seperti menghancurkan Islam," katanya.
Nik Aziz berkata jika muzakarah itu menjadi realiti, PAS akan menjadi seperti "kera sumbang" dan tidak lagi dipercayai oleh sekutunya daripada Pakatan Rakyat termasuk penyokong PAS sendiri.
Pada Ahad lalu, Perdana Menteri mendedahkan Umno telah mengadakan pertemuan sebanyak tiga kali dengan PAS bagi membincangkan beberapa isu berkaitan dengan keagamaan dan orang Melayu.
Abdullah berkata, bagaimanapun pertemuan dengan pemimpin tertinggi PAS itu tidak disertai Nik Aziz.
Nik Abdul Aziz berkata, tidak timbul isu pertemuan PAS dan Umno akan membawa kepada penggabungan keduadua parti kerana pertemuan itu lebih berbentuk kerjasama demi satu matlamat dan turut menafikan isu muzakarah itu telah memecahbelahkan kepimpinan PAS.
Abdul Hadi yang dipetik Bernama pula berkata, muzakarah yang dinamakan oleh Umno lebih kepada bentuk perdebatan sedangkan apa yang dimahukan oleh Umno adalah muqabalah iaitu perbincangan untuk selesaikan masalah rakyat.
Beliau berkata, PAS boleh menjalinkan kerjasama dengan Umno berdasarkan satu matlamat iaitu membincangkan masa depan Umat Islam di negara ini.
Kata beliau, adalah menjadi satu kewajipan agama bagi PAS untuk mengadakan perbincangan itu kerana PAS sememangnya parti yang memperjuangkan Islam demi kepentingan orang Islam dan bukan Islam.
Abdul Hadi menafikan bahawa pertemuan itu akan menyebabkan PAS menyertai Umno kerana PAS mampu memenuhi kehendak politik rakyat berdasarkan sokongan rakyat yang dicerminkan dalam pilihan raya umum lepas.
"Walaupun berbeza pendirian politik ia tidak akan menjadi halangan untuk PAS dan Umno duduk berbincang," katanya.
Jelas beliau, pertemuan untuk mengadakan perbincangan secara muqabalah itu telah dipersetujui oleh Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS Pusat sejak April lalu.
Abdul Hadi turut menafikan pertemuan tiga pemimpin PAS sebelum ini dengan Abdullah selaku Perdana Menteri dan Presiden Umno dilakukan atas arahan beliau.
"Tiga pertemuan itu dilakukan atas usaha Presiden Umno dan bukan Presiden PAS," katanya.
Dr Hassan muncul di sisi MB S'gor
Jimadie Shah Othman | Jul 23, 08 7:38pm
Datuk Dr Hassan Ali, exco Selangor yang jarang muncul di sidang media bersama Tan Sri Abdul Khalid Samad, hari ini duduk sebaris bersama menteri besar ketika kontroversi rundingan PAS-Umno sedang hangat diperkatakan sekarang.
Mengulas kenyataan bekas menteri besar Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo tentang tawaran jawatan kepada pemimpin PAS di negeri itu jika wujud kerajaan campuran, Abdul Khalid berkata hubungan PKR dengan PAS tiada masalah.
Beliau enggan mengulas lanjut, sementara Dr Hassan, pesuruhjaya PAS negeri yang hadir dalam pertemuan dengan perdana menteri dan Dr Mohamad Khir pada Mac lalu, tidak memberi sebarang ulasan.
Turut hadir di sidang media yang sama, tiga lagi exco - Ronnie Liu, Elizabeth Wong dan Yaakob Sapari.
Di sidang media selepas mesyuarat exco kerajaan negeri lewat petang ini, Abdul Khalid berkata Selangor akan memangil perundingan tentang belanjawan tahun depan pada 4 dan 11 Ogos, masing-masing di Shah Alam dan Kuala Selangor.
Hasil perbincangan pra-belanjawan itu akan diumumkan kira-kira sebulan selepas itu.
Yaakob mendedahkan, 95 peratus ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di negeri itu terdiri muka baru.
Mereka akan disahkan jawatan mulai 1 Ogos, tambahnya.
Selain mengulangi pendirian Selangor tidak mengiktiraf JKKK lantikan kerajaan persekutuan, beliau juga melarang jawatankuasa sokongan pusat itu menggunakan dewan-dewan orang ramai milik kerajaan negeri.
Pengurusan dewan-dewan itu kini diambil alih oleh pejabat daerah, katanya.
Kos Senggara Perdana V6 Adalah Munasabah, Kata Proton
KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Pengeluar kereta nasional, PROTON, berkata kos penyelenggaraan dan keberkesanan model Perdana V6 adalah munasabah dan sederhana berdasarkan kepada rekod-rekodnya.
Walaupun kos bagi menggantikan kotak gear mungkin agak mahal, kemungkinan yang berlaku itu boleh dielakkan dengan menghantar kenderaan itu untuk pemeriksaan berjadual dan teratur di pusat-pusat khidmat yang diiktiraf dan dipasang dengan alat ganti tulen, kata PROTON dalam satu kenyataan hari ini.
"Setiap pemeriksaan berjadual ditambah dengan penapis minyak, kebiasaannya akan menelan kos sekitar RM200, tidak termasuk alat ganti yang lain, kata kenyataan itu.
PROTON berkata pada umumnya prestasi kenderaan akan mencapai jangkaan yang diharapkan dan kurang dilanda masalah jika dijaga dengan sempurna dan dikendalikan dengan tabiat pemanduan yang baik.
Bagi Perdana V6, katanya, kekerapan penyelenggaraannya disyorkan bagi jarak di antara 5,000km atau selepas tiga bulan penggunaannya, mengikut mana yang dahulu.
"Dengan merujuk kepada salah sebuah kereta yang dibeli kerajaan negeri Terengganu pada Mei 2004, dengan dakwaan terpaksa berbelanja lebih daripada RM100,000 untuk penyelengaraan dan membaikpulih, rekod kita menunjukkan setakat ini tiada tuntutan jaminan dibuat oleh mereka sejak Oktober 2004 bagi kenderaan terbabit, kata kenyataan itu.
PROTON berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan akan menghubungi kerajaan negeri Terengganu bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung rekod penyelenggaraan bagi kenderaan terbabit dalam usaha PROTON menyediakan khidmat bantuan sewajarnya.
Semalam, kerajaan Terengganu dilaporkan bersedia untuk mengemukakan bukti terperinci berhubung dakwaan mengenai kos penyelenggaraan dan membaikbulih yang tinggi bagi Proton Perdana V6 Executive yang digunakan sebagai kereta rasmi untuk menunjukkan kewajaran pembelian kereta Mercedez Benz.
Kerajaan negeri telah membeli 14 kereta Mercedez E200 Kompressor yang berharga RM3.43 juta bagi menggantikan kereta Perdana V6 Executive untuk kegunaan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan pegawai kanan kerajaan.
-- BERNAMA
Kerajaan Terengganu Tetap Perlu Beli Kereta Nasional, Kata Shahrir
PUTRAJAYA, 23 Julai (Bernama) -- Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad berkata kerajaan Terengganu tetap perlu membeli kereta nasional dan bukannya Mercedes Benz yang dipasang dalam negara untuk anggota pentadbirannya.
Beliau berkata kerajaan Terengganu telah tersilap tafsir maksud kenderaan yang dipasang dalam negara mengikut Arahan Penbendaharaan kerana ia tidak melibatkan kereta tetapi hanya melibatkan kenderaan lain termasuk jip dan pacuan empat roda.
"Kadangkala ada keperluan kenderaan seperti pacuan empat roda untuk jabatan kerajaan. Jabatan kerajaan juga ada guna jip, jika nak beli jip bukan yang diimport tetapi yang dipasang di sini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said bahawa kerajaan negeri akan menggunakan kereta jenis Mercedes Benz sebagai kereta rasmi menggantikan Perdana V6 Executive kerana ia tidak melanggar Pekeliling Perbendaharaan yang berkaitan.
Shahrir berkata perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat kabinet hari ini dan perbincangan berasaskan kepada Arahan Perbendaharaan itu.
Memang dari segi kerajaan adanya Arahan Perbendaharaan yang membolehkan membeli kenderaan yang dipasang dalam negara tetapi bagi anggota pentadbiran, ianya khusus kepada kenderaan Proton Perdana Executive. Mungkin itu yang jadi salah faham.
"Mereka mungkin tak baca untuk anggota pentadbiran, maknanya menteri, timbalan menteri, setiausaha parlimen, setiausaha politik dan juga ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri yang perlu pakai Proton Perdana, bukan terbuka kepada kenderaan yang dipasang di dalam negara," katanya.
Shahrir berkata tiada keputusan baru dibuat berhubung perkara itu.
"Keputusan sudahpun dibuat bahawa sebenarnya sudah ada Arahan Perbendaharan menyatakan bahawa untuk kegunaan anggota pentadbiran iaitu termasuk ahli majlis mesyuarat kerajaan, digunakan Proton Perdana Executive," katanya.
Beliau berkata jikapun ada masalah mengenai kereta Proton, maka kerajaan negeri perlu memberi input kepada Proton untuk meningkatkan kualiti produknya.
-- BERNAMA
Kedah Akan Terus Guna Kereta Nasional
ALOR STAR, 23 Julai (Bernama) -- Kerajaan negeri Kedah tidak bercadang untuk menukar kereta Proton Perdana V6 yang digunakan sebagai kereta rasmi di kalangan anggota exconya bagi menjimatkan perbelanjaan, kata Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.
"Selagi kereta tersebut boleh digunakan ia akan terus digunakan. Polisi kerajaan negeri pimpinan PAS sekarang ialah tidak mahu membazir.
"Kita tidak akan mengikut langkah kerajaan Terengganu yang membeli Mercedes E200 Kompressor untuk digantikan dengan Proton Perdana," katanya.
Azizan berkata kerajaan Kedah tidak mempunyai wang untuk membeli kereta baru selain sudah menjadi polisi bahawa semua anggota exco perlu menggunakan kereta Proton.
"Depa (Terengganu) ada duit, boleh la beli, kita tak ada duit, kalau rosak kita baiki. Apabila dah tak boleh baiki baru kita tukar kereta baru," katanya.
Azizan diminta mengulas mengenai langkah kerajaan Terengganu membeli 14 buah Mercedes tersebut sebagai kenderaan rasmi anggota exconya dan pegawai kanan kerajaan negeri.
"Setakat ini kerajaan negeri baru sahaja menukar sebuah kereta exco juga dengan Proton Perdana V6, kerana kereta tersebut kerap rosak dan telah beberapa kali dibaiki," katanya.
Menurut Azizan, beliau sendiri masih menggunakan kereta Mercedes S300 yang dibeli oleh kerajaan negeri sebelum ini untuk membawa tetamu luar.
Kereta itu juga baru dibaiki dengan kos sebanyak RM7,000, katanya.
Ditanya sama ada beliau akan menghadiri mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri lima buah negeri yang diperintah Pakatan Rakyat pada 8 Ogos ini, Azizan berkata beliau akan menghadirinya sekiranya dikehendaki oleh PAS pusat.
Katanya beliau belum mengetahui agenda yang akan dibincangkan pada pertemuan itu.
Timbalan Menteir Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dilaporkan telah mencadangkan supaya satu mesyuarat diadakan bagi membincangkan dakwaan bahawa Pakatan Rakyat akan berpecah di samping kesan tiga muzakarah yang telah diadakan antara PAS dan Umno.
-- BERNAMA
Percubaan Usang Khir Toyo Untuk Memecahkan PAS
Laman Marhaen
Wahai Khir Toyo, berhentilah kau nak main wayang. Jgn la jadi seperti resmi ayam, kuat berkokok, ekor bergelumang taik.
Khir Toyo di dalam blognya telah menyatakan:
“Saya lakukan ini kerana percaya bahawa gabungan Pas dan BN akan memastikan kepentingan agama Islam dan orang Melayu tidak akan diperkotak-katikkan. Bagi saya yang penting ialah kepentingan agama Islam dan orang melayu terjaga bukan siapa yang menjadi pemimpin utama.Jelas sejelasnya, Khir Toyo sedang cuba untuk memecahbelah perpecahan PAS. Saya nak tanya Khir Toyo, adakah logik keputusan untuk menubuhkan kerajaan campuran terletak hanya di tangan Setiausaha Agung sahaja?Malangnya, pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pas, melalui Setiausaha Agungnya, Kamaruddin Jaafar, telah menggagalkan usaha tersebut. Saya yakin selagi Datuk Seri Anwar Ibrahim memainkan peranan penting dalam Pakatan rakyat, muzakarah tersebut tidak akan memberi sebarang kesan.”
Untuk pengetahuan Khir Toyo, keputusan untuk tidak mengadakan kerajaan dengan UMNO di Selangor terletak di tangan AJK PAS Pusat dan Majlis Syura dan bukannya Setiausaha Agung.
Tugas Dato’ Kamaruddin Jaafar hanyalah untuk MENGUATKUASA keputusan yang telah diambil oleh parti. Itu sahaja.
Dan hakikatnya, walaupun didesak oleh Dato Hasan Ali, Presiden PAS sendiri Tn Guru Haji Abdul Hadi Awang menolak pelawaan UMNO dan menghalang Dato Hasan Ali dari menjalin hubungan dgn UMNO di Selangor.
Itulah sebabnya kerajaan campuran PAS-UMNO tidak menjadi kenyataan di Selangor.
Kita tak dengar pulak Tajol Rosli menuduh Kamaruddin Jaafar sebagai penghalang kepada kerajaan campuran di Perak. Ini kerana pelawaan UMNO ditolak mentah-mentah oleh Ustaz Ahmad Awang. Ustaz Ahmas Awang tahu beza yang mana kaca yang mana intan.
UMNO selepas itu berdendam dengan Dato Kamaruddin Jaafar. Mereka merasakan kawan-kawan Anwar Ibrahim adalah sebab utama usaha mereka gagal. Ditambah pula dengan maklumat tidak tepat dari “fraksi UMNO” dalam PAS.
Apabila faksi UMNO dalam PAS yang diketuai oleh CIkgu Mustafa Ali mula mendapat sedikit pengaruh dalam PAS, maka Khir Toyo dan UMNO sudah mula menyerang Dato’ Kamaruddin Jaafar.
Tujuan serangan adalah untuk memberi gambaran sesiapa yang menyokong PAS duduk dalam Pakatan Rakyat adalah pengikut Anwar Ibrahim. Malangnya apabila Tok Guru sendiri menentang idea muzakarah, maka percubaan ini nampaknya semakin gagal.
Khir Toyo adalah seorang yang tidak layak untuk bercakap pasal Melayu dan Islam. Khir Toyo sepatutnya bertanya apakah kejayaan Melayu di Selangor sepanjang UMNO memerintah 50 tahun?
Keputusan Pakatan Rakyat untuk menggunakan tender terbuka akan menaikkan keterlibatan orang melayu dalam bidang perniagaan di Selangor. Dengan kata lain, Melayu akan lebih terjaga dan terpelihara di bawah kerajaan Pakatan Rakyat sekarang ini.
Khir Toyo harus sedar, selama 50 tahun pemerintahan UMNO, mereka GAGAL memertabatkan Melayu di Selangor. Tiada sebab Melayu patut kembali pada UMNO.
Khir Toyo, dinasihatkan supaya jangan menangguk di air keruh. Hanya kerana fraksi UMNO dalam PAS semakin kuat, tidak bermakna Khir Toyo ada hak untuk memfitnah pimpinan2 PAS Pusat.
Minta maaf terpaksa dedah pasal Dato Hasan Ali. Beliau sudah melampau sanggup mengorban kepentingan parti hanya kerana hendak jadi MB Selangor.Biasanya saya takkan sebut nama tapi terpaksa skrg ni.
Ahli PAS Dalaman
http://www.malaysiawaves.com/
Hanya bertuala putih
Oleh Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah, semalam, tertuduh dalam kes khalwat membabitkan bekas Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Zulkifli Othman, dilihat hanya bertuala putih sebaik bilik hotelnya diserbu sambil termenung.
Saksi pendakwaan keempat (SP4), Pegawai Penguat kuasa Agama Jawi, Norhafiza Tohalus, 24, berkata selain tertuduh, seorang wanita yang dipercayai pasangannya hanya dibaluti sehelai selimut sambil berbaring diatas sebuah katil bujang ketika serbuan dilakukan.
Bagaimanapun usaha untuk mengejutkan wanita itu terpaksa dilakukan sebanyak tiga kali berikutan kegagalannya untuk bangun dan dia ‘menggenyeh-genyehkan’ mata sebaik dikejutkan Penolong Pengarah Risikan Jawi, Nik Azlan Nik Man.
Dalam operasi kira-kira jam 3 pagi 4 Ogos tahun lalu, Norhafiza yang ditugaskan untuk menyita barang kes dan melakar pelan tempat kejadian mengakui menyita sehelai baju dalam berwarna hitam milik wanita itu yang dijumpai di atas meja solek.