Friday, October 3, 2008

Tanding Kerana Najib Akan Mengambil Alih Jawatan Presiden Parti - BERNAMA

03 Oktober, 2008 21:31 PM

MASJID TANAH, 3 Okt (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kesediaannya bertanding jawatan timbalan presiden Umno pada pemilihan parti Mac ini berdasarkan telahan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengambil alih jawatan presiden Umno.

Katanya apabila ada kekosongan jawatan timbalan presiden, beliau telah diminta oleh akar umbi untuk menawarkan diri ke jawatan berkenaan.

"Saya tidak berhajat untuk "mendahului" mana-mana pemimpin, bagi saya keputusan yang saya buat berdasarkan telahan saya, Najib akan mengambil-alih jawatan sebagai presiden," katanya kepada pemberita di sini pada satu majlis rumah terbuka di kediaman mertuanya di Kampung Empang Batu, Durian Daun, di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan Zahid yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno sebagai pemimpin yang pertama menyatakan kesediaannya bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno.

Sementara itu, Naib Presiden Umno yang juga Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam turut menyatakan hasrat bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden Umno sekiranya berlaku kekosongan.

Ahmad Zahid, 55, ketika ditanya sama ada pengumuman beliau untuk bertanding bagi jawatan nombor dua parti itu terlalu awal, beliau berkata pengumuman itu perlu kerana persidangan mesyuarat bahagian-bahagian akan bermula Khamis ini (9 Okt).

"Kenapa perlu saya melambatkan pengumuman (jawatan itu), perwakilan bahagian akan membuat pencalonan bermula tarikh itu dan biarlah akar umbi yang akan menentukan," katanya.

Ketika ditanya hirarki dalam Umno, jawatan timbalan presiden adalah terdiri dari kalangan mereka yang telah berkhidmat sebagai naib presiden, beliau berkata bekas timbalan perdana menteri allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman ketika memenangi jawatan timbalan presiden Umno ketika itu beliau bukanlah penyandang jawatan naib presiden Umno.

"Sudah ada precedent dalam Umno, jawatan timbalan pernah dimenangi di kalangan mereka yang bukan terdiri daripada naib presiden," katannya.

Ahmad Zahid pernah memenangi jawatan pemilihan Ketua Pemuda Umno bagi 1996 dan secara automatik jawatan ketua pemuda juga setaraf naib presiden.

Mengenai reaksi setelah pengumuman itu, Ahmad Zahid berkata ramai yang sokong tetapi ada juga yang memintanya bertanding sekali lagi jawatan naib presiden.
B
-- BERNAMA

Ali Rustam Sedia Tanding Jawatan Timbalan Presiden Umno - BERNAMA

03 Oktober, 2008 20:35 PM

MELAKA, 3 Okt (Bernama) -- Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Ali Rustam menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti Mac depan.

"Saya sedia bertanding sekiranya ada kekosongan jawatan timbalan presiden parti, saya menawarkan diri (bertanding jawatan itu)," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Mohd Ali, 59, yang juga Ketua Menteri Melaka sebelum ini menawarkan diri bertanding mempertahankan jawatan naib presiden yang dimenanginya kali pertama sewaktu pemilihan parti pada 2004.

Pengumuman Mohd Ali hari ini, meletakkan beliau sebagai pemimpin kedua, selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan hasratnya bertanding Timbalan Presiden Umno pada pemilihan Mac depan.

-- BERNAMA

Thursday, October 2, 2008

Penyokong Hindraf Timbulkan Kekecohan Di Rumah Terbuka Hari Raya - BERNAMA

02 Oktober, 2008 00:21 AM

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Sekumpulan penyokong Hindraf menimbulkan kekecohan pada majlis rumah terbuka Hari Raya anjuran Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan anggota kabinet beragama Islam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari Rabu.

Tanpa mempedulikan peraturan, mereka bertindak mendahului barisan pengunjung lain yang sudahpun beratur untuk memasuki dewan sejak pukul 10 pagi.

Menurut saksi yang melihat tindak-tanduk mereka, kumpulan itu mula memotong barisan orang ramai menjelang tengah hari untuk menyerahkan patung beruang dan kad Hari Raya yang mereka dakwa mengandungi 300 tandatangan bagi mendesak pembebasan pemimpin Hindraf yang sedang menjalani tahanan.

Walaupun timbul kekecohan, mereka dibenarkan memasuki dewan atas semangat Hari Raya.

Abdullah memberitahu pemberita bahawa kumpulan itu mahu berjumpa beliau secara peribadi tetapi beliau tidak dapat bertemu secara khusus dengan mana-mana pihak kerana acara itu adalah rumah terbuka Hari Raya.

-- BERNAMA

Surat terbuka Zaid Ibrahim kepada PM - MALAYSIAKINI

Sep 30, 08 2:37pm

Sewaktu mengisytiharkan kemerdekaan negara, Perdana Menteri pertama kita telah melaungkan aspirasi dan mimpi indah rakyat Malaya: bahawa Malaya adalah diasaskan di atas prinsip-prinsip kebebasan dan keadilan serta di atas janji bahawa kita beramai-ramai akan sentiasa berjuang bagi meningkatkan lagi kebajikan dan kebahagiaan rakyatnya.

Bertahun telah berlalu sejak peristiwa penting itu berlangsung, namun aspirasi dan mimpi tersebut masih benar dan masih relevan kepada kita hari ini sepertimana ia benar dan relevan kepada kita sebelum ini. Ini dimungkinkan dengan adanya satu pegangan teguh terhadap asas-asas negara pada peringkat awal kewujudannya. Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang dibuat sehubungan dengannya diletakkan di atas asas yang kukuh di mana ia menggabungkan elemen-elemen penting demokrasi yang dibina di atas Kedaulatan Undang-Undang.

tunku abdul rahmanSatu ketika dahulu, Kehakiman Malaysia sangat dihormati oleh warga Malaysia malah turut dijadikan panduan oleh negara-negara lain. Perdana Menteri-Perdana Menteri kita yang terdahulu, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak and Tun Hussein Onn, adalah pemimpin-pemimpin yang sangat berintegriti, adalah pejuang-pejuang mengikut cara mereka yang tersendiri dan, yang paling penting sekali, adalah individu-individu yang serba sederhana. Mereka mempunyai kepercayaan terhadap prinsip-prinsip dan nilai-nilai yang terkandung dalam Perlembagaan kita dan membina negara ini berpandukan kepadanya.

Tatkala mereka terpaksa meluluskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), 1960, sekalipun mereka melakukannya dengan sangat berhati-hati dan dengan bersikap apologetic mengenainya. Tunku menyatakan dengan jelas bahawa tujuan Akta ini diluluskan adalah bagi menangani ancaman komunis.

'Saya dan rakan-rakan saya dalam kabinet berjanji kepada Parlimen dan kepada negara bahawa kuasa-kuasa luas yang diberikan kepada Kerajaan di bawah ISA tidak sesekali akan digunakan bagi mengekang bangkangan dan ketidaksetujuan yang dibuat mengikut undang-undang' adalah apa yang diucapkan oleh Tunku dahulu. Ketetapan ini dikukuhkan lagi kemudiannya oleh Perdana Menteri ketiga kita, Tun Hussein Onn, yang menyatakan bahawa ISA bukanlah dimaksudkan untuk mengekang bangkangan politik yang dibuat secara sah atau untuk menyekat aktiviti demokrasi rakyat.

Beberapa peristiwa yang berlaku tiga minggu lepas bagaimanapun telah memaksa saya mengkaji semula cara ISA digunakan. Sungguh menyedihkan sekali kerana kesimpulan yang saya perolehi darinya ialah bahawa Kerajaan telah berulang-ulang kali menghampakan rakyat negara ini dengan berulang-ulang kali juga memungkiri janji yang dibuat oleh Tunku Abdul Rahman tersebut.

Ini berlaku kerana Kerajaan dan undang-undang yang digubalnya telah dengan secara tidak betul memberi kuasa kepada Menteri Dalam Negeri untuk menahan sesiapa sahaja atas apa sahaja alasan yang difikirkannya perlu. Budi bicara yang subjektif ini telah disalahgunakan bagi menjaga kepentingan-kepentingan politik tertentu.

Sejarah adalah guru agung yang dapat menjelaskan banyak perkara dalam hal ini. Semakan sepintas lalu ke atas cara ISA digunakan sejak ia diluluskan sekalipun akan mendedahkan betapa tujuan asal ISA telah dikesampingkan oleh keperluan politik semasa.

Adalah dikesali yang Tunku Abdul Rahman sendiri pun telah memungkiri janjinya. Pada 1965, pentadbirannya telah menahan Burhanuddin Helmi, iaitu seorang intelektual Melayu yang cukup hebat dan seorang nasionalis yang kebetulannya juga turut menjadi seorang pemimpin PAS. Dia telah diletakkan dalam tahanan sehingga dia meninggal dunia pada 1969.

Helmi hanyalah seorang musuh politik dan tidak dapat dibayangkan yang dia boleh dikatakan terlibat dalam pemberontakan bersenjata atau komunisme yang ISA dirangka untuk menangani. Penahanannya ini adalah sesuatu yang menyimpang dan menjadi satu detik menyedihkan di mana kepentingan politik telah dibenarkan mengatasi Kedaulatan Undang-Undang.

Ia malangnya seakan menjadi satu 'precedent' dan banyak lagi penahanan ke atas individu-individu yang dianggap menjadi ancaman kepada pentadbiran waktu itu menyusulinya tahun demi tahun. Malah tokoh kesusasteraan kita, 'sasterawan negara' Allahyarham Tan Sri A. Samad Ismail juga telah ditahan di bawah ISA pada 1976. Bagaimana mungkin beliau boleh menjadi satu ancaman kepada keselamatan negara?

Tidak perlulah saya mengingatkan anda mengenai impak dahsyat Operasi Lalang 1987. Kesannya menghantui Kerajaan sepertimana juga ia menghantui rakyat negara ini yang cintakan keamanan kerana ia menebarkan kegelapan ke atas setiap dari kita. Terdapat banyak soalan yang masih belum terjawab mengenai detik-detik gelap tersebut bila lebih daripada seratus orang telah ditahan kerana dikatakan menjadi ancaman terhadap keselamatan negara. Sebab mengapa mereka ditahan tidak pernah dinyatakan dengan jelas kepada rakyat Malaysia.

Begitu juga tiada penjelasan diberikan tentang sebab mengapa mereka tidak pernah didakwa di mahkamah. Termasuk dalam senarai mereka yang ditahan ini adalah beberapa Ahli Parlimen kanan pembangkang yang masih lagi aktif dalam Parlimen hari ini. Sesatunya perkara yang benar-benar jelas mengenai tempoh itu adalah UMNO pada waktu itu sedang berhadapan dengan satu krisis kepimpinan. Apakah ia bukan satu kebetulan yang tangkapan-tangkapan di bawah ISA baru-baru ini berlaku bila UMNO sekali lagi mengalami satu krisis kepimpinan?

isa distributePada 2001, aktivis-aktivis 'reformasi' Keadilan telah ditahan dalam satu tindakan yang kemudiannya diisytiharkan sebagai dibuat secara tidak betul dan tidak sah oleh Mahkamah Persekutuan. Penahanan berterusan mereka yang tidak dibebaskan lebih awal di pusat tahanan Kamunting hanya dibolehkan kerana ISA telah dipinda dalam cara yang meragukan pada 1988 bagi tidak lagi membenarkan semakan kehakiman dibuat ke atas arahan Menteri untuk menahan. Rakyat Malaysia dimaklumkan bahawa tahanan-tahanan ini telah cuba menggulingkan Kerajaan melalui cara-cara militan dan demonstrasi-demonstrasi liar.

Tujuh tahun telah berlalu sejak kejadian ini berlaku tetapi hingga kini belum ada sebarang bukti bagi menyokong dakwaan ini dikemukakan. Menambahkan lagi kekeliruan rakyat, salah seorang daripada mereka yang dikatakan "ganas dan militan" itu ialah Ezam Mohamad Noor. Inilah orangnya yang baru-baru ini disambut kembali ke dalam UMNO dengan sambutan besar-besaran, seolah-olah ianya merupakan satu kejayaan besar.

Lebih kurang pada masa yang sama, ahli-ahli PAS juga telah ditahan kerana dikatakan menjadi militan dan kerana kononnya mempunyai pertalian dengan rangkaian pengganas antarabangsa. Mereka yang ditahan itu termasuklah Nik Adli, anak kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat Menteri Besar Kelantan. Kerajaan ketika itu berjanji akan mendedahkan kepada rakyat Malaysia mengenai bukti kegiatan-kegiatan ganas dan pertalian tahanan-tahanan ini. Sehingga sekarang tiada bukti sebegini pernah diberikan.

hindraf isa detainees 290808Formula yang sama telah digunakan pada akhir 2007 bila 5 pemimpin HINDRAF ditahan. Rakyat Malaysia dimaklumkan sekali lagi bahawa individu-individu ini terlibat dalam aktiviti-aktiviti penggulingan Kerajaan dan mempunyai perkaitan dengan gerakan militan Pemisah Tamil Eelam Sri Lanka. Sehingga sekarang tiada bukti kukuh pernah dikemukakan bagi menyokong dakwaan ini.

Jadi apa yang boleh dilihat ialah kelima-lima mereka ditahan kerana melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang membawa kepada satu mobilisasi masyarakat India Malaysia bagi meluahkan secara aman kekecewaan mereka ke marginalisi yang dilakukan ke atas masyarakat mereka. Perjuangan ini kemudiannya telah diiktiraf sebagai satu perjuangan yang sah. Demonstrasi HINDRAF bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana perhimpunan-perhimpunan seperti itu diiktiraf di seluruh dunia sebagai satu cara pernyataan yang sah.

Dalam nada yang sama, asas-asas yang diberikan bagi menyokong penahanan terbaru Tan Hoon Cheng, Teresa Kok dan Raja Petra Kamarudin menimbulkan banyak persoalan. Penjelasan bahawa Tan Hoon Cheng ditahan bagi menjamin keselamatan dirinya adalah melucukan. Kenyataan bahawa Teresa Kok telah menyalakan sentimen-sentimen keagamaan juga adalah tidak berasas sebagaimana terbukti oleh pembebasannya selepas itu.

isa 3 teresa raja petra tan hoon chengMengenai pengkritik tersohor Kerajaan, Raja Petra Kamarudin pula, semakan ke atas tulisan-tulisannya akan menunjukkan bahawa dia mungkin telah menghina Kerajaan dan individu-individu tertentu di dalam Kerajaan. Bagaimanapun, bersikap kritikal dan menghina tidak boleh dalam apa cara pun dianggap sebagai satu ancaman terhadap keselamatan negara. Jika tulisan-tulisannya dianggap menghina Islam, orang-orang Islam atau Nabi Muhammad (saw), dia sepatutnya didakwa di bawah Kanun Keseksaan dan bukannya ditahan di bawah ISA.

Apa pun, dia juga telah didakwa atas kesalahan menghasut dan melakukan fitnah jenayah berhubung dengan beberapa kenyataannya. Dia telah meminta dibicarakan, dan ini menunjukkan kesediaan serta kemampuannya untuk mempertahankan dirinya sendiri. Cara terbaik bagi memastikan keadilan terlaksana adalah dengan memberikannya peluang mempertahankan dirinya di mahkamah lebih-lebih lagi di mana dalam pandangan umum Kerajaan adalah dalam satu kedudukan konflik kerana telah menjadi sasaran kritikan kerasnya.

Contoh-contoh yang diberikan di atas menjadi petanda jelas bahawa Kerajaan yang ada sekarang adalah sebuah Kerajaan yang tidak demokratik. Perspektif inilah yang telah sejak lebih 25 tahun lalu membawa kepada Kerajaan kelihatan dengan sewenang-wenangnya menahan musuh-musuh politik, pejuang-pejuang pertubuhan sivil dan kepenggunaan, penulis-penulis, usahawan-usahawan, pelajar-pelajar dan wartawan-wartawan yang kesalahannya, jika ia boleh dikatakan sebagai kesalahan, adalah bersikap kritikal terhadap Kerajaan. Bagaimana individu-individu ini boleh dianggap sebagai ancaman terhadap keselamatan negara adalah di luar dari kefahaman saya. Realiti yang terbukti adalah ketidaksetujuan yang dibuat secara sah telah dan sedang dikekang melalui penggunaan secara semberono ISA.

Terdapat mereka yang menyokong dan memperjuangkan bacaan secara 'carte-blanche' ISA ini. Mereka akan berusaha untuk meyakinkan anda bahawa kepentingan-kepentingan negara memerlukan kuasa sebegitu dikekalkan dan bahawa keamanan dan kestabilan yang dinikmati rakyat Malaysia adalah disebabkan oleh kewujudan undang-undang seperti ISA ini. Ini bagaimanapun gagal mengambil kira fakta asas bahawa rakyat Malaysia dari semua kaum mengagungkan keamanan. Kita hidup bersama secara aman sejak 400 tahun lepas bukan kerana adanya undang-undang ini tetapi walaupun adanya undang-undang ini.

Saya percaya rakyat negara ini sudah cukup matang dan bergeliga bagi membezakan di antara tindakan-tindakan yang merupakan satu ancaman 'sebenar' terhadap negara dengan tindakan-tindakan yang mengancam kepentingan-kepentingan politik. Rakyat Malaysia telah mengetahui bahawa ISA digunakan terhadap musuh-musuh politik dan kelihatannya bila kepimpinan sedang menghadapi cabaran sama ada dari dalam parti pemerintah sendiri atau dari elemen-elemen luar.

Rakyat Malaysia hari ini mahu melihat sebuah Kerajaan yang komited terhadap proses mahkamah bagi menentukan kebersalahan atau ketidakbersalahan walaupun untuk tindakan-tindakan yang dikatakan mengapi-apikan sentimen perkauman atau keagamaan. Kini mereka tidak begitu mempercayai bahawa hanya seorang individu, iaitu Menteri Dalam Negeri, yang paling tahu mengenai soal-soal keselamatan negara walaupun mereka sebelum ini pernah mempercayainya. Mereka menghargai kebebasan dan perlindungan ke atas kebebasan-kebebasan sivil dan ini pun benar bagi rakyat negara-negara lain juga.

YAB Perdana Menteri, keputusan-keputusan Pilihan Raya Umum lalu adalah petunjuk jelas bahawa rakyat Malaysia sedang menuntut satu pemulihan semula Kedaulatan Undang-Undang. Saya telah dilantik sebagai menteri yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal undang-undang dan reformasi kehakiman, walaupun hanya sekejap. Dalam kapasiti itu, saya dapat memahami dengan lebih mendalam betapa ramai dari kita mahukan reformasi, bukan semata-mata atas kepentingan reformasi itu, tetapi atas tahap di mana institusi-institusi kita telah dilemahkan oleh kejadian-kejadian dan impak yang dihadapkannya kepada masyarakat.

zaid ibrahim resignation from ministerial post 160908 01Dengan restu anda, saya telah cuba menggerakkan reformasi. Berada di atas dalam senarai keutamaan saya adalah satu pemulihan semula ke atas kuasa kehakiman (judicial review) yang boleh dilakukan melalui satu pengembalian semula satu peruntukan penting perlembagaan ke bentuk sebelum ia dipinda secara kontroversial pada 1988. Tidak perlulah saya mengingatkan anda bahawa pindaan perlembagaan itu didorong oleh satu siri peristiwa sama yang membawa bukan hanya kepada Operasi Lalang tetapi juga kepada pemecatan Ketua Hakim Negara dan dua Hakim Mahkamah Agung pada waktu itu.

Salah satu keutamaan saya ialah cara dalam mana bidang kuasa dan kuasa Mahkamah-Mahkamah untuk membuat pembetulan ke atas tindakan wewenang dan di luar perlembagaan Eksekutif telah dikeluarkan oleh Parlimen dan tahap di mana ini telah menyebabkan berlakunya kemerosotan ke atas kebebasan-kebebasan sivil rakyat Malaysia. Pindaan perlembagaan inilah yang telah membuka jalan kepada peruntukan 'ouster' dalam ISA yang secara efektifnya memberi imuniti kepada Menteri dari semakan kehakiman, di mana ini adalah satu peruntukan yang menjadi contoh betapa pindaan perlembagaan 1988 telah membuka ruang untuk berlakunya ketidakadilan.

Saya juga telah cuba memperkenalkan cara-cara dengan mana langkah-langkah boleh diambil bagi membantu Kehakiman memperolehi semula reputasi kebebasan dan kecekapan yang pernah dipunyainya dahulu. Malangnya, ini dianggap tidak diperlukan oleh sesetengah pihak kerana Kehakiman yang bebas akan membawa makna Eksekutif akan menjadi kurang 'berpengaruh'.

Saya telah cuba melakukan perkara-perkara ini dan perkara-perkara lain kerana menyedari Kedaulatan Undang-Undang dan tradisi-tradisi demokratik di Malaysia sedang terhimpit. Apa pun, tiada orang yang rugi dengan memberikan setiap rakyat negara ini sebuah Kehakiman yang bebas dan peluang ke atas satu perbicaraan yang adil. Ini adalah konsisten dengan norma-norma sejagat mengenai hak-hak asasi manusia dan ia juga adalah konsisten dengan ajaran-ajaran Islam, iaitu agama bagi Persekutuan.

Kuasa tidak terbatas untuk menahan atas kehendak seorang individu adalah penindasan yang paling tinggi. Malah, di Israel, iaitu sebuah negara yang sentiasa berada dalam keadaan berperang sekalipun, kuasa untuk menahan tidak diberikan pada seorang individu seperti di Malaysia dan arahan-arahan penahanan memerlukan pengesahan daripada seorang hakim.

Jika terdapat pertimbangan-pertimbangan keselamatan negara, maka ini boleh ditangani tanpa mengenepikan kawalan-kawalan keselamatan yang dimaksudkan bagi melindungi rakyat dari dihukum secara tidak betul. Dalam bidang-bidang kuasa lain yang terlibat dalam konflik-konflik bersenjata, perbicaraan-perbicaraan dikendalikan secara sulit bagi membenarkan penelitian kehakiman dibuat ke atas bukti yang dianggap terlalu sensitif untuk didedahkan kepada umum bagi memenuhi kehendak-kehendak keadilan. Jika ini boleh dilakukan dalam bidang-bidang kuasa lain, mengapa tidak di sini di mana pertempuran bersenjata terakhir dapat kita saksikan, yang menjadi punca kepada wujudnya ISA, telah berakhir pada 1980-an?

abdullah ahmad badawi isa arrest with handcuffs 010604 Sebarang keraguan mengenai kerelevanan ISA dalam bentuknya sekarang sepatutnya sudah terhapus oleh rekomendasi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) bahawa ISA perlu dimansuhkan dan bahawa sebuah undang-undang anti-keganasan yang bersesuaian dengan masa kini perlu diluluskan bagi menggantikannya. Mengandungi satu klausa 'sunset' dalam masa asalnya, ISA tidak pernah dimaksudkan untuk menjadi satu ciri asas dalam landskap perundangan Malaysia.

Melalui penggunaan berterusannya dalam cara yang diterangkan di atas dan berhadapan dengan sentimen umum, adalah natural bahawa ISA telah melekat di dalam fikiran orang ramai sebagai satu alat penindasan dan Kerajaan yang ada sebagai satu Kerajaan yang membuka ruang untuk berlakunya penindasan. Penggunaan berterusannya tidak menjadi petanda baik bagi sebuah masyarakat yang sedang berjuang untuk mencari tempatnya dalam arena global. Ia juga tidak menjadi petanda baik bagi demokrasi yang sangat penting bagi membolehkan kita membangun secara berterusan.

YAB Perdana Menteri, saya mengingati dengan sangat jelasnya apa yang anda sebutkan dahulu, iaitu bahawa jika seseorang itu mempunyai kesempatan untuk melaksanakan apa yang baik dan betul untuk negaranya, maka dia mestilah melaksanakan tugasan itu. Saya sangat menghormati anda kerananya. YAB, anda masih lagi Perdana Menteri buat masa ini dan masih lagi mempunyai kesempatan untuk meninggalkan jejak anda dalam sejarah Malaysia. Saya menyeru anda berbuat begitu dengan memansuhkan terus ISA.

Marilah kita cuba memenuhi janji yang dibuat oleh Perdana Menteri pertama kita yang dikasihi kepada rakyat negara ini.


Yang benar

ZAID IBRAHIM

Sunday, September 21, 2008

Abdullah batalkan hasrat berundur - blogger Umno - HARAKAHDAILY

Abdul Aziz Mustafa
Sun | Sep 21, 08 | 1:45:00 am MYT

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Hrkh) - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membatalkan hasratnya untuk meletak jawatan Oktober ini, kata blogger Umno, Amin Yatim (cuitsikit.blogspot.com)

Malah, menurut maklumat yang beliau terima, Abdullah akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan Umno Disember ini.

Menurut Amin, walaupun selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno (MT) 18 September lalu Abdullah dikatakan akan meletak jawatan sebelum 9 Oktober, namun desakan menantunya Khairy Jamaluddin, Pegawai Khasnya Datuk Ahmad Zaki Zahid dan Setiausaha Politiknya yang juga Adun Kok Lanas, Datuk Md Alwi Che Ahmad menjadi punca perubahan ini.

Mereka meyakinkan Abdullah bahawa terdapat 100 bahagian akan menyokong pencalonan Abdullah sebagai Presiden Umno, kata blogger itu.

Isu perubahan kepimpinan bertiup kencang semula selepas Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh. Menurut Amin, Bekas Perdana Menteri,Tun Dr. Mahathir Mohamad dikatakan menemui dua orang pemimpin kanan Umno iaitu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.

Dr. Mohamad Khir, katanya, dikatakan memainkan peranan penting dalam percaturan belakang tabir yang menimbulkan kegemparan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno Khamis lalu.

Antaranya, katanya lagi, termasuklah menerbitkan satu catatan berjudul "Krisis Kepimpinan: Pisau dan Mentimun Di Tangan Kita." yang dikatakan menjadi pencetus "kepanasan" mesyuarat MT Khamis lalu.

"Menurut sumber Malaysia Airline System (MAS), Dr. Khir telah menukar tiket kapal terbang untuk mengerjakan umrahnya dari 18 September ke 19 September pada petang Isnin lalu.

"Pada pagi hari yang sama Dr. Mohamad Khir dilihat keluar dari pejabat salah seorang pemimpin tertinggi Umno," kata Amin dalam blognya itu

Dr. Mohamad Khir juga, katanhya, dikatakan menemui Dr. Mahathir sebanyak dua kali sejak dua minggu lalu.

Bagaimanapun, kata Amin, beliau difahamkan bahawa Dr. Mohamad Khir tidak sempat bercakap dalam mesyuarat MT tersebut kerana Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak telah pun "memotong sesi menghentam" Abdullah yang dimulakan oleh Ahli MT yang juga Menteri Kebudayaan Kesenian dan Warisan, Datuk Shafie Afdal diikuti oleh Naib Presiden parti itu yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industr Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz.

Menurut Amin, Abdullah dikatakan memberitahu Setiausaha Agong Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor selepas mesyuarat tersebut bahawa beliau akan melepaskan jawatannya dalam jangka masa yang terdekat.

"Namun mesyuarat bersama para pegawai dan menantunya semalam telah mengubah senario. Pak Lah dilaporkan telah diminta terus mempertahankan jawatannya. Desakan paling kuat dikatakan datang dari Khairy, Md Alwi dan Ahmad Zaki," kata blogger Umno itu.

Ketua Penerangan Umno yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dikatakan cuba mendapat sokongan Badan Perhubungan Umno Selangor kepada Abdullah yang bermesyuarat pagi Jumaat lalu, katanya.

Namun, katanya lagi, 19 daripada 22 Umno bahagian di Selangor telah memutuskan untuk mencalonkan calon lain bagi jawatan Presiden Umno.

Sementara itu, Utusan Malaysia melaporkan, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalammengadakan pertemuan tertutup dengan pemimpin-pemimpin Umno Perak dari peringkat bahagian, pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri di Bangunan Ibu pejabat Umno Perak di Ipoh.

Abdullah yang tiba kira-kira pukul 6.30 petang, disambut oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali serta pemimpin Umno negeri yang lain.

Selepas pertemuan itu, Abdullah yang juga Presiden Umno berbuka puasa bersama pemimpin Umno negeri sebelum menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih berjemaah.

Abdullah kemudiannya berlepas pulang ke ibu negara.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz. _

PM mesti berundur sebelum 9/10? - HARAKAHDAILY

Abdul Aziz Mustafa
Sun | Sep 21, 08 | 12:03:54 am MYT

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Hrkh) - Asakan kebangkitan pembangkang dan tekanan rakan-rakan di dalam partinya yang tidak sanggup lagi berada di bawah kepimpinannya besar kemungkinan akan memaksa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan kuasa kepada penggantinya lebih awal dari dari pertengahan 2010, lapor The Straits Times Singapura (STS).

Sebelum ini, Abdullah meminta sehingga pertengahan 2010 untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri yang mula dipegangnya pada 31 Oktober 2003.

Namun, seperti yang dilaporkian oleh The Star, kecuali Datuk Annuar Musa yang dilaporkan bersungguh-sungguh membela dan mempertahankan Abdullah dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno (MT) 18 September lalu, hampir tidak ada sesiapa pun yang mahu Abdullah terus memimpin Umno dan negara.

Malah, Business Times Singapura (BT) pula melaporkan, Abdullah mungkin tidak akan menawarkan diri untuk mempertahankan jawatannya sebagai Presiden dalam pemilihan Umno Disember akan datang.

Semua itu berpunca dari tekanan yang amat kuat ke atasnya dalam mesyuarat MT itu.

Bekas Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Ruhanie Ahmad pula melaporkan dalam blognya (kuda-kepang.blogspot.com), MT telah menasihati Abdullah supaya bersara secara sukarela, segera dan terhormat.

Jika tidak, katanya, kemungkinan besar Abdullah akan disingkirkan oleh majoriti bahagian Umno yang memulakan mesyuarat bahagian masing-masing pada 10 Oktober 2008.

"Lantaran itu, Abdullah dijangka mengumumkan tarikh persaraannya daripada siasah dan kerajaan dalam tempoh terdekat ini demi agama, bangsa dan tanahair, selewat-lewatnya pada 9 Oktober 2008.

"Nasihat di atas telah disampaikan oleh MT kepada Abdullah dalam mesyuaratnya pada 18 September 2008," kata Ruhanie.

BT melaporkan, seorang ahli MT malah memberi amaran kepada Abdullah bahawa beliau tidak akan mendapat pencalonan yang mencukupi untuk mempertahankan jawatannya sebagai Presiden Umno.

The Star melaporkan, Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz memberitahu Abdullah dalam mesyuarat itu bahawa ahli-ahli akar umbi Wanita Umno telah memberitahunya bahawa Presiden Umno itu mungkin tidak akan mendapat pencalonan yang mencukupi untuk mempertahankan jawatannya.

Kelantangannya, lapor akhbar itu, memaksa ahli-ahli MT lain supaya tidak terlalu menekan Perdana menteri.

Selain Rafidah, ahli MT lain yang menyatakan bahawa Abdullah tidak boleh bertahan lagi selepas Disember ini ialah Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Pemuda Umno yang juga Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ahli MT yang juga Menteri Kebudayaan Kesenian dan Warisan, Datuk Shafie Afdal.

Menurut blogger Ahiruddin Attan, turut bercakap dengan nada yang sama ialah Ketua Penerangan Umno yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd Taib manakala bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo adalah orang yang mencetuskan perbincangan itu.

Mengikut sistem kuota di dalam Umno, seseorang yang hendak bertanding jawatan Presiden parti itu mesti mendapatkan sekurang-kurangnya 58 pencalonan.

Lebih berat bagi Abdullah, lapor BT, Muhyiddin yang sebelum ini secara terang-terangan meminta Perdana Menteri berundur dengan segera, tidak dikritik dalam mesyuarat itu.

Perkembangan itu, pada pandangan akhbar tersebut, membuktikan bahawa majoriti ahli MT menyokong apa yang ditegaskan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu.

Tekanan demi tekanan ke atas Abdullah dalam mesyuarat itu mungkin berpanjangan jika timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak meredakannya dengan menyatakan beliau akan membincangkan perkara itu dengan Abdullah, lapor akhbar itu.

Menurut The Star, ketika beberapa ahli MT lain sudah bersedia untuk memberikan pandangan masing-masing, Najib yang melihat Abdullah begitu tertekan dengan tekanan ahli-ahli MT itu, mula bersuara dan berkata apa yang hendak dinyatakan sudah pun dinyatakan dan beliau meminta izin untuk membincangkan perkara itu dengan Abdullah sahaja.

Kini, tumpuan diberikan kepada Najib. Menurut ST, tindakan Najib membatalkan lawatannya ke Arab Saudi mencetuskan spekulasi bahawa Abdullah akan berhenti lebih awal, mungkin sebelum pemilihan Umno Disember ini.

Akhbar itu seterusnya melaporkan, Najib telah dinasihati oleh para pemimpin kanan Umno supaya tidak keluar negara terlalu lama dalam keadaan politik yang tidak menentu di dalam Umno dan Barisan Nasional (BN).

Ahli-ahli Umno, kata akhbar itu, tidak yakin Abdullah mempunyai kemampuan dan kebolehan untuk menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjatuhkan kerajaan.

Menurut akhbar itu, seorang pemimpin Pemuda Umno dari Kedah menyatakan, ahli-ahli Umno mahu Najib dan Muhyiddin berganding bahu untuk memberi nafas baru dalam kepimpinan parti itu.

"Mereka mahukan perubahan di peringkat atasan," katanya.

Jika Najib mengambilalih, kata akhbar itu, hampir pasti ia akan mematikan peluang Tengku Razaleigh Hamzah untuk bertanding merebut jawatan Presiden Umno, walaupun bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyokongnya.

Menurut akhbar itu lagi, 9 September lalu, Najib berunding dengan Dr Mahathir di Singapura dan perbincangan mereka termasuk pelan peralihan kuasa. Dr Mahathir dipercayai memberitahu Najib bahawa beliau tetap dengan pendiriannya._

Saturday, September 20, 2008

Bahagian mula tetapkan tarikh mesyuarat - MALAYSIAKINI

Abdul Rahim Sabri | Sep 20, 08 1:41pm

Sebanyak 191 bahagian Umno di seluruh negara sedang membuat persiapan untuk mengadakan mesyuarat masing-masing mulai 9 Oktober depan.

Selain memilih kepimpinan peringkat bahagian, mesyuarat kali ini amat penting kerana mereka akan membuat pencalonan bagi pemilihan jawatan tertinggi Umno Disember ini.

Pencalonan tersebut adalah bagi jawatan presiden, timbalan presiden, naib presiden dan kerusi Majlis Tertinggi (MT)

Di samping itu, mesyuarat bahagian kali ini juga akan memilih perwakilan yang akan mengundi dalam perhimpunan agung parti itu nanti.

umno jumlah cawangan bahagian ahli 180607Para perwakilan akan terdiri daripada enam pemegang jawatan utama bahagian yang juga dikenali sebagai G6 dan tujuh lagi akan dipilih dalam mesyuarat bahagian (G7).

Ini bermakna setiap bahagian akan menghantar 13 perwakilan untuk mengundi memilih pucuk pimpinan Umno Disember ini.

Mengikut perlembagaan parti, calon presiden memerlukan 30 peratus atau 58 pencalonan, timbalan 20 peratus (38 pencalonan), naib presiden 10 peratus (19 pencalonan) dan MT 5 peratus (10 pencalonan).

Malaysiakini telah menghubungi kesemua 100 bahagian di Kedah, Wilayah Persekutuan, Perak, Selangor dan Johor dan mendapati 39 daripadanya telahpun menetap tarikh mesyuarat bahagian masing-masing.

Tarikh mesyuarat


Kedah mempunyai 15 bahagian, Wilayah Persekutuan (13), Perak (24), Selangor (22) dan Johor (26)

Sehingga hari ini, bahagian-bahagian yang menetapkan tarikh mesyuarat mereka ialah empat di Kedah, Wilayah Persekutuan (7), Perak (6), Selangor (9) dan Johor (14).

Bahagian di Kedah yang telah menetap tarikh mesyuarat ialah Pokok Sena dan Merbok (18 Oktober), Sik (25 Oktober) dan Padang Terap (11 Oktober).

Wilayah Persekutuan - Cheras, Bandar Tun Razak, Wang Maju dan Segambut (19 Oktober), Setiawangsa (25 Oktober), Kepong (26 Oktober), Labuan (16 Oktober).

Perak - Gopeng (26 Oktober), Bagan Serai (12 Oktober), Padang Rengas (18 Oktober) manakala Lenggong, Sungai Siput dan Tambun (19 Oktober).

Selangor - Shah Alam (12 Oktober), Kapar (18 Oktober), Kuala Langat (19 Oktober), Puchong (2 November), Sungai Besar (8 November), Kelana Jaya (9 Novemer) manakala Sabak Bernam, Petaling Jaya Utara dan Serdang (26 Oktober).

Manakala Johor pula - Tenggara (10 Oktober), Pagoh (12 Oktober), Batu Pahat dan Tebrau (18 Oktober); Kulai, Tanjung Piai dan Bakri (19 Oktober), Labis (25 Oktober); Kluang, Sri Gading, Pulai dan Johor Bahru (26 Oktober), Segamat (2 November) dan Pengerang (9 November).

Friday, September 19, 2008

Ahli MT desak PM jangan bertanding... MALAYSIAKINI

Muda Mohd Noor | Sep 19, 08 1:05pm

Beberapa ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno telah mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya jangan bertanding jawatan presiden Disember ini.

Mereka membuat desakan tersebut dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) semalam, kerana bimbangkan Abdullah tidak akan mendapatkan pencalonan yang mencukupi untuk mempertahankan jawatan presiden.

umno 2007 pak lah abdullah ahmad badawi 061107Ini bermakna, Abdullah perlu meletakkan jawatan perdana menteri lebih awal daripada 2010.

Difahamkan, mereka mahu Abdullah meletak jawatan sebelum 9 Oktober ini - tarikh bermulanya mesyuarat bahagian yang akan berlangsung selama sebulan sehingga 9 November.

Seramai 193 bahagian Umno akan membuat pencalonan bagi jawatan presiden, timbalan presiden, naib presiden serta kerusi MT untuk bertanding dalam pemilihan parti Disember depan.

Abdullah memerlukan 30 peratus atau 58 pencalonan dari bahagian untuk layak bertanding jawatan presiden. Sebelum ini beliau memegang jawatan presiden tanpa bertanding.

Menurut sumber-sumber yang layak dipercayai, desakan tersebut dibuat oleh sekurang-kurang tiga ahli MT ketika bercakap mengenai pergolakan dalam Umno sekarang.

Perhimpunan agung

Manakala dua lagi ahli MT difahamkan telah meminta Abdullah meletak jawatan selewat-lewatnya semasa perhimpunan agung tersebut.

Difahamkan ahli-ahli MT yang lain juga mahu menyuara pandangan mereka tetapi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mencelah dan berkata beliau akan membincangkan perkara tersebut dengan Abdullah.

Abdullah kemudiannya berkata, beliau juga akan membincangkan perkara yang sama dengan Najib selepas ini.

Antara yang membangkitkan perkara tersebut termasuk ahli MT yang terdiri daripada menteri kabinet.

Sementara itu, seorang lagi ahli MT - ketika dihubungi Malaysiakini - turut mengesahkan bahawa ada anggota yang membangkitkan perkara itu semalam.

Bagaimanapun, katanya, MT kemudiannya menyerahkan kepada Abdullah dan Najib untuk menentukan tarikh sebenar peralihan kuasa itu.

Katanya, ini kerana MT berpendapat mereka berdua memahami kehendak ahli dan penyokong Umno.

"Dalam mesyuarat MT itu, Abdullah juga berkata, beliau memahami yang berlaku di kalangan ahli Umno di peringkat akar umbi sekarang," katanya.


Penulis Blog "Kickdefella" Ditahan Reman Sehingga Sabtu - BERNAMA

19 September, 2008 18:51 PM

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Mahkamah Majistret di sini hari ini mengeluarkan perintah tahanan reman ke atas penulis blog "Kickdefella", Syed Azidi Syed Aziz, sehingga 5 petang hari Sabtu.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Fadzlin Suraya Mohd Suah.

Syed Azidi, 38, Pegawai Perhubungan Awam Perbadanan Menteri Besar Kelantan, ditahan di rumahnya di Demit, Kota Bahru mengikut Akta Hasutan pada 17 Sept.

Menerusi blog Kickdefella, beliau dikatakan pernah mencadangkan agar bendera Malaysia dikibarkan terbalik semasa menyambut ulang tahun kemerdekaan negara.

Syed Azidi menerusi peguam belanya Amrit Pal Singh, yang ditemui pemberita di luar mahkamah, turut menyampaikan pesanan kepada pihak media.

Antara lain pesanan berbunyi:

"Saya masih bersemangat dan mendoakan yang terbaik kepada semua penulis blog, saya akan meneruskan blog saya esok".

-- BERNAMA

Teresa Kok Dibebaskan Daripada Penahanan ISA - BERNAMA

19 September, 2008 15:20 PM

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hari ini setelah ditahan lapan hari lepas.

"Saya gembira sebab telah dibebaskan dan saya okay," kata Setiausaha Penyelaras DAP itu kepada pemberita ketika dibebaskan di Balai Polis Jalan Travers di sini pada 1.30 tengah hari tadi.

"Saya tidak tahu kenapa saya dibebaskan hari ini seperti mana juga saya tidak tahu kenapa saya ditahan".

Antara yang berada di balai polis itu ketika pembebasannya ialah ibunya Poh Seh Kwon dan bapanya Kok Kim Tong serta peguam N.Sankara Nair.

Kok, yang juga anggota exco kerajaan negeri Selangor, adalah antara tiga orang yang ditahan mengikut ISA pada Jumaat lepas. Dua lagi ialah penulis blog Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin dan wartawan Sin Chew Daily Tan Hoon Cheng.

Tan telah dibebaskan Sabtu lepas.

Kok ditahan mengikut Seksyen 73 (1) ISA 1960 kerana didakwa mencetuskan isu perkauman dan persengketaan agama.

Dalam satu kenyataan hari ini, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata polis berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan oleh Kok semasa siasatan dijalankan.

"Tiada lagi sebab untuk meneruskan penahanan lanjut dan (polis) memutuskan untuk membebaskan beliau hari ini," katanya.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...