Saturday, October 4, 2008

Wakil Melayu pertama tanding naib presiden Gerakan - MSTAR ONLINE

Sabtu Oktober 4, 2008

KUALA LUMPUR: Ahli jawatankuasa Gerakan Selangor, Dr. Asharuddin Ahmad, 49 mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi kaum Melayu pertama yang bertanding jawatan naib presiden.

Beliau yang juga setiausaha bahagian Kuala Selangor mengambil keputusan untuk bertanding jawatan itu setelah mendapat sokongan akar umbi yang kuat dan yakin dengan ideologi Gerakan yang berjuang untuk rakyat Malaysia.

"Pengasas parti Gerakan juga adalah orang Melayu iaitu Dr. Syed Hussein (Alatas).

"Ramai yang menganggap Gerakan adalah parti kaum Cina...bukan, ini adalah parti pelbagai kaum yang memperjuangkan satu bangsa dan budaya Malaysia," katanya pada hari penamaan pemilihan badan induk Gerakan di Menara PGRM di sini, hari ini.

Asharuddin yang menyertai Gerakan sejak 10 tahun lalu berkata, beliau percaya mampu menyumbang sebagai naib presiden dan akan berusaha untuk menarik lebih ramai kaum Melayu menyertai parti itu.

"Gerakan adalah parti yang kecil tetapi kuat dan berbilang kaum. Saya tidak galakkan parti untuk satu kaum (merujuk kepada Umno) kerana Melayu sekarang bukan Melayu dahulu. Melayu kini Melayu glokal dan kita nak berdaya saing," katanya.

Ditanya mengenai keyakinannya untuk memenangi jawatan tersebut memandangkan beliau kurang dikenali, Asharuddin berkata, beliau berharap akan menang kerana beliau lebih dikenali di kalangan ahli akar umbi dan kini beliau mempunyai peluang untuk bertanding.

Sementara itu, Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon menyifatkan kesediaan Asharuddin untuk bertanding salah satu jawatan naib presiden sebagai satu perkembangan positif kerana ia menunjukkan parti itu adalah sebuah parti pelbagai kaum dan bukan hanya terhad kepada peringkat pemuda dan wanita tetapi juga kepimpinan pusat.

Petanda PM tidak bertanding presiden - MALAYSIAKINI

Oct 4, 08 6:02pm

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan membuat pengumuman Khamis ini sama ada akan bertanding mempertahankan jawatan presiden Umno atau sebaliknya.

Dan keputusan Naib Presiden, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menwarkan diri bertanding jawatan timbalan presiden dianggap petanda perdana menteri tidak akan bertanding presiden Mac depan.

Semalam, Zahid berkata beliau menawarkan diri berdasarkan telahan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengambil alih jawatan presiden Umno.

Mohd Ali pula berkata, beliau sedia bertanding sekiranya ada kekosongan jawatan timbalan presiden parti.

Para pemerhati politik melihat perkembangan terbaru itu sebagai petanda bahawa Abdullah akan mengumumkan sebelum 9 Oktober ini - tarikh bahagian mula bersidang - tidak akan mempertahankan jawatan presiden.

Ini memandangkan kedua-dua merupakan 'orang dalam' yang pastinya mengetahui perkembangan terkini dalam Umno dan kerajaan.

Sebanyak 191 bahagian Umno akan bersidang selama sebulan sehingga 9 November depan untuk memilih kepimpinan di peringkat bahagian serta membuat pencalonan untuk jawatan tertinggi parti.

Mesyuarat bahagian itu juga akan memilih perwakilan yang bakal mengundi Mac nanti.

Setiap bahagian akan menghantar 13 perwakiilan - enam terdiri daripada pemegang jawatan utama bahagian yang turut dikenali sebagai G6.

Manakala tujuh lagi akan dipilih dalam mesyuarat bahagian, yang juga dikenali sebagai G7.

Tidak bertanding

Majlis Tertinggi (MT) Umno - dalam satu mesyuarat khas baru-baru ini - memutuskan untuk menangguhkan pemilihan parti dari Disember kepada Mac tahun depan.

Bagaimanapun, ia memutuskan mesyuarat bahagian diteruskan seperti jadual - dari 9 Oktober hingga 6 November depan.

Dalam sidang akhbar selepas mesyuarat khas tersebut, Abdullah belum mengesahkan akan bertanding jawatan presiden, tetapi beliau dijangka membuat pengumuman mengenainya pada bila-bila masa sebelum 9 Oktober.

Sebelum ini, Abdullah telah bersetuju untuk menyerahkan kuasa kepada Najib pada pertengahan bulan Jun 2010.

Bagaimanapun, tempoh waktu tersbut dianggap terlalu lama dan pemimpin akar umbi serta beberapa pemimpin utama Umno, termasuk di kalangan ahli MT mahu ianya dipercepatkan.

Abdullah menerima tekanan supaya melepaskan jawatan presiden dan perdana menteri selepas Barisan Nasional, khususnya Umno kalah teruk dalam pilihanraya umum Mac lalu.

Dalam pilihanraya itu, BN kembali berkuasa tetapi gagal mempertahankan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Kebimbangan ahli

Pada masa yang sama BN turut kehilangan lima negeri kepada pembangkang - Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor manakala PAS mempertahan Kelantan dengan majoriti lebih besar.

Tekanan terhadap BN semakin berat apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa lebih 30 ahli parlimen BN akan menyertai Pakatan Rakyat.

Anwar mendakwa beliau boleh menubuhkan kerajaan baru pada 16 September lalu tetapi ia tidak menjadi kenyataan.

Namun begitu, kebimbangan tetap dirasai di kalangan ahli Umno serta pemimpin parti komponan BN yang lain, mengenai kemungkinan dakwaan Anwar itu akhirnya akan menjadi kenyataan.

Ekoran itu, mereka mahu kepimpinan tertinggi Umno bertukar tangan kepada Najib supaya parti itu dapat memulih sokongan rakyat dan kekal menjadi tunggak utama BN.

Berikutan itu, tersebar desas-desus yang mengatakan Abdullah tidak akan mempertahankan jawatan presiden dan diambil alih Najib.

Seorang lagi pemimpin Umno yang telah menyatakan kesediaan bertanding jawatan presiden ialah ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Hindraf mahu saman Utusan RM1 juta - MALAYSIAKINI

Athi Veeranggan | Oct 4, 08 7:20pm

Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) mahu menyaman Utusan Malaysia sebanyak RM1 juta berhubung laporan dan komentar mengenai badan tersebut yang disiarkan akhbar itu semalam.

Penyelaras pusatnya, RS Thanenthiran berkata, pihaknya sedang berbincang dengan peguamnya mengenai perkara itu dan akan memfailkan tersebut tidak lama lagi.

Menurutnya, Hindraf terganggu dengan laporan Utusan yang didakwanya penuh dengan pembohongan dan fakta yang diputarbelit mengenai kehadiran badan tersebut di majlis rumah terbuka hari raya perdana menteri di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Rabu lalu.

pm open house 011008 small hindrafBeliau mendakwa, laporan muka depan Utusan di bawah tajuk - Hindraf Keterlaluan - adalah tidak adil dan bersifat perkauman, dan seperti menyarankan bahawa Hindraf dianggotai oleh pelampau yang mahu mengganggu perayaan orang Islam dan mencemuh Islam.

Thanenthiran juga mengecam komentar tulisan Baharom Mahusin dalam kolum 'Cetusan' dalam edisi yang sama.

Beliau mendakwa, penulis bersikap tidak adil dalam kritikannya, yang didakwa Thanenthiran mahu mengapi-apikan kebencian kaum dan konflik kaum.

Hindraf, katanya, amat tersinggung dengan komentar Baharum yang menyatakan "Kalau penyokong Hindraf melakukan penghinaan seumpama itu di kawasan-kawasan pendalaman yang menjadi kampung halaman orang Melayu, mereka sudah pun diajar tentang makna dan akibat berperangai kurang ajar".

Sheih dakwa PM terima RM200 juta dari isteri TPM - HARAKAH DAILY

Abdul Aziz Mustafa
Thu | Oct 02, 08 | 9:20:01 am MYT

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Hrkh) - Blogger yang baru-baru ini ditangkap di bawah Akta Hasutan, Sheih, sekali lagi membuat dakwaan menggemparkan apabila meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menafikan bahawa beliau pernah menerima RM200 juta dari isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, sebahagian dari komisyen urus niaga kapal selam berjumlah RM500 juta yang didakwa diterima oleh Abdul Razak Baginda.

"Adalah satu langkah baik jika Abdullah menafikan beliau pernah menerima RM200 juta dari komisyen urus niaga kapal selam berjumlah setengah juta ringgit yang kita dakwa diterima oleh Razak Baginda.

"Sumber saya menyatakan Rosmah membayar Abdullah RM200 juta dari komisyen urus niaga kapal selam. Beliau (sumber itu) tidak menyatakan apa-apa mengenai Razak Baginda," dakwa beliau dalam blognya, kickdefella.wordpress.com

Sheih juga mendakwa penyiasat persendirian yang menghilangkan diri, P. Balasubramaniam, menerima RM5 juta dari Rosmah untuk menutup mulutnya.

"Saya diberitahu bahawa isteri (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) menemui Bala di British Isle beberapa hari selepas penyiasat persendirian itu menghilangkan diri dan membayar Bala RM5 juta.

"Saya diberitahu bahawa Bala dan keluarganya sedang berusaha untuk mendapatkan kewarganegaraan India. Saya benar-benar berharap ini tidak benar dan Rosmah akan membuat kenyataan menafikannya," dakwa blogger itu.

Blogger itu juga mendakwa bahawa Najib pernah menulis surat kepada beberapa kedutaan asing meminta mereka memberikan visa masuk ke negara mereka.

"Saya diberitahu bahawa sebelum lawatan Najib ke beberapa negara Eropah, beliau menulis kepada kedutaan Perancis, Itali dan Pesuruhjaya Tinggi British meminta mereka memberikan visa masuk ke negara mereka dari Kuala Lumpur kepada Altantunya Shaariibuu.

"Najib sendiri sebagai Menteri Pertahanan (ketika itu) menandatangani surat tersebut. Pesuruhjaya Tinggi British menolak permohonan itu tetapi beberapa negara menerimanya.

"Beberapa diplomat Malaysia yang ketika itu berkhidmat di kedutaan Malaysia di salah sebuah negara tersebut mengesahkan bahawa mereka pernah melihat Altantuya di dalam rombongan Najib," dakwa Sheih lagi.

Pada 28 Jun 2007 lalu, Bernama melaporkan sepupu Altantuya, Burmaa Oyunchimeg memberitahu mahkamah tinggi Shah Alam bahawa beliau pernah melihat gambar Altantuya makan bersama Najib dan Razak Baginda.

Semasa disoal lanjut oleh peguam Karpal Singh, yang bertindak sebagai peguam pemerhati bagi keluarga Altantuya, Burmaa berkata, Altantuya telah menunjukkan kepadanya gambar Altantuya dan Abdul Razak dengan pegawai kerajaan Malaysia itu serta orang lain sedang menikmati jamuan pada satu meja bulat.

Beliau berkata, Altantuya menunjukkan gambar itu di Hong Kong selepas beliau (Altantuya) balik dari Perancis. (Burmaa bertemu dengan Altantuya di Hong Kong).

Karpal: "Boleh kamu terangkan gambar apa?"

Burmaa: "Ada satu gambar, saya fikir, Altantuya dengan Razak Baginda dan seorang pegawai kerajaan Malaysia dan orang lain sedang menikmati jamuan. Mereka duduk di meja bulat."

Karpal: "Kamu tahu siapa pegawai kerajaan itu?

Burmaa: "Najib Razak. Saya ingat nama Najib Razak kerana nama Razak itu sama (dengan Abdul Razak Baginda)."

Bagaimanapun, Burmaa tidak menunjukkan gambar itu kepada mahkamah.

Lebih buruk lagi, dalam akuan bersumpahnya 1 Julai lalu di hadapan Pesuruhjaya Sumpah di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, Balasubramaniam pernah mendakwa Najib telah mengadakan hubungan seks dengan Altantuya dan beliau (Altantuya) sanggup mengadakan hubungan seks luar tabii.

Akuan bersumpah itu juga menyatakakan Najib mengarahkan Razak Baginda untuk menjaga Altantuya kerana beliau tidak mahu dia (Altantuya) menganggunya kerana beliau ialah Timbalan Perdana Menteri.

Sama dengan keterangan Burmaa di mahkamah, akuan bersumpah Balasubramaniam itu juga menyatakan Razak Baginda dan atau Altantuya ada memberitahu penyiasat persendirian itu bahawa Najib bersama-sama dengan Razak Baginda dan Altantuya telah berjumpa dan bersama-sama makan malam di Paris.

Bagaimanapun, Balasubramaniam menafikan apa sahaja akuan bersumpahnya yang berkaitan dengan Najib dan menghilangkan diri selepas penafian itu._

Pertandingan satu lawan satu bagi jawatan Timbalan Presiden Gerakan - UTUSAN

04/10/2008 1:42pm

KUALA LUMPUR 4 Okt. — Jawatan timbalan presiden Gerakan akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Ketua Gerakan Perak, Datuk Chang Ko Yuan dan bekas ketua Pemuda Wilayah Persekutuan, Ma Weoi Chyi.

Kedua-dua pemimpin memfailkan kertas pencalonan mereka sebelum tamat tempoh pencalonan di ibu pejabat Gerakan di Wisma PGRM, pada pukul 12 tengah hari tadi.

Bagi jawatan tiga naib presiden, sebanyak 10 calon memfailkan kertas pencalonan mereka.

Mereka ialah Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Dr. Teng Hock Nan, penyandang, Datuk S. Vijayaratnam, bekas Ketua Pemuda, Datuk Mah Siew Keong, bekas Ketua Pemuda Pulau Pinang, Huan Cheng Guan, Dr. Asharuddin Ahmad, Ketua Bahagian Ampang, G. Parameswaran, bekas Pengerusi Gerakan Sabah, Robin Loh, Dr. Lim Thuang Seng, bekas Pengerusi Gerakan Selangor Dr. Lum Weng Keong dan S. Paranjothy.

Dr. Asharuddin, anggota biasa parti dari Ijok, Selangor, merupakan calon Melayu pertama dalam sejarah Gerakan, bertanding bagi jawatan tinggi itu dalam parti politik yang dikuasai kaum Cina selepas pengasas Dr. Syed Husin Al-Alatas, yang juga presiden Gerakan yang pertama.

Bagi 18 anggota Jawatankuasa Pusat, 40 calon telah mengemukakan kertas pencalonan mereka.

Sepuluh calon bagi jawatan naib presiden dan 40 calon lain bagi Jawatankuasa Kerja Pusat merupakan bilangan yang paling ramai bertanding bagi dua jawatan itu dalam parti.

Pertandingan sengit seperti itu tidak pernah berlaku sejak Gerakan ditubuhkan pada 1968

Tsu Koon menang jawatan Presiden tanpa bertanding - UTUSAN

04/10/2008 1:27pm

KUALA LUMPUR 4 Okt. – Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon menang tanpa bertanding jawatan Presiden Gerakan setelah tempoh pencalonan bagi pemilihan jawatankuasa pusat parti itu ditutup pada pukul 12 tengah hari.

Beliau menjadi pemangku presiden parti sejak 8 April tahun lepas berikutan bekas presiden Tun Dr Lim Keng Yaik bersara daripada aktif politik selama 26 tahun.

- Utusan

Sayuran Dicemari Melamin, Malaysia Ambil Langkah Berjaga-jaga - BERNAMA

04 Oktober, 2008 19:32 PM

KOTA KINABALU, 4 Okt (Bernama) -- Kementerian Kesihatan kini mengambil langkah berjaga-jaga berhubung penemuan kadar melamin yang tinggi dalam sayur-sayuran yang diimport dari China.

Menteri berkata Datuk Liow Tiong Lai berkata pihaknya telah menjalankan pemeriksaan tahap empat terhadap semua produk makanan dari China bagi memastikan ia benar-benar selamat sebelum di pasarkan di negara ini.

"Kami mendapat tahu dari Korea bahawa mereka mengesan kadar melamin yang tinggi dalam sayur-sayuran yang mereka import dari China.

"Kami telah melancarkan pemeriksaan tahap empat terhadap semua produk makanan dari China dengan mengambil contoh produk berkenaan untuk ujian," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri konvensyen MCA Sabah di sini Sabtu, Liow memberi jaminan bahawa kadar melamin dalam produk makanan yang dijual di pasaran negara ini adalah pada paras yang dibenarkan.

-- BERNAMA

Friday, October 3, 2008

Tanding Kerana Najib Akan Mengambil Alih Jawatan Presiden Parti - BERNAMA

03 Oktober, 2008 21:31 PM

MASJID TANAH, 3 Okt (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kesediaannya bertanding jawatan timbalan presiden Umno pada pemilihan parti Mac ini berdasarkan telahan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengambil alih jawatan presiden Umno.

Katanya apabila ada kekosongan jawatan timbalan presiden, beliau telah diminta oleh akar umbi untuk menawarkan diri ke jawatan berkenaan.

"Saya tidak berhajat untuk "mendahului" mana-mana pemimpin, bagi saya keputusan yang saya buat berdasarkan telahan saya, Najib akan mengambil-alih jawatan sebagai presiden," katanya kepada pemberita di sini pada satu majlis rumah terbuka di kediaman mertuanya di Kampung Empang Batu, Durian Daun, di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan Zahid yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno sebagai pemimpin yang pertama menyatakan kesediaannya bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno.

Sementara itu, Naib Presiden Umno yang juga Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam turut menyatakan hasrat bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden Umno sekiranya berlaku kekosongan.

Ahmad Zahid, 55, ketika ditanya sama ada pengumuman beliau untuk bertanding bagi jawatan nombor dua parti itu terlalu awal, beliau berkata pengumuman itu perlu kerana persidangan mesyuarat bahagian-bahagian akan bermula Khamis ini (9 Okt).

"Kenapa perlu saya melambatkan pengumuman (jawatan itu), perwakilan bahagian akan membuat pencalonan bermula tarikh itu dan biarlah akar umbi yang akan menentukan," katanya.

Ketika ditanya hirarki dalam Umno, jawatan timbalan presiden adalah terdiri dari kalangan mereka yang telah berkhidmat sebagai naib presiden, beliau berkata bekas timbalan perdana menteri allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman ketika memenangi jawatan timbalan presiden Umno ketika itu beliau bukanlah penyandang jawatan naib presiden Umno.

"Sudah ada precedent dalam Umno, jawatan timbalan pernah dimenangi di kalangan mereka yang bukan terdiri daripada naib presiden," katannya.

Ahmad Zahid pernah memenangi jawatan pemilihan Ketua Pemuda Umno bagi 1996 dan secara automatik jawatan ketua pemuda juga setaraf naib presiden.

Mengenai reaksi setelah pengumuman itu, Ahmad Zahid berkata ramai yang sokong tetapi ada juga yang memintanya bertanding sekali lagi jawatan naib presiden.
B
-- BERNAMA

Ali Rustam Sedia Tanding Jawatan Timbalan Presiden Umno - BERNAMA

03 Oktober, 2008 20:35 PM

MELAKA, 3 Okt (Bernama) -- Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Ali Rustam menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti Mac depan.

"Saya sedia bertanding sekiranya ada kekosongan jawatan timbalan presiden parti, saya menawarkan diri (bertanding jawatan itu)," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Mohd Ali, 59, yang juga Ketua Menteri Melaka sebelum ini menawarkan diri bertanding mempertahankan jawatan naib presiden yang dimenanginya kali pertama sewaktu pemilihan parti pada 2004.

Pengumuman Mohd Ali hari ini, meletakkan beliau sebagai pemimpin kedua, selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan hasratnya bertanding Timbalan Presiden Umno pada pemilihan Mac depan.

-- BERNAMA

Thursday, October 2, 2008

Penyokong Hindraf Timbulkan Kekecohan Di Rumah Terbuka Hari Raya - BERNAMA

02 Oktober, 2008 00:21 AM

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Sekumpulan penyokong Hindraf menimbulkan kekecohan pada majlis rumah terbuka Hari Raya anjuran Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan anggota kabinet beragama Islam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari Rabu.

Tanpa mempedulikan peraturan, mereka bertindak mendahului barisan pengunjung lain yang sudahpun beratur untuk memasuki dewan sejak pukul 10 pagi.

Menurut saksi yang melihat tindak-tanduk mereka, kumpulan itu mula memotong barisan orang ramai menjelang tengah hari untuk menyerahkan patung beruang dan kad Hari Raya yang mereka dakwa mengandungi 300 tandatangan bagi mendesak pembebasan pemimpin Hindraf yang sedang menjalani tahanan.

Walaupun timbul kekecohan, mereka dibenarkan memasuki dewan atas semangat Hari Raya.

Abdullah memberitahu pemberita bahawa kumpulan itu mahu berjumpa beliau secara peribadi tetapi beliau tidak dapat bertemu secara khusus dengan mana-mana pihak kerana acara itu adalah rumah terbuka Hari Raya.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...