Tuesday, April 14, 2009

Lapan Adun boikot, paksa MB letak jawatan - Harakah Daily

Harakahdaily
Tue | Apr 14, 09 | 11:39:40 am MYT

KUALA TERENGGANU, 14 April (Hrkh) - Lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) memulaukan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pagi ini yang bersidang buat hari kedua bagi memaksa Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said meletakkan jawatan.

Menurut sebuah akhbar online kesemua lapan wakil rakyat berkenaan kini berhimpun di sebuah hotel utama di sini dan dijangka mengadakan sidang media kemudian.

Tindakan mengejutkan mereka itu berlaku ketika ada kenyataan sebelum ini bahawa tidak akan ada undi tidak percaya meminta Ahmad, yang dilantik sebagai Menteri Besar Mac 2008, agar meletakkan jawatan.

Tengah malam tadi pula tiga Adun BN Terengganu membuat laporan polis setelah menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) berbentuk ugutan, dipercayai berhubung kemelut politik di negeri ini.

Adun Paka, Zakaria Abdullah dan Adun Permaisuri, Abdul Halim Jusoh membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kira-kira 12.40 tengah malam manakala Adun Ajil, Dato' Rosol Wahid pula membuat laporan sama di IPD Hulu Terengganu di Kuala Berang kira-kira 12.30 tengah malam.

Sabtu lalu, Ahmad berkata mana-mana Adun BN yang mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap beliau bakal berdepan tindakan disiplin termasuk dipecat.

Persidangan Dewan Undangan Negeri selama tiga hari bermula semalam dengan dirasmikan oleh Yang Dipertua Majlis Pemangku Raja Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman.

Ahmad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri serta Adun Kijal berkata, mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap seorang menteri besar dalam persidangan dewan adalah satu perkara serius.

"Jika usul itu datang dari pihak pembangkang, kami di dalam kerajaan akan menolaknya. Jika ia dikemukakan oleh wakil BN, dia akan dipecat, itu biasalah.

"Kalau mendapat sokongan, bubar dewan itu sahaja. Kita terpaksa menerimanya kalau dia nak buat..apa nak kata," katanya. - azm _

10 ADUN BN Terengganu tak hadir sidang Dewan - Utusan

14/04/2009 12:00pm

KUALA TERENGGANU 14 April – Sebanyak 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) enggan menghadiri hari kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini kerana mendakwa keselamatan diri mereka terancam.

Tindakan tersebut dibuat selepas tiga daripada mereka menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan berhubung desas-desus undi tidak percaya terhadap Menteri Besar. - Utusan

Tiga ADUN buat laporan polis terima SMS ugutan - Utusan

14/04/2009 10:33am

KUALA TERENGGANU 14 April — Tiga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Terengganu membuat laporan polis malam tadi setelah menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) berbentuk ugutan, dipercayai berhubung kemelut politik di negeri ini.

Adun Paka, Zakaria Abdullah dan Adun Permaisuri, Abdul Halim Jusoh membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kira-kira 12.40 tengah malam manakala Adun Ajil, Datuk Rosol Wahid pula membuat laporan sama di IPD Hulu Terengganu di Kuala Berang kira-kira 12.30 tengah malam.

Ketika ditemui pemberita di IPD Kuala Terengganu, Abdul Halim berkata mereka menerima SMS tersebut kira-kira 11.20 malam daripada individu yang mereka kenali selepas membuat semakan nombor telefon pada diari rasmi kerajaan negeri.

Dalam SMS itu, katanya individu berkenaan memberi amaran supaya mereka tidak meneruskan niat masing-masing, yang dipercayai merujuk kepada isu pembentangan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Datuk Ahmad Said pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang memasuki hari kedua, hari ini.

“Sebagai seorang pegawai kanan kerajaan negeri, dia tidak boleh ugut sesiapa pun, apatah lagi saya sebagai wakil rakyat. Nyawa orang tidak boleh nak ugut, saya tidak pasti kenapa saya menjadi sasaran,” katanya.

Abdul Halim berkata pegawai kanan kerajaan negeri itu telah menghantar SMS berbunyi “baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?.

“Saya tidak pasti berapa orang menerima SMS seumpama ini. Yang saya tahu, setakat ini tiga orang (Adun) yang menerima SMS berbentuk ugutan ini.

“Dengan keadaan ini, saya tidak akan hadir sidang DUN kalau tiada jaminan keselamatan esok (hari ini). Saya merasa amat terancam, saya sebagai Adun selalu jalan ke mana-mana tidak kira siang atau pun malam. Jadi apabila menerima SMS seperti ini, saya berasa takut,” katanya.

Ditanya sama ada beliau akan memaklumkan perkara itu kepada Menteri Besar, Abdul Halim berkata beliau tidak akan berbuat demikian kerana sudah pun membuat laporan polis.

Sebelum ini, dalam laporan sebuah akhbar, Menteri Besar memberi amaran keras untuk mengambil tindakan disiplin termasuk memecat Adun BN sekiranya usul undi tidak percaya terhadap beliau dikemukakan pada sidang DUN.

Tragedi bas ekspres - Utusan


REMUK... Bahagian depan bas AB Ekspress remuk setelah merempuh pembahagi lebuh raya di Kilometer 443 Rawang menghala ke Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN / Izham Jaafar


RAWANG 13 April – Walaupun pelbagai langkah dan tindakan telah diambil, namun kemalangan maut membabitkan kenderaan awam terus berlaku.

Awal pagi ini enam terbunuh dalam kemalangan yang melibatkan sebuah bas ekspres dua tingkat di Kilometer 443, Lebuh Raya Utara-Selatan berdekatan Rawang.

Kejadian itu menimbulkan persoalan mengenai tahap penguatkuasaan peraturan jalan raya di negara ini sekali gus mengabaikan keselamatan penumpang kenderaan awam.

Dalam kes terbaru, kedua-dua pemandu yang bertanggungjawab menjaga nyawa 33 penumpang sepanjang perjalanan dari Changlun, Kedah ke Kuala Lumpur itu mempunyai kesalahan lalu lintas yang serius.

Siasatan awal polis trafik mendapati pemandu kedua yang memandu ketika kemalangan memiliki lapan saman - kesemuanya atas kesalahan memandu laju sejak 2002.

Manakala pemandu pertama, antara mangsa yang terbunuh, mempunyai enam saman dan lima waran tangkap atas kesalahan yang sama.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof.

Kemalangan ngeri pukul 5 pagi ketika sebahagian besar mangsa sedang lena itu meragut nyawa lima penumpang bas berkenaan selain pemandu pertamanya turut terkorban.

Sementara pemandu kedua, Fauzi Mohamad, 30-an yang memandu bas dua tingkat berkenaan semasa kejadian dan seorang penumpang wanita cedera.

Kesemua penumpang yang terbunuh berada di tingkat bawah bas iaitu Muhamad Ismail, 27, dari Kampung Lubuk Batu, Jitra, Kedah; Mohamad Fauzi Awang, 44, dari Kampung Siam, Alor Setar dan Md. Zaher Mohamad, 33, dari Kodiang, Kedah.

Dua lagi penumpang ialah Mohd Yusril Zakaria, 27, dari Kuala Muda, Kedah; C. Magenthiran, 26, dari Klang, Selangor dan pemandu pertama bas tersebut, Zulkhibri Md. Saad, 35, dari Kubang Ulu, Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang ketika kejadian sedang tidur di belakang tempat duduk pemandu.

Kejadian berlaku ketika bas ekspres milik AB Express itu dalam perjalanan dari Changlun, Kedah, menghala ke ibu negara.

Abdul Aziz berkata, semasa tiba di lokasi tersebut, bas itu dipercayai hilang kawalan lalu merempuh pembahagi lebuh raya di sebelah kanan mengakibatkan sebahagian daripada besi penghadang sepanjang 60 meter itu terperosok memasuki tingkat bawah bas itu.

Tambahnya, bas berkenaan kemudian hilang kawalan sebelum terbalik ke kiri lebuh raya sejauh 20 meter dari lokasi rempuhan tersebut.

“Salah seorang daripada penumpang yang maut turut tercampak ke laluan bertentangan akibat rempuhan kuat. Kita percaya bas itu dipandu laju sehingga gagal dikawal,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa meninjau lokasi kejadian di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar.

Difahamkan, sebahagian mangsa terbunuh dalam kemalangan itu disebabkan tertusuk sebahagian besi penghadang yang memasuki ‘perut’ bas berkenaan.

Abdul Aziz berkata, kesemua mangsa yang terbunuh dan cedera telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh bagi bedah siasat dan rawatan lanjut.

Sementara itu, operasi menyelamatkan mangsa melibatkan kira-kira 80 anggota daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk pasukan polis, bomba dan penyelamat serta peronda PLUS Expressway Berhad.

Tambah Abdul Aziz, pihaknya kini menahan pemandu kedua bas ekspres terbabit yang masih dirawat di hospital untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987, kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

Dalam pada itu, Penolong Penguasa Balai Bomba dan Penyelamat Rawang, Zahinor Hamzah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 5.10 pagi dan tiba di tempat kejadian 20 minit kemudian.

Beliau memberitahu, seramai 22 anggota dan empat pegawai beserta tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang, Kuala Kubu Bahru dan Batu Arang bergegas ke tempat kejadian.

Kemalangan tersebut turut mengakibatkan kesesakan lalu lintas sejauh lima kilometer dari tempat kejadian berikutan hanya satu lorong boleh digunakan.

Saturday, April 11, 2009

SU politik MB Perlis letak jawatan - MalaysiaKini

Muda Mohd Noor | Apr 10, 09 4:14pm

Setiausaha politik menteri besar Perlis, Ameir Hassan telah meletak jawatan berkuatkuasa 30 Mac lalu.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Ameir berkata, beliau menghantar surat peletakan jawatan itu pada 27 Februari lalu.

Bagaimanapun, beliau menolak dakwaan berbuat demikian kerana tidak puas hati dengan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Mohd Isa Sabu.

Sebaliknya, kata Ameir, beliau meletak jawatan kerana ingin kembali aktif dalam bidang guaman.

"Umno Perlis berada dalam keadaan mantap, bersatu dan tiada sebarang perpecahan," katanya.

Ameir juga menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau merupakan penyokong bekas menteri besar, Datuk Shahidan Kassim.

"Sebaliknya, saya ingin bertanding mencabar beliau bagi jawatan ketua Umno Arau tetapi malangnya saya tidak cukup kuota," katanya.

Lagi pula, katanya, kalau hendak menyokong Shahidan, sepatutnya ketika beliau menjadi menteri besar kerana banyak faedahnya.

Bagaimanapun, ketua penerangan Umno Perlis, Datuk Hashim Suboh mendakwa Ameir meletakkan jawatan kerana tidak puas hati dengan pentadbiran kerajaan negeri.

Beliau mendakwa, Ameir juga berbuat demikian kerana tidak puas hati dengan pucuk pimpinan Umno Perlis.

"Ameir pernah menyatakan beliau tidak puas hati dengan beberapa pemimpin Umno termasuk menteri besar," dakwa Hashim.

Bagaimanapun, Ameir ketika diminta mengulas dakwaan Hashim itu berkata, sesiapa sahaja berhak membuat spekulasi.

"Saya tidak dapat menutup mulut mereka," katanya.

Wednesday, April 8, 2009

Bekas ADUN Bkt Selambau muncul selepas 'hilang' - MalaysiaKini

Abdul Rahim Sabri | Apr 8, 09 2:53pm

Bekas ADUN Bukit Selambau, V Arumugam, muncul di lapangan terbang Sultan Abdul Halim di Alor Star - sehari selepas PKR berjaya mengekalkan kerusi tersebut dalam pilihanraya kecil semalam.

Ketibaannya disambut oleh Pengerusi PKR Kedah, Ahmad Kassim dan ADUN baru PKR di Bukit Selambau, S Manikumar.

Beliau tiba di lapangan terbang tersebut pada jam 3 petang.

Turut menyambutnya ialah peguamnya dan anggota keluarganya.

Arumugam sebelum ini meletakkan jawatan exco kerajaan negeri Kedah serta ADUN Bukit Selambau awal Februari selepas mendakwa keselamatannya terancam.

Sejak itu beliau tidak dapat dikesan sehinggalah muncul semula hari ini.

Tenang fikiran di Chennai

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Arumugam berkata beliau telah pergi di Chennai, India, seorang diri untuk untuk menenangkan fikiran.

Menurutnya, beliau berbuat kerana mahu menjaga keselamatan isteri dan anggota keluarga.

Dan katanya, beliau mengambil keputusan untuk balik sekarang, kerana pilihanraya kecil DUN Bukit Selambau sudah selesai.

Dalam pilihanraya kecil itu semalam, calon PKR, S Manikumar berjaya mengekalkan kerusi tersebut dengan majoriti 2,403 undi.

Beliau meraih 12,632 undi untuk menewaskan calon BN dari MIC, Datuk S Ganesan, yang mendapat 10,229 undi.

Mengulas mengenai ugutan yang diterima sebelum berlepas ke Chennai, Arumugam berkata:

"Sudah banyak kali buat laporan polis, tindakan tak diambil, sampai bila saya nak tunggu.

Laporan polis


"Pada hal, ada orang nak culik saya. Saya dah bagi tahu pihak polis, dan kawat cam sudah dibuat, ada orang nak mai pecah cermin kereta saya, sampai sekarang, tak ada apa apa hasil. tak kan suspek tak ada kot?.

"Sampai orang ikat surat dengan batu-bata, tak ada apa-apa (tindakan) pun.

"Berapa lama saya nak tunggu. Tunggu orang nak bunuh saya baru nak ambil tindakan?" soalnya.

Ditanya apakah tindakannya jika masih menerima ugutan, Arumugam berkata: "Saya baru sampai, setakat ini tak tahu lah. Kalau ada kita buat laporan polislah...

"Saya balik kawan-kawan boleh tolong. Saya nampak keselamatannya lebih (terjamin)," katanya sambil menambah beliau masih takut lagi.

Ditanya sam ada beliau menyesal melepas jawata exco dan ADUN, Arumugam berkata: "Kena jaga keselamatan isteri dan keluarga saya. Kalau rezeki (dah) tak ada, nak buat macam mana...

"Kerja dah sebelas bulan, dan tuhan dah bagi rezeki macam tu, nak buat macam mana."

Minta maaf

DItanya siapakah yang beliau ingat selama berada di Chennai, Arumugam berkata: "Saya teringat isteri dan keluarga saya".

Ditanya sama ada beliau teringat rakyat yang diwakilinya, beliau menjawab: "Fikir juga... macam menghampakan penduduk Bukit Selambau, tapi saya berdoa, S Manikuar menang."

Arumugam berkata, semasa berada di Chennai, beliau sentiasa mengikuti perkembangan politik semasa di Malaysia.

Ditanya sama ada beliau akan meminta maaf kerana meninggalkan penduduk yang diwakilinya begitu sahaja, Arumugam berkata, beliau memang mahu memohon maaf sebab mereka telah memilihnya sebagai ADUN.

Namun begitu, tambahnya, Manikumar sudah menang di Bukit Selambau dan "beliau boleh sambung tugas-tugasa saya."

Ditanya perancangannya selepas ini, Arumugam secara berseloroh berkata: "Saya kena cari kerja..."

Pembabitan dalam politik

Ditanya sama ada beliau akan terus aktif dalam politik, Arumugam yang juga timbalan pengerusi PKR Kedah berkata, ia terpulang kepada pemimpin atasan PKR.

Apa pun, katanya, beliau tetap menjadi ahli PKR.

Arumugam turut mengucapkan tahniah kepada Manikumar yang tidak lama lagi akan dilantiks sebagai exco kerajaan negeri Kedah.

Katanya, majoriti yang diperolehi Manikumar mungkin lebih besar jika tidak ada 13 calon bebas yang turut bertanding semalam.

Beliau juga menyifatkan kemenangan Manikumar itu sebagai petanda bahawa tsunami politik akan berterusan sehingga pilihanraya umum akan datang.

Tuesday, April 7, 2009

Keputusan RASMI PRK 2 Bukit di Semenanjung Malaysia.

P059 BUKIT GANTANG
PAS : 21,860 (MB DS Ir. Muhammad Nizar)
BN : 19,071 (Ismail Sapian)
BEBAS : 62
ROSAK : 71
MAJORITI PAS : 2,789

Pilihan Raya Umum 2008
Roslan Shaharum (PAS) – 20,015
Azim Zabidi (Umno) – 18,449
M Morgan (Bebas) - 872
Majoriti PAS: 1,566




N25 - BUKIT SELAMBAU

PKR : 13,327
BN : 10,936
BEBAS
(longgok semua dalam sebakul) : 532
MAJORITI PKR : 2,391
Pilihan Raya Umum 2008

V Amurugan (Bebas*) - 13,225 (menyertai PKR)
S Krishnan (MIC) - 10,863
Majoriti Bebas: 2,362

Pakatan kuasai dua bukit, BN di Batang Ai - MalaysiaKini

9.20pm

Maklumat rasmi. PAS memenangi kerusi Parlimen Bukit Gantang dengan majoriti 1,789 undi. Calonnya, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin mendapati 21,860 undi manakala calon BN, Ismail Saffian mendapat 19,071 undi. Calon bebas mendapat 62 undi dan hilang wang deposit.

Ini bermakna PAS mengekalkan kerusi tersebut dengan tambahan majoriti, berbanding 1,566 undi pada 2008.

Kejayaan PAS itu disambut oleh para penyokongnya dengan membakar bunga api di kawasan padang di situ.

8.52pm
Tidak rasmi. PKR menang di Bukit Selambau, majoriti lebih kurang sama dengan yang dicapai oleh V Arumugam.

Maklumat Daripada MAFREL

PAS menang majoriti lebih 5000 di Bukit Gantang, PKR menang majoriti 500 di Bukit Selambau, BN menang majoriti 1500 di Batang Ai

Keputusan Terkini Bukit Gantang


7.41pm

PAS : 14720
BN :12143
BEBAS : 32
ROSAK : 189
MAJORITI : 2577
JUMLAH SALURAN MENANG : 41
JUMLAH UPU MENANG : 13
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...