Thursday, January 20, 2011

SPR: Isu DUN P Klang 'urusan Badrul & Speaker

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata isu berkaitan kekosongan kerusi DUN Pelabuhan Klang masih di peringkat "urusan di antara speaker DUN (Selangor) dan ADUN tersebut."
NONEWan Ahmad berkata demikian ketika mengulas tindakan speaker DUN Selangor Datuk Teng Chang Khim mengisytiharkan kekosongan kerusi berkenaan semalam.

Teng ketika membuat pengumuman itu berkata, tindakan itu dibuat berikutan wakil rakyat berkenaan Badrul Hisham Abdullah gagal menghadiri sidang DUN selama lebih setengah tahun.

Teng juga berkata Badrul Hisham mengakui ketidakhadirannya dan telah memohon cuti dalam sepucuk surat kepada beliau.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata, beliau difahamkan terdapat laporan yang menyatakan ADUN berkenaan telah menafikan dakwaan menghantar surat memohon cuti kepada Teng.

"Apa pun, itu adalah urusan antara speaker dan YB Badrul (Hisham Abdullah). Itu urusan dia lah.

"SPR akan bercakap dan bermesyuarat bila kita terima hitam putih pemakluman rasmi daripada speaker.

"Selepas itu baru kita bermesyuarat menentukan, betul ke kerusi itu kosong, atau ada pilihan raya kecil (atau tidak)...baru kita akan bercakap. Selain itu, ia adalah urusan speaker dengan wakil rakyat berkenaan.

"Jadi kita tengok perkembangan selanjutnya," katanya dalam satu sidang media di bangunan Majlis Daerah Labis hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata walaupun Teng mempunyai hak untuk menghantar pemakluman tersebut, tetapi SPR tetap akan meneliti notis tersebut.

Tambahnya, SPR masih belum menerima notis pemakluman itu kekosongan kerusi berkenaan sehingga jam 9 pagi ini.

Bercakap dalam sidang media pada kira-kira jam 1 petang hari ini, Wan Ahmad berkata beliau bagaimanapun tidak dapat memastikan sekiranya notis itu telah diterima oleh pengerusi SPR Tan Aziz Mohamad Yusof menjelang tengahari.

Dalam perkembangan lain, Wan Ahmad juga berkata sebanyak enam borang pencalonan untuk bertanding kerusi pilihan raya DUN Tenang telah dijual termasuk di beli oleh dua parti yang bertanding.

Pakatan Rakyat jumpa SPR 24 Januari

KUALA LUMPUR, 19 Jan: Pakatan Rakyat akan mengadakan pertemuan khas dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 24 Januari ini di ibu pejabat SPR di Putrajaya, jam 3 petang, bagi membincangkan lima perkara penting.
Perkara-perkara yang akan dibincangkan itu termasuklah cadangan undi proksi oleh SPR, persempadanan semula kawasan pilihan raya bagi kerusi Parlimen dan Dun, isu-isu lalu yang belum selesai termasuk undi pos dan pendaftaran pemilih.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menjelaskan, selain itu, dalam pertemuan itu juga akan turut dibincangkan tentang penubuhan kem askar wataniah seperti yang dicadangkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Zahid Hamidi dan peraturan-peraturan baru bagi perjalanan pilihanraya yang akan diperkenalkan oleh SPR.
Menurut beliau, perkara-perkara itu perlu dibincangkan bagi melahirkan perjalanan pilihanraya yang telus, adil dan bebas menepati prinsip demokrasi yang diamalkan di negara kita.
"Pertemuan itu adalah susulan dari surat yang telah saya hantar kepada SPR pada 17 Januari lalu bagi mewakili Pakatan Rakyat. Surat saya itu telah dijawab oleh SPR dan pertemuan itu pula tetap ditetapkan sendiri oleh pihak SPR pada hari dan waktu itu," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.
Menurut beliau, Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP akan diwakili 2 orang wakil setiap parti, manakala PAS akan diwakili oleh beliau sendiri dan Pengarah Pilihan raya PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.
Perbincangan tentang undi proksi seperti yang dicadangkan oleh SPR, katanya, perlu diadakan kerana ia dilihat boleh mengganggu perjalanan pilihan raya yang telus, adil dan bebas seperti yang kita ingini dan disebut oleh SPR sendiri.
"Undi adalah rahsia. Tapi bila buat proksi atau wakil, ia tidak lagi menjadi rahsia. Selain itu, proksi itu pula mungkin bukan orang sebenar, tetapi yang menerima upah. Dibimbangi juga kalau-kalau undi proksi itu pengundi hantu. Jadi, banyak pihak yang tak senang dengan cadangan untuk adakan undi proksi.
"Bagi pihak Pakatan Rakyat, Pakatan Rakyat sememangnya menolak undi proksi kerana ia sebenarnya bercanggah dengan demokrasi," katanya.
Perbincangan tentang persempadanan semula kawasan pilihanraya bagi kerusi Parlimen dan Dun, menurut beliau, perlu diadakan kerana persempadanan semula kawasan pilihanraya sudah lama tidak diadakan iaitu sejak tahun 2003, terutama bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis.
"Sedangkan mengikut peraturan, persempadanan semula patut dilakukan sehingga tempoh 8 tahun. Jadi, ini merupakan suatu perkara penting yang perlu diambil tindakan oleh SPR yang akan turut kami bangkitkan dalam pertemuan itu nanti," jelasnya.
Menyentuh tentang isu-isu lalu yang belum selesai, antara lain, beliau akan memberikan pandangan kepada SPR agar pihak SPR melakukan pendaftaran secara langsung terhadap pemilih, dengan kaedah perhubungan langsung antara SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara.
Dengan cara itu bukanlah bermaksud memaksa orang mengundi, tetapi memudahkan mereka mengundi kerana dapat mengatasi masalah para pengundi yang berkelayakan menjadi pengundi tercicir dari daftar pemilih.
Katanya, perbincangan tentang cadangan Datuk Zahid untuk menubuhkan kem askar wataniah pula perlu dilakukan bagi mengelakkan parti pembangkang menjadi mangsa.
"Ini kerana kewujudan kem itu mungkin akan turut melahirkan undi pos yang lazimnya menguntungkan BN sendiri," tegasnya.
Kini, jelas beliau, turut kedengaran cadangan dari SPR untuk melaksanakan beberapa peraturan baru bagi pilihanraya termasuk pada pilihanraya kecil Dun Tenang 30 Januari ini.
"Kita ingin tahu apakah peraturan-peraturan baru yang ingin diperkenalkan oleh SPR itu. Dengan itu bolehlah kita bincangkan dengan lebih jauh untuk kepentingan semua pihak," katanya.

ADUN Pelabuhan Klang Sangkal Dakwaan Beliau Tak Hadir Sidang Dewan

PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah menegaskan beliau masih wakil rakyat yang sah kawasan tersebut mengikut undang-undang.
Beliau juga menolak pengumuman yang dibuat Speaker Selangor, Datuk Teng Chang Khim berhubung kekosongan kerusi yang dimenanginya itu pada pilihan raya umum 2008 atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Tegasnya, kenyataan Teng bahawa beliau tidak hadir sidang DUN Selangor selama lebih setengah tahun adalah tidak benar.
"Saya masih ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Pelabuhan Klang yang sah.
"Tak benar kalau beliau kata saya tidak hadir sidang DUN selama enam bulan...tak benar sama sekali," katanya kepada mStar Online di sini, Rabu.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Speaker Selangor berhubung kekosongan kerusi berkenaan petang tadi di Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di Shah Alam.
Mengikut Artikel 69 perlembagaan Selangor, mana-mana ADUN yang tidak hadir ke sidang DUN bagi tempoh enam bulan akan menyaksikan kerusinya diisytiharkan kosong oleh speaker.
Ditanya sama ada beliau pernah tidak hadir pada mana-mana sidang DUN sebelum ini, beliau berkata: "Waktu saya masih ADUN Bebas saya ada hadir dan waktu saya sudah menyertai Umno juga saya hadir.
"Cuma saya pernah menghantar surat cuti kepada speaker sewaktu persidangan bajet bertarikh 8 hingga 16 November atas masalah kesihatan, katanya.
Diminta mengulas mengenai tindakannya selepas ini sama ada mahu mencabar keputusan Speaker Selangor, Badrul Hisham berkata beliau akan berbincang mengenainya dengan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor untuk tindakan lanjut.
Badrul Hisham meninggalkan PKR pada Oktober 2009 dan memilih menjadi ADUN Bebas yang mesra Barisan Nasional (BN) tetapi kemudiannya menyertai Umno pada Mei tahun lalu.
Beliau memenangi kerusi Pelabuhan Klang pada pilihan raya umum 2008 di bawah tiket PKR dengan majoriti 4,407 undi menewaskan calon BN Roselinda Abd Jamil.
Beliau mendapat 12,397 undi berbanding Roselinda yang mendapat 7,990 undi dan calon Bebas Nazir Mansor pula mendapat 580 undi.

Sepak takraw kembali kepada kiraan 15 mata

KUALA LUMPUR - Kiraan 21 mata dikembalikan kepada 15 mata, servis tiga kali berturut-turut walaupun tanpa mata dan tiga set mampu diheret menjadi lima set ialah antara ciri-ciri wajah baru permainan sepak takraw di seluruh dunia dalam tempoh 60 hari akan datang.
Malah garisan tengah di bawah jaring juga bakal bebas dipijak pemain ketika permainan sekali gus tidak lagi membatalkan mereka, menurut pindaan undang-undang permainan terbaru yang diluluskan Kongres Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) di Bangkok, Isnin lalu.
Timbalan Presiden I Istaf yang menghadiri mesyuarat Kongres itu, Datuk Ahmad Ismail berkata, sesebuah regu masih boleh diisytiharkan sebagai pemenang, sekiranya terlebih dulu memenangi tiga daripada lima set perlawanan yang ditetapkan.
"Sepak takraw akan kembali menggunakan kiraan 15 mata tetapi mata masih boleh dikutip mana-mana regu walaupun tanpa servis. Jika terikat 14-14 dalam sesebuah set, pemenangnya akan ditentukan dengan perbezaan dua mata selepas itu dan mata maksimum ialah 17.
"Bagi servis pula, tekong regu yang memulakan permainan akan melakukannya sebanyak tiga kali berturut-turut walaupun mereka tidak mendapat sebarang mata dan akan bergilir-gilir dengan regu lawan selepas itu," katanya yang juga Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).
Katanya kepada Utusan Malaysia, mana-mana pemain hanya dikira batal sekiranya terpijak garisan gelanggang bawah jaring ketika bola dilambung oleh apit kanan atau kiri kepada tekong yang mahu membuat servis.
Peraturan baru Istaf ini akan dikuatkuasakan dalam tempoh 60 hari mulai Isnin lalu, dengan Kejohanan Dunia Pertama Istaf di Kuala Lumpur dari 20 hingga 24 Julai ini dijangka menjadi pertandingan antarabangsa pertama yang menyaksikan perubahan besar itu.
Selain itu, pindaan undang-undang sepak takraw turut melibatkan penggunaan dua pemain gantian bagi acara antara regu berbanding hanya seorang sekarang malah mereka yang sudah dikeluarkan, masih boleh masuk kembali bermain.
"Bagaimanapun dalam acara berpasukan, hanya seorang pemain bagi setiap regu yang boleh digantikan dan untuk tidak membebankan mana-mana negara, hanya 12 pemain yang boleh didaftarkan, bukan lagi 15 seperti sekarang," katanya.
Mengenai Kejohanan Dunia Istaf, Ahmad berkata, beliau berhasrat melangsungkannya di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur dengan majlis pelancaran awal dirancang diadakan di sebuah hotel juga di ibu kota pada 11 Februari ini.

Wednesday, January 19, 2011

Speaker isytihar kerusi DUN Pelabuhan Klang kosong

Speaker Selangor, Datuk Teng Chang Khim hari ini mengisytiharkan kerusi dewan undangan negeri Pelabuhan Klang kosong berikutan kegagalan penyandangnya, Badrul Hisham Abdullah menghadiri sidang dewan undangan negeri Selangor selama lebih setengah tahun.
Pengumuman itu dibuat petang tadi di Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di Shah Alam.
Katanya, keputusan itu dibuat mengikut Perkara 69 dan 70 perlembagaan negeri. Tiada peruntukkan bagi merayu.
"Badrul mengakui tidak hadir dalam sepucuk surat yang tiba di pejabat saya bertarikh 10 Disember. Dia memohon cuti bagi mendapatan rawatan perubatan tradisional di Pahang,” kata Teng.

Apabila ditanya wartawan, Teng kemudiannya mengemukakan rekod menunjukkan Badrul Hisham tidak menandatangani borang kedatangan pada 8 November lalu.

"Dalam suratnya itu, Badrul juga mengakui beliau tidak hadir pada semua hari semasa dewan bersidang pada November,” katanya.
NONESebelum ini, khabar angin mengenai kekosongan itu bertiup kencang apabila Badrul Hisham Abdullah didakwa telah gagal menghadiri sidang DUN sejak Julai tahun lalu.
Mengikut Artikel 69 perlembagaan Selangor, mana-mana ADUN yang tidak hadir ke sidang DUN bagi tempoh enam bulan akan menyaksikan kerusinya diisytiharkan kosong oleh speaker.

ADUN kontroversial Pelabuhan Klang itu meninggalkan PKR pada tahun Oktober 2009 dan memilih menjadi ADUN Bebas yang mesra BN tetapi kemudiannya menyertai Umno pada Mei tahun lalu.

Sebelum itu, beliau juga 'menghilangkan diri' buat seketika dan muncul semula dengan berita yang beliau akan berpaling tadah.

azlanBadrul Hisham memenangi kerusi Pelabuhan Klang pada pilihan raya umum 2008 di bawah tiket PKR dengan majoriti 4,407 undi.

Beliau mendapat 12,397 undi berbanding calon BN yang diwakili oleh Roselinda Abd Jamil (Umno) yang mendapat 7,990 undi dan calon Bebas Nazir Mansor pula mendapat 580 undi.

Sejak pilihan raya umum pada Mac 2008, negara telah menyaksikan 14 pilihan raya kecil. Yang terakhir akan diadakan di Tenang, Labis, Johor berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Sulaiman Taha.

Sebelum ini, seorang pembantu khas ADUN Pelabuhan Klang, yang tidak mahu namanya dipetik memberitahu, wakil rakyat itu hanya gagal hadir pada satu persidangan bajet bertarikh 8 hingga 11 November atas masalah kesihatan.

Katanya, surat ketidakhadiran telah dimaklumkan kepada Teng.

Beliau juga menafikan wakil rakyat itu gagal hadir selama enam bulan kerana beliau sendiri mencatatkan kehadirannya.

Bekas ADO, Azahar Ibrahim calon BN di Tenang






Bekas bendahari Pemuda Umno Labis Mohd Azahar Ibrahim diumumkan mewakili BN dalam pilihan raya kecil DUN Tenang hujung bulan ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di kawasan lapang di belakang Pejabat Umno bahagian Labis, petang ini di hadapan 700 penyokong.

NONEAzahar (kiri) juga merupakan anak kepada bekas ADUN Tenang sebelum ini.

Dalam pilihan raya kecil pada 30 Januari ini, Azhar bakal ditentang oleh ketua Muslimat PAS Labis Normala Sudirman yang merupakan bekas guru berkelulusan dari Kolej Perguruan Tuanku Bainun, Pulau Pinang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 22 Januari sebagai tarikh penamaan calon, manakala pengundi pada 30 Januari depan.

Kerusi DUN Tenang kosong ekoran kematian Datuk Sulaiman Taha di Hospital Pakar Ampang Puteri di Ampang pada 17 Disember lalu kerana jangkitan kuman dalam darah serta suhu badan yang tidak stabil.

NONESeramai 14,753 pengundi yang melibat 14,735 pengundi biasa dan 18 pengundi pos, layak memilih ADUN Tenang.

Seramai 5,635 pengundi Cina di Tenang dilihat menjadi kunci untuk mengurangkan majoriti BN sekiranya ia dapat mempertahankan kerusi tersebut dalam pilihan raya kecil 30 Januari depan.

Pengundi Melayu, yang majoritinya merupakan penduduk perkampungan Melayu dan peneroka tanah rancangan Felda, adalah penyokong tradisi Umno.

Proses penamaan calon akan diadakan di Majlis Daerah Labis manakala Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis akan dijadikan pusat penjumlahan undi.

Bantu siasat Khir: S'gor dedah projek RM273 juta

Beberapa syarikat milik seorang tertuduh dalam kes melibatkan tuduhan rasuah ke atas bekas menteri besar Dr Mohd Khir Toyo didakwa telah menerima projek berjumlah lebih RM273 juta dalam tempoh pentadbiran BN di Selangor.

Pendedahan mengejutkan itu juga melibatkan lima kontrak yang didakwa telah diberikan secara rundingan terus kepada syarikat-syarikat milik Shamsudin Hayroni.

Pendedahan itu dibuat hari ini oleh setiausaha politik menteri besar Selangor Faekah Husin melalui satu kenyataan.

Projek rundingan terus
Menurut Faekah lagi, projek berkenaan termasuk lima projek yang diberikan secara rundingan terus kepada syarikat Majulia Sdn Bhd.

Ia antara lainnya melibatkan satu pembinaan fasa pertama bagi kuarters kakitangan kerajaan dengan nilai lebih RM22.8 juta, serta pembinaan fasa keduanya dengan nilai RM61 juta.

Projek yang didedahkan itu turut melibatkan pembinaan bangunan sebuah perpustakaan, bernilai lebih RM71 juta, manakala satu projek lagi melibatkan pembinaan sebatang jalan di Sepang yang bernilai lebih RM73.7 juta.

Faekah juga berkata, satu lagi projek melibatkan sebuah stadium terbuka, pencawang elektrik, dua kebuk dan unit loji kumbahan di atas satu tapak kompleks sukan di Dengkil, bernilai hampir RM15 juta.
Bantu siasatan
Faekah berkata, pendedahan itu adalah ekoran tindakan majlis mesyuarat kerajaan negeri pada 16 Disember lalu yang memutuskan untuk mendedahkan butiran mengenai projek berkenaan.
Ia antara lainnya bertujuan untuk memastikan kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat itu tidak dikaitkan dalam perbicaraan kes Dr Khir dan Shamsuddin Hayroni, kata Faekah lagi.
"Ini juga sejajar dengan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban pentadbiran yang didukung oleh Pakatan Rakyat yang sama sekali menolak sebarang penyelewengan dan salah guna kuasa di kalangan pemimpin dan ahli politik demi kepentingan peribadi.
"Kerajaan negeri berpendapat maklumat yang diberikan ini dapat membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan," kenyataan itu dipetik.

Kes Sultan Kelantan: Dua peguam tarik diri

PUTRAJAYA 18 Jan. - Dua peguam, Raja Aziz Addruse dan Abdul Rashid Ismail menarik diri daripada mewakili Sultan Ismail Petra dalam permohonan baginda untuk mencabar kesahihan pemasyhuran anakanda sulungnya, Sultan Muhammad V sebagai Sultan Kelantan pada 13 September tahun lalu.

Permohonan untuk menarik diri itu dikemukakan di Mahkamah Persekutuan hari ini oleh Abdul Rashid dari firma guaman Tetuan Rashid Zulkifli. Beliau turut hadir bagi pihak Raja Aziz.

Permohonan itu dikemukakan atas alasan Sultan Ismail Petra tidak akan berpeluang mendapat khidmat Raja Aziz yang kini menjalani rawatan perubatan hingga awal Mac ini sedangkan tarikh pendengaran permohonan ditetapkan pada 10 Februari ini.

Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum yang bersidang bersama Hakim Datuk Hashim Yusoff dan Hakim Datuk Seri Md. Raus Sharif membenarkan permohonan tersebut.
Sehubungan itu, petisyen baginda yang memohon campur tangan mahkamah agar mengisytiharkan pemasyhuran Sultan Muhammad V sebagai tidak sah di sisi undang-undang, akan didengar pada 10 Februari ini.
Afidavit bagi menyokong permohonan penarikan diri selaku peguam bela dan peguam cara itu diikrarkan oleh Abdul Rashid pada Selasa lalu.

Abdul Rashid mengikrarkan, beliau dan Raja Aziz dilantik oleh Sultan Ismail Petra selaku pempetisyen pada 18 Jun tahun lalu untuk bertindak sebagai peguam bela dan peguam cara.
Abdul Rashid menyatakan, ketika mahkamah bersidang, Raja Aziz tidak dapat hadir ke mahkamah kerana masih dirawat di Singapura dan hanya akan berakhir pada awal Mac ini.
Sewaktu pengurusan kes diadakan pada 23 Disember tahun lalu, peguam cara memohon tarikh pendengaran petisyen ditetapkan pada pertengahan Mac.
Bagaimanapun, Timbalan Pendaftar mengarahkan permohonan itu didengar lebih awal iaitu pada 10 Februari ini serta memerintahkan peguam cara mendapat arahan selanjutnya daripada pempetisyen berhubung perkara itu.
Abdul Rashid kemudian menyatakan, baginda menitahkan agar Raja Aziz mewakilinya menyebabkan peguam cara memohon pendengaran ditetapkan pada pertengahan Mac.

''Oleh sebab keengganan mahkamah menetapkan tarikh pendengaran pada Mac ini, baginda tidak akan berpeluang mendapat khidmat Raja Aziz. Tetuan Rashid Zulkifli dan Raja Aziz tidak dapat mewakili baginda,'' menurut afidavit tersebut.

Sultan Ismail Petra memfailkan petisyen ketiga itu pada 20 September tahun lalu memohon pandangan mahkamah sama ada anakanda baginda yang ketika itu merupakan Tengku Mahkota mempunyai hak eksklusif untuk meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan.

Petisyen pertama dan kedua Sultan Ismail Petra yang masing-masing difailkan pada 5 Mei dan 22 Jun tahun lalu ditolak oleh satu panel lain Mahkamah Persekutuan pada 26 November tahun lalu.
Mahkamah dalam keputusannya berpuas hati, Tengku Mahkota Kelantan berkuasa penuh apabila Sultan mengalami ketidakupayaan seperti yang peruntukkan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan.

Sultan Muhammad V dilantik sebagai Sultan Kelantan oleh Majlis Perajaan Negeri menggantikan ayahandanya yang mengalami ketidakupayaan sejak Mei 2009.

Tuesday, January 18, 2011

Kereta baru Lotus dijangka berada di pasaran 2013

NORWICH 18 Jan. - Lotus Group dijangka memasarkan model kereta terbaru pertamanya pada pertengahan tahun 2013, iaitu salah satu strategi syarikat berkenaan untuk mengembalikan keuntungan dalam tempoh lima tahun.
Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, ia merupakan salah satu daripada lima model terbaru yang akan diperkenalkan secara berperingkat menjelang 2015.
Beliau berkata demikian kepada rombongan wartawan Malaysia yang mengadakan lawatan ke ibu pejabat Lotus Group, di sini hari ini. - Utusan

Pengadu laungan azan mohon maaf

Peguam yang mengadu mengenai bunyi azan di Masjid Al-Ikhalasiah di Kampung Kerinci, Kuala Lumpur, hari ini memohon maaf kerana mencetuskan kontroversi tersebut.

ng kian nam apologise raja nong chik 170111Ng Kiam Nam, seorang ahli MCA, berkata dia keliru mengenai ceramah dan laungan azan dalam aduannya kepada Jabatan Perdana Menteri mengenai bunyi pembesar suara dari masjid tersebut.

Surat aduannya itu telah mencetuskanbantahan oleh beberapa NGO Islam yang diketuai oleh Majlis Ayahanda Wilayah Persekutuan Jumaat lalu.

Mereka mendakwa tindakan Ng itu telah menghina Islam.

ng kian nam apologise raja nong chik 170111Ng membuat permohonan maaf itu dalam sidang akhbar yang diadakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal. 

Sidang akhbar itu diadakan di pejabat Umno bahagian LembahPantai, yang diketuai oleh Raja Nong Chik.

Sebelum itu, Raja Nong Chik mengadakan pertemuan dengan Ng dan wakil-wakil kumpulan yang terlibat dalam protes tersebut.

Sementara itu Bernama melaporkan, ketika bercakap dalam sidang akhbar tersebut, Ng berkata:
"Setiap orang mempunyai kelemahan dan saya mahu meminta maaf kepada semua umat Islam di negara ini di atas salah faham yang terjadi.
"Sebenarnya saya tidak tahu membezakan antara suara azan dan ceramah (kuliah subuh)," katanya.

Ng berkata beliau tidak berniat untuk menyinggung perasaan umat Islam di negara ini berhubung isu itu serta berharap isu itu tidak disensasikan lagi.

Raja Nong Chik pula berkata isu itu sewajarnya tidak diperbesarkan kerana ia merupakan salah faham yang tidak disengajakan dan menjadikan insiden itu sebagai iktibar.

Beliau juga meminta permohonan maaf Ng diterima oleh semua pihak.

Mengulas dakwaan terdapat arahan daripada pihak atasan yang meminta pihak masjid memperlahankan suara azan berikutan aduan Ng itu, Raja Nong Chik menafikan kewujudan arahan tersebut.

"Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sendiri menafikan bahawa adanya arahan tersebut dan saya sendiri tidak tahu-menahu mengenainya," katanya, yang gembira dengan permohonan maaf Ng dan sikap terbuka dua NGO Melayu yang sebulat suara menerima permohonan maaf tersebut
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...