Saturday, January 31, 2009

Dua exco Perak jumpa Najib di Pekan? - MalaysiaKini

Jan 31, 09 9:46pm

Sejak beberapa hari lalu, dua exco kerajaan Perak daripada PKR mencetuskan pelbagai spekulasi akan menyertai BN susulan tindakan wakil rakyat Bota, Datuk Nasharuddin Hashim meninggalkan Umno hujung minggu lepas.

pkr permatang pc 230808 perak exco jamaluddin and osmanPetang ini, desas-desus mula bertiup kencang bahawa kedua-duanya Jamaluddin Mat Radzi (foto, kiri) dan Osman Jailu berada di Pekan, Pahang dalam usaha berunding dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak di kediamannya.

Malaysiakini difahamkan PKR sedang memantau dengan dekat perkembangan dua exconya ini, termasuk kemungkinan berada di Pekan setelah kedua-duanya gagal dihubungi oleh pemimpin negeri, parti dan keluarga mereka sendiri sejak empat hari lalu.

Difahamkan parti itu sudah mendapat maklumat bahawa kedua-duanya "berkemungkinan besar" bersetuju meninggalkan parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Sumber-sumber parti itu memberitahu, BN paling cepat melalui Mohd Najib sendiri akan mengumumkan perkembangan mendebarkan ini esok - setelah ura-ura berbuat demikian petang tadi tidak berhasil.

Bagaimanapun sumber-sumber itu tidak dapat memastikan sama ada mereka berdua betul-betul berada di Pekan atau masih di Ipoh.

Seorang wakil rakyat PKR di Kedah juga dalam usaha didekati untuk melompat kepada BN.

Sementara itu PKR Perak mendakwa Mohd Najib sedang berunding dengan mereka agar menyertai BN, termasuk untuk menggugurkan kes rasuah terhadap mereka yang ditahan Ogos tahun lalu.

"Kami percaya kehilangan mereka ada hubungan rapat dengan
pertuduhan kes rasuah yang sedang mereka hadapi dan perbicaraan kes tersebut akan bermula pada 10 Februari," kata pengerusi perhubungannya Osman Abdul Rahman dalam satu kenyataan lewat petang ini.

"Kami percaya ada usaha-usaha oleh BN untuk memujuk kedua-dua exco ini bagi menyertai BN dan sebagai imbuhan terdesak Najib, termasuk menggugurkan kes rasuah mereka."

perak majoriti tipis 300109Osman menambah, beliau yakin pertuduhan terhadap kedua-dua exco Perak itu "palsu yang direka cipta oleh Umno dan BN sebagai satu ugutan politik."

Jika Jamaluddin dan Osman sah meninggalkan PKR, kerajaan Pakatan Rakyat di Perak akan mentadbir dengan kelebihan satu kerusi - setelah mengambil kira penyertaan Nasharuddin.

BN buat masa sekarang menguasai 27 kerusi, sementara Pakatan Rakyat 32, termasuk lapan PKR dan 18 DAP (lihat jadual).

Anak saudara Presiden PAS maut dilanggar kereta milik KPN - HarakahDaily

Intan Abdullah
Sat | Jan 31, 09 | 1:09:46 am MYT

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Hrkh) - Anak saudara Presiden PAS, Abdul Qahar Mansor maut dalam satu kemalangan jalan raya di Kuala Terengganu kira-kira jam 10 pagi semalam.

Beliau dilanggar oleh sebuah kereta Honda CRV nombor plat WNN 6517 yang didaftarkan atas nama Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Qahar yang berusia 23 tahun maut selepas dilanggar Honda CRV dipandu seorang anggota polis yang dikenali sebagai Lans Koperal Mohd Farez di Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.

Menurut peguam keluarga mangsa, Fariz Mustafa, kemalangan tersebut terjadi ketika mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Rusila menuju ke Kuala Terengganu.

Ketika sampai di sekitar Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Ibai, motorsikal yang ditunggangi beliau dilanggar kereta yang dipandu Mohd Farez yang baru sahaja selesai membeli keropok di sebuah kedai berhampiran yang ingin membuat pusingan U di jalan tersebut.

"Kereta tersebut berada di sebelah kiri jalan terus membuat pusingan U tanpa memberikan signal malah secara tiba-tiba menukar line, menyebabkan motorsikal yang ditunggangi arwah gagal mengawal keadaan sehingga menyebabkan beliau maut di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi Harakah.

Tambahnya, saksi di tempat kejadian memaklumkan Mohd Farez meninggalkan kereta tersebut di lokasi kemalangan tanpa kunci kenderaan tersebut yang menyebabkan pihak polis trafik sukar mengalihkannya.

"Malah, menurut anggota polis di beliau(Mohd Farez) kini telah pulang ke Kuala Lumpur manakala kereta tersebut ditinggalkan.

"Akibat kemalangan tersebut, kereta tersebut mengalami kesan kemek di pintu sebelah kanan," ujarnya.

Walau bagaimanapun, Fariz memberitahu Harakah bahwa pihaknya akan membuat dakwaan terhadap kes tersebut di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan iaitu kesalahan kecuaian memandu sehingga menyebabkan kematian.

Jelasnya, pemandu terbabit sepatutnya direman untuk siasatan kerana kemalangan tersebut melibatkan kematian.

Sementara itu, bapa saudara mangsa, Mohd Hisham Awang berkata pihaknya kesal dengan sikap yang ditunjukkan oleh Lans Koperal Mohd Farez yang begitu ego ketika diminta memberi kerjasama kepada penduduk setempat sebaik sahaja kejadian tersebut berlaku.

"Kita kesal dengan sikap ego polis tersebut, yang seolah-olah berbangga dengan mengaku merupakan pegawai polis daripada Balai Polis Bukit Aman," katanya.

Setakat ini ujarnya, pihak polis masih belum memberikan apa-apa respon mengenai kejadian tersebut.

Abdul Qahar katanya maut akibat kecederaan parah di bahagian kepala selepas jenazahnya dituntut oleh keluarga mangsa dari Hospital Sultanah Zahirah, Kuala Terengganu sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Rusila pada hari yang sama. -azm_

Tajol dipertanggungjawabkan, bagaimana dengan Najib? - Harakah Daily

WAN NORDIN WAN YAACOB
Fri | Jan 30, 09 | 5:33:35 pm MYT

KUALA LUMPUR, 30 Jan (Hrkh)

Tindakan Umno/BN mempertanggungjawabkan Pengerusi Perhubungan Umno Perak, Dato' Seri Tajol Rosli Ghazali berikutan kemasukan Adun Bota, Dato' Nasharudin Hashim ke dalam Parti Keadilan Rakyat menunjukkan Umno berat sebelah.

Demikian kata Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar kepada Harakah semasa dihubungi bagi mengulas isu berkaitan Tajol Rosli di Perak.

"Mengapa Tajol sahaja yang perlu dipertanggungjawabkan berikutan isu kemasukan Adun Bota ke dalam KeADILan?

"Mengapa tidak Pengarah Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu BN, Dato' Seri najib Tun Razak tidak dipertanggungjawabkan di atas kekalahan memalukan Umno di sana?," katanya.

Sedangkan kata Kamarudin dalam kes Najib, ia lebih memalukan kerana Parlimen Kuala Terengganu adalah kerusi yang dimenangi Umno/BN pada pilihan raya umum Mac 2008.

"Terang-terang kekalahan di Parlimen Kuala Terengganu amat memalukan Umno dan mengapa Najib tidak diambil tindakan seperti Tajol?," katanya lagi.

Majlis Tertinggi (MT) Umno 29 Januari menerima peletakan jawatan Tajol Rosli Ghazali sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Perak berkuat kuasa serta merta.

Presidennya, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, tempat Tajol Rosli digantikan Najib.

Bercakap kepada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat itu, beliau bagaimanapun memberitahu bahawa Najib hanya akan menyandang jawatan tersebut sehingga berakhirnya Perhimpunan Agung Umno Mac ini.

Menurut Perdana Menteri, langkah ini diputuskan berdasarkan kehendak Tajol Rosli sendiri yang merasakan perlu ada pemimpin lain yang mengetuai UMNO Perak.

"Hanya setakat sampai Mac iaitu sampai selesainya Perhimpunan Agung Umno. Selepas itu akan dilantik ketua baru bagi Umno Perak.

"Sementara yang akan jadi Timbalan Pengerusi ialah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Zahid pun begitu juga sampai selepas perhimpunan agung. Selepas itu keputusan baru akan dibuat," katanya./wann_

Thursday, January 29, 2009

AJK Umno: Saya dipaksa bogel depan pegawai SPRM - MalaysiaKini

Jan 29, 09 7:33pm

Selepas mendiang A Kugan didakwa mati sewaktu dalam jagaan polis, kini pemimpin Umno Maran, Pahang pula mendakwa dibelasah oleh sekumpulan penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Halimi Kamaruzzaman, 46, mendakwa beliau dipukul sepanjang empat hari ditahan reman di pejabat SPRM Kuantan pada mulai 23 Januari dalam siasatan berhubung politik wang.

Penahanan itu didakwa berkaitan siasatan terhadap anggota Majlis Tertinggi (MT) dan ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Norza Zakaria.

Pemimpin Umno itu bagaimanapun menafikan mempunyai sebarang kaitan dengan Norza.

Beliau juga menyifatkan penderitaan yang didakwa dialaminya itu dengan kem penyeksaan Abu Ghraib di Iraq sewaktu pentadbiran Saddam Hussein.

Dalam laporan polisnya semalam, ahli jawatankuasa Umno Maran itu mendakwa tiga pegawai SPRM termasuk seorang ketua unit menumbuk "kepala, perut dan bahunya bertubi-tubi".

suruhanjaya pencegahan rasuah malaysia anti corruption commissionHalimi juga mendakwa beliau di tendang di bahagian rusuk, dipaksa bertelanjang dan berguling-guling di atas lantai dalam keadaan berbogel.

"Pegawai yang dikatakan ketua unit (siasatan) ini telah mencekik saya sehingga saya tidak dapat bernafas sambil menolak saya ke dinding," laporannya di balai polis Damansara, Petaling Jaya.

"Mereka telah mengugut saya bahawa isteri saya akan ditangkap dan dibogelkan jika saya tidak membuat pengakuan bahawa Datuk Norza Zakaria-lah yang menyuruh saya untuk memberi duit kepada ahli-ahli Umno yang terbabit," dakwanya lagi dalam aduan polis tersebut.

"Seorang pegawai telah mengugut untuk meletakkan puntung rokok yang dihisapnya pada kemaluan saya."

Norza sewaktu dihubungi Malaysiakini hari ini enggan mengulas dengan alasan beliau sedang disiasat.

Beliau juga berkata tidak mengetahui laporan polis tersebut.

Pengarah siasatan SPRM Datuk Mohd Shukri Abdull pula berkata suruhanjaya itu menyerahkan kepada polis untuk menjalan siasatan terhadap dakwaan Halimi dan enggan mengulas lanjut.

Wednesday, January 28, 2009

BN Perak Harus Gesa Nasaruddin Letak Jawatan - BERNAMA

28 Januari, 2009 19:47 PM

PUTRAJAYA, 28 Jan (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Perak perlu melakukan gerakan besar-besaran bagi menggesa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bota Datuk Nasaruddin Hashim meletakkan jawatan berikutan tindakannya melompat parti.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata kemenangan Nasaruddin pada pilihan raya lalu adalah di atas tiket BN, justeru keputusan beliau untuk melompat parti memusnahkan kepercayaan yang diberikan oleh pengundi di kawasan itu.

"Jika saya orang Perak, saya akan mula bentuk (gabungan) semua NGO dan ketua kampung sekarang menuntut peletakan jawatannya. BN Perak harus membuat keputusan seperti ini bagi menyedarkan rakyat.

"Kita ada beribu cawangan di Perak, cawangan Umno, Putera, Puteri, Pemuda, Wanita semua harus bersuara...Kalau setakat keluar di suratkhabar ia tidak akan memberi kesan," kata Menteri Luar itu kepada pemberita selepas majlis penyerahan surat pelantikan kepada wakil tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Datuk Othman Hashim, di sini, Rabu.

Dr Rais berkata beliau juga yakin BN akan menang sekali lagi sekiranya pilihan raya kecil diadakan semula di kawasan itu.

Beliau turut menegaskan bahawa BN masih kuat dan masih boleh bangkit, dan mereka yang cuba melompat keluar dari BN akan menyesal sendiri setelah melihat kekuatan parti nanti.

Pada Ahad lepas, Nasaruddin yang menang dengan majoriti 2,068 undi mengalahkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Usaili Alias pada pilihan raya umum Mac lalu mengisytiharkan keluar daripada Barisan Nasional (BN) dan menyertai PKR.

Perak kini diterajui pakatan pembangkang Pas, DAP dan PKR dengan menguasai 31 kerusi DUN manakala BN 28 kerusi.

Mengulas cadangan Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail memansuhkan sayap-sayap parti bagi menghapuskan gejala politik wang, Dr Rais berkata setiap cadangan untuk memperbaiki Umno pada ketika ini akan diambil kira, namun cadangan itu haruslah praktikal dan mendatangkan faedah.

"Jika didapati suara majoriti nanti bahawa sayap-sayap tersebut sesungguhnya tidak mendatangkan faedah atau melemahkan perjuangan tentu MT akan buat keputusan itu.

"Pada masa ini memang kita menggalakkan semua pihak memberi pandangan tetapi kita jangan terlalu mabuk pandangan pada masa ini selain daripada menghapuskan rasuah dalam parti dan mengukuhkan Umno itu sendiri," katanya.

Dipecat selepas muncul di kempen Anwar - MalaysiaKini

Jan 28, 09 4:45pm

Bekas imam Masjid Wilayah Persekutuan - mendakwa diarah menjadi saksi sumpah laknat seorang pemuda yang menuduh diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim - dipecat daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Ramlang Porigi, yang ditukar serta-merta ke jabatan tersebut September lalu tidak lama selepas berucap dalam satu kempen politik ketika pilihanraya kecil Permatang Pauh, mendapat surat pemecatan itu minggu lalu.

Dalam surat bertarikh 20 Januari, ketua pengarah Jakim Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz menyatakan bekas imam muda itu didapati "bersalah dan dikenakan hukuman buang kerja".

Tindakan itu dipercayai dengan sebab Ramlang dianggap telah "mencemarkan nama perkhidmatan awam" setelah naik pentas politik dalam kempen Anwar pada 24 Ogos lalu.

Lembaga Tatatertib Kumpulan Sokongan (No 1) Jakim mengambil keputusan itu dalam satu mesyuaratnya pada 16 Januari lalu.

azmin ramlang pc 250808 01Ramlang dihadapkan dengan empat pertuduhan - tiga daripadanya kerana berucap di tiga tempat berasingan di kawasan parlimen tersebut pada hari berkenaan.

Peguam bekas imam itu Ahmad Nizam Hamid memberitahu Malaysiakini hari ini, pertuduhan keempat - mengadakan sidang media pada tengah hari 25 Ogos - bagaimanapun tidak benar.

Ramlang mengadakan sidang media bersama Naib Presiden PKR Mohamad Azmin Ali (foto atas) dan beberapa pemimpin pembangkang sejurus selepas tengah malam hari yang sama di pusat khidmat parti itu di Penanti.

Peguam itu menambah, tanpa memberikan sebarang alasan jelas, surat Jakim itu menyatakan "keterangan-keterangan sedia ada telah mencukupi" untuk memecat Ramlang.

ramlang porigi imam witness in saiful bukhari azlan anwar ibrahim sodomy 2 210808Pada 15 Ogos lalu, Ramlang termasuk antara empat pegawai Masjid Wilayah Persekutuan yang menghadiri majlis sumpah Mohd Saiful Bukhari Azlan (foto, kanan) di masjid tersebut yang mendakwa diliwat oleh penasihat PKR itu dua bulan sebelumnya.

Ramlang kemudian muncul di tiga majlis ceramah anjuran Pakatan Rakyat (foto bawah, kanan) - kira-kira 48 jam sebelum hari pengundian di Permatang Pauh - menjelaskan beliau telah diarahkan hadir di majlis sumpah itu.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan lebih lanjut pihak yang mengarahkannya berbuat demikian.

Menurut Wan Mohamad lagi, yang bertindak sebagai pengerusi Lembaga Tatatertib Kumpulan Sokongan (No 1) Jakim, tindakan terhadap Ramlang dibuat mengikut Peraturan 38(g) Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

ramlang permatang pauh ceramah 250808 02Jakim juga menolak permohonan Ramlang untuk menghadapi satu siasatan dalaman berhubung tindakan disiplin terhadapnya dalam jawapannya kepada surat tunjuk sebab Jakim pada November lepas.

Ahmad Nizam menjelaskan, Ramlang yang kini sedang berehat akan mengemukakan rayuan bertulis selewat-lewatnya minggu depan seperti menurut Peraturan 14 dan 15(1) peraturan yang sama.

Pada 7 Ogos tahun lepas, Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful di sebuah kondominium di ibu negara pada 26 Jun lalu.

Lagi Adun Perak pasang niat keluar BN - MalaysiaKini

Muda Mohd Noor | Jan 28, 09 12:39pm

Selepas kejutan yang dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bota, kini wakil rakyat Lintang pula Datuk Ahmad Fakeh Adam sedang menimbang untuk meninggalkan Umno "beberapa hari lagi".

"Ketika ini 50-50. (Niat) nak kekal (dalam Umno) dengan masuk pembangkang sama banyak.

"Orang PAS, PKR dan DAP hari-hari telefon dan hantar SMS. Yang dah datang jumpa pun ada, yang nak jumpa pun ada lagi," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Beliau bagaimanapun belum memutuskan parti pembangkang yang bakal disertainya jika meninggalkan BN.

Beliau menambah, ada pemimpin DAP ingin menawarkan jawatan menteri besar Perak tetapi "saya tahu itu gula-gula sahaja."

"(Tetapi) hati rasa hendak keluar (Umno). Kita (Adun) telah dipinggirkan.

"Kami seolah-olah tidak penting. Yang lebih penting sekarang ialah ketua Umno bahagian," katanya.

Ahmad Fakeh yang kalah bertanding jawatan ketua Umno bahagian Sungai Siput, Oktober lalu, berkata, ada beberapa Adun lagi yang tidak puas hati dengan keadaan yang berlaku sekarang.

Beliau kalah kepada timbalannya Datuk Mohd Zulkifli Harun dalam pertandingan satu lawan satu jawatan tersebut.

Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (Adun Kubu Gajah), Datuk Hamdi Abu Bakar (Pengkalan Baharu) dan Hamidah Osman (Sungai Rapat) diura-urakan turut kecewa.

Ahmad Fakeh bagaimanapun tidak pasti sama ada mereka juga berhasrat untuk meninggalkan Umno dan menyertai parti pembangkang.

"Saya sudah membawa perkara ini dalam mesyuarat Umno Perak tetapi tiada tindakan yang diambil.

"Tetapi bila (Datuk) Nasharuddin Hashim (Adun Bota) keluar parti, baru kelam-kabut, baru kami ini penting," katanya.

Nasharuddin mengumumkan menyertai PKR hujung minggu lalu, menjelang sambutan Tahun Baru Cina.

Ahmad Fakeh berkata, beliau kecewa kerana kerajaan pusat lambat memberi peruntukan kewangan walaupun wang sudah ada.

Sebaliknya, kata beliau, peringkat persekutuan begitu cepat meluluskan bantuan kepada ketua Umno bahagian.

Sebagai contoh, katanya, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mudah memberikan bantuan kepada ketua bahagian walaupun mereka bukan wakil rakyat.

“Ini menjadi masalah kepada Adun yang tidak memegang jawatan ketua bahagian,” katanya lagi.

Bantuan tetap kerajaan pusat kepada setiap Adun ialah RM300,000 setahun, tidak termasuk peruntukan tambahan yang perlu dimohon, tambahnya.

Katanya lagi, seseorang Adun sukar membantu penduduk di kawasan yang diwakilinya tanpa wang peruntukan tersebut.

Calon timb presiden enggan kompromi - MalaysiaKini

Muda Mohd Noor | Jan 28, 09 6:19pm

Datuk Seri Mohd Ali Rustam akan tetap bertanding jawatan timbalan presiden Umno, Mac ini walaupun ada cadangan supaya jawatan tersebut dikompromi di antara tiga calonnya.

"Sebagai calon yang telah dipilih oleh ahli untuk bertanding, tidak ada sebab untuk saya berkompromi atau menarik diri.

"Saya ucapkan tahniah kalau ada yang memberi cadangan untuk berkompromi tetapi saya tidak akan tarik diri. Kalau ada calon lain yang menarik diri, alhamdulillah," kata ketua menteri Melaka.

Beliau diminta mengulas cadangan Umno bahagian Besut yang menyarankan calon-calon jawatan tersebut dan naib presiden Umno supaya berkompromi dan memberi keutamaan kepada mereka yang mampu meningkatkan kekuatan parti.

Ketua bahagian tersebut Datuk Seri Idris Jusoh berkata, cadangannya akan dikemukakan kepada Majlis Tertinggi (MT) dalam masa terdekat - dijadual diadakan minggu ini.

Sebaliknya Mohd Ali berkata, semua calon termasuk beliau ada kelebihan masing-masing dan terpulang kepada ahli untuk menentukan kelebihan mereka.

“Kalau ikut rekod, saya telah berkhidmat dengan parti sejak 1968 di semua peringkat, dari cawangan, bahagian, negeri hingga pusat," katanya lagi.

Seorang lagi calon jawatan timbalan presiden Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata, cadangan bekas menteri besar Terengganu itu tidak bermakna ia mewakili pandangan majoriti.

Tambahnya, dalam Umno, sesiapa sahaja bebas memberikan pandangan untuk memantapkan parti.

"Bagaimanapun, ia tidak sepatutnya menjurus kepada satu cadangan (Idris) sahaja kerana ada pelbagai aspek yang perlu diberikan perhatian," katanya.

Malaysiakini gagal mendapatkan ulasan seorang lagi calon jawatan nombor dua, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Rithauddeen: Mansuhkan sayap utama Umno - MalaysiaKini

Jan 28, 09 3:31pm

Umno dicadang menyusun semula struktur organisasinya dengan memansuhkan sayap-sayap parti, jika ia benar-benar serius hendak menghapuskan gejala politik wang.

Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail berkata, berkata gejala politik wang dalam parti itu boleh dibendung jika pemilihan di dalam parti dapat dikurangkan, termasuk memansuhkan sayap-sayap parti, terutamanya yang baru ditubuhkan.

tengku ahmad rithauddeen"Saya dok (tidak) fikir perlukah ada Puteri dan Putera kerana lagi ada Puteri dan Putera banyak lagi duit dok main. Saya juga memikir barangkali Pemuda dan Wanita juga perlu dipertimbang (untuk dimansuhkan).

"Di England rasanya tidak ada womens or ladies association (saya wanita) baik dalam parti Konservatif mahupun Parti Buruh," katanya seperti laporan Bernama.

Ditemui pada sidang media lembaga itu hari ini berkata, anggota Puteri dan Putera yang rata-rata masih terlalu muda sepatutnya
memberikan tumpuan kepada pelajaran dan bukannya terlibat di dalam arena politik.

"Puteri dan Putera ini sepatutnya mementingkan pelajaran, bukan masanya untuk mereka terlibat dalam politik, kalau hendak bagi pendedahan pun janganlah terlalu awal.

"Mereka ini masih umur belasan dan awal 20-an," katanya yang mengakui ada anggota sayap itu yang terlibat politik wang tetapi setakat ini tidak ada mana-mana pihak yang tampil membuat aduan.
"Kita bergantung kepada orang muda untuk membawa negara kita pada tahap yang tinggi dan bertanding dengan negara lain, kalau nak berpolitik, tak de kerja lainlah, politik sahaja," katanya.

Beliau juga berpendapat sistem kuota yang diamalkan sekarang perlu dimansuhkan kerana ia membawa akibat buruk kepada parti dari aspek gejala politik wang, lapor agensi berita itu lagi.

Seseorang ahli perlu mendapat sejumlah pencalonan dari
bahagian-bahagian untuk layak bertanding jawatan-jawatan utama dalam Umno.

Tuesday, January 27, 2009

Juruterbang Pesawat Ringan Yang Hilang Dijumpai Selamat - Bernama

26 Januari, 2009 22:04 PM

KULAIJAYA, 26 Jan (Bernama) -- Sebuah pesawat ringan enam tempat duduk milik sebuah kelab penerbangan persendirian yang hilang daripada kawalan radar sejurus selepas berlepas dari Lapangan Terbang Senai di sini hari ini, telahpun dijumpai pada 5 petang ini.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya Supt Zulkefly Yahya berkata juruterbang Sanjay Purosottam, 40, seorang warga Singapura dijumpai selamat tetapi tersepit dalam pesawat jenis Cessna 152 itu.

"Bahagian ekor pesawat telah dikesan oleh helikopter TUDM dan unit udara Bomba pada pukul 4.30 petang dan masing-masing menurunkan dua anggota untuk memeriksa keadaan pesawat dan mangsa," katanya.

Pesawat tersebut dikesan dalam keadaan menjunam dan tersangkut di atas dahan pokok di lereng bukit curam setinggi 500 meter di Hutan Simpan Gunung Pulai.

Zulkefly berkata keadaan Sanjay tidak begitu parah dan beliau dapat menelefon isterinya untuk memberitahu agar tidak bimbang.

Kira-kira 60 anggota Pasukan Gerakan Am serta pasukan Bomba dan Penyelamat dihantar pada malam ini dengan berjalan kaki ke tempat kejadian bagi mengeluarkan mangsa.

Katanya usaha menyelamat dihalang cuaca gelap dan kedudukan pesawat di atas dahan di lereng bukit yang curam boleh membahayakan nyawa mangsa dan juga anggota penyelamat.

Sekiranya keadaan membenarkan, Sanjay akan dibawa keluar dengan berjalan kaki atau sebaliknya, beliau akan dirawat terlebih dahulu dan dikeluarkan dari lokasi nahas esok dengan menggunakan helikopter.

Pesawat yang dipandu berseorangan itu berlepas dari Lapangan Terbang Senai pada 9.40 pagi dan sepatutnya sampai di Lapangan Terbang Batu Berendam di Melaka pada 10.50 pagi.

Bagaimanapun, maklumat yang diperoleh Jabatan Penerbangan Awam (JPA) mengatakan Sanjay memohon kebenaran untuk berpatah balik berikutan angin kencang.

Setelah dibenarkan berpatah balik, Zulkefly berkata pesawat itu terputus hubungan dengan menara kawalan trafik udara Senai pada 10.15 pagi dan tiada panggilan kecemasan diterima daripada beliau.

JPA mengesahkan terdapatnya angin lintang pada masa kejadian.

Jabatan itu telah memaklumkan kejadian tersebut kepada keluarga Sanjay di Singapura.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...