Sunday, February 15, 2009

Pakatan pula dakwa Umno penderhaka Raja-raja - mStar Online

PETALING JAYA: Pakatan Rakyat mendakwa hanya Umno dan Barisan Nasional (BN) yang terlebih dahulu menderhaka kepada Sultan dan Raja-Raja iaitu sewaktu Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri dengana menggubal Perlembagaan Persekutuan yang menghakis kekebalan Raja-Raja Melayu.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Syed Husin Ali berkata, tuduhan yang dilemparkan oleh Umno terhadap Pakatan Rakyat berhubung isu derhaka sengaja dibangkitkan supaya rakyat memandang negatif terhadap pakatan pembangkang itu.

"Siapa yang derhaka sebenarnya? Kalau mereka kata kita derhaka, Dr. Mahathir dan Umno lagi awal menderhaka apabila pada yahun 1993 mereka tarik kekebalan Raja-Raja Melayu," katanya dalam ucapan pembukaan Bengkel Memperkasakan Gabungan Pakatan Rakyat di sini pagi tadi.

KOMEN ANWAR

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam blognnya berkata, "sekonyong-konyong saya dipersalahkan serta dituduh bertindak dengan tidak menurut lunas-lunas Perlembagaan oleh Pak Lah (Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) di atas apa yang berlaku di Perak."

"Perdana Menteri sewajarnya mengetahui yang sengaja membelakangkan kehendak Perlembagaan Persekutuan serta Undang-Undang Tubuh Negeri Perak ialah timbalan beliau Datuk Seri Najib Razak."

Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat menambah, tindakan Najib yang cuba menjatuhkan pentadbiran Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dengan cara mengugut, merasuah serta bermain silap mata dengan menghilangkan individu tertentu, "sebenarnya mengenepikan Perlembagaan, juga dengan sengaja mencemar kemulian, bukan sahaja Sultan Perak, malah Institusi Raja-Raja Melayu itu sendiri."

Ketua Pembangkang di Parlimen itu menambah, Raja dan Sultan adalah penjaga kepada Sistem Raja Berperlembagaan dan demokrasi di negara ini.

Oleh itu, kata beliau, tindakan Pakatan Rakyat menyaman Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir menunjukkan komitmennya dalam memulihkan kembali penjalanan proses demokrasi di Perak serta memastikan institusi Raja tidak dicemar dengan tindakan segelintir yang berpolitik menurut mazhab Machiavelli.

Isu derhaka mula wujud apabila Pengerusi DAP, Karpal Singh mahu memfailkan saman terhadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

Begitu juga 'sembah derhaka' yang dipohon oleh bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin.

Jelas beliau, Umno sememangnya bijak memainkan isu sentimen perkauman dan derhaka apabila Pakatan Rakyat mempertikaikan pelantikan Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak.

"Ini memang modal mereka. Mereka akan terus hidup apabila memainkan isu perkauman dan derhaka.

"Tapi mereka lupa isu ini sebenarnya sudah lapuk dan merekalah penderhaka yang sebenarnya," katanya.

Isu derhaka ini turut menyebabkan kemurkaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap pihak yang mengadakan demonstrasi jalanan membantah titah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah berhubung pelantikan kerajaan Perak.

KOMEN NAIB PRESIDEN PAS

Sementara itu Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata, pihaknya tidak melihat apa yang berlaku di Perak itu sebagai tindakan menderhaka kepada Sultan.

"Kita tidak menderhaka, sebaliknya kita hanya amalkan dan pertahankan hak mengikut undang-undang," katanya.

Calon PAS di Bkt Gantang, PKR di Bkt Selambau - MalaysiaKini

Feb 15, 09 6:38pm

Pakatan Rakyat akan meletakkan calon mengikut parti yang bertanding dalam pilihanraya umum lalu di kedua-dua pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang, Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, Kedah.

Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa berkata Pakatan Rakyat telah bersetuju untuk meletakkan calon PAS bertanding di Parlimen Bukit Gantang dan calon PKR di kerusi DUN Bukit Selambau, lapor Bernama.

"Cuma nama calon akan diumumkan kelak, senarai nama mengikut parti bertanding sudah ada, menunggu masa yang sesuai sahaja," katanya kepada pemberita selepas majlis pembukaan bengkel memperkasakan Pakatan di ibunegara hari ini.

Pilihanraya kecil DUN Bukit Selambau, Kedah diadakan berikutan wakil rakyatnya V Arumugam dari PKR meletakkan jawatan Ahad lalu manakala pilihanraya kecil Parlimen Bukit

Gantang, Perak diadakan ekoran kematian ahli Parlimennya, Roslan Shaharum, dari PAS Isnin lalu akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan pilihanraya kecil bagi kedua-dua kerusi itu akan diadakan serentak pada 7 April ini. Penamaan calon ditetapkan pada 29 Mac depan.

Arumugam, yang bertanding atas tiket bebas dalam pilihanraya umum tahun lalu, memenangi kerusi DUN Bukit Selambau atas tiket bebas, dengan menewaskan calon Barisan Nasional (BN), S Krishnan dengan majoriti 7,695 undi.

Arumugam kemudian menyertai PKR dan dilantik sebagai exco kerajaan negeri dengan memegang portfolio Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Perpaduan, Pekerja Ladang dan Hal Ehwal Masyarakat India.

Allahyarham Roslan, 50, menewaskan Bendahari Umno Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dan calon Bebas Mohganan P.Manikam dengan majoriti 1,566 undi di kerusi Bukit Gantang.

BN pilih anak tempatan

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Barisan Nasional (BN) telah memutuskan untuk memilih anak tempatan dari Umno untuk bertanding di Bukit Gantang.

Calon yang akan dipilih adalah dari kalangan yang bergerak aktif di peringkat bahagian dan boleh diterima oleh rakyat, katanya selepas mempengerusi mesyuarat tertutup BN Perak
di ibu pejabat Umno Perak di Ipoh hari ini.

Menjawab pertanyaan pemberita, Najib berkata syarat utama yang ditetapkan bagi pemilihan calon adalah anak tempatan yang boleh diterima oleh semua.

"Mesti anak tempatan...kita ada senarai panjang dan pendek. Nama akan ditentukan kemudian, kita punya masa lagi untuk buat tinjauan dan pilihanraya lama lagi. Kita akan buat (persediaan) apa yang patut," katanya.

Pemilihan anak tempatan sebagai calon BN hangat diperkatakan ekoran kekosongan kerusi berkenaan kerana pemilihan calon luar sebelum ini dianggap salah satu sebab kubu kuat BN itu terlepas kepada pembangkang dalam pilihanraya umum 2008.

Kelmarin, bekas Menteri Besar Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali kelmarin turut meminta BN belajar daripada kesilapan pada pilihanraya umum lalu serta menghormati kehendak penduduk tempatan.

Dalam pilihanraya umum lalu, BN meletak bendahari Umno Datuk Seri Azim Zabidi sebagai calon manakala dalam pilihanraya umum 2004, kerusi berkenaan dimenangi oleh Ketua Wanita Gerakan Datuk Tan Lian Hoe.

Selain kalah di parlimen itu pada pilihan raya umum 2008, BN hanya mempertahan satu daripada tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen itu iaitu DUN Trong manakala DUN Kuala Sepetang dan Changkat Jering dirampas oleh PKR.

Saravanan calon Bukit Selambau? - MalaysiaKini

Athi Veranggan | Feb 15, 09 12:32pm

MIC mungkin mencalonkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Selambau, V Saravanan untuk bertanding dalam pilihanraya kecil di situ pada 7 April depan.

Menurut sumber-sumber, Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu sedang menimbang secara serius untuk mencalonkan Saravanan yang juga pengerusi MIC Kedah bertanding bagi merebut semula kerusi
tersebut.

bm version bukit selambau state seat 090209Saravanan, 61, menjadi Adun Bukit Selambau serta ahli exco kerajaan negeri Kedah selama 13 tahun dari 1995 hingga 2008.

Beliau bagaimanapun tidak mempertahankan kerusi itu dalam pilihanraya umum tahun lalu untuk memberi laluan kepada calon muda dari MIC, S Krishnan, yang tewas kepada calon bebas V Arumugam dengan majoriti 2,362 undi.

Arumugam, 54, meletak jawatan secara mengejut bagi jawatan exco negeri serta Adun Bukit selambau awal bulan ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihanraya bagi kerusi tersebut diadakan pada 7 April depan, manakala pencalonan calon pada 29 Mac ini.

Ketika dihubungi, Saravanan bagaimanapun berkata, beliau tidak tahu yang namanya sedang dipertimbang untuk bertanding di Bukit Selambau.

Namun begitu, katanya, jika dipilih, beliau akan berusaha sebaik mungkin untuk merampas semula kerusi tersebut dalam pilihanraya kecil kali ini.

Sementara itu, pengerusi badan perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata Umno negeri akan menerima apa juga keputusan pucuk pimpinan parti mengenai calon yang akan bertanding.

"Datuk Seri Najib telah dimaklumkan dan beliau faham suasana di Bukit Selambau. Jadi saya berharap sebarang keputusan akan mengambil kira pelbagai sudut," kata Mahdzir.

Ketua Umno bahagian Merbok, Datuk Tajul Urus Md Zain sebelum ini dilaporkan memohon supaya kerusi Bukit Selambau yang diberikan kepada MIC selama empat penggal, dipulangkan kepada Umno.

Umno Penderhaka Agung

http://bloggersnetworkmalaysia.com/?p=528


Mohamed Hanipa Maidin

Kini, hampir setiap hari kita mendengar media massa yang dikongkong oleh Umno menuduh Dato’ Seri Nizar Jamaluddin sebagai penderhaka. Laporan polis juga telah dilaporkan dibuat ke atas Nizar.







Inilah politik kotor yang dimainkan oleh ‘parti kotor’ seperti Umno. Baik dulu, kini dan selamanya Umno sering terjebak dalam politik kotor. Politik orang yang tidak bertamadun dan parti yang tidak bermaruah.

Umno penderhaka agung

Jika Umno tidak diserang penyakit ‘amnesia’ (penyakit mudah lupa) sudah tentu parti tersebut patutnya merasa malu untuk bermain isu derhaka ini. Kerana apa? Kerana jika satu jari Umno menuduh Nizar sebagai penderhaka, maka empat jari Umno yang lain sebenarnya sedang menuding kepada Umno sendiri sebagai “penderhaka par excellence” (penderhaka agung).

Bagaimanakah pemimpin Umno seperti Muhammad Taib boleh dengan tidak malu tumpang sekaki menuduh Nizar sebagai penderhaka sedangkan semua orang tahu beliau adalah “kepala penderhaka” apabila dengan tanpa segan silu sanggup melarikan anak Raja.

Siapakah yang tergila-gila sanggup berarak untuk membawa Tengku Ibrahim dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu bagi menggantikan Sultan Kelantan? Siapa lagi kalau bukan penderhaka Umno. Mungkin parti itu menganggap mengganti sultan semudah menukar pengerusi JKKK.

Siapakah yang telah mewujudkan krisis Perlembagaan pada tahun 1983 kalau bukan Umno. Kerakusan Umno mempertahankan kuasa telah mendorong Umno mencadangkan satu pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi meminda peruntukkan yang berkaitan dengan kuasa perkenan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja serta kuasa Yang DiPertuan Agung untuk mengisytiharkan darurat.

krisis perlembagaan 1983

Pindaan yang dkemukakan pada pertengahan tahun 1983 diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara tetapi Yang di-Pertuan Agong enggan menandatangani rang undang-undang Perlembagaan (Pindaan 1983) tersebut setelah baginda berbincang dengan raja-raja yang lain.

Pindaan Perlembagaan 1983 tersebut bukan sahaja mewujudkan krisis perlembagaan tetapi buat kali pertamanya selepas Merdeka raja-raja dan pemimpin kerajaan yang dikuasai oleh Umno mengadakan rapat umum untuk menghentam raja-raja. Rapat umum yang dianjurkan oleh Umno telah meletakkan kedudukan raja dipandang hina masyarakat awam.

Tidak cukup menghina raja-raja pada tahun 1983, Umno sekali lagi dengan rakus bertembung dengan raja-raja pada tahun 1990. Pertembungan tersebut berlaku selepas Umno kalah teruk di Kelantan pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1990. Mana-mana orang yang tidak buta sejarah seperti pemimpin Umno tentu tidak dapat melupakan bagaimana Perhimpunan Agung Umno pada tahun 1991 menyaksikan kritikan-kritikan yang pedas, tajam, kurang ajar dan tidak beradab terhadap raja-raja Melayu.

Pihak istana Kelantan dibidas dengan terbuka dan dituduh bertanggungjawab terhadap kekalahan calon-calon BN di tangan calon-calon Angkatan Perpaduan Ummah (APU). Bukan sahaja Sultan Kelantan dibidas dengan tajam dan pedas, raja-raja lain turut menjadi bahan kritikan dengan pelbagai tuduhan seperti menyalahgunakan kedudukan untuk mendapat kelebihan dan peluang perniagaan, mencampuri hal ehwal pentadbiran dan sebagainya (lihat Far Eastern Economic Review 28/11/1991 m.s. 13).

Semasa krisis itu juga, media-media massa tajaan Umno membangkitkan kembali krisis beberapa orang Sultan dan Menteri Besar Umno seperti yang berlaku di Perak pada tahun 1997; (Tan Sri Ghazali Jawi enggan meletak jawatan apabila diperintah oleh Sultan Perak mendorong baginda enggan bercukur jambang sehingga Menteri Besar tersebut meletakkan jawatan); dan di Pahang pada tahun 1979 (membabitkan Datuk Rahim Abu Bakar).

juara menderhaka

Kalau tidak cukup bukti-bukti di atas yang secara jelas menunjukkan Umno sebagai juara menderhaka kepada raja, saya ingin membawa para pembaca pula kepada pindaan Perlembagaan tahun 1993.

Pindaan Perlembagaan tahun 1993 melibatkan isu cubaan Umno untuk menghapuskan imuniti raja-raja. Keputusan Majlis Raja-Raja yang meminta masa untuk mengkaji cadangan pindaan tersebut tidak disenangi oleh Umno. Apa yang berlaku selepas itu seperti mana yang diketahui umum; media-media massa yang dikawal oleh Umno menyiarkan kenyataan tidak bersopan dan beradab beberapa orang Menteri yang mendedahkan apa yang didakwa sebagai salah laku raja-raja dan anggota kerabat Diraja tertentu.

mengaibkan raja-raja

Sekali lagi Umno mengulangi taktik mengaibkan raja-raja seperti mana yang dilakukan semasa krisis Perlembagaan tahun 1983.

Bersandarkan bukti-bukti di atas, kini sipenderhaka Umno yang sama tanpa segan silu menuduh Nizar pula sebagai penderhaka.

Ya, memang benar Nizar mengakui telah “menyembah sembah derhaka” semasa beliau diminta oleh Yang Mulia Tuanku Sultan untuk mengundur diri daripada jawatan Menteri Besar Perak. Apabila seseorang tidak bersetuju dengan titah sultan menjadi adat dan bahasa istana seseorang akan menyatakan “hamba memohon untuk menyembah sembah derhaka”.

“Sembah derhaka” bermaksud tidak bersetuju dalam bahasa rakyat. Di dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja Menteri-Menteri Besar saya difahamkan dipanggil “hamba tua” . Ini bahasa istana dan nak buat macam mana?

jahil bahasa istana

Malangnya Umno yang jahil dengan bahasa istana menganggap Nizar sebagai derhaka apabila memohon “menyembah sembah derhaka? . Naif dan ceteknya pemikiran Umno.

Nizar memohon menyembah derhaka kepada Yang Mulia Tuanku Sultan kerana beliau berpandangan Sultan tidak mempunyai kuasa memecatnya. Ini kerana berdasarkan Perkara 16(7) Perlembagaan Negeri Perak, secara jelas memperuntukkan bahawa tidak sepertimana ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri yang memegang jawatan dengan kerelaan sultan (at his pleasure) yang membolehkan para exco boleh dilantik dan dipecat oleh Sultan pada bila-bila masa, jawatan Menteri Besar adalah berbeza dengan jawatan exco. Dengan lain perkataan jawatan Menteri Besar tidak dipegang di atas keredaan sultan.

Menteri Besar seperti Nizar hanya boleh diminta untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar sekiranya beliau telah tidak lagi mendapat kepercayaan (ceases command of confidence) kebanyakan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Perak seperti mana yang diperuntukkan di dalam Perkara 16(6) Perlembagaan Negeri Perak.

Persoalannya bagaimanakah kaedah untuk menentukan seseorang Menteri Besar itu telah tidak lagi mendapat kepercayaan kebanyakan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri menurut perpektif undang-undang?

Apa yang berlaku pada kes Nizar ini samalah seperti yang berlaku kepada Ketua Menteri Sarawak pada tahun 1966. Di dalam kes Stephen Kalong Ningkan lwn Tun Abang Haji Openg & Tawi Sli (1966) 2 MLJ 187, Mahkamah Tinggi Borneo telah memutuskan bahawa di bawah Perlembagaan Negeri Sarawak (sama seperti Perlembagaan Negeri Perak) “lack of confidence may be demonstrated only by a vote in the Council Negeri” (kehilangan kepercayaan hanya boleh ditunjukkan melalui undi tidak percaya di dalam sidang Majlis Negeri (sama seperti Dewan Undangan Negeri)).

undi tidak percaya

Oleh itu Nizar mempunyai sebab yang kukuh untuk enggan meletakkan jawatan. Di dalam kes di Perak kekuatan BN dan Pakatan Rakyat sama iaitu masing-masing 28 kerusi. Ketiga-tiga bekas Adun Pakatan Rakyat hanya menjadi Adun Bebas dan bukannya Adun BN. Maka isu sama ada ketiga-tiga Adun berkenaan dikatakan menyokong BN mestilah dibuktikan melalui undi tidak percaya di dalam sidang Dun.

Terdapat keraguan sepertimana yang diakui oleh SPR sama ada ketiga-tiga Adun ini masih boleh dianggap sebagai Adun kerana terdapat bukti yang kukuh mereka telah meletakkan jawatan sebagai Adun seperti mana surat mereka yang telah ditandatangani dan dialamatkan kepada Tuan Speaker.

Berdasarkan Perkara 35 Perlembagaan Negeri Perak, surat perletakan jawatan ketiga-tiga Adun tersebut adalah sah. Hatta jika terdapat keraguan sekalipun sama ada ketiga-tiga Adun tersebut masih boleh dikira Adun atau tidak, badan yang boleh menentukan kelayakan ketiga-tiga Adun tersebut hanyalah Dun Perak seperti mana yang diperuntukkan di bawah Perkara 33(1) Perlembagaan Negeri Perak yang secara jelas menyatakan: “Jikalau berbangkit sebarang masalah adakah seseorang ahli Dun itu telah kehilangan syarat menjadi ahli, maka keputusan dewan itu hendaklah diambil dan hendaklah muktamad”.

Dun tentukan status Adun

Jelas Dun Negeri Perak dan bukannya SPR yang berhak menentukan sama ada ketiga-tiga Adun tersebut masih layak sebagai Adun atau tidak dan keputusan Dun tersebut adalah muktamad. Apa yang malang tatkala Y.M. Sultan melantik Menteri Besar yang baru, Dun Perak masih belum lagi memutuskan tentang status kelayakan ketiga-tiga Adun tersebut. Dalam keadaan tersebut terdapat keraguan yang munasabah sama ada Nizar telah dikatakan hilang keyakinan majoriti ahli-ahli Dun Perak.

Atas dasar itulah Nizar mempunyai asas yang kukuh di sisi undang-undang untuk memohon kepada Tuanku Y.M. Sultan untuk “memohon menyembah sembah derhaka” untuk enggan meletakkan jawatan sebagai MB Perak. Malangnya “sembah derhaka” tersebut difahami oleh sipenderhaka Umno sebagai derhaka. _ HRKH

Friday, February 13, 2009

7 April p'raya di Bkt Gantang, Bkt Selambau - MalaysiaKini

Jimadie Shah Othman | Feb 13, 09 11:53am

Pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang di Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, di Kedah akan diadakan serentak pada 7 April depan.

Manakala tarikh penamaan calon pula - bagi kedua-dua kerusi tersebut - ditetapkan pada 29 Mac.

abdul aziz yusof spr by election bukit gantang selambau 120209 06Pengumuman tersebut dibuat oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof selepas mempengerusikan mesyuarat suruhanjaya itu di Putrajaya pagi tadi.

Ini bermakna kedua-dua pilihanraya kecil itu akan diadakan selepas perhimpunan agung Umno yang bakal menyaksikan pemilihan pucuk pimpinan parti terbesar orang Melayu itu.

Perhimpunan agung Umno dijadualkan berlangsung dari 24 hingga 28 Mac depan.

Kerusi Parlimen Bukit Gantang kosong ekoran kematian penyandangnya, Roslan Shaharum daripada PAS akibat diserang sakit jantung.

Manakala V Arumugam daripada PKR meletak jawatan sebagai Adun Bukit Selambau.

P'raya kecil pertama Najib

Ini juga merupakan pilihanraya kecil pertama bagi Datuk Seri Najib Tun Razak seandainya peralihan kuasa dalam Umno dan kerajaan berjalan seperti yang dijangkakan.

bm version bukit selambau state seat 090209Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangka menyerahkan kuasa kepada Najib sejurus selepas selesai perhimpunan agung Umno bulan depan.

Mengenai kerusi Bukit Selambau, Abdul Aziz berkata, beliau berpuashati dengan dokumen yang diberikan, yang menurutnya, sah dan asli dari Arumugam.

"Setelah kita berbincang, kita dapati tidak ada unsur-usnur keraguan," tambahnya.

Mengenai keputusan untuk mengadakan pilihanraya kecil serentak bagi kedua-dua kerusi berkenaan, Abdul Aziz berkata:

"Kita tidak mahu tempoh berkempen terlalu panjang. Apabila ini berlaku, macam-macam isu akan keluar, mungkin timbul keresahan, mungkin akan mengancam keselamatan awam dan negara. Kita tidak mahu orang yang berkempen letih".

Beliau juga berkata tarikh pilihanraya kecil tidak ada kena-mengena dengan perhimpunan Umno bulan depan.

"Keputusan ini dibuat supaya semua selesa," tambahnya.

Daftar pemilih


Abdul Aziz juga memberitahu, daftar pemilih untuk kedua-dua kawasan ditentukan berdasarkan Daftar Pemilih Induk 2007 dan digabungkan dengan daftar tambahan pada suku pertama, suku kedua dan suku ketiga 2008.

Katanya, daftar tersebut akan mula dijual mulai 21 Februari bagi senarai tanpa saluran dan pada 21 Februari bagi senarai dengan saluran.

bm version bukit gantang parliamentary seat 090209Terdapat 55,562 pemilih berdaftar di Bukit Gantang dengan 55,426 pemilih biasa dan 136 pemilih pos.

Di Bukit Selambau pula seramai 35,140 layak mengundi. Seramai 35,125 merupakan pemilih biasa, manakala 15 lagi pemilih pos.

Sebanyak 32 pusat mengundi akan dibuka di Bukit Gantang manakala sebanyak 22 lagi akan dibuka di Bukit Selambau.

Abdul Aziz juga berkata, Pemantau Bagi Pilihanraya Bebas dan Adil Malaysia (Mafrel) diberikan kebenaran menjadi pemerhati.

Tarikh tidak jejas pengundi

Ditanya kenapa SPR tidak memilih hari hujung minggu sebagai tarikh pengundian, seperti amalan biasa, Abdul Aziz berkata, ia dibuat berdasarkan tempoh 60 hari yang diperuntukan kepada mereka.

Katanya, ketetapan tarikh itu juga tidak akan menjejaskan jumlah pengundi yang akan turun menunaikan tanggungjawab.

"Kalau hendak mengundi, dia akan ambil cuti dan balik kampung. Sekolah-sekolah yang jadi tempat mengundi akan bercutilah," katanya.

Menurutnya, tempat penaman calon bagi parlimen Bukit Gantang akan diadakan di dewan Majlis Perbandaran Taiping.

Manakala tempat penamaan calon bagi DUN Bukit Selambau pula di Sekolah Menengah Teknik Sungai Petani 1.

Usaha BN pujuk Adun PKR Perak diteruskan - MalaysiaKini

Muda Mohd Noor | Feb 13, 09 5:33pm

Rundingan untuk memujuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR keluar parti di negeri itu masih berterusan, kata Ketua Penerangan Umno Perak, Datuk Sarani Mohamad.

Sehingga ini, katanya, Adun berkenaan belum membuat keputusan muktamad untuk meninggalkan PKR.

Bagaimanapun, Sarani enggan menamakan Adun terbabit ketika ditanya lanjut mengenainya.

Manakala bekas ketua Pemuda Umno Beruas, Mohd Ali Mansor pula mendakwa, seorang Adun PKR telah menyatakan hasrat untuk keluar parti dan menyokong Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, katanya, Adun berkenaan kini mendiamkan diri ekoran kemelut politik yang berlaku di Perak.

Katanya, rundingan dengan Adun terbabit sebelum ini menunjukkan tanda-tanda positif beliau akan meninggalkan pembangkang.

“Seorang Adun PKR yang mulanya telah setuju meninggalkan parti itu, kini telah mendiamkan diri.

"Saya tidak tahu sebabnya, tetapi dipercayai ekoran kemelut politik yang berlaku sekarang.

“Bagaimanapun, usaha memujuk dan berunding dengan Adun itu perlu diteruskan kerana kerajaan baru BN dalam keadaan yang tidak cukup kuat," katanya.

Baru-baru ini, empat Adun pembangkang iaitu dua dari PKR dan seorang dari DAP telah keluar dari parti itu dan menjadi Adun bebas.

Jamaluddin Mohd Radzi (PKR-Behrang) dan Osman Zailu (PKR- Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (DAP-Jelapang) telah menyatakan sokongan kepada BN.

Manakala Adun Bota, Datuk Nasaruddin Hashim - yang menyertai PKR selama 10 hari, kembali semula ke pangkuan Umno, mengikut jejak tindakan tiga bekas Adun Pakatan itu.

Umno: Harapan BN tipis jika letak calon MIC - MalaysiaKini

Muda Mohd Noor | Feb 13, 09 5:11pm

Harapan Barisan Nasional (BN) untuk menang adalah tipis jika ia meletakkan calon MIC bertanding dalam pilihanraya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau pada 7 April depan, kata Naib Ketua Umno bahagian Merbok, Abdul Rahman Ahmad.

Sehubungan itu, katanya, rata-rata pengundi Bukit Selambau mahukan Umno bertanding di kerusi tersebut.

Abdul Rahman berkata, maklumat ini diperolehi dari cawangan-cawangan Umno, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan di Bukit Selambau.

"Jika letak calon MIC, tiada jaminan akan menang kerana undi orang India berpecah kepada parti itu dan parti lawan.

"Kekalahan calon MIC dalam pilihanraya umum lalu kerana faktor Hindraf yang menolak calon MIC dan menyokong pembangkang," katanya.

Abdul Rahman yang juga ketua Umno Kampung Sungai Lalang berkata, faktor calon juga memainkan peranan penting bagi BN merampas semula kerusi Bukit Selambau.

Katanya, penduduk tidak mahu calon dari golongan korporat kerana kerana mereka sukar berurusan dengan mereka.

"Jika anda ingat, Datuk Badri Yunus yang hanya seorang petani pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Selambau selama dua penggal berturut-turut pada tahun 1986 dan 1990," katanya.

'Mampuih tak menang'

Seorang lagi pemimpin Umno di bahagian tersebut, Ahmad Ali berkata, orang Melayu menolak calon MIC kerana banyak isu yang membabitkan kaum itu yang belum selesai.

Katanya, isu-isu kaum India itu akan digunakan oleh pembangkang untuk menyerang BN.

"BN perlu meletakkan calon Melayu jika ingin merampas semula kerusi Bukit Selambau. Kalau orang lain selain orang Melayu, orang Kedah kata, `mampuih tak menang.'" katanya lagi.

Seorang ahli jawatankuasa (AJK) Umno bahagian Merbok yang enggan namanya disiarkan berkata, BN sukar untuk menang jika meletakkan calon keturunan India bertanding di Bukit Selambau.

Ini, katanya, kerana MIC telah tidak mendapat sokongan daripada orang I ndia sendiri.

Bagaimanapun, katanya, sekalipun BN meletakkan calon dari Umno, ia bukan jaminan untuk menang.

"Orang India pula tidak akan menyokong calon dari kalangan orang Melayu. Dan cara untuk menyelesaikan masalah ini ialah BN mengadakan rundingan di antara komponen untuk menentukan calon terbaik.

"Tetapi jika calonnya orang Melayu, peluang untuk BN menang lebih cerah sedikit," katanya lagi.

Wednesday, February 11, 2009

Bukit Selambau juga senasib Changkat Jering, Behrang? - mStar

Kerusi Parlimen Bukit Gantang kini kosong berikutan ahli Parlimennya, Roslan Shaharum (kanan) meninggal dunia akibat serangan jantung Isnin lalu, manakala kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, kosong berikutan ADUNnya, V. Arumugam meletak jawatan.

PETALING JAYA:Banyak pihak mula membuat andaian kemungkinan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau juga tidak akan menyaksikan pilihan raya kecil, tetapi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mahu meneliti setiap dokumen sebelum mencapai keputusan mutakamad Jumaat ini.

Sambil menegaskan tidak "mengeruhkan keadaaan" dan "tidak boleh bercakap apa-apa lagi sekarang", ekoran andaian pelbagai pihak kini, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, setiap kekosongan yang wujud akan dilihat "kes demi kes" bagi menentukan kesahihan kerusi terbabit dikosongkan.

Ketika ditanya sama ada kemungkinan tiada pilihan raya kecil bagi DUN Bukit Selambau, Wan Ahmad memberitahu: "Saya tidak boleh bercakap tentang perkara itu... kita akan tengok berpandukan pada dokumen yang dilampirkan dan berasaskan pandangan penasihat undang-undang SPR."

"Saya tidak mahu mengeruhkan keadaan... SPR akan mengadakan mesyuarat. Saya belum melihat dokumen notis kekosongan kerusi (DUN Bukit Selambau), tetapi notis sudah pun diterima," kata beliau ketika dihubungi hari ini.

Notis itu diterima semalam dan difahamkan salinan asal sudah dihantar ke pejabat SPR di Putrajaya hari ini.

Semalam, Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu`adzam Shah dilaporkan ingin mendengar sendiri daripada V. Arumugam berhubung peletakan jawatan beliau.

Setiausaha Sulit Sultan Kedah, Datuk Wira Syed Unan Mashri Syed Abdullah berkata, Sultan Kedah telah menitahkan pejabatnya supaya Arumugam dipanggil menghadap ke istana berikutan spekulasi bahawa wakil rakyat itu yang mahu meletak jawatan sebagai ADUN Bukit Selambau dan exco negeri.

"Kami tidak dapat menghubunginya. Bagaimanapun, kami menerima surat daripada Arumugam yang menyatakan hasrat beliau untuk keluar," katanya.

Jumaat ini SPR juga akan menentukan tarikh pilihan raya kecil bagi kawasan Parlimen Bukit Gantang yang kosong ekoran kematian Roslan Shaharum dari PAS dan Pakatan Rakyat.

Sehubungan itu, Wan Omar berkata, apa yang diputuskan oleh SPR membabitkan kerusi DUN Changkat Jering dan Behrang di Perak minggu lalu tidak seharusnya akan mempengaruhi keputusan membabitkan Bukit Selambau yang terletak di Kedah.

"SPR akan mengkaji semua dokumen yang dikemukakan mengikut undang-undang dan merit sebelum membuat keputusan yang memuaskan," katanya lagi.

Wan Omar berkata, berdasarkan laporan media beliau juga difahamkan bahawa surat letak jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau, Arumugam diterima pejabat Menteri Besar Kedah menerusi wakilnya.

Selain kedudukan ADUN, Arumugam juga meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna, Perpaduan dan Masyarakat India Kedah.

Malam kelmarin, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata peletakan jawatan Arumugam disebabkan beliau mendakwa tidak tahan dengan ugutan pelbagai pihak supaya meninggalkan Pakatan Rakyat.

"Ugutan itu termasuklah termasuklah kononnya terdapat individu tertentu yang mewakili pemimpin Barisan Nasional (BN) menawarkan habuan RM5 juta supaya beliau melompat parti.

Peletakan jawatan itu yang berkuat kuasa serta-merta, dimaklumkan melalui surat yang dihantar Arumugam kepada Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah; Azizan dan Speaker DUN Kedah, Datuk Dr Isa Ismail petang kelmarin.

Minggu lalu, SPR memutuskan kedua-dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak, Mohd. Osman Jailu dan Jamaluddin Mohd Radzi - dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan kini wakil rakyat Bebas - yang dilaporkan meletak jawatan pada 1 Februari lalu, masih sah sebagai wakil rakyat.

Dengan itu, SPR mengisytiharkan tidak wujud kekosongan bagi kedua-dua kerusi berkenaan.

SPR memutuskan demikian ekoran wujudnya keraguan dalam surat letak jawatan yang dikemukakan oleh Speaker DUN Perak.

Menurut SPR, wujud keraguan terhadap surat-surat peletakan jawatan oleh penyandang kerusi berkenaan yang telah dikemukakan oleh Speaker DUN Perak.

"Satu surat mengatakan mereka meletak jawatan dan satu lagi surat daripada orang yang sama mengatakan mereka tidak meletak jawatan.

"Jadi, ini teleh menimbulkan keraguan kepada SPR untuk menerima surat peletakan jawatan tersebut," kata Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusuf minggu lalu.

Tambah Abdul Aziz, memandangkan kedua-dua penyandang kerusi berkenaan juga secara "sedar telah mengesahkan bahawa surat-surat berkenaan tidak berkuasa, oleh yang demikian SPR memutuskan bahawa berhubung dengan kedudukan kerusi-kerusi bagi Changkat Jering dan Behrang, SPR tidak dapat menggunakan kuasa di bawah Perkara 36(5) Perlembagaan Negeri Perak dalam memastikan wujud kekosongan luar jangka bagi kedua-dua kerusi berkenaan."

Dalam kes Bukit Selambau, Arumugam belum menafikan kandungan surat yang diterima oleh Menteri Besar Kedah setakat ini.

Arumugam kini berada di Chennai, India sejak kelmarin.

UMNO Bukit Gantang mahukan calon tempatan - Utusan

11/02/2009 6:41pm

TAIPING 11 Feb. - UMNO Bahagian Bukit Gantang mahu pucuk pimpinan parti meletakkan calon tempatan bagi pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang tidak lama lagi.

Ketuanya Datuk Rosli Husin berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dalam hal tersebut kerana sudah bersabar selama 23 tahun apabila terpaksa menerima `orang luar’ sebagai calon di kerusi tersebut.

Katanya, calon tempatan mesti diberi peluang kali ini selaras dengan kehendak serta keperluan masyarakat setempat. - Utusan

Larangan ceramah politik di Perak - MalaysiaKini

Jimadie Shah Othman | Feb 11, 09 3:46pm

Polis melarang sebarang ceramah politik di seluruh Perak sehingga situasi panas susulan pergeseran kerajaan BN dengan Pakatan Rakyat sejak minggu lalu mulai reda.

"Kita tidak benarkan sebab situasi tidak berapa elok," kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sewaktu dihubungi Malaysiakini hari ini.

musa hassanBeliau berkata pembekuan ini telah dimaklumkan kepada Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Ahmad dan pegawainya itu akan mengeluarkan arahan rasmi.

"Saya sudah beritahu ketua polis (Perak) dan beliau akan keluar arahan," kata Musa.

Beliau diminta menjelaskan dakwaan seorang pemimpin PKR bahawa polis membekukan ceramah Pakatan Rakyat di seluruh negara selama dua minggu ekoran kegelisahan politik di negeri tersebut.

Ditanya tempoh pembekuan permit itu akan dikuatkuasa di Perak yang kini sedang menyaksikan perebutan jawatan menteri besar dan kerajaan negeri, Musa tidak dapat menyatakan tarikh pasti.

Mengulas tindakan polis negeri-negeri lain, beliau berkata tiada arahan seumpama itu dan parti-parti politik yang berminat mengadakan ceramah harus melalui prosedur biasa untuk mendapatkan permit.

"Saya tidak dengar (dakwaan itu). Negeri lain, kalau parti nak buat, kena ikut syarat-syarat (mengadakan ceramah) seperti biasa," kata Musa lagi, ketika diminta mengulas penarikan balik permit ceramah di Pulau Pinang.

perak bn takeover protest mosque tear gas attack incident kuala kangsar rally 060209 31Suasana tegang berlaku dekat istana Kuala Kangsar sewaktu majlis angkat sumpah menteri besar baru BN, Jumaat lepas - sehingga memaksa polis melepaskan gas pemedih mata berkali-kali (foto kiri, bawah).

Sehari selepasnya, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membatalkan jadualnya di saat-saat akhir untuk menyambut Tahun Baru Cina di Ipoh - difahamkan atas alasan keselamatan.

Kawalan ketat polis mengiringi majlis angkat sumpah enam exco kerajaan baru BN itu semalam di istana Kuala Kangsar bagi menghalang sebarang kejadian tidak diingini.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR mendakwa ceramah anjuran mereka di Bayan Baru pada Ahad lalu dibatalkan permitnya di saat-saat akhir kerana wujud "arahan khas daripada Bukit Aman."

Badrul Hisham Shaharin mendakwa pihaknya dimaklumkan pembekuan itu selama dua minggu sehingga situasi di Perak "kembali sejuk."

Ceramah itu yang asalnya dijadual di padang dekat Sungai Nibong Tengah, bagaimanapun diteruskan di sebuah rumah berdekatan dengan kehadiran 2,000 orang penyokong, katanya.

Selain beliau, exco kerajaan Pulau Pinang, Abdul Malik Kassim dan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Jerjak, Sim Tze Tzin turut berucap.

perak bn takeover protest mosque tear gas attack incident kuala kangsar rally 060209 22Sementara itu, ketua Angkatan Muda PKR Bayan Baru, Asrizal Tahir – yang memohon permit berkenaan – berkata permohonan mereka pada mulanya diluluskan oleh polis.

Katanya, seorang pegawai daripada Ibu Pejabat Polis Daerah menelefon beliau sehari sebelum program memaklumkan pembatalan itu.

Menurutnya, pegawai polis itu memaklumkan kepadanya bahawa semua ceramah "dibekukan dalam masa terdekat", difahamkan dua minggu, kerana "ada sangkut-paut dengan situasi di Perak."

Beliau juga mendakwa, pegawai itu memberitahu bahawa keputusan itu datangnya daripada ibu pejabat polis persekutuan di Bukit Aman dan berkuatkuasa di seluruh negara.

Pergeseran di Perak bermula apabila kerajaan Pakatan tumbang setelah tiga Adunnya keluar parti dan mengisytiharkan sokongan kepada BN.

Adun PKR Datuk Nasarudin Halim - yang menyertai parti itu selama 10 hari - kembali semula kepada BN.

Kerajaan baru BN pimpinan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir itu bagaimanapun tidak diiktiraf oleh menteri besar Pakatan, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyebabkan wujudnya suasana krisis perlembagaan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...