Friday, April 3, 2009

PM umum bebas 13 tahanan ISA, batal larangan ke atas akhbar PAS, PKR - MalaysiaKini

Apr 3, 09 8:16pm

Penggantungan dua akhbar berpengaruh Harakah dan Suara Keadilan ditarik balik serta-merta malam ini dan 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), termasuk dua pemimpin Hindraf, turut dibebaskan.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan bahawa kerajaan akan menarik balik larangan penerbitan sementara bagi dua surat khabar, membebaskan 13 tahanan ISA, berkuatkuasa serta-merta," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Walaupun beliau tidak menyebut secara khusus nama dua akhbar terbabit, tetapi sudah menjadi pengetahuan umum bahawa akhbar PAS dan PKR itu telah digantung sementara penerbitannya sejak 23 Mac lalu.

Datuk Seri Najib Abdul Razak, yang secara rasmi mengangkat sumpah di depan Yang di-Pertuan Agong jam 10.10 pagi tadi, membuat kenyataan sulung itu ke seluruh negara di TV1 malam ini.

"Kementerian Dalam Negeri akan memberi butir-butir selanjutnya selepas ini," tambahnya. Dalam ucapan lapan minit itu, Najib juga berjanji untuk menyemak semula ISA dalam masa terdekat.
"Proses kajian semula terhadap ISA juga dimulakan," tambahnya.
Pengumuman Najib itu dilihat selari dengan desakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini supaya perdana menteri baru itu bertindak lebih demokratik termasuk menarik larangan ke atas dua penerbitan berkenaan dan membebaskan tahanan ISA.
Mereka yang akan dibebaskan ialah dua pemimpin Hindraf, tiga rakyat asing dan lapan anggota Darul Islamiyah.

Dua pemimpin Hindraf tersebut ialah peguam V Ganabatirau, 40, dan R Kenghadharan, 40.
Mereka adalah antara lima pemimpin Hindraf yang ditahan hampir dua tahun. Tiga orang lagi ialah peguam M Manoharan, 46, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Alam Shah, P Uthayakumar, 46, dan bekas pegawai bank, K Vasantha Kumar, 36.
Manakala yang lainnya ialah Pakana Selama, Amir Hussain, Sundaraj Vijay, San Khaing, Wan Amin Wan Hamat, A Artas A Burhanuddin, Francis Indanan, Mohd Nazri Dollah, Mohd Arasad Patangari, Idris Lanama dan Binsali Omar

Menurut Menteri Kementerian Dalam Negeri, mereka ini dibebaskan kerana tidak lagi dianggap sebagai ancaman kepada negara.
Dalam ucapan itu juga Najib berkata, sudah tepat masanya mengambil langkah-langkah sedemikian untuk mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap pihak berwajib atas soal keselamatan dan mengembalikan keutamaan kita untuk menangani ancaman yang dianggap berbahaya dan munasabah. Pengumuman mengejut penarikan semula penggantungan akhbar PAS dan PKR itu dan pembebasan tahanan ISA itu, dijangka memberi kesan besar ke atas tiga pilihanraya kecil yang sedang berlangsung di Perak, Kedah dan Sarawak. Tabloid dwimingguan Harakah dan mingguan Suara Keadilan digantung serta-merta selama tiga bulan mulai 23 Mac - tindakan yang dianggap cuba menghalang keberkesanan kempen dua parti itu dalam pilihanraya di parlimen Bukit Gantang, DUN Bukit Selambau dan DUN Batang Ai.

Najib juga berkata, beliau menyedari bahawa sekarang adalah masa yang cukup mencabar bagi setiap warga.
"Saya komited, kepimpinan akan berdiri kukuh untuk menghadapi krisis ekonomi yang kini melanda seluruh dunia, termasuk negara kita.
"Saya akan tetap berpegang kepada iltizam untuk memenuhi keperluan, kepentingan dan aspirasi setiap warga Malaysia.
"Dengan ini, saya mengajak seluruh warga untuk sama-sama melaksanakan satu transformasi besar buat negara dengan semangat 'satu Malaysia' - rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan."

Rombakan kabinet Rabu ini? - MalaysiaKini

Muda Mohd Noor Apr 3, 2009

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka mengumumkan penubuhan kabinet baru Rabu ini.Malaysiakini dimaklumkan mengenai perkara itu oleh sumber-sumber yang rapat dengan pejabat perdana menteri.
Najib mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Malaysia keenam di Istana Negara pagi ini.Difahamkan, rombakan kabinet itu akan mencerminkan barisan kepimpinan Umno yang dipilih dalam perhimpunan agung Umno bulan lalu.Ekoran itu, tercetus spekulasi mengenai beberapa menteri kabinet Abdullah akan digugurkan oleh Najib.Mereka termasuk Menteri Pelancongan Datuk Azalina Othman Said; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Tan Sri Muhd Muhamad Taib; Menteri Luar, Datuk Seri Rais Yatim dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar.Manakala Datuk Shafie Apdal yang menang jawatan naib presiden Umno bulan lalu dijangka dipindahkan ke kementerian pertahanan.Pindah kementerianPada masa ini Shafie merupakan menteri perpaduan, kebudayaan, kesenian dan warisan.Manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi - yang mendapatkan undi tertinggi bagi jawatan naib presiden - juga dijangka dipindah ke kementerian yang lebih kanan.Datuk Idris Haron pula dijangka dilantik sebagai menteri, mengetuai kementerian pelajaran dan kementerian pengajian tinggi yang dijangka digabungkan.Pada masa ini Idris merupakan timbalan menteri pengajian tinggi.

Manakala Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein - seorang naib presiden - dijangka dipindahkan ke kementerian belia dan sukan.Seorang lagi menteri yang tewas dalam pemilihan Umno, Datuk Shahrir Samad telahpun menyerah surat peletakan jawatan sebagai menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna.Setakat ini, tidak dapat dipastikan kedudukan menteri pengajian tinggi, Datuk Mohd Khaled Nordin yang gagal dalam perebutan jawatan naib presiden Umno.Kabinet lebih kecilKabinet baru Najib itu juga dijangka lebih kecil bilangannya kerana beberapa kementerian mungkin digabungkan bagi memastikan keberkesanan pentadbiran baru.

Sementara itu, petang tadi Najib menghadiri majlis perpisahan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang diadakan di perkarangan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.Semua menteri kabinet dan ketua jabatan kerajaan serta pegawai kanan kerajaan hadir di majlis tersebut.Mereka mula berkumpul pada jam 3 petang dan Abdullah muncul bersalam dengan mereka kira-kira jam 5 petang.Abdullah yang diiringi Najib turut melambai-lambaikan tangan kepada kakitangan kerajaan sebelum meninggalkan pejabat perdana menteri kira-kira jam 5.20 petang.

MCA tuntut jawatan TPM Cina - MalaysiaKini

Apr 3, 2009

Timbalan setiausaha agung MCA menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak mewujudkan jawatan timbalan perdana menteri dan timbalan pengerusi BN untuk diisi presidennya bagi mencermin "perkongsian kuasa sebenar"."Rakyat Malaysia pelbagai kaum telah lama menerima dan memberi sokongan penuh kepada ideologi pentadbrain berasaskan kepada perkongsian kuasa di negara ini."Bagaimanapun, selepas 52 tahun merdeka, kita terus merasakan bahawa perkongsian kuasa itu hanya satu slogan dan tidak mencermin situasi sebenar, yang kita amat harapkan menjadi kenyataan pada suatu hari nanti. "Oleh itu, rakyat Malaysia kini kecewa dan tidak puas hati dengan situasi sebenar kita sekarang kerana ia hanyalah satu cakap kosong," kata Datuk Loke Yuen Yow.

Menurutnya lagi, jawatan kedua timbalan perdana menteri untuk presiden MCA bukan sahaja membantu merealisasikan konsep perkongsian kuasa, tetapi juga menunjukkan bahawa kerajaan memberi kepentingan kepada peranan dan sumbangan kaum Cina dalam proses pembinaan negara.Loke menambah, jika diberi jawatan seperti dituntut, presiden MCA boleh, dalam kapasitinya sebagai anggota kabinet, membantu menggariskan dasar yang lebih adi dan berfaedah kepada semua pihak, terutama masyarakat Cina dalam ekonomi dan pendidikan.

Beliau juga menegaskan bahawa MCA telah mewakili perjuangan masyarakat Cina, untuk mencapai kemerdekaan negara, bersama Umno dan MIC pada 1957."Oleh itu, dalam proses pembinaan negara, sumbangan yang dihulurkan oleh MCA dan masyarakat Cina adalah amat banyak dan sangat besar," tambahnya.Pada masa yang sama, Loke mengulangi lagi desakan awal MCA bahawa presidennya mesti dilantik sebagai timbalan pengerusi Dewan Tertinggi BN."(Pelantikan) ini akan memanifestasikan senario sebenar perkongsian kuasa bawah pentadbiran Datuk Seri Najib," tambahnya."Sebagai seorang pemimpin yang bijak dan berpandangan jauh, Datuk Seri Najib perlu melihat peri pentingnya dan keperluan mewujudkan jawatan-jawatan timbalan perdana menteri Cina dan timbalan pengerusi Dewan Tertinggi BN - yang kedua-duanya dipegang oleh presiden MCA."

Najib dengan rasmi PM ke-6 - MalaysiaKini

Apr 3, 09 9:36am

Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak hari ini dengan rasminya perdana menteri Malaysia keenam apabila istiadat pengurniaan surat cara pelantikan dan istiadat mengangkat sumpah setia serta menyimpan rahsia sempurna dilangsungkan di Istana Negara, 10.10 pagi.Pemimpin-pemimpin kanan negara, pegawai kanan kerajaan dan dif-dif kehormat dari dalam dan luar negara diundang untuk menyaksikan peristiwa penting dan bersejarah ini.Balairong Seri sekali lagi menyaksikan peralihan politik negara ini dalam usianya 52 tahun selepas kemerdekaan.Stesen RTM akan menyiarkan secara langsung istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan serta sumpah rahsia Najib sebagai perdana menteri walaupun kesemua 81 ahli parlimen pembangkang membantahnya.Mereka memohon Yang di-Pertuan Agong menunda majlis tersebut sehingga satu suruhajaya bebas dibentuk untuk membersihkan ahli parlimen Pekan itu daripada sebarang dakwaan salah laku - antara yang popular, berkaitan kematian Altantuya Shaariibuu dan komisyen pembelian kapal selam Scorpene. Najib menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam pelan peralihan kuasa Umno dan negara susulan ketewasan mengejut dan terburuk dalam sejarah BN pada pilihanraya umum lalu.Dilahirkan pada 1953 di Kuala Lipis, Pahang, Najib merupakan anak sulung perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein dan Rahah Mohamad Noah.

Ceburi politik

Beliau mendapat pendidikan awal di St John Institution, Kuala Lumpur sebelum meneruskan pelajaran ke Maven Boy's College, Worchestershire, England. Najib kemudiannya melanjutkan pelajaran ke University Of Nottingham, England dan mendapt ijazah pertama dengan kepujian dalam bidang ekonomi industri pada 1974.Beliau mulai menceburkan diri dalam arena politik selepas dipilih bertanding kerusi parlimen Pekan ekoran kematian mendadak bapanya di London Januari 1976. Najib menang tanpa bertanding dan muncul sebagai anggota Dewan Rakyat termuda pada usia 23 tahun.Najib dilantik sebagai timbalan menteri tenaga, telekom dan pos pada 1978 ketika usia 25 tahun. Pada 1982 hingga 1986, beliau menjadi menteri besar paling muda dalam sejarah negara, pada 29 tahun.Sepanjang penglibatannya dalam politik, Najib berkhidmat di pelbagai kementerian, termasuk timbalan menteri tenaga, telekom dan pos, timbalan menteri pendidikan dan timbalan menteri kewangan. Pada 1982, beliau bertanding dan memenangi kerusi DUN Bandar Pekan dan dilantik sebagai menteri besar Pahang.Pada 1986, ketika berumur 33 tahun, Najib menerajui kementerian kebudayaan, belia dan sukan dan selepas pilihanraya umum 1990, beliau berpindah ke kementerian pertahanan.Beliau dilantik menteri pendidikan pada 1995. Selepas pilihanraya umum pada 1999, beliau dilantik menerajui kementerian pertahanan. Setelah Abdullah mengambil alih jawatan perdana menteri pada Oktober 2003, Najib dilantik sebagai timbalan perdana menteri pada 6 Januari 2004. Dalam kabinet 2008, beliau dilantik sebagai timbalan perdana menteri dan menteri pertahanan. Manakala 17 September 2008, Najib dilantik sebagai menteri kewangan dan jawatan menteri pertahanan diterajui oleh Abdullah.
Selepas menunaikan solat Jumaat tengahari tadi, Najib menziarahi makam ayahandanya Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, perdana menteri kedua di Makam Pahlawan di Masjid Negara.Najib, ditemani isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, bondanya Tun Hajah Rahah Tan Sri Mohd Noah, keempat-empat adiknya Ahmad Johari, Mohamad Nizam, Mohamad Nazim dan Mohamad Nazir serta kaum keluarganya.Mereka meluangkan masa hampir sejam menziarahi pusara ayahandanya.

Serah tugas

Sementara itu, Abdullah menyerahkan tugas perdana menteri kepada Najib di Pejabat Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra, di Putrajaya hari ini. Upacara penyerahan tugas itu berlangsung di tingkat lima, Pejabat Perdana Menteri pada jam 4.50 petang. Dalam upacara itu, Abdullah menyerahkan fail meja YAB Perdana Menteri berwarna biru sebagai tanda penyerahan tugas dan tanggungjawab kepada Najib, sambil disaksikan leh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.Upacara itu juga menandakan lengkapnya proses peralihan kuasa antara Abdullah dan Najib secara tersusun dan berjalan dengan lancar, mengekalkan tradisi peralihan kuasa negara dari dahulu hingga sekarang.

Tuesday, March 31, 2009

Najib sah angkat sumpah Jumaat ini - MalaysiaKini

Mar 31, 09 6:40pm

Istiadat pengurniaan suratcara pelantikan dan istiadat mengangkat sumpah serta menyimpan rahsia Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri baru berlangsung di Istana Negara, Jumaat ini.

Para jemaah menteri telah menerima jemputan untuk menghadiri istiadat pada 10 pagi ini.

Jemputan tersebut turut dihantar melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS).

Menurut jemputan tersebut, istiadat tersebut akan berlangsung di Balairong Seri mulai jam 9 pagi.

najib mahathir pak lah umno 2009 agm final day 280309 08Di perhimpunan agung Umno hujung minggu lalu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Khamis untuk memaklumkan hasrat melepaskan jawatan perdana menteri.

Perhimpunan agung tersebut menyaksikan pemilihan pucuk pimpinan baru Umno yang diketuai oleh Najib selepas Abdullah enggan bertanding.

Tindakan Abdullah itu ekoran persetujuan antara beliau dengan Najib untuk melaksanakan pelan peralihan kuasa selepas perhimpunan itu selesai.

Sementara itu, Najib dilaporkan berkata tarikh sebenar peralihan kuasa kepadanya hanya akan diketahui selepas kenyataan rasmi dikeluarkan leh Jabatan Perdana Menteri.

Menurut Bernama, beliau tidak boleh membuat sebarang ulasan selagi kenyataan rasmi belum dikeluarkan.

"Ini kena tunggu kenyataan rasmi dululah," katanya kepada pemberita selepas melawat ibu pejabat Sin Chew Daily di Petaling Jaya hari ini.

Ketika ditanya mengenai kabinet barunya, Najib berkata perkara itu hanya akan diputuskan selepas acara angkat sumpah jawatan perdana menteri.

Ditanya kemungkinan beliau akan memilih calon yang kalah dalam
pemilihan Umno lepas untuk membarisi kabinetnya nanti, Najib berkata: "Ia belum difikirkan lagi."

Najib yang dilahirkan pada 1953 di Kuala Lipis, Pahang merupakan anak sulung Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein dan Toh Puan Rahah Mohamad Noah.

Beliau mendapat pendidikan awal di St John Institution, Kuala Lumpur sebelum meneruskan pelajaran ke Maven Boy's College, Worchestershire, England.

Najib kemudiannya melanjutkan pelajaran ke University Of Nottingham, England dan mendapt ijazah pertama dengan kepujian dalam bidang ekonomi industri pada tahun 1974.

Najib mulai menceburkan diri dalam arena politik selepas dipilih bertanding kerusi Parlimen Pekan ekoran kematian mendadak bapanya di London 14 Januari 1976.

Najib menang tanpa bertanding dan muncul sebagai ahli Parlimen termuda pada usia 23 tahun.

Najib dilantik sebagai timbalan menteri tenaga, telekom dan pos pada 1978 ketika usia 25 tahun. Pada 1982 hingga 1986, beliau menjadi menteri besar paling muda dalam sejarah Malaysia, pada 29 tahun.

Sepanjang penglibatannya dalam politik, Najib telah berkhidmat di pelbagai kementerian, termasuk timbalan menteri tenaga, telekom dan pos, timbalan menteri pendidikan dan timbalan menteri kewangan. Pada 1982, beliau bertanding dan memenangi kerusi DUN Bandar Pekan dan dilantik sebagai menteri besar Pahang.

Pada tahun 1986, ketika berumur 33 tahun, Najib menerajui kementerian kebudayaan, belia dan sukan dan selepas pilihanraya umum 1990, beliau berpindah ke kementerian pertahanan.

Beliau dilantik menteri pendidikan pada 1995. Selepas pilihanraya umum pada 1999, beliau dilantik menerajui kementerian pertahanan. Setelah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih jawatan perdana menteri pada Oktober 2003, Najib dilantik sebagai timbalan perdana menteri pada 6 Januari 2004.

Dalam kabinet 2008, beliau dilantik sebagai timbalan perdana menteri dan menteri pertahanan. Manakala 17 September 2008, Najib dilantik sebagai menteri kewangan dan jawatan menteri pertahanan diterajui oleh Abdullah.

Tuesday, March 24, 2009

Anwar: Gantung akhbar, gas polis 'ke kancah kuku besi' - MalaysiaKini

Mar 24, 09 2:59pm

Menggantung permit akhbar PKR dan menembak gas pemedih mata terhadap penyokongnya "bakal menjerumus negara ke kancah pentadbiran kuku besi", kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Ternyata tindakan rakus sedemikian oleh pasukan polis sejurus satelah Suara Keadilan dan Harakah diharamkan (selama tiga bulan) merupakan petanda betapa sistem pemerintahan bawah (Datuk Seri) Najib (Razak) bakal menjerumuskan negara ke kancah ketidakstabilan dan pentadbiran kuku besi," kata penasihat PKR.

Mantan timbalan perdana menteri itu, yang turut berada di tempat kejadian, berkata beliau terpaksa dilarikan ke dalam bilik gerakan untuk mengelak tindakan tersebut yang bermula selepas 9.30 malam.

"Saya diseludup ke bilik gerakan pilihanraya (dekat pentas ceramah) dan berlindung bersama beberapa orang pimpinan Pakatan Rakyat.

"Difahamkan hampir 50 das gas pemedih mata dibedil oleh pihak polis," kata Anwar dalam blognya.

"Tanpa sebarang amaran, polis membedil gas pemedih mata beserta pancutan air. Hadirin lari bertempiaran menyelamatkan diri.

"Namun ia tidak menghentikan pembedilan bertubi-tubi tanpa sebarang belas kasihan terhadap wanita dan kanak-kanak."

Polis Kedah hari ini mengesahkan 31 orang ditahan kerana enggan bersurai selepas diarahkan.

Semua mereka dilaporkan dibebaskan pagi ini selepas keterangan mereka diambil.

Selain beberapa penyokong parti itu dan pendengar, turut ditahan senator Zamri Yusof, ketua staf pejabatnya Ibrahim Yaacob dan pegawai khas menteri besar Kedah, Mohd Ismadi Abd Kadir.

Kementerian Dalam Negeri semalam secara mengejut menggantung serta-merta permit penerbitan dua akhbar berpengaruh itu selama tiga bulan.

Dalam coretan blog yang sama, Anwar mengulangi lagi kecamannya terhadap timbalan perdana menteri dengan menyifatkan kenyataan mengenai perubahan yangg diucapkan di Parlimen baru-baru ini "hanya omongan kosong untuk mengalih perhatian rakyat daripada skandal yang terpalit."

"Jelas, Umno-BN sememangnya dalam keadaan yang sangat terdesak ketika ini. Gelombang kebangkitan rakyat di Bukit Selambau, Bukit Gantang dan Batang Ai cukup meresahkan mereka," katanya.

Ketiga-tiga kawasan itu akan menghadapi pilihanraya kecil antara 29 Mac hingga 7 April ini.

Ceramah Anwar di Taman Ria Jaya, Sungai Petami malam tadi bagi memperkenalkan calon PKR S Manikumar yang akan menggalas cabaran parti itu di DUN Bukit Selambau, Kedah.

PKR juga bertanding di DUN Batang Ai, Sarawak; manakala PAS meletakkan bekas menteri besarnya Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin di kerusi parlimen Bukit Gantang, Perak.

Anwar juga menyeru para penyokongnya agar bertenang dan tidak mudah dibakar dengan sebarang provokasi.

Media internet gagal dapat pas Umno - MalaysiaKini

Mar 24, 09 2:26pm

Sekurang-kurangnya enam media internet, termasuk Malaysiakini, gagal mendapat pas media dari Umno untuk membuat liputan perhimpunan agung parti itu yang bermula hari ini.

Perhimpunan kali ini juga akan menyaksi pemilihan sengit bagi jawatan tertinggi parti - dari timbalan presiden, naib presiden, Majlis Tertinggi serta pucuk pimpinan utama Pemuda, Wanita dan Puteri Umno.

Tiada alasan rasmi diberikan mengapa parti itu enggan mengeluarkan kad media kepada pertubuhan berkenaan untuk membuat liputan perhimpunan agung selama lima hari itu.

Selain Malaysiakini, pertubuhan lain yang gagal mendapatkan pas media dari Umno ialah The Nut Graph, Malaysian Insider, Siasah dan Merdeka Review.

Bagaimanapun, Agenda Daily, sebuah portal berita politik berbahasa Melayu mendapat kad media Umno.

Ketika dihubungi Malaysiakini, editornya, Rosli Ismail mengesahkan mereka mendapat kad media untuk membuat liputan perhimpunan agung tahun ini.

Malaysiakini telah mengemukakan permohonan pada 27 Februari lalu dan secara tidak rasmi dimaklumkan semalam bahawa ia telah ditolak.

Difahamkan arahan menolak permohonan tersebut dibuat oleh Setiausaha Agung BN, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor.

"Mesyuarat telah diadakan untuk menentukan media yang layak diberi kad media dan ia memutuskan untuk menolak permohonan dari enam 'blogger'," kata pegawai media Umno, Abdul Hamid Satar.

Yang anehnya, ada antara mereka, termasuk Malaysiakini, sebelum ini layak mendapatkan kad media rasmi dari Kementerian Penerangan.

Tanpa kad media Umno itu, wartawan Malaysiakini tidak boleh memasuki dewan utama tempat perhimpunan berlangsung atau menghadiri sidang akhbar para pemimpin Umno.

Bagaimanapun, wartawan Malaysiakni masih boleh berada di luar dewan tersebut di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.

Selain pemilihan parti, perhimpunan agung Umno kali ini merupakan satu acara penting yang bakal menyaksikan peralihan kuasa dari Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malaysiakini berdepan masalah yang sama sejak beberapa tahun lalu. Wartawannya dilarang membuat liputan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, tetapi ia kemudiannya ditarik balik sejak kira-kira setahun lalu.


Wednesday, March 11, 2009

Sritharan calon PKR di Bukit Selambau? - MalaysiaKini

Mar 11, 09 7:52pm

Ahli jawatankuasa PKR Kedah, S Sritharan disebut-sebut sebagai calon paling popular untuk mewakili PKR dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau.

Beliau antara empat calon yang telah disenarai pendek untuk ditimbang oleh pucuk pimpinan PKR pusat.

Pemilihan Sritharan dijangka diumumkan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat ini.

Manakala akhbar China Press pula melaporkan bahawa Sritharan telahpun dihubungi ibupejabat PKR memintanya untuk membuat persiapan.

Akhbar itu memetik sumber-sumber sebagai berkata, Sritharan dilihat sebagai calon yang paling layak bertanding di situ.

Ini kerana beliau adalah seorang yang peramah, mesra rakyat serta berkhidmat dengan cemerlang sebagai ahli Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP).

Sumber-sumber itu berkata, setiap kali menerima aduan, Sritharan segera turun memberi khidmat kepada rakyat.

Beliau yang berusia 45 tahun menyertai PKR pada November 2007, sudah berumahtangga serta mempunyai dua orang anak perempuan.

Sudah diramalkan

Malah, banyak pihak yang sebelum inipun telah meramalkan beliau akan dipilih sebagai calon PKR untuk bertanding dalam piliharanraya kecil Bukit Selambau.

Selain Sritharan, beberapa nama lain yang turut menawar diri ialah Dr Krishnamurthy (Ketua Penerangan PKR Sungai Petani), K Masilamani (AJK PKR Merbok), B Kalai Vanar (Ketua PKR Jerai) dan N Gobalakrishnan (ahli Parlimen Padang Serai).

Tiga lagi yang menawar diri ialah seorang pemimpin daripada Hindraf, iaitu RS Thanenthiran. Dua lagi ialah R Muniandi dan Manogaran - kedua-duanya ahli jawatankuasa bahagian Merbok.

DUN Bukit Selambau kosong berikut peletakkan jawatan V Arumugam sebagai ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan exco Kedah.

Dalam pilihanraya umum 8 Mac tahun lalu, V Arumugam yang bertanding atas tiket bebas menang dengan majoriti 2,362 undi.

Beliau mendapat 13,225 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dari MIC, S Krishnan yang mendapat 10,863 undi.

Manakala kertas pencalonan calon PKR, Saiful Izham Ramli ditolak atas sebab-sebab teknikal.

Sunday, March 1, 2009

Sidang tergempar tidak sah, kata Setiausaha DUN Perak - MalaysiaKini

Mar 1, 09 5:29pm

Kemelut politik yang melanda negeri Perak, selepas Barisan Nasional (BN) menubuhkan kerajaan negeri baru awal bulan lalu, terus berlanjutan.

Hari ini, Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Abdullah Antong Sabri berkata cadangan Speaker V Sivakumar untuk memanggil satu sidang tergempar Selasa ini adalah tidak sah.

Katanya, ia tidak boleh diadakan kerana tidak mendapat perkenan
Sultan Perak berdasarkan Perintah Tetap Dewan Negeri serta
Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.

Abdullah menegaskan demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini, Sivakumar dilaporkan berkata sidang tergempar itu tidak memerlukan perkenan Sultan Perak terlebih dahulu kerana notis 14 hari hanya perlu dikeluarkan dalam keadaan DUN bersidang biasa dan bukannya untuk sidang tergempar.

Sivakumar memanggil sidang tergempar itu untuk membincangkan dua notis usul yang diterimanya berhubung krisis peralihan kuasa
kerajaan negeri itu.

Keluar notis

Sehingga hari ini, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin masih mengakui beliau merupakan menteri besar Perak yang sah.

Manakala menteri besar BN, Datuk Zambry Abdul Kadir mengangkat sumpah awal bulan lalu, selepas BN menubuh kerajaan baru di negeri itu.

Sementara itu, dalam kenyataan tersebut, Abdullah berkata mengikut Perintah Tetap Dewan Negeri (PT) 8(1) yang perlu dibaca bersama-sama dengan Perkara XXXVI(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan berkehendakkan perkenan
Tuanku Sultan untuk memanggil apa-apa sidang Dewan Negeri sama ada dalam keadaan biasa atau tergempar.

Menurutnya, beliau telah menerima arahan dari Sivakumar supaya
mengeluarkan notis segera untuk mengadakan sidang tergempar DUN Selasa ini melalui urat Sivakumar yang bertarikh 25 Februari 2009 yang turut disertakan notis usul aripada Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Teja dan ADUN Titi Serong.

Abdullah berkata, walaupun ia sidang tergempar, "dalam apa jua pun keadaan, saya hendaklah menghantar notis bertulis tersebut berserta dengan warta pemasyhuran memanggil dewan kepada tiap-tiap anggota DUN menarik perhatian mereka kepada pemasyhuran tersebut.

"Permasyhuran memanggil dewan dibuat oleh DYMM (Duli Yang Maha Mulia) Sultan. Ini adalah berdasarkan PT 1 (Perintah Tetap DUN) yang mengatakan "maka Setiausaha Dewan hendaklah membacakan Pemasyhuran DYMM Seri Sultan Perak Darul Ridzuan memanggil mesyuarat.."

Kuasa mutlak

"PT 10 (1) mengatakan " Penggal Dewan hendaklah diadakan pada
waktu dan tempat sebagaimana yang ditetapkan oleh DYMM Seri Sultan Perak Darul Ridzuan dari semasa ke semasa melalui perisytiharan dalam Warta," katanya.

Beliau berkata berasaskan PT 10 (1) itu, kuasa mutlak untuk memanggil sidang DUN adalah kuasa Sultan Perak dan ia tidak boleh dipertikaikan.

"Ini adalah kerana Perkara XXXVI(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan memberi kuasa yang jelas kepada DYMM Sultan Perak untuk memanggil DUN bersidang," katanya.

Beliau berkata, Perkara XXXVI (1) memperuntuk "DYMM hendaklah dari semasa ke semasa memanggil bersidang Dewan Negeri itu dan tidaklah boleh membiarkan tempoh enam bulan berlalu di antara perjumpaan yang akhir lepas dalam satu persidangan dengan tarikh yang ditetapkan bagi perjumpaan yang pertama dalam persidangan yang di hadapan."

Abdullah berkata peruntukan di atas adalah peruntukan Perlembagaan yang merupakan Undang-Undang Tertinggi di negeri Perak dan jelas menunjukkan kuasa untuk memanggil sidang DUN adalah kuasa Sultan Perak.

Khamis lalu, Sivakumar menerima dua usul dengan yang pertama daripada ADUN Titi Serong, Khalil Idham Lim Abdullah daripada PAS, adalah bagi dewan menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar, manakala usul kedua oleh Chang Lih Kang (PKR-Teja) yang memohon supaya dewan itu dibubarkan untuk membolehkan pilihanraya negeri diadakan.

Saturday, February 28, 2009

Polis guna meriam air surai penyokong Uthayakumar - MalaysiaKini

Abdul Rahim Sabri | Feb 28, 09 12:05pm

Polis melepaskan tembakan meriam air untuk menyuraikan kira-kira 300 orang yang berhimpun di luar ibu pejabat polis Brickfields untuk membuat laporan polis beramai-ramai berhubung layanan perubatan terhadap tahanan ISA, P Uthayakumar.

brickfields uthayakumar hindraf 280209Polis melepaskan tembakan meriam air itu kira-kira jam 11.55 pagi selepas mereka tidak mengendahkan tiga arahan polis supaya bersurai.

Sebelum itu, kira-kira 50 orang dibenarkan masuk untuk membuat laporan polis berhubung layanan terhadap Uthayakumar.

Mereka terdiri daripada lima wakil dari sembilan negeri dan lima anggota keluarga Uthayakumar.

brickfields uthayakumar hindraf 280209 outside police stationMereka berkumpul hari ini sebagai membantah kerana Uthayakumar - yang menghidap kencing manis - tidak diberi rawatan perubatan sewajarnya.

Beberapa anak jari kaki kiri Uthayakumar mengalami kecederaan pada 31 Januari lalu ketika berada di Kem Tahanan Kamunting.

Pada 20 Februari lalu, Manikavasagam dilaporkan berkata, jika keadaan itu berterusan, 'beratus-ratus" laporan polis akan dibuat terhadap pihak berkuasa hari ini.

brickfields uthayakumar hindraf 280209Menurut ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo, 17 orang ditahan termasuk ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam dan penyelaras badan pemantau polis dan jawatankuasa hak asasi manusia, S Jayathas.

Gobind Deo berada di balai polis untuk memberi sokongan kepada mereka.

Bagaimanapun, pada kira-kira jam 12.45 tengahari, orang ramai sudah beredar dan hanya tinggal polis dan para wartawan di situ.

Gobind persoal tindakan polis

Sementara itu, Gobind mempersoalkan tindakan polis yang didakwanya berbeza 'standard' dalam mengawal keadaan.

brickfields uthayakumar hindraf 280209 water cannon"Saya tidak faham, setiap kali masyarakat India buat laporan polis, kena tangkap. Hantar memorandum dan bawa bunga pun kena tangkap, kenapa?" katanya.

Beliau sebaliknya mempersoalkan tindakan Pemuda Umno menyerang dua ahli Parlimen termasuk bapanya, Karpal Singh, tetapi tiada tindakan yang diambil terhadap mereka.

Ekoran itu, beliau kemudiannya memasuki ibu pejabat polis untuk mendapatkan penjelasan selanjutnya.

Dalam sidang media sejurus mendapatkan penjelasan daripada pihak polis, Gobind berkata, 17 orang telah ditahan oleh polis kerana didakwa engkar mematuhi arahan polis untuk bersurai.

brickfields uthayakumar hindraf 280209 water cannonBagaimanapun beliau berkata, mereka tidak melakukan sebarang kesalahan kerana hadir di situ untuk membuat laporan polis dan tidak berniat untuk melakukan kesalahan atau kekecohan.

Tambahnya, mereka juga ditahan untuk diambil kenyataan dan beliau meminta pihak polis membebaskan mereka yang ditahan.

Menurutnya, beliau memohon penjelasan daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berhubung alasan polis menggunakan meriam air untuk menyuraikan penyokong pemimpin Hindaraf tersebut.

Tiada laporan polis

Gobind berkata, laporan polis tidak dapat dibuat ekoran polis melepas tembakan meriam air ke arah penyokong yang hadir.

brickfields uthayakumar hindraf 280209 marching to stationMenurutnya, tiga orang telah dihantar ke hospital iaitu seorang perempuan dan dua lelaki.

Sebelum itu, kira-kira jam 10.45 pagi, penyokong Uthayakumar berarak dari deretan kedai di persimpangan Jalan Sultan Abdul Samad, menuju ke Ibu pejabat polis Brickfields yang terletak kira-kira 150 meter dari tempat mereka berkumpul.

Mereka melaung-laungkan "Makkal Sakthi" sambil membawa sepanduk "Justice For Indians", "Treat Uthaya as human. Sent him to hospital" beserta foto wajah pemimpin Hindraf itu.

Turut menyertai dalam perarakan tersebut adalah beberapa pemimpin Hindraf termasuk Koordinator Penyelaras Hindraf, RS Thanenthiran.

brickfields uthayakumar hindraf 280209 outside police stationHasil perbincangan dengan Ketua Polis Daerah Brickfileds, Wan Abdul Bari Wan Khalid, ahli Parlimen Teluk Intan, M Manogaran memberitahu kepada penyokong bahawa pihak polis membenarkan 50 orang termasuk ahli keluarga P.Uthayakumar membuat laporan polis.

Turut sama dalam perbincangan tersebut, antaranya, dua ahli Parlimen - Manikavasagam dan M Ravi (PKR-Port Dickson) - serta Thanenthiran dan Jayathas

Katanya, polis juga memberi kerjasama yang baik serta memberi jaminan tidak akan membuat sebarang tangkapan.

Sementara itu, Wan Abdul Bari Wan Khalid ketika dihubungi Malaysiakini enggan mengulas jumlah penyokong yang ditahan polis.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...