Wednesday, April 14, 2010

Isa Samad - Bibi Sharliza selamat dinikahkan

SEREMBAN 14 April - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang, Tan Sri Mohd. Isa Samad selamat diijabkabulkan dengan bekas Setiausaha Puteri UMNO, Bibi Sharliza Mohd. Khalid dengan sekali akad pada pukul 3.30 petang tadi. - Utusan

Khairy: Penduduk Hulu S'gor mahu calon muda

Pengerusi pemuda BN Khairy Jamaluddin berkata beliau tidak mengetahui golongan mana yang masih inginkan timbalan presiden MIC, Datuk G Palanivel sebagai calon di pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Beliau bagaimanapun mengakui wujudnya satu golongan dalam MIC di kawasan itu yang mengugut untuk memboikot pilihan raya tersebut sekiranya Palanivel tidak diletakkan sebagai calon.

BN dijadual mengumumkan calonnya pada jam 4 petang esok bagi pertandingan pada 25 April ini, namun hampir separuh daripada ketua-ketua cawangan MIC kawasan itu hari ini secara terbuka menyatakan sokongan kepada Palanivel.

Ada yang membayangkan untuk memulaukan pilihan raya tersebut sekiranya cadangan untuk mencalonkan Palanivel itu ditolak oleh BN.

Menurut Khairy, berdasarkan maklum balas yang diterima, masyarakat di kawasan itu mahukan calon daripada golongan muda MIC dan bukannya Palanivel (bawah) seperti yang ditekan oleh golongan berkenaan.

Katanya, keputusan daripada pemimpin BN mengenai penentuan calon parti itu perlulah dihormati.

"Ugut-mengugut ini bukanlah satu perkara sihat," kata Khairy ketika ditemui Malaysiakini di lobi parlimen hari ini.

Beliau juga mendakwa tidak mengetahui kononnya ada kumpulan yang masih menyokong Palanivel sebagai calon.

"Saya tidak tahu. Saya tidak tahu. Yang saya boleh jawab,sebagai pengerusi pemuda BN, feedback yang saya terima, inginkan kepada calon muda.

"Kemahuan mereka adalah untuk calon MIC dan perdana menteri telah jawab akan diberikan calon MIC.

"Jadi saya tidak tahu apa masalahnya (lagi). Mungkin ini sebahagian atau keseluruhan daripada parti MIC saya tidak tahu tapi akhirnya kita kena lihat keputusan yang akan dibuat.

"Saya dah turun dah dapat banyak feedback dan nampak gayanya hendak kepada calon tempatan. Orang muda hendak kepada calon muda," katanya.

Sokong Palanivel, MIC tolak calon 'pintu belakang'

Ketua 18 bahagian MIC di Selangor hari ini tampil mendesak pucuk pimpinan BN supaya mengesahkan pemilihan Datuk G Palanivel sebagai calon pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor, sepertimana yang diperakukan oleh presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di ibupejabat MIC di ibunegara, wakil kumpulan tersebut, A Saktivel yang juga ketua MIC Puchong, berkata kesefakatan BN menyatakan bahawa pengerusi BN mesti menerima siapa sahaja calon yang dipilih oleh pemimpin parti komponennya.

MIC mempunyai 22 bahagian di Selangor. Palanivel, yang juga ketua MIC bahagian Hulu Selangor, tidak hadir.

Saktivel yang juga anggota jawatankuasa kerja pusat MIC berkata, tidak pernah berlaku dalam sejarah di mana calon yang tidak dipilih oleh presiden parti, diletak bertanding.

Timbalan pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengumumkan calon BN esok.

Selain Palanivel, satu lagi nama yang disebut-sebut disokong oleh Umno untuk dicalonkan bertanding di Hulu Selangor ialah timbalan ketua Pemuda MIC, V Mugilan.

Difahamkan sewaktu mesyuarat jawatankuasa pengurusan BN Isnin lalu, para pemimpin MIC telah menyuara bantahan mereka dan bertegas supaya Palanivel yang juga timbalan presiden MIC, dicalonkan bertanding di Hulu Selangor.

Difahamkan juga, timbul kebimbangan sekirannya berlaku sebaliknya, ia akan menjadi ikutan di mana Umno sebagai parti tunggak BN, akan terus campurtangan dalam halehwal parti komponen yang lain.

Tolak calon pintu belakang

Saktivel berkata, sidang akhbar hari ini diadakan ekoran khabar angin yang semakin kuat bahawa Palanivel mungkin tidak dicalonkan.

Sehubungan itu, katanya, mereka tidak mahu seseorang itu dicalonkan bertanding di situ mengikut 'pintu belakang'.

Ini, katanya, adalah mengenai soal maruah parti.

Saktivel kemudiannya mengemukakan salinan surat beranak Mugilan dan mendakwa timbalan ketua pemuda MIC itu bukan 'anak tempatan' kerana dokumen itu menyatakan dia dilahirkan di Pantai Remis, Perak.

Sebaliknya, kata Saktivel, Palanivel sudah menetapkan di Hulu Selangor sejak 18 lalu.

CD rampas kuasa: Kekanda Sultan buat laporan polis

Kekanda Sultan Kelantan, Tengku Merjan Tengku Yahya Petra hari ini membuat laporan polis berhubung satu kandungan cekera padat (CD) yang didakwa mengandungi cubaan rampasan kuasa terhadap kedudukan dan jawatan Sultan Kelantan Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra.

Tengku Merjan membuat laporan itu di Ibupejabat Polis Daerah Ampang Jaya, Kuala Lumpur kira-kira jam 2.30 petang.

Antara lain, Tengku Merjan dalam laporannya menyatakan beliau telah mendapat satu salinan CD perbincangan tertutup antara pengelola istana Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad dan peguam Datuk Sukri Mohamed yang menunjukkan terdapat satu perancangan untuk menghasut, mengugat serta mencampuri urusan istana Kelantan.

Tengku Merjan dalam kenyataannya berkata perjumpaan sulit dan tertutup antara Halim dan Sukri di sebuah hotel di Kota Bharu adalah berniat jahat dengan tujuan menghasut wartawan dan masyarakat untuk menghina sultan Kelantan.

Mereka katanya telah membocorkan maklumat sulit mengenai kesihatan sultan Kelantan kepada pihak ketiga tanpa kebenaran empunya diri dengan tujuan menjatuhkan maruah dan kredebiliti sultan.

Tengku Merjan berkata mereka juga telah memberi fakta yang salah mengenai
kesihatan sultan Kelantan dan mencampuri urusan peribadi Tuanku dengan membuat kenyataan yang boleh mempengaruhi masyarakat berhubung penceraian sultan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang ACP Abdul Jalil Hassan ketika ditemui mengesahkan menerima laporan tersebut.

Katanya, beliau akan menghantar laporan itu kepada IPD Kota Baharu kerana kes itu berlaku di Kota Bharu.

- Bernama

Sibu: DAP wakili Pakatan Rakyat

Pakatan Rakyat akan diwakili oleh calon DAP pada pilihan raya kecil kawasan parlimen Sibu yang bakal diadakan, kata ketua umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, satu mesyuarat khas akan diadakan dengan barisan pemimpin DAP kawasan tersebut pada 18 April untuk membincangkan rangka kerjasama dengan PAS dan PKR bagi memenangi kerusi berkenaan.

"Kita akan letakkan hanya satu calon daripada DAP untuk tunjukkan muafakat kita," katanya kepada pemberita di pejabat ketua pembangkang di parlimen hari ini.

Beliau juga menepis tanggapan bahawa berlakunya 'pertengkaran' di kalangan pemimpin DAP dan PKR di Sarawak.

"Tidak ada pertengkaran, mereka hanya bertukar pandangan secara secara kekeluargaan. Cuma bezanya bertukar pandangan itu secara terbuka di media. Kita sudah nasihatkan untuk bertukar pandangan dalam mesyuarat.

"Saya mahu yakinkan rakan-rakan kita, dalam kes ini DAP di Sarawak akan tegas, semua pemimpin yang mewakili PKR, saya percaya dalam semangat persahabatan kita juga, akan sokong calon DAP.

"Tidak ada kompromi dalam memastikan disiplin yang efektif untuk meamastikan kemenangan selesa untuk calon kita," katanya dalam sidang media yang turut dihadiri presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang dan penasihat DAP Lim Kit Siang.

Tambahnya lagi, Pakatan bagaimanapun belum menetapkan calon untuk kerusi berkenaan memandangkan tarikh pemilihan itu juga masih belum ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Mungkin (SPR) akan tunda (pilihan raya) sehingga dua bulan," katanya.

Kerusi parlimen Sibu kosong berikutan kematian Datuk Robert Lau yang juga adalah timbalan menteri pengangkutan pada 9 April lalu, akibat barah.

Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia dijadualkan bermesyuarat pada Jumaat ini bagi menentukan tarikh pilihan raya kecil dan juga penamaan calon.

Lau, 68, dari SUPP memenangi kerusi tersebut pada pilihan raya umum 2008 dengan majoriti 3,235 undi. Beliau menewaskan calon DAP Wong Ho Leng dan calon PKR Lim Chin Chuang.

Dia mendapat 19,138 undi manakala Wong mendapat 15,903 undi dan Lim (812).

Lau mewakili parlimen Sibu sejak 1990.

Dalam pilihan raya umum 2008, parlimen Sibu mempunyai 53,679 pengundi, dengan majoriti kaum Cina (60 peratus), Melanau (20 peratus), Iban (18 peratus) dan Orang Ulu (1.1 peratus).

Keluarga Lau memiliki kumpulan KTS - sebuah konglomerat yang terbabit dalam industri pembalakan dan media.

Kumpulan KTS memiliki beberapa akhbar termasuk Borneo Post dan Oriental Daily News.

Thursday, April 8, 2010

MIC: Palanivel calon tunggal kami

Pemimpin MIC menolak dakwaan kononnya timbalan presiden G Palanivel bukan calon tunggal parti itu yang dikemukakan kepada pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Razak untuk bertanding kerusi parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini.

Penafian itu dibuat ketika pelbagai khabar angin timbul yang Palanivel (kiri) akan digugurkan kerana masalah dalaman dan akan digantikan oleh calon lain dari MIC dan mungkin juga daripada Umno.

Spekulasi itu semakin panas apabila Najib ketika ucapannya semalam di konvensyen BN mengesahkan BN akan mengemukakan calon dari MIC tetapi tidak mendedahkan namanya.

BN dijadualkan menamakan calon mereka pada 15 April ini dan lobi-melobi dijangka berterusan apabila Najib ke luar negara hujung minggu ini.

Palanivel yang menjadi ahli parlimen Hulu Selangor selama empat penggal sejak 1990 tetapi ditumbangkan dengan majoriti tipis pada pilihan raya umum 2008 berharap dapat kembali ke Dewan Rakyat.

Ke
tika dihubungi, naib presiden MIC, Datuk Dr S Subramaniam (kanan) mengesahkan Palanivel adalah calon tunggal parti itu.

Beliau juga menolak khabar angin bahawa pencalonan Palanivel menghadapi masalah kerana beliau akan menuntut jawatan kabinet jika menang kelak.

"Memenangi pilihan raya kecil itu adalah keutamaan kami,” kata Subramaniam, yang dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia sejak tahun 2008 kerana beliau adalah pemimpin tertinggi MIC yang menang pada pilihan raya umum lalu.

Seorang lagi naib presiden MIC, Datuk M Saravanan juga tidak mahu melayan soalan jika ada tuntutan supaya Palanivel digugurkan.

“Tidak ada 'jika' dalam politik,” tegas Saravanan.

Saravanan, yang juga adalah timbalan menteri wilayah persekutuan berkata masyarakat India di Hulu Selangor berdiri teguh di belakang Palanivel.

Yu ketua baru wanita MCA

Datuk Yu Chok Tow dilantik sebagai ketua baru wanita MCA bagi menggantikan Datin Paduka Chew Mei Fun yang meletakkan jawatan hari ini.

Beliau sebelum ini adalah timbalan ketua pergerakan itu.

Manakala Naib Presiden, Tan Ah Eng pula dijadikan timbalan ketua yang baru.

Chew melepaskan semua jawatannya itu dengan alasan mempertahankan keseimbangan gender serta hak dan maruah wanita di negara ini.

Pada masa sama, Chew juga meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Wanita MCA bahagian Selangor dan Pengerusi Skuad Bantuan Bencana MCA dan perletakan jawatan tersebut berkuatkuasa hari ini.

Katanya, beliau juga akan menyerahkan surat perletakan jawatannya sebagai timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat serta senator kepada pejabat Perdana Menteri, Datuk Najib Razak esok.

Jelasnya, beliau dilantik sebagai timbalan menteri dan senator kerana beliau merupakan sayap wanita MCA, oleh itu, beliau patut berundur daripada jawatan kementerian apabila memutuskan meletakkan jawatan dalam parti.

Surat perletakkan jawatan dalam kementerian akan berkuatkuasa pada 29 April ini atau sekiranya Kabinet dirombak sebelum tarikh berkenaan.

Chew juga berkata beliau akan mula percutiannya esok sehingga 28 April ini.

Umno Hulu Bernam terima MIC tapi tolak Palanivel

Umno bahagian Hulu Bernam menerima keputusan pucuk pimpinan untuk mengekalkan MIC bertanding dalam pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor tetapi menolak Datuk G Palanivel sebagai calonnya.

"Inilah merupakan pendirian bersama pemimpin Umno cawangan dalam bahagian kami," kata ketua cawangan Umno Seri Keledang, Mokhtar Hassan hari ini.

Hulu Bernam merupakan satu daripada tiga DUN dalam parlimen Hulu Selangor. Dua lagi ialah Kuala Kubu Baru dan Batang Kali.

DUN Hulu Bernam dan Batang Kali diwakili oleh Umno, manakala DUN Kuala Kubu Baru diwakili oleh MCA.

Mokhtar yang juga pengerusi jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung persekutuan (JKKKP) berkata selain Palanivel, antara calon MIC yang boleh diketengahkan ialah ketua pemuda MIC bahagian, V Mugilan dan timbalan ketua bahagian, V Chandran.

Palanivel (kiri) adalah ketua MIC bahagian Hulu Selangor.

Mokhtar berkata, Mugilan dan Chandran dianggap sebagai pemimpin yang bersih dan tidak menghadapi apa-apa masalah di segi pentadbiran.

Sebelum ini, Mokhtar adalah antara 54 pengerusi JKKKP di Hulu Selangor yang menandatangani memorandum yang dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mendesak supaya kerusi parlimen di situ dipulangkan kepada Umno.

Ditanya sama ada Umno kecewa dengan keputusan pucuk pimpinan mengekalkan calon MIC, beliau berkata: "Kecewa memang kecewa, tapi apa nak buat. PM dah cakap kecewa atau tidak, kita kena sokong..."

"Mereka (akar umbi) boleh menerima MIC tetapi bukan Datuk Palanivel sebagai calonnya. Yang lain mungkin OK," tambahnya.

Hulu Selangor pernah diwakili oleh Datuk G Palanivel (bawah) daripada MIC selama empat penggal tetapi dalam pilihan raya umum lalu beliau kalah kepada Datuk Zainal Abidin Ahmad daripada PKR.

Zainal Abidin yang meninggal dunia pada 25 Mac lalu akibat barah otak menang tipis dengan menumbangkan Palanivel yang juga merupakan timbalan presiden MIC, dengan majoriti tipis 198 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu pada 17 April ini manakala pengundian pada 25 April.

Harris: 'Ada niat jahat siasat nahas udara 1976'

Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Harris Salleh (bawah, kiri) mempertikaikan keperluan membangkitkan semula penyiasatan nahas udara 6 Jun 1976 yang meragut nyawa ketua menteri ketika itu, Donald Mohd Fuad Stephens dan beberapa pemimpin yang lain.

Nahas itu menyebabkan majlis pemeteraian perjanjian berhubung hasil minyak kerajaan negeri Sabah dan Petronas yang dijadualkan di Labuan itu tergendala. Ia kemudiannya ditunda dan dimeterai di Kota Kinabalu.

Pemimpin PKR Sabah, Jeffrey Gapari Kitingan dan presiden Parti Progresif Sabah, Datuk Yong Teck Lee baru-baru ini menuntut siasatan diadakan semula.

Harris melabelkan tuntutan supaya siasatan baru diadakan sebagai “berniat jahat dan bertujuan memalu dan memfitnahkanya secara peribadi.

Jumaat lalu, bekas pengerusi Petronas dan juga bekas menteri kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah pada satu majlisnya di Kota Kinabalu menimbulkan semula insiden nahas udara itu.

Razaleigh dilaporkan berkata beliau juga berada di pesawat yang membawa Stephen tetapi diarahkan keluar oleh Harris (yang ketika itu adalah Ketua Menteri) sebelum pesawat itu dijadualkan berlepas.

Menurut Harris, apa yang didakwa itu sebenarnya tidak benar.

Katanya, dua pesawat Nomad dijadualkan berlepas dari Labuan pada waktu yang hampir sama. Sebuah pesawat dijadualkan ke Kudat manakala sebuah lagi ke Kota Kinabalu.

“Penumpang bagi pesawat ke Labuan termasuk Abdul Rahman Yaacob, Razaleigh, diri saya dan beberapa yang lain,” kata Harris dalam satu kenyataan.

Harris bersumpah bahawa Razaleigh tidak dijadualkan terbang bersama Stephens ke Kota Kinabalu tetapi sebaliknya menuju ke Kudat dahulu sebelum ke Pulau Banggi

“Tujuan lawatan adalah supaya Razaleigh menyaksikan sendiri projek ternakan lembu yang pertama di Sabah,” katanya.

Oleh itu, katanya, dakwaan yang Razaleigh diarah keluar dari pesawat malang itu pada saat terakhir adalah satu kesilapan.

Wednesday, April 7, 2010

PM: MIC bertanding di Hulu S'gor tapi tak sebut calon

Persoalan parti mana dari komponen BN yang akan bertanding dalam pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor terjawab hari ini apabila perdana menteri berkata ia akan ditandingi oleh calon dari MIC.

"Kerusi (parlimen) Hulu Selangor akan ditandingi oleh seorang calon dari MIC, kerana itu kerusi MIC," kata Datuk Seri Najib Razak kepada pemberita di Shah Alam hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak mengumumkan siapakan calon dari MIC itu.

"Biar calon ditentukan oleh pengerusi BN (Najib) sebab saya nak kita menang," kata Najib yang juga pengerusi BN.

Sebelum ini, MIC telah mengemukakan timbalan presidennya, Datuk G Palanivel untuk bertanding sekali lagi di Hulu Selangor.

Umno bahagian juga mendesak supaya kerusi itu dikembalikan kepada Umno.

Bagaimanapun, semalam dilaporkan bahawa, Umno boleh menerima calon dari MIC tetapi bukan Palanivel.

'Makam kita tak sama'

Sementara itu, naib ketua Umno bahagian Hulu Selangor, Datuk Adnan Buyong, ketika diberitahu mengenai pengumuman najib itu berkata:

"Nak tanya apa? Pemimpin sudah umum. Dia pemimpin kita, apa dia cakap kita kena terimalah," katanya.

Ditanya sama ada ia akan memberi kesan negatif kepada pengundi, Adnan menjwab:

"Kita sebelum ini bagi pandangan sahaja. Dia mungkin ada kajian dia (yang tersendiri). Dia pemimpin, makam (kedudukan) kita tak sama.

"(Ketawa) Apa dia kata kita kena terimalah," kata Adnan.

Beliau bagaimanapun tidak mahu mengulas panjang kerana sedang sibuk berkonvenysen di Shah Alam.

Sementara itu, Najib berkata walaupun mungkin terdapat pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusannya memberikan laluan kepada MIC, ia hanya "merupakan adat biasa".

Batu loncatan pulihkan BN

"Kita ada beberapa perhitungan lain. Tetapi macam mana pun bila sampai kepada penentuan calon, mesti ada orang yang setuju dan ada yang tidak setuju.

"Itu merupakan adat biasa. Yang penting soal kepercayan dan kesetiaan. Setelah keputusan itu dibuat, mereka kena terima," katanya.

Ditanya sejauh mana pentingnya pilihan raya kecil di Hulu Selangor kepada BN, Najib berkata ia diharapkan menjadi "batu loncatan" ke arah pemulihan gabungan 13 parti pemerintah itu.

Perdana menteri juga yakin, berdasarkan kepada sentimen pengundi pada masa ini, sokongan memihak kepada BN.

"Bagaimanapun dalam pilihan raya kecil, ada faktor-faktor lain yang kita (perlu) ambil kira. Salah satu daripadanya, faktor calon. Sebab bila pilihan raya kecil, ia lebih fokus kepada calon.

"Kalau pilihan raya umum ia lebih kepada kepimpinan negara dan soal isu nasional," katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...