Friday, April 16, 2010

‘Tuan Muda’ mohon maaf, janji tidak ulangi perbuatan

KUANTAN 16 April – Remaja yang menyamar sebagai “Tuan Muda Pahang” telah menghantar surat memohon maaf serta akujanji kepada pihak Istana Pahang untuk tidak mengulangi perbuatan itu.

Setiausaha Sulit Istana Abdul Aziz di sini, Left. Kol. (B) Nor Hashim Abdul Aziz berkata, surat permohonan maaf serta akujanji berkenaan diserahkan sendiri remaja berusia 17 tahun itu semalam.

"Dalam surat itu, remaja terbabit menyatakan rasa kesal dengan perbuatannya, dia juga memohon maaf kepada Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah serta semua anggota kerabat dan berjanji untuk tidak mengulangi perbuatan tersebut.

"Remaja itu juga mengaku bahawa dia melakukan perbuatan itu seorang diri dan atas kehendaknya sendiri tanpa pengetahuan saudara-maranya yang lain,” katanya di sini, hari ini.

Remaja itu, kata Nor Hashim, juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang kenyataan kepada media untuk mengelak sebarang spekulasi. – Bernama

Sibu: 16 Mei undi, 8 Mei penamaan calon

Suruhanjaya Pilihan Raya sebentar tadi mengumumkan pilihan raya kecil parlimen Sibu ditetapkan pada Ahad, 16 Mei ini.

Menurut pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (berbaju Melayu jingga), penamaan calon pula ditetapkan pada Sabtu, 8 Mei.

Beliau membuat pengumuman itu selepas mengadakan mesyuarat hampir tiga jam di pejabat SPR di Shah Alam.

Proses penamaan calon dan penjumlahan undi rasmi bagi pilihan raya kecil itu akan dilaksanakan di Dewan Suarah, Sibu, katanya pada sidang media hari ini.

Pilihan raya kecil itu perlu diadakan mengikut Perkara 54 (1) Perlembagaan Persekutuan berikutan kematian penyandangnya Datuk Robert Lau Hoi Chew pada 9 April lalu.

Aziz berkata SPR telah pun menerima surat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat beserta sijil kematian Lau, yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan pada 12 April lalu dan SPR memastikan kekosongan kerusi Parlimen Sibu pada 10 April.

"Mengikut perlembagaan, pilihan raya kecil perlu diadakan 60 hari selepas tarikh kekosongan kerusi itu dipastikan," katanya.

Pada majlis ini, Aziz juga menyampaikan watikah pelantikan sebagai pegawai pengurus pilihan raya kecil Parlimen Sibu kepada Pegawai Daerah Sibu, Wong See Meng (kiri).

Beliau berkata Wong mempunyai pengalaman dalam mengendalikan beberapa pilihan raya umum di Sibu dan akan dibantu oleh empat penolong pegawai pengurus daripada beberapa jabatan kerajaan negeri di Sarawak.

Aziz berkata bagi pilihan raya kecil ini, SPR akan menggunakan daftar pemilih induk 2009 yang dikemaskini sehingga 9 April tahun ini.

Sibu mempunyai 54,695 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 52,158 pemilih biasa dan 2,537 pengundi pos, terdiri daripada 1,910 anggota tentera dan 627 anggota polis.

Proses pengeluaran dan pengiraan undi pos akan dibuat di Pejabat Daerah Sibu.

Kerusi parlimen Sibu kosong berikutan kematian ahli parlimennya yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Robert Lau Hui Choi, minggu lalu.

Lau, 68, dari SUPP memenangi kerusi tersebut pada pilihan raya umum 2008 dengan majoriti 3,235 undi. Beliau menewaskan calon DAP Wong Ho Leng dan calon PKR Lim Chin Chuang.

Dia mendapat 19,138 undi manakala Wong mendapat 15,903 undi dan Lim (812).

Lau mewakili parlimen Sibu sejak 1990.

Dalam pilihan raya umum 2008, parlimen Sibu mempunyai 53,679 pengundi, dengan majoriti kaum Cina (60 peratus), Melanau (20 peratus), Iban (18 peratus) dan Orang Ulu (1.1 peratus).

Keluarga Lau memiliki kumpulan KTS - sebuah konglomerat yang terbabit dalam industri pembalakan dan media.

Kumpulan KTS memiliki beberapa akhbar termasuk Borneo Post dan Oriental Daily News.

PM: MIC perlu menang di Hulu S'gor

MIC, yang sekali lagi diberi kepercayaan bertanding bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor, perlu menang dalam pilihan raya kecil di situ 25 April ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Najib yang juga Pengerusi BN berkata MIC perlu membuktikan yang ia sebuah parti nasional yang berkhidmat bukan saja untuk masyarakat India tetapi juga untuk semua kaum.

"Saya memutuskan (P) Kamalanathan (sebagai calon BN) ialah untuk memenuhi kehendak pengundi tempatan. Ia bermakna apa pandangan rakyat mengenai calon yang sesuai menjadi wakil parlimen (diutamakan).

"Ini yang menjadi perhitungan pertama kerana kawasan Hulu Selangor ini kawasan BN. Kita pinjamkan kepada PKR sementara waktu. Sudah sampai masanya tempoh pinjaman ini ditamatkan dan kembali kepada BN.

"Sebab itu kita mesti letak calon yang boleh menang," kata perdana menteri kepada wartawan Malaysia di Washington sebelum meneruskan lawatannya ke New York.

Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan Ketua Penerangan MIC PKamalanathan, 44, sebagai calon BN untuk bertanding di situ. Penamaan calon akan diadakan esok.

Najib berkata, walaupun Datuk G Palanivel tidak dipilih semula menjadi calon, tetapi beliau tetap mengiktiraf segala sumbangan timbalan presiden MIC itu.

"Saya tetap iktiraf Datuk G Palanivel sebab dia banyak memberi sumbangan sebagai ahli parlimen dan timbalan menteri (sebelum ini)," katanya.

Palanivel merupakan ahli parlimen Hulu Selangor sejak 1990 sebelum tewas kepada Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad daripada PKR yang meninggal dunia 25 Mac lepas akibat barah otak.

Mengenai pemilihan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon PKR kali ini, Najib berkata: "Semua orang kenal Zaid. Tak perlu saya ulas."

Mengenai lawatannya ke Washington, perdana menteri menyifatkannya sebagai yang "paling berhasil" terutama, kerana menurut beliau, sentimen Washington terhadap Kuala Lumpur telah berubah.

Katanya, beliau melihat perubahan sentimen tersebut bukan sahaja pada Presiden Barack Obama dan pentadbirannya tetapi juga di Capitol Hill iaitu dalam kalangan senator serta ahli Kongres dan juga dalam kalangan ahli peniagaan Amerika Syarikat .

Isnin lepas, Najib telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Obama semasa menghadiri Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear di sini.

Wednesday, April 14, 2010

Isa Samad - Bibi Sharliza selamat dinikahkan

SEREMBAN 14 April - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang, Tan Sri Mohd. Isa Samad selamat diijabkabulkan dengan bekas Setiausaha Puteri UMNO, Bibi Sharliza Mohd. Khalid dengan sekali akad pada pukul 3.30 petang tadi. - Utusan

Khairy: Penduduk Hulu S'gor mahu calon muda

Pengerusi pemuda BN Khairy Jamaluddin berkata beliau tidak mengetahui golongan mana yang masih inginkan timbalan presiden MIC, Datuk G Palanivel sebagai calon di pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Beliau bagaimanapun mengakui wujudnya satu golongan dalam MIC di kawasan itu yang mengugut untuk memboikot pilihan raya tersebut sekiranya Palanivel tidak diletakkan sebagai calon.

BN dijadual mengumumkan calonnya pada jam 4 petang esok bagi pertandingan pada 25 April ini, namun hampir separuh daripada ketua-ketua cawangan MIC kawasan itu hari ini secara terbuka menyatakan sokongan kepada Palanivel.

Ada yang membayangkan untuk memulaukan pilihan raya tersebut sekiranya cadangan untuk mencalonkan Palanivel itu ditolak oleh BN.

Menurut Khairy, berdasarkan maklum balas yang diterima, masyarakat di kawasan itu mahukan calon daripada golongan muda MIC dan bukannya Palanivel (bawah) seperti yang ditekan oleh golongan berkenaan.

Katanya, keputusan daripada pemimpin BN mengenai penentuan calon parti itu perlulah dihormati.

"Ugut-mengugut ini bukanlah satu perkara sihat," kata Khairy ketika ditemui Malaysiakini di lobi parlimen hari ini.

Beliau juga mendakwa tidak mengetahui kononnya ada kumpulan yang masih menyokong Palanivel sebagai calon.

"Saya tidak tahu. Saya tidak tahu. Yang saya boleh jawab,sebagai pengerusi pemuda BN, feedback yang saya terima, inginkan kepada calon muda.

"Kemahuan mereka adalah untuk calon MIC dan perdana menteri telah jawab akan diberikan calon MIC.

"Jadi saya tidak tahu apa masalahnya (lagi). Mungkin ini sebahagian atau keseluruhan daripada parti MIC saya tidak tahu tapi akhirnya kita kena lihat keputusan yang akan dibuat.

"Saya dah turun dah dapat banyak feedback dan nampak gayanya hendak kepada calon tempatan. Orang muda hendak kepada calon muda," katanya.

Sokong Palanivel, MIC tolak calon 'pintu belakang'

Ketua 18 bahagian MIC di Selangor hari ini tampil mendesak pucuk pimpinan BN supaya mengesahkan pemilihan Datuk G Palanivel sebagai calon pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor, sepertimana yang diperakukan oleh presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di ibupejabat MIC di ibunegara, wakil kumpulan tersebut, A Saktivel yang juga ketua MIC Puchong, berkata kesefakatan BN menyatakan bahawa pengerusi BN mesti menerima siapa sahaja calon yang dipilih oleh pemimpin parti komponennya.

MIC mempunyai 22 bahagian di Selangor. Palanivel, yang juga ketua MIC bahagian Hulu Selangor, tidak hadir.

Saktivel yang juga anggota jawatankuasa kerja pusat MIC berkata, tidak pernah berlaku dalam sejarah di mana calon yang tidak dipilih oleh presiden parti, diletak bertanding.

Timbalan pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengumumkan calon BN esok.

Selain Palanivel, satu lagi nama yang disebut-sebut disokong oleh Umno untuk dicalonkan bertanding di Hulu Selangor ialah timbalan ketua Pemuda MIC, V Mugilan.

Difahamkan sewaktu mesyuarat jawatankuasa pengurusan BN Isnin lalu, para pemimpin MIC telah menyuara bantahan mereka dan bertegas supaya Palanivel yang juga timbalan presiden MIC, dicalonkan bertanding di Hulu Selangor.

Difahamkan juga, timbul kebimbangan sekirannya berlaku sebaliknya, ia akan menjadi ikutan di mana Umno sebagai parti tunggak BN, akan terus campurtangan dalam halehwal parti komponen yang lain.

Tolak calon pintu belakang

Saktivel berkata, sidang akhbar hari ini diadakan ekoran khabar angin yang semakin kuat bahawa Palanivel mungkin tidak dicalonkan.

Sehubungan itu, katanya, mereka tidak mahu seseorang itu dicalonkan bertanding di situ mengikut 'pintu belakang'.

Ini, katanya, adalah mengenai soal maruah parti.

Saktivel kemudiannya mengemukakan salinan surat beranak Mugilan dan mendakwa timbalan ketua pemuda MIC itu bukan 'anak tempatan' kerana dokumen itu menyatakan dia dilahirkan di Pantai Remis, Perak.

Sebaliknya, kata Saktivel, Palanivel sudah menetapkan di Hulu Selangor sejak 18 lalu.

CD rampas kuasa: Kekanda Sultan buat laporan polis

Kekanda Sultan Kelantan, Tengku Merjan Tengku Yahya Petra hari ini membuat laporan polis berhubung satu kandungan cekera padat (CD) yang didakwa mengandungi cubaan rampasan kuasa terhadap kedudukan dan jawatan Sultan Kelantan Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra.

Tengku Merjan membuat laporan itu di Ibupejabat Polis Daerah Ampang Jaya, Kuala Lumpur kira-kira jam 2.30 petang.

Antara lain, Tengku Merjan dalam laporannya menyatakan beliau telah mendapat satu salinan CD perbincangan tertutup antara pengelola istana Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad dan peguam Datuk Sukri Mohamed yang menunjukkan terdapat satu perancangan untuk menghasut, mengugat serta mencampuri urusan istana Kelantan.

Tengku Merjan dalam kenyataannya berkata perjumpaan sulit dan tertutup antara Halim dan Sukri di sebuah hotel di Kota Bharu adalah berniat jahat dengan tujuan menghasut wartawan dan masyarakat untuk menghina sultan Kelantan.

Mereka katanya telah membocorkan maklumat sulit mengenai kesihatan sultan Kelantan kepada pihak ketiga tanpa kebenaran empunya diri dengan tujuan menjatuhkan maruah dan kredebiliti sultan.

Tengku Merjan berkata mereka juga telah memberi fakta yang salah mengenai
kesihatan sultan Kelantan dan mencampuri urusan peribadi Tuanku dengan membuat kenyataan yang boleh mempengaruhi masyarakat berhubung penceraian sultan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang ACP Abdul Jalil Hassan ketika ditemui mengesahkan menerima laporan tersebut.

Katanya, beliau akan menghantar laporan itu kepada IPD Kota Baharu kerana kes itu berlaku di Kota Bharu.

- Bernama

Sibu: DAP wakili Pakatan Rakyat

Pakatan Rakyat akan diwakili oleh calon DAP pada pilihan raya kecil kawasan parlimen Sibu yang bakal diadakan, kata ketua umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, satu mesyuarat khas akan diadakan dengan barisan pemimpin DAP kawasan tersebut pada 18 April untuk membincangkan rangka kerjasama dengan PAS dan PKR bagi memenangi kerusi berkenaan.

"Kita akan letakkan hanya satu calon daripada DAP untuk tunjukkan muafakat kita," katanya kepada pemberita di pejabat ketua pembangkang di parlimen hari ini.

Beliau juga menepis tanggapan bahawa berlakunya 'pertengkaran' di kalangan pemimpin DAP dan PKR di Sarawak.

"Tidak ada pertengkaran, mereka hanya bertukar pandangan secara secara kekeluargaan. Cuma bezanya bertukar pandangan itu secara terbuka di media. Kita sudah nasihatkan untuk bertukar pandangan dalam mesyuarat.

"Saya mahu yakinkan rakan-rakan kita, dalam kes ini DAP di Sarawak akan tegas, semua pemimpin yang mewakili PKR, saya percaya dalam semangat persahabatan kita juga, akan sokong calon DAP.

"Tidak ada kompromi dalam memastikan disiplin yang efektif untuk meamastikan kemenangan selesa untuk calon kita," katanya dalam sidang media yang turut dihadiri presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang dan penasihat DAP Lim Kit Siang.

Tambahnya lagi, Pakatan bagaimanapun belum menetapkan calon untuk kerusi berkenaan memandangkan tarikh pemilihan itu juga masih belum ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Mungkin (SPR) akan tunda (pilihan raya) sehingga dua bulan," katanya.

Kerusi parlimen Sibu kosong berikutan kematian Datuk Robert Lau yang juga adalah timbalan menteri pengangkutan pada 9 April lalu, akibat barah.

Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia dijadualkan bermesyuarat pada Jumaat ini bagi menentukan tarikh pilihan raya kecil dan juga penamaan calon.

Lau, 68, dari SUPP memenangi kerusi tersebut pada pilihan raya umum 2008 dengan majoriti 3,235 undi. Beliau menewaskan calon DAP Wong Ho Leng dan calon PKR Lim Chin Chuang.

Dia mendapat 19,138 undi manakala Wong mendapat 15,903 undi dan Lim (812).

Lau mewakili parlimen Sibu sejak 1990.

Dalam pilihan raya umum 2008, parlimen Sibu mempunyai 53,679 pengundi, dengan majoriti kaum Cina (60 peratus), Melanau (20 peratus), Iban (18 peratus) dan Orang Ulu (1.1 peratus).

Keluarga Lau memiliki kumpulan KTS - sebuah konglomerat yang terbabit dalam industri pembalakan dan media.

Kumpulan KTS memiliki beberapa akhbar termasuk Borneo Post dan Oriental Daily News.

Thursday, April 8, 2010

MIC: Palanivel calon tunggal kami

Pemimpin MIC menolak dakwaan kononnya timbalan presiden G Palanivel bukan calon tunggal parti itu yang dikemukakan kepada pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Razak untuk bertanding kerusi parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini.

Penafian itu dibuat ketika pelbagai khabar angin timbul yang Palanivel (kiri) akan digugurkan kerana masalah dalaman dan akan digantikan oleh calon lain dari MIC dan mungkin juga daripada Umno.

Spekulasi itu semakin panas apabila Najib ketika ucapannya semalam di konvensyen BN mengesahkan BN akan mengemukakan calon dari MIC tetapi tidak mendedahkan namanya.

BN dijadualkan menamakan calon mereka pada 15 April ini dan lobi-melobi dijangka berterusan apabila Najib ke luar negara hujung minggu ini.

Palanivel yang menjadi ahli parlimen Hulu Selangor selama empat penggal sejak 1990 tetapi ditumbangkan dengan majoriti tipis pada pilihan raya umum 2008 berharap dapat kembali ke Dewan Rakyat.

Ke
tika dihubungi, naib presiden MIC, Datuk Dr S Subramaniam (kanan) mengesahkan Palanivel adalah calon tunggal parti itu.

Beliau juga menolak khabar angin bahawa pencalonan Palanivel menghadapi masalah kerana beliau akan menuntut jawatan kabinet jika menang kelak.

"Memenangi pilihan raya kecil itu adalah keutamaan kami,” kata Subramaniam, yang dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia sejak tahun 2008 kerana beliau adalah pemimpin tertinggi MIC yang menang pada pilihan raya umum lalu.

Seorang lagi naib presiden MIC, Datuk M Saravanan juga tidak mahu melayan soalan jika ada tuntutan supaya Palanivel digugurkan.

“Tidak ada 'jika' dalam politik,” tegas Saravanan.

Saravanan, yang juga adalah timbalan menteri wilayah persekutuan berkata masyarakat India di Hulu Selangor berdiri teguh di belakang Palanivel.

Yu ketua baru wanita MCA

Datuk Yu Chok Tow dilantik sebagai ketua baru wanita MCA bagi menggantikan Datin Paduka Chew Mei Fun yang meletakkan jawatan hari ini.

Beliau sebelum ini adalah timbalan ketua pergerakan itu.

Manakala Naib Presiden, Tan Ah Eng pula dijadikan timbalan ketua yang baru.

Chew melepaskan semua jawatannya itu dengan alasan mempertahankan keseimbangan gender serta hak dan maruah wanita di negara ini.

Pada masa sama, Chew juga meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Wanita MCA bahagian Selangor dan Pengerusi Skuad Bantuan Bencana MCA dan perletakan jawatan tersebut berkuatkuasa hari ini.

Katanya, beliau juga akan menyerahkan surat perletakan jawatannya sebagai timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat serta senator kepada pejabat Perdana Menteri, Datuk Najib Razak esok.

Jelasnya, beliau dilantik sebagai timbalan menteri dan senator kerana beliau merupakan sayap wanita MCA, oleh itu, beliau patut berundur daripada jawatan kementerian apabila memutuskan meletakkan jawatan dalam parti.

Surat perletakkan jawatan dalam kementerian akan berkuatkuasa pada 29 April ini atau sekiranya Kabinet dirombak sebelum tarikh berkenaan.

Chew juga berkata beliau akan mula percutiannya esok sehingga 28 April ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...