Saturday, June 14, 2008

Azizulhasni tewaskan juara Olimpik


AZIZULHASNI


KUALA LUMPUR - Pelumba trek muda negara, Azizulhasni Awang memberi harapan besar kepada kontinjen Olimpik Malaysia apabila menewaskan pelumba Olimpik Australia untuk muncul juara acara keirin pada satu perlumbaan ujian di Vodafone Arena Melbourne, Australia, kelmarin.

Antara yang menjadi mangsa Azizulhasni adalah pemenang pingat emas keirin Sukan Olimpik Athens 2004, Ryan Bayley di samping dua pelumba berpengalaman Australia, Shane Kelly dan Mark French.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Abu Samah Wahab yang turut berada di Melbourne berkata, kemenangan Azizulhasni amat membanggakan.

"Walaupun ia hanya perlumbaan ujian tetapi cara kayuhan Azizulhasni meninggalkan pelumba-pelumba Olimpik Australia yang lebih berpengalaman dan bersaiz fizikal lebih besar amat menakjubkan.

"Walaupun bertubuh kecil dan masih muda, Azizulhasni menunjukkan kematangannya beraksi buat kali pertama dengan jaguh-jaguh terkemuka Australia itu," katanya.

Pelumba kelahiran Terengganu yang baru berusia 19 tahun itu turut membantu pasukan negara menjuarai acara Olimpik berpasukan (team sprint) berpasangan dengan Josiah Ng dan Mohd. Rizal Tisin.

Gandingan trio negara menewaskan gandingan French, Bayley dan Daniel Ellis.

Selain itu, Azizulhasni juga berjaya menduduki tempat ketiga acara 200 meter pecut di belakang dua pelumba Australia, Bayley (juara Olimpik 2004) dan French.

Pelumba wanita negara, Fatehah Mustapha juga berjaya menduduki tempat ketiga dalam acara keirin.

Seramai enam pelumba negara berada di Melbourne sejak sebulan lalu untuk berlatih di bawah jurulatih tempatan, John Beasley.

Bagaimanapun hanya empat pelumba lelaki akan beraksi di Sukan Olimpik Beijing Ogos ini yang pemilihannya akan ditentukan tidak lama lagi.

Ketika ini selain Azizulhasni, Josiah dan Rizal, turut bersaing merebut tempat ke Beijing adalah Mohd. Ederus Mohd. Yunus dan Junaidi Mohd. Nasir.

utusan online

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...