KOTA BHARU 13 Jun - UMNO Kelantan berikrar akan tetap setia dan menyokong Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam menerajui parti dan negara walaupun beliau mungkin ditentang oleh 'anak Kelantan' sendiri dalam pemilihan parti Disember ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Tan Sri Annuar Musa berkata, UMNO Kelantan tetap menaruh keyakinan terhadap keupayaan Abdullah sebagai orang nombor satu parti.
"Walaupun jawatan presiden dicabar Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) yang juga anak Kelantan tetapi UMNO Kelantan tetap berdiri di belakang Pak Lah.
"Dulu pun Ku Li pernah mencabar presiden (terdahulu) Tun Dr. Mahathir Mohamad tetapi UMNO Kelantan pada waktu itu tetap setia kepada Dr. Mahathir," katanya semasa berucap di hadapan Abdullah pada majlis makan tengah hari Perdana Menteri bersama pemimpin masyarakat dan pegawai kanan kerajaan sempena lawatan seharinya ke Kelantan di sini.
Majlis itu turut dihadiri isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed.
Annuar berkata, Tengku Razaleigh berhak untuk bertanding jawatan itu dan UMNO Kelantan menghormati hak itu.
"Itu hak peribadi Ku Li dan apa sahaja yang dilakukan ia tidak memecahbelahkan perpaduan parti.
"UMNO Kelantan yakin Abdullah mampu memulihkan semula imej parti yang tercalar selepas pilihan raya umum 8 Mac lepas," katanya.
- Bernama
No comments:
Post a Comment