Fri | Jun 20, 08 | 10:05:12 am MYT
KUALA LUMPUR, 20 Jun (Hrkh) - Profesor Dr Abdul Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengingatkan parti-parti politik supaya tidak bertindak membuta tuli dalam menghadapi kemelut politik negara dengan membubarkan Parlimen atau mengisytiharkan darurat.
Beliau menegaskan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai peranan yang sangat penting di dalam mententeramkan keadaan politik yang tidak menentu sekarang.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kemungkinan apa yang akan berlaku, selepas Parti Maju Sabah (SAPP) yang dipimpin Dato' Yong Teck Lee mengisytiharkan partinya akan membawa atau menyokong undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam sidang Parlimen yang akan bermula minggu depan.
Ekoran tindakan parti komponen Barisan Nasional (BN) itu, pelbagai spekulasi telah timbul. Ini termasuklah tindakan mengadakan pilihan raya mengejut oleh BN untuk menyelamatkan dirinya.
Selain itu, tegas beliau, ada yang bimbang bahawa perisytiharan darurat akan dibuat bagi mengelakkan kejatuhan kerajaan BN melalui undi tidak percaya di parlimen.
"Oleh kerana kemungkinan-kemungkinan itulah maka Perlembagaan secara idealnya memberi ruang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk bertindak bebas dari nasihat atau pengaruh kerajaan yang memerintah," tegas Aziz.
Beliau yang juga pakar Perlembagaan, mengingatkan bahawa kedudukan dan peranan Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja Berperlembagaan tidak harus disamakan dengan cop getah yang perlu melaksanakan apa sahaja yang diminta oleh kerajaan.
"Raja berperlembagaan sebenarnya lebih merujuk kepada seorang raja yang bertindak selaras dengan tuntutan dan semangat demokrasi bukan mengikut nasihat membuta tuli", tambah beliau.
Mengenai pilihan raya mengejut Aziz berkata ia hanya boleh dilakukan sekiranya Yang di-Pertuan Agong berkenan dengan permohonan Perdana Menteri untuk membubarkan Dewan Rakyat.
Aziz berkata di bawah Perlembagaan kuasa itu adalah kuasa baginda dan Perdana Menteri tidak boleh memaksa Yang di-Pertuan Agong. "Perkara 40(2)(b) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa ia adalah kuasa budibicara Yang di-Pertuan Agong," tambahnya lagi.
Dua minggu lalu Aziz berkata bahawa di dalam senario sekarang adalah tidak wajar untuk Yang di-Pertuan Agong membubarkan dewan bagi membolehkan pilihan raya semula diadakan.
Beliau menjelaskan, meskipun kuasa itu kuasa budibicara baginda diberi tanggungjawab untuk menilai keadaan dan mempastikan bahawa kepentingan negara dan rakyat mengatasi segala-galanya.
"Inilah sebabnya mengapa Suruhanjaya Reid meminta Yang di-Pertuan Agong melihat pengalaman negara-negara Komanwel yang lain," tegas beliau.
Aziz menjelaskan di dalam keadaan sekarang pembubaran dewan adalah tidak perlu kerana dua sebab.
"Yang pertama kita sudah mendengar hasrat untuk membawa usul undi tidak percaya di parlimen. Dengan demikian Yang di-Pertuan Agong mesti menunggu sehingga usul itu dikemukakan dan melihat hasilnya. Sekiranya Yang di-Pertuan Agong berkenan membubarkan dewan maka baginda akan dilihat menyebelahi kepentingan Barisan Nasional dan ini tidak selaras dengan ideal Perlembagaan yang mahukan baginda bebas dari politik dan melindungi proses Perlembagaan," tegas Aziz.
Sebab yang kedua, bahasnya, wujudnya potensi pembentukan kerajaan baru tanpa melalui pilihan raya. Beliau menjelaskan sama ada melalui undi tidak percaya atau lompat parti, sebuah kerajaan baru sebenarnya boleh dibentuk.
"Cara ini jelas lebih murah dan lebih menjimatkan masa. Lagipun pilihan raya baru sahaja diadakan," ujarnya.
Bagaimanapun, Aziz berasa ragu sekiranya pilihan raya adalah satu pilihan yang sesuai ekoran kenaikan harga minyak kerana isu itu menyebabkan kerajaan yang memerintah sekarang tidak lagi popular.
Mengenai pemerintahan darurat di bawah Perkara 150, Aziz berkata ia adalah tidak baik kerana krisis politik yang ada sekarang boleh ditangani melalui proses dan prosedur biasa yakni undi tidak percaya dan seterusnya.
"Dalam soal ini Yang di-Pertuan Agong mesti menolak nasihat untuk mengisytiharkan darurat kerana ia akan menyebabkan Perlembagaan digantung dan kerajaan yang ada diberi kuasa untuk membuat undang-undang tanpa ke parlimen. Ini berbahaya", tegas Aziz. - mr _
Harakah Daily
No comments:
Post a Comment