Fri | Jun 20, 08 | 6:17:08 pm MYT
KUALA LUMPUR, 20 Jun (Hrkh) - Pegawai polis Kajang didakwa memukul empat tahanan, termasuk dua daripadanya dipaksa melakukan sek oral sesama mereka sambil diperhatikan pihak polis.
Selain dipukul dan dipaksa melakukan seks oral, mereka juga mendakwa disembur dengan penyembur serangga dan dipaksa menjilat kasut anggota polis dalam tempoh tahanan reman mereka.
Dakwaan tersebut disampaikan peguam tahanan tersebut, Kartigesan Shamugam, di hadapan Pesuruhjaya Suhakam, Dato' Siva Subramaniam, di pejabat Suhakam, petang tadi.
Menurut Kartigesan, mereka ditahan pada 29 Mei lalu, di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, tarikh mereka didera tidak dimaklumkan kepada Suhakam, namun dipercayai kejadian itu berlaku ketika tempoh tahanan reman tujuh hari mereka.
Mereka kemudiannya dibawa ke Mahkamah Majistret untuk disambung reman selama tiga hari lagi, dan berpeluang mengadu kepada Majistret mengenai deraan tersebut.
Difahamkan, mereka kemudiannya dibawa semula ke Balai Polis Kajang untuk lanjutan tahanan reman dan sekali lagi didakwa didera kerana mengadu kepada Majistret mengenai deraan sebelum itu.
Sehubungan itu, bapa kepada seorang mangsa, bertindak membuat laporan berhubung deraan seksual tersebut di Suhakam pada 11 Jun lalu.
Sementara itu, Dato' Siva dalam responsnya, berkata Suhakam telah memberikan surat kepada Ketua Polis Daerah Kajang setelah menerima aduan tersebut bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai dakwaan tersebut.
"Setelah Suhakam mendapat jawapan dari Ketua Polis Daerah Kajang, Suhakam akan meneruskan siasatan kerana dakwaan ini adalah sesuatu yang serius jika dibuktikan, dan ia jelas melanggar prinsip asasi yang dijamin perlembagaan," tegas beliau.
Dalam pada itu, Siva berkata surat tersebut juga telah dihantar salinannya kepada Ketua Polis Negara untuk makluman dan tindakan pihak terbabit. - mns_
Harakah Daily
No comments:
Post a Comment