Fri | Jun 20, 08 | 11:03:10 am MYT
KUALA LUMPUR, 20 Jun (Hrkh) - Usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi tetap akan dibawa ke Dewan Rakyat meskipun tidak akan dibentangkan pada hari Isnin seperti yang digembar-gemburkan sesetengah pihak.
Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar berkata pihaknya menafikan ada dakwaan usul bakal dibuat pada hari tersebut namun semua parti komponen Pakatan Rakyat termasuk daripada PAS, KeADILan dan DAP akan hanya berbuat demikian pada masa yang difikirkan sesuai.
"Hari Isnin ini 'sah' tidak ada tetapi selepas hari itu atau pada-pada bila-bila masa kita pasti akan bentangkan usul tersebut.
"Ya...pada tahun ini kita akan usulkan undi tidak percaya setelah berbincang dan mendapat persetujuan sepakat dengan semua parti komponen Pakatan Rakyat," katanya ketika dihubungi Harakahdaily bagi mendapat reaksi segara berhubung isu terbabit.
Beliau merupakan ahli Parlimen berpengalaman turut menjelaskan sesuatu usul seperti undi tidak percaya perlulah diberikan notis awal terlebih dahulu kepada Parlimen dan tidak boleh dikategorikan sebagai usul tergempar yang boleh diberi notis selama 24 jam.
Dalam pada itu itu, beliau menyatakan pandangan senario terkini merupakan antara kemuncak krisis ketidak-percayaan rakyat terhadap kepimpinan Abdullah yang selama ini dilihat lemah dan tidak sensiritif kepada masalah yang menghimpit rakyat.
Katanya undi tidak percaya parti kompenen Barisan Nasional(BN) seperti Parti Maju Sabah (SAPP) merupakan permulaan yang penting dalam mencorakkan politik negara yang dilihat terumbang-ambing pasca 8 Mac lalu.
"Selepas 100 hari Abdullah dilihat makin lemah dan tidak berupaya untuk mengurus tadbir negara dengan baik khususnya dalam hal ehwal kewangan dan ekonomi yang juga berkait rapat dengan krisis kenaikan harga minyak.
"Ini tidak termasuk kucar-kacir dan pecah-belah yang berlaku pada Umno yang tidak memungkinnya menjadi parti contoh dalam komponen BN dan kepada negara amnya," katanya yang juga Ahli Parlimen Tumpat.
Justeru tindakan yang diambil oleh SAPP dianggap tepat dan wajar dicontohi oleh parti-parti komponen BN yang lain.
Ia penting demi mengolahkan kembali ekonomi dan politik negara ke arah masa depan yang lebih terjamin dan memberi manfaat kepada rakyat khususnya, kata Kamarudin./wann _
No comments:
Post a Comment