Thursday, June 26, 2008

Isa Samad Layak Bertanding Jika Bayar Yuran Tahunan

26 Jun, 2008 21:44 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Bekas Naib Presiden Umno Tan Sri Mohd Isa Samad boleh menawarkan diri untuk bertanding pada pemilihan parti Disember ini dengan syarat beliau menjelaskan yuran tahunan.

Naib Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perlembagaan dan Peraturan Umno berkata Mohd Isa yang tamat tempoh penggantungannya 23 Jun lepas atas salah laku politik pada 2005, layak bertanding jika beliau membayar yuran tahunan sebelum 31 Disember 2007.

"Kalau (beliau) sudah bayar yuran tahunan sebelum tarikh tutup 31 Dis 2007 maknanya beliau jadi ahli di mesyuarat cawangan. Maka hak bertanding dan tawar diri itu boleh," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di Menara Dato' Onn di sini.

Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengulas kenyataan Mohd Isa semalam yang mengumumkan akan bertanding pada pemilihan parti Disember ini dan tidak menolak kemungkinan untuk bertanding semula jawatan naib presiden yang dimenanginya tiga tahun lepas.

Muhyiddin berkata mesyuarat selama empat jam bermula pukul 3.30 petang dipengerusikan Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu bagaimanapun tidak membincangkan secara spesifik sama ada Mohd Isa layak bertanding atau tidak.

Mohd Isa dilucutkan jawatan naib presiden umno yang dimenanginya pada pemilihan 2005 dan digantung keahlian selama dua penggal (enam tahun) bermula 24 Jun tahun sama, selepas didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin Umno kerana terlibat dalam politik wang, sebelum tempoh pengantungannya itu dikurangkan kepada tiga tahun selepas rayuan.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...