KUALA LUMPUR - Peruntukkan insentif RM1 juta oleh kerajaan kepada atlet memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik di Beijing mendapat sokongan penuh daripada persatuan-persatuan sukan kebangsaan.
Setiausaha Eksekutif Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia, Mejar Jasni Shaari berkata, penambahan nilai insentif itu sememangnya wajar diberikan, bukan kerana sukan tersebut suatu kejohanan terulung, tetapi ia penting dalam meringankan beban tanggungan atlet sendiri.
"Sebagai contoh, atlet menembak yang tidak mendapat pembiayaan daripada persatuan dan Majlis Sukan Negara memerlukan kos yang tinggi dalam membeli peluru untuk sesi latihan.
"Persediaan seseorang atlet menembak dalam tempoh enam atau tujuh tahun sebelum menyertai Sukan Olimpik mencecah ratusan ribu ringgit. Pemberian ganjaran berjumlah RM1 juta itu adalah tepat dan kami di pihak persatuan amat bersetuju dengan langkah kerajaan itu," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.
Katanya, pemberian ganjaran sebanyak itu telah lama dipraktik oleh negara jiran yang lain dan ia sangat baik dalam menggalakkan atlet untuk terus memberi sumbangan terbaik kepada negara di peringkat tertinggi.
Selain itu katanya, penambahan itu juga tepat kerana bukan mudah untuk atlet mendapat pingat emas di kejohanan tersebut dan pencapaian menjadi juara dalam sukan yang diceburi bukanlah sekadar sebuah naib sahaja.
"Dapat melayakkan diri juga sudah satu pencapaian baik, inikan pula memperoleh pingat emas. Ia adalah satu penghormatan kepada atlet itu sendiri," katanya.
Menurut Jasni, dia tidak terkejut dengan tawaran baru yang diberikan oleh kerajaan itu kerana berpendapat suatu hari nanti ganjaran sebanyak itu akan diberikan berdasarkan persaingan sengit di kejohanan itu.
"Ganjaran yang diperoleh oleh atlet sebelum ini di Sukan Olimpik juga telah hampir mencecah RM1 juta iaitu menerusi ganjaran wang ringgit oleh kerajaan dan pihak penaja," katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Persatuan Olahraga Amatur Malaysia, Aminuddin Mohd. Nasir berkata, pihaknya menyokong 100 peratus keputusan kerajaan itu dan ia satu penghormatan tertinggi kepada atlet yang berjaya memperoleh pingat emas.
Katanya, tidak pernah dalam sejarah sukan negara untuk menawarkan insentif yang begitu lumayan kepada atlet yang berjaya di peringkat antarabangsa.
"Ia jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan kepada sukan negara dalam menjaga kebajikan atlet yang telah berkerja keras untuk memperoleh kejayaan tertinggi.
"Pemberian sebanyak RM1 juta itu juga bukanlah satu pembaziran, tetapi ia satu dorongan terbaik untuk menggalakkan atlet memberi komitmen sepenuhnya di kejohanan terbesar itu," katanya.
Sebalik pemberian tersebut, beliau turut menyarankan agar kerajaan memberinya dalam bentuk skim insurans atau memasukkan duit tersebut dalam pelaburan dan pemberian sepenuhnya akan dilakukan ketika atlet itu berusia 30 tahun ke atas.
Jelasnya, perlaksanaan itu bertujuan menjaga kebajikan atlet tersebut di usia tua, selain ia dilihat sebagai langkah terbaik untuk jangka masa panjang.
"Kebanyakan atlet ini masih muda dan cepat lupa jika menerima duit yang banyak dalam sekelip mata. Ada di antaranya masih belum cukup matang dalam menguruskan duit yang sebanyak itu.
"Ia adalah bertujuan baik kepada atlet itu di masa depan dan tidak mengulangi kejadian yang pernah berlaku sebelum ini kepada atlet yang menerima durian runtuh daripada kerajaan kerana cemerlang di peringkat antarabangsa.
"Penerimaan wang tunai dalam jumlah yang besar juga akan merosakkan diri atlet jika dia tidak pandai mengendalikannya dan menyebabkannya terjerumus dalam kemerosotan prestasi sukan kerana ingin bersuka ria kerana mempunyai wang yang banyak," katanya.
Ditanya sama ada pemberian itu akan menguntungkan acara sukan tertentu yang dilihat berpeluang cerah boleh memperoleh ganjaran RM1 juta itu, beliau berkata, setiap orang perlu memikirkannya secara positif.
Jelasnya, semua atlet yang tidak berpeluang memenangi emas harus mengambilnya sebagai satu cabaran.
"Tidak ada perbezaan. Semua orang boleh melakukannya dan contoh terbaik ialah bagaimana atlet Asia lain boleh berjaya dengan cemerlang di peringkat tertinggi. Kita harus mengikuti jejak langkah itu," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia, Abdul Hamid Hasan berkata, kerajaan juga harus memberi ganjaran kepada acara sukan yang tidak berpeluang cerah menang tetapi atlet sukan itu berjaya melayakkan diri ke pusingan suku akhir ataupun separuh akhir.
"Ia juga penting kerana boleh mencetus semangat tinggi kepada atlet yang tidak merasakan akan mencapai kejayaan cemerlang, tetapi kejayaan itu juga mendapat perhatian daripada kerajaan," katanya.
No comments:
Post a Comment