Wednesday, June 25, 2008

Previu separuh akhir Euro 2008: Semangat juang Turki tidak cukup untuk benam Jerman

Oleh Sarapin Rasikin
Rabu, 25 Jun 2008

TURKI boleh berbangga dengan semangat juang dan tidak mudah mengaku kalah yang ditunjukkan dalam kejohanan Euro 2008 ini.

Jerman pula berbekal pengalaman luas di peringkat antarabangsa di samping barisan pemain yang lebih berkualiti.

Pasukan manakah menjadi pilihan apabila mereka bertemu dalam perlawanan separuh akhir di Basel, Switzerland, hari ini (2.45 pagi Khamis waktu Singapura)?

Tidak dapat dinafikan ramai yang memilih Jerman selepas menyaksikannya menjinakkan Portugal di peringkat suku akhir.

Pada masa yang sama, tidak kurang yang mengharapkan Turki mencatat kejutan seperti apabila ia bangkit menyingkirkan Croatia menerusi tendangan penalti untuk ke separuh akhir ini.

Tetapi hakikatnya kelebihan memihak kepada Jerman, terutama dari pengalaman dan rekod kejayaan menjuarai Kejohanan Eropah sebanyak tiga kali (1972, 1980 dan 1996).

Jerman juga pernah memenangi Piala Dunia sebanyak tiga kali iaitu dalam 1954, 1974 dan 1990.

Bagi mencerahkan peluang Jerman ke final Euro 2008 ini, Turki sudah pasti kehilangan enam pemain dan mungkin lebih daripada itu, bergantung pada respons terhadap rawatan kecederaan masing-masing.

Penjaga gawang utama Volkan Demiril, Emre Asik, Tuncay Sanli dan Arda Turan menjalani hukuman gantung, sementara penyerang Nihat Kahveci, yang menyumbatkan dua gol ke atas Republik Czech, telah pun diterbangkan ke Sepanyol untuk menjalani rawatan, dan Emre Gungor juga terkeluar daripada pertandingan ini kerana cedera.

Kedudukan pemain pertahanan Servet Cetin dan Emre Belozoglu juga belum pasti kerana masing-masing masih dihantui kecederaan lutut dan kejang otot paha.

Jadi dapat dibayangkan betapa sukar tugas jurulatih Fatih Terim memilih kesebelasan utamanya daripada barisan pemain yang amat terhad.

Ini berbeza sekali dengan jurulatih Jerman, Joachim Loew, yang mempunyai skuad bebas cedera.

Loew dijangka mengembalikan kedudukan pemain midfield Torsten Frings, yang cedera dan tidak beraksi ketika mengalahkan Portugal di suku akhir.

Kehadirannya membolehkan kapten Michael Ballack lebih bebas bergerak menambah sengatan kepada jentera serangan pasukannya.

Di samping itu, Turki perlu juga memberi perhatian kepada ancaman dua lagi pemain berbahaya Jerman iaitu gandingan penyerang Lukas Podolski dan Miroslav Klose.

Bagaimanapun, Jerman tetap perlu bekerja lebih keras untuk meruntuh dan menyusup ke kubu Turki dan cuba membolosi penjaga gawang veteran, Rustu Recber, yang kelihatan masih handal.

Kesebelasan dijangkakan.

Jerman: Jens Lehmann, Arne Friedrich, Per Mertesacker, Christoph Metzelder, Philipp Lahm, Bastian Schweinsteiger, Simon Rolfes, Michael Ballack, Thomas Hitzlsperger, Lukas Podolski, Miroslav Klose.

Turki: Rustu Recber, Hamit Altintop, Ugur Boral, Gokhan Zan, Hakan Balta, Sabri Sarioglu, Gokdeniz Karadeniz, Mehmet Topal, Mehmet Aurelio, Kazim Kazim, Semih Senturk

Pengadil: Massimo Busacca (Switzerland)

KLPos

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...