KUALA LUMPUR 24 Jun - Buat pertama kalinya dalam sejarah persidangan Dewan Rakyat, petugas media hari ini tidak lagi dibenarkan membuat liputan berita di kawasan lobi Parlimen.
Rata-rata petugas media yang tiba pada pukul 9 pagi di bangunan Parlimen terkejut apabila dilarang berada di kawasan tersebut yang dipasang dengan pita penghalang.
Pegawai keselamatan Parlimen menjelaskan bahawa arahan itu dikeluarkan oleh pejabat pentadbiran Parlimen. Wakil media hanya dibenarkan berada di satu sudut di hujung ruang lobi yang ditetapkan sebagai kawasan sidang akhbar.
Petugas media, yang turut tidak dibenarkan menghampiri bilik rehat ahli Parlimen dan pejabat menteri, kemudian memutuskan untuk memboikot semua sidang akhbar.
Seorang pegawai media kepada wakil pembangkang mendakwa mereka juga tidak dibenarkan mengedarkan sebarang kenyataan atau jawapan bertulis kepada pemberita di lobi Parlimen.
Masalah itu turut menarik perhatian ahli Parlimen apabila sebaik sahaja persidangan Dewan Rakyat dimulakan pada pukul 10 pagi, Lim Guan Eng (DAP-Bagan) bangkit sambil memegang buku Peraturan Mesyuarat dan meminta arahan itu ditarik balik.
Guan Eng berkata, arahan baru Parlimen itu menghalang para petugas media menjalankan tugas-tugas mereka.
''Saya merasakan arahan ini tidak menghormati peranan yang dimainkan media massa. Oleh demikian saya menyeru Tuan Yang Dipertua membenarkan petugas media menjalankan tugas mereka dengan baik dan lancar tanpa sebarang sekatan.
''Arahan ini juga tidak memenuhi hasrat kebebasan akhbar dan semangat Parlimen. Saya harap larangan ditarik balik," katanya, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.
Dalam pada itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mempengerusikan mesyuarat Dewan Rakyat sesi pagi berkata, peraturan berkenaan dibuat bagi memastikan keadaan lobi Parlimen terkawal.
''Keadaan kadangkala bercelaru di lobi Parlimen maka berkemungkinan kerana itulah keputusan berkenaan dibuat.
''Memandangkan perkara ini dibangkitkan oleh Yang Berhormat dari Bagan (Guan Eng) maka kita akan membincangkan semula peraturan baru itu dengan Tan Sri Pandikar Amin Mulia (Yang Dipertua Dewan Rakyat) dan beliau (Pandikar) akan mengumumkan keputusan dalam masa terdekat," ujarnya.
Jumaat lalu, pentadbiran Parlimen menetapkan hanya lima orang wakil media cetak dari setiap syarikat boleh berada dalam bangunan Parlimen dalam satu-satu masa.
Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) turut meminta pentadbiran Parlimen supaya menarik balik arahan tersebut bagi memudahkan petugas media menjalankan tanggungjawab mereka.
Kira-kira pukul 2.15 petang, Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) bersama beberapa penyokong kerajaan mengalihkan pita penghalang yang ditempatkan di sekitar Dewan Rakyat ekoran arahan baru itu.
Bung Moktar berkata, pihaknya juga tidak bersetuju dengan arahan itu dan sudah dua kali membangkitkannya kepada Pandikar.
''Kita telah meminta Parlimen memberi kelonggaran kepada petugas media kerana sebelum ini juga golongan berkenaan tidak menimbulkan apa-apa masalah," katanya.
Petugas media bagaimanapun tidak memasuki kawasan lobi Parlimen walaupun BNBBC telah mengalihkan pita tersebut kerana ia dianggap bukan keputusan rasmi pentadbiran Parlimen.
utusan malaysia
No comments:
Post a Comment