Friday, July 25, 2008

Agong Serah Jalur Gemilang Kepada Kontinjen Ke Beijing

25 Julai, 2008 12:40 PM

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Menjelang Sukan Olimpik di Beijing pada 8 Ogos ini, kontinjen negara hari ini menerima suntikan semangat dalam pemburuan pingat emas pertama negara pada temasya sukan tersebut apabila Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan menyerahkan Jalur Gemilang kepada pasukan Malaysia.

Pada istiadat yang berlangsung di Istana Negara di sini, Tuanku Mizan menyerahkan Jalur Gemilang kepada ketua kontinjen negara, Datuk Ho Koh Chye pada majlis yang turut dihadiri oleh 22 atlet kebangsaan yang layak ke temasya sukan tersebut.

"Kontinjen Malaysia sangat bertuah kerana dalam dunia, jarang sekali ketua negara sanggup meluangkan masa untuk bertemu atlet terutama atlet yang akan bertanding pada Sukan Olimpik," kata Ho kepada pemberita di sini Jumaat.

Ditanya apakan titah Tuanku Mizan ketika menyerahkan Jalur Gemilang kepadanya, Ho berkata," Tuanku bertitah, selamat berjaya."

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ismail Sabri Yaakob ketika berucap pada majlis itu berkata seramai 33 atlet dan 29 pegawai akan ke temasya di Beijing yang berlangsung sehingga 24 Ogos, untuk bertanding dalam 29 acara melalui sembilan jenis sukan.

"Walaupun harapan meraih emas pertama Malaysia dalam sejarah temasya tersebut terletak pada sukan badminton, memanah dan berbasikal, namun sukan lain yang turut layak ke Bejing juga berpotensi untuk menyumbang pingat," katanya.

Penyertaan kontinjen negara juga mencatat sejarah sebagai kontinjen terbesar negara ke temasya tersebut sejak Malaysia mula menyertai temasya edisi 1956 di Melbourne, Australia, katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...