Friday, July 25, 2008

MCA Terima 10 Bantahan Berkaitan Pemilihan Peringkat Bahagian

25 Julai, 2008 16:36 PM

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- MCA menerima kurang daripada 10 bantahan berkaitan dengan proses pencalonan bagi pemilihan peringkat bahagian parti pada Selasa lepas, kata Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Ong Ka Chuan.

"Tidak banyak bantahan, hanya masalah teknikal mengenai senarai calon, venue pemilihan yang tidak begitu sesuai. Jadi daripada lebih 70 pemilihan peringkat bahagian, kami hanya menerima kurang daripada 10 bantahan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Kelima iProperty.com di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini Jumaat.

Ong, yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berkata parti itu akan memperbetulkan semua bantahan yang boleh dikemukakan dalam masa 48 jam setelah proses pencalonan tamat.

Pengundian bagi sayap Pemuda dan Wanita peringkat bahagian akan diadakan Sabtu ini manakala jawatan di peringkat bahagian parti pula pada hari berikutnya.

Ong berkata Ahad ini, 2,188 anggota akan dipilih sebagai perwakilan ke pemilihan pusat parti pada 18 Okt.

Ditanya sama ada beliau akan bertanding untuk jawatan presiden, Ong berkata: "Saya tiada ilham lagi, yang penting pemilihan (bahagian, Wanita dan Pemuda) kena slesai baru kita tengok apa keadaan."

Mengenai muzakarah antara PAS dan Umno yang mungkin diteruskan, Ong berkata perkara itu boleh diteruskan dengan turut mengambil kira kepentingan rakyat berbilang kaum.

"Saya tidak nampak apa salahnya Umno bermuzakarah dengan PAS kerana Malaysia telah merdeka lebih 50 tahun, maka apa saja harus mengambil kira kepentingan negara dan semua rakyat.

"Tidak harus bertumpu kepada sesuatu kaum dan puak sahaja, kepentingan masyarakat majmuk harus diambil kira," katanya.

Semalam, Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhamad Taib berkata kemungkinan muzakarah antara Umno dan PAS akan diteruskan demi kepentingan negara dan rakyat khususnya agama Islam.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...