Friday, July 25, 2008

Tun Abdul Majid Berang Dengan Dakwaan Peguam Bela Saksi Pendakwaan Penipu

25 Julai, 2008 17:26 PM

SHAH ALAM, 25 Julai (Bernama) -- Berlaku pertikaman lidah antara Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah dan peguam Kamarul Hisham Kamaruddin yang mewakili tertuduh kedua, Kpl Sirul Azhar Umar, apabila Tun Abdul Majid naik berang dengan dakwaan peguam itu bahawa saksi pendakwaan penipu.

Tun Abdul Majid meminta Kamarul Hisham bersikap adil terhadap semua pihak dan tidak terus mendakwa saksi pendakwaan adalah penipu ketika memberi keterangan dalam perbicaraan lepas.

"Jika semua saksi adalah penipu dengan itu tertuduh juga adalah penipu," tegas Tun Abdul Majid pada permulaan prosiding perbicaraan kes bunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini. Ketika itu peguam itu sedang menyampaikan hujahannya.

Kamarul Hisham: "Jika itu yang berlaku, dengan itu tiada apa yang perlu dibicarakan."

Sesi perang mulut itu hanya terhenti apabila Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin meminta kesemua pihak bertenang dan menasihatkan Tun Abdul Majid membalas dakwaan Kamarul Hisham apabila tiba giliran pendakwaan membuat hujahan.

Terdahulu, ketika berhujah, Kamarul Hisham mempersoalkan kredibiliti kenyataan Cif Insp Koh Fei Cheow dan ASP Zulkarnain Samsudin mengenai siapa yang mengeluarkan jaket dan meletakkannya ke atas katil.

"Menurut Zulkarnain, Sirul Azhar yang mengeluarkan jaket itu seperti dalam kenyataan kedua (kenyataan kedua itu ialah "Saya simpan barang kemas di dalam jaket").

"Keadaan ketika Sirul Azhar membuat kenyataan kedua itu, menurut Zulkarnain ialah semasa dia mengeluarkan jaket itu tetapi Koh berkata 'saya nampak Zulkarnain mengeluarkan jaket hitam tersebut dan meletakkan ke atas katil'.

"Ini jelas menunjukkan keadaan bahawa dakwaan Zulkarnain yang Sirul Azhar membuat kenyataan itu sebenarnya tidak berlaku. Adakah kenyataan itu pernah dibuat? Ini lebih daripada melampaui keraguan munasabah," katanya.

Kamarul Hisham turut mempersoalkan kenyataan ketiga (inilah barang dia) dan menegaskan kenyataan itu tidak pernah dibuat sepertimana juga dengan kenyataan kedua.

"Malahan jika kenyataan kedua dan ketiga itu ada dibuat, ia tidak boleh diterima pada bila-bila masa selepas barang itu ditemui, " katanya.

Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Sirul Azhar, 36, kedua-duanya anggota Unit Tindakan Khas (UTK) dituduh membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja, Selangor, antara 10 malam 19 Okt dan 1 pagi keesokkannya. Penganalisi politik Abdul Razak, 47, dituduh bersubahat dengan mereka.

Perbicaraan disambung Isnin.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...