27 Ogos, 2008 14:40 PM
JAKARTA, 27 Ogos (Bernama) -- Berita mengenai kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh malam tadi turut disiarkan oleh akhbar-akhbar utama di sini, termasuk Media Indonesia yang menyiarkannya di muka depan hari ini.
Mengiringi berita muka depan itu, Media Indonesia menyiarkan gambar Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yang bersongkok tersenyum dan mengangkat ibu jari ketika sedang memasukkan kertas undi ke dalam peti undi.
Dengan memetik laporan agensi berita asing, akhbar itu menyebut, "Kemenangan ini membuatnya kembali ke Parlimen. Jalan menuju kerusi perdana menteri pun semakin terbuka."
Akhbar Republika pula menyiarkan ringkasan di muka depannya di bawah tajuk 'Umno: Kami Kalah' dan beritanya di halaman 11 pula memetik pengakuan Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhd Taib sebagai berkata: "Ya, tentu saja kami kalah. Kami memang 'underdog' dalam pertarungan ini."
Muhammad juga dilaporkan menyangkal kemungkinan Anwar untuk mengambil alih pemerintahan sekarang kerana jika pembangkang ingin membentuk kerajaan mereka harus mendapatkan mandat rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.
Anwar, 61, memperolehi 31,195 undi sementara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Arif Shah Omar Shah, 51, mendapat 15,524 undi manakala calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) Hanafi Mamat, 61, hilang wang pertaruhan selepas memperolehi hanya 92 undi.
Akhbar Kompas yang memetik laporan agensi-agensi berita asing, turut menyiarkan berita kemenangan Anwar di muka sembilannya beserta kronologi Anwar bermula dari pemecatannya sebagai timbalan perdana menteri pada 1998.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment