Aug 27, 08 2:18pm
Sumpah laknat dalam isu liwat yang dimainkan oleh BN dengan rancak bagi menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim ibarat "senjata makan tuan", kata seorang pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM).
Mengulas keputusan pilihanraya kecil Permatang Pauh semalam yang dimenangi dengan majoriti besar oleh penasihat PKR itu, Dr Sivamurugan Pandian dilaporkan berkata isu sumpah ditolak pengundi kerana "masyarakat kampung sudah muak dengan cerita seperti itu".
Isu itu mula dimainkan melalui media dan ceramah BN apabila Mohd Saiful Bukhari Azlan secara mengejut berbuat demikian sehari sebelum penamaan calon pilihanraya kerusi parlimen itu 16 Ogos lalu.
Rakaman acara bersumpah di Masjid Wilayah Persekutuan itu juga dilaporkan ditayangkan di bilik-bilik gerakan BN, selain ucapan-ucapan menyindir Anwar berhubung isu salah laku seks itu yang kini sudah dihadapkan di mahkamah.
Selain faktor itu, lapor Bernama lagi, beberapa punca lain BN tewas lebih buruk semalam termasuklah kerjasama dalam pakatan BN, strategi media dan isu yang diketengahkan, serangan peribadi terhadap calon lawan serta faktor luaran yang menjejaskan rentak sokongan rakyat kepada gabungan 14 parti komponen itu.
Anwar menang dengan majoriti 15,671 undi - peningkatan lebih 2,000 undi berbanding yang diperolehi isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebanyak 13,388 pada pilihanraya umum Mac lepas.
Sementara calon BN Datuk Arif Shah Omar Shah meraih 15,524 undi dan calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) Hanafi Mamat hilang wang pertaruhan apabila memungut hanya 92 undi.
Menurut agensi berita itu, Dr Sivamurugan berkata jentera BN dilihat lambat "bangkit" untuk menangani kempen dan serangan pembangkang khususnya daripada PKR.
Tambahnya, perebutan jawatan pemimpin Umno di bahagian Permatang Pauh yang tidak pernah berkesudahan membuatkan penduduk di kawasan itu bosan kerana merasakan hak dan keinginan mereka diketepikan.
Ahli akademik USM menyarankan pemimpin BN mendengar suara hati rakyat dan apa yang mereka mahukan, dan bukannya memaksa kehendak mereka terhadap orang ramai.
No comments:
Post a Comment