Wednesday, August 27, 2008

Hujan Lebat Lebih Tiga Jam Menyebabkan Kesesakan Teruk Di Kuala Lumpur - BERNAMA

27 Ogos, 2008 21:35 PM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Hujan lebat lebih tiga jam sejak pukul 3 petang, menyebabkan kesesakan teruk dan banjir kilat di kebanyakan kawasan di bandaraya ini.

Kebanyakan jalan utama terjejas termasuk Jalan Mahameru, Bangsar, Jalan Tun Perak, Cheras, Jalan Sg Besi, Jalan Ampang dan Jalan Kuching.

Kesesakan jalan raya yang teruk juga dilapor berlaku di sepanjang Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya KL-Seremban, Jalan Raja Chulan, Jalan Tun Perak dan Puduraya.

Jurucakap bilik operasi banjir Dewan Bandaraya Kuala Lumpur berkata paras air di Sungai Klang dan Sungai Gombak meningkat kira-kira dua meter dalam masa kira-kira sejam selepas hujan.

"Kami mula menerima panggilan pada pukul 3 petang daripada orang ramai yang melaporkan mengenai banjir kilat dan kami telah menghantar pasukan kami ke kawasan terbabit," katanya.

Sementara itu, jurcakap bilik kawalan Trafik Jalan Bandar berkata anggota polis trafik ditugaskan di kawasan terlibat bagi mengawal keadaan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Jalan Hang Tuah pula berkata anggota bomba dan penyelamat dihantar ke kawasan yang terjejas untuk mengepam air keluar.

Tinjauan Bernama di sekitar Jalan Pahang mendapati berpuluh-puluh bas penumpang dan kenderaaan terkandas sepanjang Jalan Tun Razak, terutama berhampiran hentian bas Pekeliling menuju ke pusat bandar.

Muhammad Jamal Abdullah, 35, seorang pengguna yang terkandas dalam kesesakan itu berkata kesesakan teruk seumpama itu berikutan hujan lebat adalah perkara biasa.

"Saya tersekat di sini selama sejam dan kenderaan bergerak sangat perlahan. Saya rasa pihak berkuasa berkenaan perlu melihat perkara ini dengan lebih serius. Ini bukanlah kali pertama," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...