04 Ogos, 2008 15:30 PM
KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Tan Sri Rafidah Aziz hari ini mengumumkan akan mempertahankan jawatan Ketua Wanita UMNO pada pemilihan parti itu Disember depan sebelum melepaskan jawatan itu kepada timbalannya Datuk Seri Shahrizat Jalil selewat-lewatnya pertengahan tahun depan.
"Saya akan mencapai usia 65 tahun tidak lama lagi (4 November), walaupun masih kuat dan aktif dalam semua erti kata, saya lebih cenderung parti diketuai wanita yang lebih muda," katanya semasa berucap pada program sehari Wanita UMNO Bersama Pemimpin di sini hari ini.
Program itu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Rafidah memegang jawatan Ketua Wanita UMNO sejak 1984 setelah mengalahkan penyandang jawatan itu Tan Sri Zaleha Ismail pada pemilihan parti dan gagal mempertahankan jawatan itu pada 1996 setelah dikalahkan timbalannya pada masa itu Datuk Dr Siti Zaharah Sulaiman sebelum kembali semula pada tahun 2000 setelah mengalahkan Dr Siti Zaharah.
Sebelum membuat keputusan mempertahankan jawatannya, Rafidah berkata beliau mempunyai dua pilihan dan jika memilih yang pertama untuk tidak bertanding dalam pemilihan itu, ia akan mewujudkan persaingan sengit bagi jawatan ketua dan timbalan sehingga timbul fitnah memfitnah seperti yang berlaku pada pemilihan lepas.
"Pilihan kedua adalah semua anggota Wanita UMNO bersepakat tidak mengadakan pertandingan jawatan ketua dan naib ketua parti dan meminta semua wanita bahagaian menyokong peralihan kuasa yang ada sekarang," katanya.
Rafidah berkata walaupun beliau masih menyayangi pergerakan itu, tetapi pada pendapatnya sudah tiba masanya bagi Wanita UMNO mempunyai kepimpinan yang baru.
"Jangan pula ada orang bertanya pula betul ke Rafidah ini nak lepas jawatan pertengahan 2009? Boleh percaya ke? Saya adalah orang yang kata dikotakan. Saya tak pandai bermuka-muka," katanya.
Beliau juga meminta semua anggota pergerakan itu menyokong penuh kepimpinan Shahrizat yang akan mengambil alih jawatan beliau nanti.
"Saya tidak hendak Wanita (UMNO) nanti berpecah belah. Saya tiada benda nak diserahkan. Jawatan saya ketua sahaja. Saya hendak serah cepat (jawatan) supaya proses pemulihan cepat berlaku," kata Rafidah.
Beliau juga berkata jika pergerakan Puteri dan Pemuda UMNO diibaratkan sebagai sayap kiri dan dan kanan UMNO, Wanita UMNO pula adalah tulang belakang yang memberi kekuatan kepada parti.
"Kalau tulang belakang (Wanita UMNO) ini retak...patah, buruk padahnya," katanya.
Rafidah yang ditemui pemberita kemudiannya berkata, "Saya selalu ingatkan Wanita (UMNO), kita ni tulang belakang, janganlah buat perkara-perkara yang boleh merosakkan tulang belakang. Kalau banyak sangat ragam dan banyak sangat guna tindak-tanduk yang boleh meretakkan tulang belakang, parti akan hancur", katanya.
Beliau berkata keputusan untuk melepaskan jawatannya kepada Shahrizat nanti yang dibuat kira-kira dua minggu lepas merupakan keputusan muktamad dirinya sendiri dan bukan atas desakan mana-mana pihak.
"Tidak ada (desakan), saya duduk rehat di rumah banyak la boleh fikir. Bila beliau (Shahrizat) ambilalih, InsyaAllah Wanita (UMNO) itu satu, tidak berpecah belah dan tidak berpihak-pihak.
"Saya dulu menerima Wanita yang pecah-belah, bertahun-tahun nak merapatkan balik dan Shahrizat dapat Wanita (UMNO) yang bulat dan satu haluan maka ia akan beri kekuatan kepada parti," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment