Monday, August 4, 2008

Shahrizat Akur Nasihat PM Supaya Tidak Bertanding Lawan Rafidah - BERNAMA

04 Ogos, 2008 18:09 PM

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Naib Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil akur dengan nasihat presiden parti Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk tidak bertanding melawan ketua pergerakan itu, Tan Sri Rafidah Aziz pada pemilihan Umno hujung tahun ini.

Beliau juga menerima tawaran peralihan kuasa oleh Rafidah yang akan melepaskan jawatan ketua pergerakan itu kepadanya selewat-lewatnya pertengahan tahun depan.

"Tadi presiden parti (Abdullah) dah kata pada saya, elok terimalah keputusan yang dibuat Rafidah. Presiden juga menasihati saya untuk memastikan semuanya selamat.

"Pada saya bila Rafidah umumkan tawaran beliau dan dipersetujui presiden (Abdullah), saya akur dengan nasihat dan permintaan presiden," katanya kepada pemberita selepas menghadiri persidangan Wanita Bersama Pemimpin anjuran Pergerakan Wanita Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Terdahulu pada majlis yang dirasmikan Abdullah itu, Rafidah mengumumkan akan mempertahankan jawatan Ketua Wanita Umno pada pemilihan parti Disember ini dan melepaskan jawatan kepada Shahrizat selewat-lewatnya Jun tahun depan.

Shahrizat yang terharu dengan tawaran Rafidah itu juga berharap semua anggota Wanita Umno turut menerima keputusan itu demi kesinambungan dan perpaduan pergerakan itu.

"Saya harap pihak Exco dan akar umbi akan menerima nasihat presiden (Abdullah) parti. Tradisi dalam Umno kita dengar cakap bos kita iaitu presiden dan ketua Wanita.

"Saya tidak akan ingkar arahan ataupun nasihat daripada presiden dan saya percaya Wanita Umno akan akur akan nasihat itu," katanya.

Beliau berkata perbincangan mengenai perkara itu akan diadakan pada mesyuarat Exco Wanita yang akan datang untuk memastikan persetujuan dicapai hingga ke akar umbi.

"Saya akan berbincang dengan ketua-ketua Wanita bahagian yang mungkin ada pendapat mereka...saya harap Rafidah akan kemukakan perkara ini secara rasmi, kerana kita perlukan persetujuan semua orang," katanya.

Ketua Wanita Umno Pahang Senator Datuk Maznah Mazlan berkata tindakan tidak mengadakan pertandingan dalam merebut jawatan tertinggi pergerakan Wanita Umno merupakan tindakan yang bijak.

Katanya ini kerana kesemua anggota parti perlu lebih memfokuskan kepada pertandingan jawatan presiden dan timbalan presiden pada pemilihan parti Disember ini.

"Saya menyambut baik sebab kita pernah dulu ada pertandingan merebut jawatan tertinggi Wanita Umno dan nak pulihkan itu memang bertahun-tahun sebab masing-masing dengan penyokong masing-masing," katanya.

Maznah yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata anggota Wanita juga perlu memberi tumpuan kepada pengukuhan parti di peringkat akar umbi.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...