04 Ogos, 2008 18:30 PM
KANGAR, 4 Ogos (Bernama) -- Seorang pemain bola sepak Perlis hari ini memfailkan saman dan menuntut ganti rugi sebanyak RM1 juta terhadap wartawan dan akhbar harian Kosmo berhubung penyiaran berita mengenai siasatan kes rasuah membabitkan para pemain bola sepak Perlis oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada Mei lalu.
Yusri Che Lah menamakan dua wartawan Kosmo, Zainal Azhar Mohamed dan Hafizudin Mohd Safar sebagai defendan pertama dan kedua manakala Pengarang Kosmo sebagai defendan ketiga dan akhbar Kosmo sebagai defendan keempat.
Writ saman itu difailkan oleh peguam Jamil Mohamed Shafie yang mewakili Yusri pukul 3.15 petang di Mahkamah Tinggi di sini. Pemain bola sepak itu selaku plaintif turut hadir.
Dalam pernyataan tuntutan saman itu, Yusri berkata pada 15 Mei lalu, Kosmo menyiarkan laporan berita beserta gambarnya yang menggambarkan beliau seolah-olah terbabit dalam kegiatan rasuah.
Penyiaran berita serta gambar itu menjatuhkan maruahnya serta keluarga apatah lagi dengan kedudukannya sebagai pemain bola sepak profesional di Perlis dan terkenal.
Plaintif mendakwa bahawa kegiatan hariannya bersama keluarga terpaksa dihadkan kerana dicemuh oleh jiran dan masyarakat.
Beliau menuntut ganti rugi berjumlah RM1 juta termasuk ganti rugi teruk dan teladan dan faedah sebanyak lapan peratus setahun dari tarikh penyiaran berita itu sehingga penyelesaian sepenuhnya kes itu di mahkamah.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment