BN Sarawak akan meletakkan seorang calon muda terpelajar untuk merebut kembali kerusi panas Padungan, salah satu dari empat kerusi di Kuching yang terlepas kepada pembangkang, pada pilihan raya negeri 16 April depan.
Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata parti komponen negeri itu telah membuat keputusan muktamad mengenai calon yang mampu menang bagi kawasan itu yang pernah menjadi kubu kuat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).
Namun BN Sarawak hanya akan mendedahkan identiti calon selepas PKR, yang memenangi kerusi itu pada pilihan raya negeri Mei 2006 mengumumkan calonnya, kata Taib, yang juga pengerusi BN negeri, kepada wartawan selepas merasmikan program Sejiwa Senada bahagian Kuching Selatan hari ini.
Dalam pilihan raya itu, kawasan yang didominasi masyarakat Cina itu dimenangi oleh Dominique Ng (bawah) dari PKR dengan majoriti 1,033 selepas meraih 8,002 undi berbanding penyandang kerusi dari SUPP, Lily Yong yang hanya mendapat 6,585 undi.
Spekulasi kini tersebar yang menyebut bahawa ahli SUPP cawangan Kuching Sim Kiang Chiok dijangka akan diumumkan sebagai calon BN untuk Padungan pada 5 April, menjelang hari pencalonan.
Sim adalah setiausaha agung Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (Sheda).
Sementara itu sebuah akhbar tempatan hari ini melaporkan bahawa masyarakat di Kuching menyatakan sokongan kepada Sim sebagai calon BN untuk Padungan, salah satu dari lapan kerusi yang terlepas dari tangan SUPP dalam pilihan raya negeri lepas. SUPP bertanding di 19 kawasan.
Pada Khamis, Taib berkata senarai calon BN untuk pilihan raya negeri akan dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak awal bulan depan.
Setakat ini Najib hanya menyebut seorang calon, ketua unit kardiologi Hospital Besar Sarawak Prof Dr Sim Kui Khian untuk merebut kembali kerusi Pending, semasa kunjungannya ke Kenyalang Park di Kuching, Sabtu lalu.
No comments:
Post a Comment