Dua bekas pemimpin kanan parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) akan membuat aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) berhubung tindakan tatatertib ke atas mereka yang didakwa dibuat dengan tidak mengikut perlembagaan parti.
Bekas setiausaha pusat KITA, Abdul Latif Tambi berkata, aduan rasmi itu akan dibuat esok berhubung pemecatan jawatannya, yang dibuat melalui seorang setiausaha kerja yang dilantik presiden, Datuk Zaid Ibrahim.
"Abdul Latif berkata, terserah kepada jabatan (ROS) untuk ambil tindakan sewajarnya," kata Abdul Latif dalam satu sidang media hari ini.
Katanya, aduan yang akan dibuat itu akan mengaitkan enam perkara dalam perlembagaan KITA yang didakwa telah dilanggar melalui tindakan pemecatannya itu.
Beliau turut mendakwa, tindakan ke atasnya itu tidak sah memandangkan surat penggantungannya itu ditandangatani oleh setiausaha kerja, Masrum Dayat, yang didakwa masih masih belum menjadi ahli KITA.
Abdul Latif juga mendakwa, tuduhan salahlaku disiplin yang dibuat ke atasnya – pembocoran maklumat parti dan menghasut pemimpin meninggalkan parti – juga tidak benar dan merupakan satu fitnah.
"Saya juga tidak pernah diberi kesempatan untuk membela diri, sebaliknya terus diberi surat penggantungan selama enam bulan," katanya dalam satu sidang media petang ini.
Tambahnya, langkah itu menujukkan bahawa parti itu tidak lagi mengamalkan kebebasan bersuara seperti yang dipromosi sebelum ini apabila KITA ditubuhkan pada Januari lalu.
Beliau yang menyertai Zaid Ibrahim ke dalam parti KITA selepas keluar daripada PKR, dituduh berbuat demikian dengan ahli jawatankuasa pusatnya, Muhammad Firdaus Christopher yang dituduh mengepalai usaha itu.
Muhammad Firdaus turut digantung keahlian selama enam bulan, melalui sepucuk surat yang diterimanya daripada Masrum bertarikh 13 September lalu.
Mengulas lanjut, Abdul Latif mendakwa, Zaid sendiri telah mengakui bahawa Masrum masih belum menjadi seorang ahli KITA, melalui satu e-mel yang diterima daripada presiden parti itu pada 14 September lalu.
Dalam e-mel itu juga, Zaid antara lainnya berkata Abdul Latif tidak dapat mengikuti arahannya untuk memberikan kata laluan untuk selenggaraan laman web parti.
Muhammad Firdaus pula antara lainnya dituduh menyerang parti dan memburuk-burukkan Zaid melalui tulisan di laman Twitter danFacebook.
Beliau yang sebelum ini menjadi setiausaha politik Zaid, juga dituduh mengatur pertemuan bersama pemimpin parti untuk menggulingkan presiden parti itu.
Muhammad Firdaus dalam sidang media sama berkata tuduhan berkenaan timbul ekoran satu pertemuan yang dirancang untuk dilakukan sebelum ini bersama seorang pemimpin jawatankuasa pusat, KS Kottapan.
Muhammad Firdaus berkata, beliau mengatur pertemuan itu bagi mengadakan perbincangan berhubung kenyataan-kenyataan yang dibuat Kottapan.
No comments:
Post a Comment