| Oleh Agendadaily | |
| Ahad, 15 Jun 2008 | |
| SELEPAS pilihan raya umum ke-12, Mac lalu, banyak cerita dibangkitkan mengenai keadaan politik tanah air. Ada yang menggemparkan dan ada juga yang buat-buat gempar. Bermula dengan berita akan adanya undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di permulaan sidang Dewan Rakyat, cerita kemudian beralih kepada Ahli-Ahli Parllimen Barisan Nasional (BN) akan melompat parti sertai pakatan pembangkang untuk membentuk kerajaan baru.Semua berita gempar ini turut diwarnai oleh cerita dalaman UMNO sendiri termasuk soal peralihan kuasa. Setelah cerita lompat parti mula senyap, undi tidak percaya tidak menjadi kenyataan, veteran politik yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah membuat berita gempar yang terbaru. Ceritanya, salah sebuah parti komponen BN akan keluar daripada barisan yang dibentuk pada pada tahun 1974 itu. Jika lompat parti, tarikh akhirnya pada 16 September depan, berita adanya sebuah parti komponen nak tinggalkan BN menurut Tengku Razaleigh akan berlaku hujung bulan ini. Beliau yang juga bekas Presiden Melayu Semangat 46 bagaimanapun tidak menamakan parti yang dikatakan akan keluar dari BN tersebut. "Saya mendapat berita bahawa satu parti akan keluar daripada BN sebelum hujung bulan ini," dakwanya ketika menghadiri majlis Perhimpunan Cawangan-Cawangan UMNO Pahang di bangunan Majlis Mentakab, hari Sabtu. Ekoran pendedahan Tengku Razaleigh tersebut, Agendadaily dihubungi beberapa sumber yang memaklumkan Parti GERAKAN adalah parti yang disebut-sebut akan meninggalkan BN. Malah menurut seorang sumber, difahamkan pada mesyuarat Jawatankuasa Pusat GERAKAN soal parti itu meninggalkan gagasan BN ada dibincangkan. |
Informasi didalam blog ini adalah daripada sumber-sumber berita media internet.Sebarang komen @ pendapat, sila email ke cardozas02@gmail.com
Sunday, June 15, 2008
Keluar Barisan: Gerakan atau SAPP?
Sejarah Jambatan Kota
Oleh Amad Bahri Mardi
JAMBATAN Kota menjadi antara mercu kebanggaan bandar Kota Tinggi. |
Sejak pembinaan jambatan sekitar 1930-an, ekonomi dan pembangunan Kota Tinggi berkembang maju
BANDAR Kota Tinggi yang dikenali sebagai Bandar Pelancongan Bersejarah, pernah menjadi ibu negeri kerajaan Johor Lama kira-kira 400 tahun lalu.
Bandar yang unik dan menarik itu menyimpan pelbagai kenangan dan sejarah termasuk tinggalan bangunan lama, makam diraja, kota pertahanan dan peristiwa bersejarah, selain jambatan paling penting yang merintangi Sungai Johor di tengah-tengah bandar berkenaan.
Sungai Johor adalah sungai yang menjadi laluan utama peniaga dan pedagang sejak pemerintahan Sultan Johor Kedua, Sultan Alauddin Riayat Syah pada 1528. Pada mulanya sungai itu digunakan baginda untuk memudik ke Pekan Tua sehinggalah ia menjadi laluan utama dan menjadi sibuk ketika kerajaan British bertapak di Kota Tinggi selepas membina balai polis pada 1819.
Ahli Jawatankuasa Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) Kawasan Kota Tinggi, Mustafa Abu Bakar, 64, berkata penduduk ketika itu berurusan menggunakan sampan dan bot.
| PEMBINAAN jambatan konkrit dimulakan pada 1962. |
Bagaimanapun, katanya sekitar 1930-an, sebuah jambatan buat kali pertama dibina menghubungkan kedua-dua belah tebing Sungai Johor untuk menghubungkan pusat bandar dengan kawasan perkampungan menghala ke arah Johor Bahru.
Melalui jambatan itu, katanya penempatan di sebelah bandar dan pesisir sungai seperti Kampung Makam, Kampung Kelantan, Kampung Panti dan Kampung Jawa dapat berhubung lebih mudah ke kawasan arah sebelah balai polis, termasuk ke Kampung Tembioh, Kampung Seri Lalang dan Kampung Batu 25.
Beliau berkata, pembinaan jambatan itu juga, hari demi hari menamatkan era penggunaan perahu dan sampan kecil untuk menyeberangi sungai itu saban hari.
"Sejak pembinaan jambatan bertentangan balai polis sekitar 1930-an, ekonomi dan pembangunan bandar ini turut berkembang maju," katanya.
| JAMBATAN kayu dibina oleh kerajaan British. |
Beliau berkata, sehingga ke hari ini, tiada satu pun nama khusus diberikan kepada jambatan itu, namun, penduduk bandar ini sudah biasa menyebut dan menggelarnya sebagai Jambatan Kota.
Dari segi sejarah pembinaan, jambatan itu dibina kerajaan British berasaskan besi, sekali gus membolehkan kenderaan berat termasuk kenderaan berat tentera British melaluinya.
Selepas kira-kira 10 tahun digunakan, British mengebom jambatan itu bagi menghalang kemaraan tentera Jepun dalam Perang Dunia Kedua pada Disember 1941. Tentera Jepun dijangka melalui bandar Kota Tinggi untuk mara ke Johor Bahru dan Singapura.
Bagaimanapun, andaian British itu meleset apabila tentera Jepun melalui pekan Endau, Mersing kemudian terus ke Johor Bahru dan tidak memasuki Kota Tinggi. Oleh itu, tindakan British mengebom jambatan adalah satu kesilapan.
Pada zaman pemerintahan Jepun, mereka membina jambatan sementara pada Februari 1941 yang jambatan berasaskan besi terapung. Ia berlantaikan papan serta tong minyak dan hanya boleh digunakan untuk laluan pejalan kaki dan basikal saja.
Ketika British kembali memerintah, mereka mendirikan jambatan kayu dan digunakan hingga 1961. Selama kira-kira 15 tahun, jambatan kayu itu menjadi penghubung penduduk di antara kedua belah pinggir sungai dan menjadi nadi penghubung penting menjana kemajuan bandar Kota Tinggi.
Bagaimanapun, pada 1962, jambatan kayu dirobohkan dan digantikan dengan jambatan konkrit yang pembinaannya siap pada 1963.
"Kedudukan jambatan konkrit yang ada sekarang dibina di lokasi baru, berbanding jambatan asal yang dibina bertentangan dengan Balai Polis Trafik Kota Tinggi," katanya.
Jambatan merentasi Sungai Johor itu sehingga kini sentiasa menjadi sebutan, fokus dan rujukan kepada beberapa peristiwa, malah ia menjadi satu daripada mercu tanda kepada bandar ini.
Ketika banjir besar melanda Kota Tinggi pada Januari 2007, jambatan itu menjadi fokus media seluruh negara, apabila gambar dari udara jambatan yang hampir tenggelam itu dipapar hampir semua media arus perdana.
Sebelum itu, banjir besar beberapa kali melanda kawasan ini termasuk pada 1956 dan 1969, ketika ini fokus media juga bertumpu kepada jambatan berkenaan yang membuktikan ia adalah mercu kedudukan bandar ini.
Selain menjadi tumpuan pemancing setiap hujung minggu, Jambatan Kota juga menjadi sasaran ditampal poster dan bendera pada pilihan raya. Ia juga menjadi garis permulaan acara sukan air dan sebagainya. Paling penting, jambatan ini pernah menjadi sebutan selepas kejadian misteri yang berlaku sekitar 1960-an.
Kejadian itu berlaku apabila seorang lelaki yang dikatakan berketurunan Bentan tiba-tiba mengalami muntah-muntah sebaik melintasi jambatan itu. Namun, apabila ia berpatah balik dan tidak memasuki kawasan bandar Kota Tinggi, keadaannya kembali sembuh dan tidak mengalami muntah-muntah lagi.
Info: Jambatan Kota
03-03-1997 - Kipas helikopter patah sebelum terhempas
Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my
GAMBARAN daripada udara tempat nahas helikopter di kebun getah di Kampung Atong, Kuala Lipis, Pahang. |
Nahas helikopter di hutan Kuala Lipis korbankan tokoh korporat bekas pengerusi DRB-HICOM, isteri dan juruterbang
MAC lalu, genap 11 tahun negara kehilangan tokoh korporat yang juga Pengerusi Kumpulan DRB Hicom, Allahyarham Tan Sri Yahaya Ahmad yang terbabit dalam nahas helikopter terhempas di Kampung Atong, Jerangsang, Kuala Lipis, Pahang.
Secara kebetulan, kejadian itu berlaku pada tarikh 3.3.1997 yang dianggap sebagai 'Triple Three Tragedy' kerana membabitkan tiga angka tiga, iaitu berlaku pada hari ketiga di bulan tiga dan mengorbankan tiga nyawa.
Helikopter Agusta A109E Power milik Gadek Aviation Services Sdn Bhd, anak syarikat DRB-Hicom, dilaporkan hilang pada skrin radar dan terputus hubungan pada jam 11.15 malam ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu, Terengganu.
Yahaya dan isteri dikatakan ingin pulang ke kampung halaman untuk menziarahi ibunya yang sakit, tetapi malang umurnya tidak panjang kerana dijemput Ilahi ketika dalam perjalanan pulang.
| PASUKAN penyiasat menjalankan siasatan di kawasan nahas. |
Beliau yang juga Pengerusi Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, kali terakhir dilihat menghadiri majlis makan malam anjuran Persatuan Bekas Pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) pada malam sebelum nahas.
Ketika dalam penerbangan, enjin pesawat malang itu dikatakan tidak berfungsi secara normal mengakibatkan kipas utama kehilangan kuasa dan berputar secara tidak seimbang lalu mengakibatkan tekanan terhadap struktur kipas.
Ketidakseimbangan ini menyebabkan kipas itu patah dan siasatan mendapati kipas utama helikopter patah sebelum pesawat terhempas. Tiga daripada kipas ditemui di tiga tempat berasingan, manakala satu bahagian lagi ditemui penduduk kampung beberapa hari kemudian.
Berdasarkan keadaan di tempat kejadian, helikopter itu dipercayai jatuh terhempas tanpa kipas utama kerana tidak ada kesan libasan kipas pada pokok sekitar kawasan kemalangan.
| JENAZAH mangsa dibawa untuk pengkebumian. |
Sebaik saja helikopter itu terputus hubungan dengan menara kawalan, gerakan mencari dan menyelamat dijalankan. Berdasarkan maklumat beberapa penduduk kampung berhampiran dikatakan mendengar dua letupan, iaitu sekali di udara dan sekali lagi di tempat pesawat itu menjunam.
Helikopter buatan Itali, Agusta A 109E, dengan nombor pendaftaran 9M-DRB dikatakan jatuh menjunam dan berkecai bertaburan di kawasan kebun getah.
Ketika anggota polis tiba di tempat kejadian, bangkai helikopter itu masih terbakar dan ada serpihan ekor yang tertulis perkataan DRB.
Kira-kira 20 anggota polis, lima pegawai, diketuai Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Mahmud Embi, menjalankan gerakan mencari mangsa di kawasan lingkungan 50 meter dari tempat kejadian, tetapi gagal menemui mayat berkenaan.
Gerakan yang turut dibantu kira-kira 10 anggota bomba dan penduduk kampung diteruskan hingga mayat ketiga-tiga mangsa ditemui pada jam 1 pagi di bawah serpihan helikopter itu.
Mayat ketiga-tiga mangsa ditemui di bawah cebisan bangkai helikopter itu, kira-kira dua jam selepas pesawat terhempas dengan jarak yang tidak berjauhan antara satu sama lain. Pasukan mencari dan menyelamat juga menemui sebelah kasut wanita dan sebuah beg tangan.
Semua mangsa yang rentung dibawa ke Hospital Kuala Lipis, kira-kira jam 5.20 pagi untuk dibedah siasat sebelum dibawa ke Marang, Terengganu. Jenazah kemudian diterbangkan dengan pesawat Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada jam 9.45 pagi ke Hospital Kuala Terengganu dan dikebumikan.
Di tempat kejadian, pasukan pencari serpihan dan barangan nahas menjumpai dua beg dipercayai milik tokoh korporat itu dan isterinya. Kedua-dua beg dijumpai di kawasan bukit kira-kira 300 meter dari tempat tragedi pada jam 1.30 tengah hari pada hari keempat nahas.
Pada hari ke-12 selepas nahas, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) menemui bilah rotor terakhir helikopter. Sebelum itu, satu daripada kipas helikopter dijumpai kira-kira satu kilometer dari bangkai pesawat, manakala tiga lagi dijumpai antara 200 hingga 300 meter dari situ.
Sebelum kejadian, Yahaya adalah antara tokoh perniagaan Asean yang diundang menghadiri `Sidang Kemuncak Perniagaan Asean' pertama di Jakarta, Indonesia yang dijangka diadakan seminggu selepas tarikh nahas.
Pada 3 Mac 2001, Mahkamah Koroner memutuskan tiada sebarang unsur niat jahat, perancangan atau sabotaj oleh mana-mana pihak dalam nahas helikopter itu dan tidak dapat menentukan punca sebenar menyebabkan kemalangan.
Inkues selama 32 hari itu bertujuan menentukan punca tragedi, sebab kematian mereka bertiga, dan sama ada kematian dan nahas itu disebabkan sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang atau khianat.
Kronologi kejadian:
*
Gerakan mencari dimulakan
Dimadu isteri: Jalin hubungan sulit
metahad@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: “Saya kini seolah-olah dimadukan oleh isteri. Dia lari ikut lelaki lain dan mendakwa sudah berkahwin dengannya, walaupun dia tahu saya tidak pernah menceraikannya,” kata suami wanita terbabit yang dikenali sebagai Razin, 51.
Razin mendakwa isteri meninggalkannya untuk mengikut lelaki lain sejak sembilan tahun lalu dan kes perceraian mereka sudah difail di mahkamah, namun masih tertangguh dan belum diselesaikan sehingga kini.
Menurut Razin, isterinya berubah sikap dengan penuh tanda tanya kerana sepanjang tempoh perkahwinan selama 18 tahun, mereka hidup dalam suasana harmoni dan saling sayang menyayangi.
“Entah apa yang berlaku, pada Mac 1999 isteri tiba-tiba berubah sikap. Dia terlalu membenci saya tanpa saya tahu apa sebabnya. Asal bertemu, dia akan mengungkapkan perkataan ‘aku benci kau’.
“Daripada sikapnya yang lemah lembut dan sangat menghormati suami, dia berubah menjadi biadap. Dia sanggup menampar, malah ‘sepak terajang’ saya jika ada perkara yang dia tidak puas hati,” katanya.
Razin berkata, apabila diselidiki, rupa-rupanya isterinya menjalin hubungan sulit dengan pemuda berusia awal 20-an.
Selepas mengetahui kecurangan isterinya, Razin bertemu dengan lelaki itu dan menerima pengakuan daripadanya.
“Lelaki itu bukan saja membuat pengakuan lisan, tetapi juga bertulis. Dia mengaku menjalin hubungan dengan isteri saya, malah meminjam wang sebanyak RM5,000 daripadanya.
“Dia menandatangani surat yang ditulis dan mengaku insaf dengan perbuatannya. Dia juga berjanji tidak akan mengganggu rumah tangga kami lagi,” katanya.
Bagaimanapun, Razin berkata, di sebalik janji dilafazkannya, lelaki itu masih menjalin hubungan sulit sehingga isterinya tergamak melarikan diri untuk bersekedudukan dengannya.
“Pada mulanya isteri membawa bersama lima anak kami, namun saya mendapatkan dua anak saya yang kini berusia 18 dan 14 tahun tinggal bersama saya,” katanya.
Razin berkata, biarpun kes perceraian belum diputuskan, hak penjagaan anak mereka terpaksa ditentukan oleh mahkamah kerana dia dan isterinya tidak lagi tinggal sebumbung.
“Mahkamah juga memberi hak penjagaan sementara anak keempat kepada saya, tetapi sehingga hari ini saya tidak dapat menjaganya kerana isteri tidak menyerahkannya kepada saya. Saya cuba mencari isteri saya tetapi gagal kerana dia dan lelaki itu menghilangkan diri,” katanya.
Razin berkata, selepas menjalin hubungan dengan lelaki itu, isterinya minta diceraikan tapi dia enggan menjatuhkan talak kerana mengenangkan masa depan anak.
“Dia (isteri) berkali-kali minta saya ceraikannya, malah mengugut untuk membunuh diri jika saya tidak menceraikannya. Saya juga ditendang, dicakar, dipukul kepala dan diludah ke muka, tetapi saya masih bersabar.
“Saya sangka sikapnya akan berubah, rupa-rupanya bertambah teruk. Disebabkan terpengaruh dengan teman lelakinya, dia terus meninggalkan saya untuk hidup bersama lelaki itu,” katanya.
Razin berkata, berikutan tindakan isterinya, dia memfail kes nusyuz (ingkar) ke atas isterinya dan mengenakan syarat hanya akan menjatuhkan talak jika isteri sedia memberi hak penjagaan semua anak kepadanya.
Malangnya, isterinya tidak bersetuju dengan syarat itu dan ini menyebabkan kes perceraian mereka beberapa kali tertangguh di mahkamah, terutama selepas isterinya gagal hadir ketika hari perbicaraan.
“Ketika itu isteri turut mengugut akan membunuh diri jika tiga lagi anak saya yang tinggal bersamanya memilih untuk tinggal bersama saya,” katanya.
Kali terakhir Razin bersemuka dengan isterinya ialah pada 2000 ketika kes perceraian mereka masih di peringkat awal perbicaraan dan sejak itu dia gagal menjejakinya.
Razin mendakwa, sejak 1999 hingga ke hari ini, isterinya dan lelaki itu tiga kali ditangkap khalwat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
“Ketika ditangkap, mereka mendakwa sudah bernikah tetapi tidak dapat menunjukkan dokumen membuktikan mereka adalah suami isteri yang sah.
“Bagaimanapun, yang peliknya mereka terlepas daripada tindakan, malah sehingga hari ini saya percaya mereka masih tinggal bersama,” katanya.
Menurut Razin, dia sedih mengenangkan nasib isterinya yang hidup bergelumang dengan maksiat.
Katanya, dia juga kusut memikirkan nasib tiga anaknya yang tinggal bersama isterinya dan lelaki itu.
“Saya masih cuba mencari mereka tetapi mereka langsung tidak menghubungi saya, walaupun saya menggunakan nombor telefon bimbit sama ketika masih hidup bersama.
“Dulu, isteri sangat menyayangi anaknya, tetapi sampai sekarang dia tidak ambil tahu langsung mengenai dua anak yang menetap bersama saya,” katanya.
Razin berkata, dua anak di bawah jagaannya mengakui tetap sayangkan ibu mereka dan adik beradik lain.
“Dua anak saya mahu abang dan adiknya menghubungi mereka kerana sangat merindui mereka,” katanya.
petikan Harian Metro
Itali benci harapkan Romania
ZURICH - Selepas kalah 0-3 kepada Belanda dan seri 1-1 dengan Romania, Itali kini bukan saja perlu menewaskan Perancis dalam perlawanan terakhir Kumpulan C, Rabu ini, malah terpaksa bergantung kepada Romania untuk layak ke suku akhir.
Juara Piala Dunia itu mengakui, ini adalah situasi yang paling dibenci apabila menyerahkan nasib di tangan orang lain.
Sebelum Euro 2008 bermula, penyerang Itali, Luca Toni memberitahu rakan sepasukannya di Bayern Munich iaitu bek Perancis, Franck Ribery bahawa dia berharap Itali sudahpun melayakkan diri ke suku akhir apabila kedua-dua pasukan itu bertemu pada perlawanan penutup Kumpulan C.
Bagaimanapun apa yang berlaku hari ini, nasib kedua-dua pasukan ibarat telur di hujung tanduk. Pasukan yang kalah akan tersingkir, malah yang menang juga belum tentu akan layak jika Romania berjaya menewaskan Belanda.
Ketika ini, Belanda yang mencatat kemenangan kedua 4-1 ke atas Perancis semalam mengungguli Kumpulan C dengan enam mata, diikuti Romania dua manakala Perancis dan Itali satu mata.
Semalam, Gianluigi Buffon menyelamatkan skuad Azzurri daripada tersingkir awal apabila menafikan sepakan penalti Adrian Mutu untuk membolehkan Itali seri 1-1 dengan Romania.
"Kami melakukan banyak percubaan tetapi mendapat jaringan yang sikit. Kami berhak menamatkan perlawanan dengan kemenangan dan bukan seri.
"Sekarang, kami bukan saja perlu mengalahkan Perancis tetapi berharap Romania tidak menewaskan Belanda,'' kata jurulatih Itali, Roberto Donadoni.
Toni pula masih cuba bersikap positif, dengan berharap kecemerlangan Buffon menyelamatkan Itali akan menjadi titik permulaan kepada pasukan itu untuk melangkah jauh.
"Mari kita berharap kejayaan Gigi (Buffon) menyelamatkan keadaan hari ini akan merubah nasib kita kerana Itali akan memerlukan tuah itu apabila bertemu Perancis,'' katanya.
Buffon yang merendah diri dengan menganggap dia bernasib baik ketika menyelamatkan penalti berkata: "Kita sudah berada di ambang penyingkiran dan tiba-tiba nasib kita berubah dengan berjaya mengutip satu mata.
"Apa saja boleh berlaku. Faktor juga memainkan peranan, jadi mari kita fikirkan tentang mencari kemenangan tanpa terlalu bimbang mengenai apa yang berlaku dalam satu lagi perlawanan.''
Bagi pertahanan Itali, Fabio Grosso pula, pasukannya smenjadi mangsa pengadilan yang buruk dalam dua perlawanan pertama.
"Pemain memasuki padang dengan mentaliti berbeza walaupun kalah besar dalam saingan pertama," kata Grosso.
utusan online
Jaringan Villa bawa Sepanyol Jaringan Villa bawa Sepanyol ke suku akhirke suku akhir
INNSBRUCK, Austria – Sepanyol menjadi pasukan keempat layak ke suku akhir Kejohanan Bolasepak Eropah (Euro 2008) selepas menewaskan Sweden 2-1 pada perlawanan Kumpulan D di Stadium Tivoli Neu, semalam.
Bagaimanapun Sepanyol terpaksa menunggu hingga ke masa kecederaan untuk memperoleh gol kemenangan yang dijaringkan David Villa pada minit ke-92.
Kemenangan itu membolehkan Sepanyol menyertai Portugal, Croatia dan Belanda layak ke suku akhir lebih awal walaupun keempat-empat pasukan itu masih ada satu perlawanan peringkat kumpulan yang perlu dilalui lagi selepas ini.
Bagaimanapun pada babak pertama permainan, Sweden dan Sepanyol terikat 1-1 selepas bersaing hebat dan saling bertukar serangan.
Sepanyol lebih dulu membuka jaringan menerusi Fernando Torres yang menampan hantaran lintang Villa dari dalam kotak penalti pada minit ke-15.
Namun, selepas gol itu menyaksikan penguasaan bertukar menjadi milik Sweden yang mengatur gerakan demi gerakan untuk mencari gol penyamaan.
Selepas komited mengasak, usaha mereka berhasil pada minit ke-34 apabila hantaran jauh Sergio Ramos tepat kepada Zlatan Ibrahimovic yang menunggu dalam kotak penalti.
Penyerang kelab Inter Milan itu bijak mengawal bola sebelum melepaskan sepakan rendah menewaskan dua pertahanan Sepanyol dan penjaga golnya sekali, Iker Casillas.
Babak kedua corak permainan tidak serancak babak pertama tetapi Sepanyol lebih menunjukkan keazaman tinggi dengan menguasai sebahagian besar permainan.
Begitu pun ketika perlawanan kelihatan seakan berkesudahan dengan seri, Villa muncul wira dengan menjaringkan gol kemenangan.
Gol berpunca daripada satu hantaran jauh tepat kepada Villa yang menunggu dalam kotak penalti sebelum bertindak mengelecek seorang pemain pertahanan Sweden sebelum meledakkan sepakan yang mengelirukan penjaga gol lawan.
Belanda hukum Perancis
BERNE, Austria - Belanda melangkah ke suku akhir Euro 2008 dengan penuh bergaya selepas membenam Perancis 4-1 semalam, meletakkan nasib naib juara dunia itu kini ibarat telur di hujung tanduk.
Keputusan menakjubkan itu hadir empat hari selepas Belanda menumpaskan juara dunia, Itali 3-0, sekali gus menjulang skuad bimbingan Marco van Basten itu menjuarai Kumpulan C pada ketika saingan masih berbaki satu perlawanan.
Belanda kini menjadi pasukan ketika selepas Portugal (Kumpulan A) dan Croatia (Kumpulan B) menempah tiket awal ke suku akhir.
Semalam, taktik serangan balas menjadi percaturan Van Basten dan kepantasan yang dimiliki pemain Oranje memudahkan strategi jurulatih itu diterjemahkan.
Dirk Kuyt, Robin van Persie, Arjen Robben dan Wesley Sneijder menjadi penyumbang gol Belanda, sekali gus menenggelamkan gol tunggal Perancis yang dijaringkan Thierry Henry.
Ini adalah kekalahan terbesar Perancis pada pusingan akhir kejohanan utama sejak kalah 2-5 kepada Brazil pada Piala Dunia 1958.
Malah, ia kekalahan terbesar skuad Les Bleus itu di peringkat antarabangsa sejak diaibkan 4-0 oleh Poland dalam perlawanan persahabatan pada 1982. Belanda kini mengumpul enam mata maksimum daripada dua perlawanan, empat mata di depan Romania, manakala Perancis dan Itali berkongsi satu mata.
Pasukan itu akan melengkapkan jadual Kumpulan C menentang Romania, Rabu ini tanpa perlu resah mengenai keputusan perlawanan kerana ia tidak akan menjejaskan kedudukan mereka selaku juara kumpulan.
"Tiada yang lebih menggembirakan daripada berjaya menumbangkan dua finalis Piala Dunia pada minggu yang sama.
"Kami bermula baik, biarpun seketika membenarkan Perancis memberi tekanan membawa ke penghujung babak pertama.
"Pada separuh masa kedua, kami menjadi pasukan yang amat berbahaya biarpun Perancis terus memberi tekanan. Arjen Robben dan Robin Van Persie (pemain gantian) merubah permainan kami,'' kata Van Basten.
Penjaring terbanyak Perancis, Henry menghidupkan kembali harapan pasukannya dengan merapatkan kedudukan 2-1 pada minit ke-71 selepas menguis hantaran Willy Sagnol untuk jaringan antarabangsanya yang ke-101.
Bagaimanapun kegembiraan itu hanya bertahan 30 saat apabila Robben menyumbat gol ketiga Belanda dari sudut sukar, sebelum Sneijder melengkapkan gol keempat, dua minit memasuki masa kecederaan.
utusan online
Sebuah parti komponen dijangka keluar BN - Ku Li
Bekas Menteri Kewangan itu bagaimanapun tidak menamakan parti yang dikatakan akan keluar daripada BN itu.
"Saya mendapat berita bahawa satu parti akan keluar daripada BN sebelum hujung bulan ini," dakwanya ketika menghadiri majlis Perhimpunan Cawangan-Cawangan UMNO Pahang di sini.
Turut hadir pada majlis itu ialah bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Sabbaruddin Chik.
Sementara itu, beliau secara terbuka menamakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai gandingan paling sesuai baginya untuk bertanding pada pemilihan UMNO Disember ini.
Beliau yang menawarkan diri untuk bertanding kerusi Presiden UMNO pada pemilihan itu bagaimanapun menjelaskan, keputusan muktamad untuk menentukan siapa regu terbaiknya akan tetap mengambil kira kehendak majoriti ahli parti sendiri.
''Pilihlah sesiapa sahaja untuk jadi timbalan saya tetapi Datuk Seri Najib lebih sesuai kerana beliau pernah bekerja dengan saya sebelum ini," katanya.
- Utusan Online
Royalti minyak dikembali - Terengganu akan dapat semula hak pengurusan lima peratus – PM
KUALA TERENGGANU 14 Jun – Kerajaan Persekutuan bersetuju mengembalikan sepenuhnya hak pengurusan royalti minyak sebanyak lima peratus kepada kerajaan Terengganu yang ditarik balik sejak tahun 2000.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika mengumumkan keputusan itu berkata, penyerahan semula royalti itu akan dibuat sebaik sahaja perincian mengenai perkara itu termasuk prosedur penyerahan ditetapkan dengan kerajaan Terengganu.
‘‘Secara terperincinya, prosedur dan langkah yang akan diambil berhubung pemberian semula royalti minyak ini akan ditetapkan apabila perbincangan dengan kerajaan negeri Terengganu diadakan.
“Kerajaan Persekutuan akan mula bagi (royalti) sebaik semua telah dipersetujui,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin UMNO Terengganu serta makan tengah hari bersama pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri dan Persekutuan di sebuah hotel di sini hari ini.
Sebelum ini, Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said meminta kerajaan Persekutuan menyerahkan semula hak pengurusan wang royalti minyak yang dikenali sebagai Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) kepada kerajaan negeri untuk digunakan bagi membiayai projek-projek pembangunan rakyat.
Hak pengurusan royalti minyak itu yang dianggarkan sebanyak RM1 bilion setahun ditarik balik pada tahun 2000 ketika pentadbiran Pas.
Kementerian Kewangan pada 5 September 2000 menggantikan bayaran royalti sebanyak lima peratus kepada kerajaan Terengganu dengan program wang ihsan.
Wang itu disalurkan terus melalui projek pembangunan dan bukannya melalui kerajaan negeri apabila Pas memerintah Terengganu selepas pilihan raya umum 1999.
Baru-baru ini, Dewan Rakyat diberitahu kerajaan Pusat telah menyalurkan wang ihsan kepada kerajaan Terengganu bagi tempoh tiga tahun sejak Mac 2004 hingga Mac 2007 berjumlah RM7.364 bilion.
Perdana Menteri berkata, tiada perubahan daripada segi jumlah royalti yang akan dikembalikan iaitu sebanyak lima peratus.
Abdullah berkata, beliau percaya penyerahan semula wang royalti itu akan membolehkan kerajaan Terengganu mentadbir negeri ini dengan lebih baik.
Justeru, beliau menasihatkan pentadbiran Ahmad supaya melaksanakan perbelanjaan berhemah untuk persediaan ketika waktu sukar.
‘‘Kalau kita sudah ada wang, pandai-pandailah uruskan, kita mesti sentiasa uruskan wang dengan baik kerana kita akan menghadapi pelbagai situasi yang memerlukan perbelanjaan yang kadang-kadang lebih daripada jangkaan.
‘‘Tapi kalau duit sudah habis dan kita tidak amalkan perbelanjaan berhemah, maka kita akan hadapi banyak masalah. Oleh itu perbelanjaan dan pentadbiran berhemah mesti menjadi amalan ketika waktu susah atau waktu senang,” ujarnya.
Sementara itu di Setiu, Ahmad ketika ditemui pemberita, mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan atas keputusan tersebut.
‘‘Saya bagi pihak kerajaan negeri dan rakyat Terengganu gembira kerana Perdana Menteri prihatin dengan kehendak rakyat negeri ini,’’ ujarnya.
Katanya, dengan adanya royalti minyak ini akan membolehkan kerajaan negeri merancang pelbagai pembangunan mengikut keperluan rakyat.
utusan online
Rebat: RM116 juta dibaRebat: RM116 juta dibayar pada hari pertamayar pada hari pertama
| |
| GEMBIRA... Orang ramai menunjukkan wang rebat yang diterima selepas beratur panjang di Pejabat Pos Bandar Baru Bangi, Selangor, semalam. Pembayaran rebat itu yang bermula semalam di semua pejabat pos seluruh negara dibuat oleh kerajaan berikutan kenaikan harga bahan api baru-baru ini.– Gambar Hayat Sueet |
KUALA LUMPUR 14 Jun – Beribu-ribu pemilik kenderaan persendirian menyerbu 683 buah pejabat pos seluruh negara sejak awal pagi hari ini bagi menuntut bayaran rebat tunai subsidi petrol dan diesel.
Setakat pukul 5 petang ini iaitu hari pertama ia diagihkan, sejumlah RM116.7 juta tuntutan rebat tunai telah dibayar kepada 239,414 pemilik kenderaan di semua pejabat pos.
Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, urusan pembayaran rebat di seluruh negara berjalan lancar dan terkawal sebaik sahaja pejabat pos dibuka mulai pukul 8.30 pagi hingga ditutup pada 5 petang.
Beliau berkata, walaupun terdapat sedikit gangguan di beberapa pejabat pos, masalah berkenaan dapat diatasi dalam masa beberapa minit.
“Sehingga pukul 10.30 pagi sebanyak RM24.1 juta sudah dibayar kepada pemilik 47,774 kenderaan di kesemua pejabat pos di seluruh negara,’’ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau proses tuntutan pembayaran rebat subsidi petrol dan diesel di Pejabat Pos Bandar Baru Bangi di sini hari ini.
Shaziman berkata, bagi pejabat pos yang kehabisan wang tunai, para pengguna akan diberikan kiriman wang.
Mengulas mengenai beberapa perkara yang dibangkitkan oleh pengguna, beliau menjelaskan pembayaran rebat subsidi petrol merupakan satu perkara baru dan akan dikaji bagi memperbaiki sebarang kelemahan.
‘‘Unit Perancang Ekonomi akan membuat kajian bagi memperbaiki sistem ini pada masa akan datang,’’ katanya.
Beliau turut menasihati kira-kira 1.7 juta orang yang memperbaharui lesen antara 1 April 2008 hingga 31 Mei 2008 supaya tidak terburu-buru untuk menuntut rebat subsidi petrol yang dibayar mulai hari ini.
Menurutnya, pemilik kenderaan berkenaan boleh mendapatkan rebat subsidi petrol dan diesel masing-masing sehingga 31 Mac 2009.
“Usahlah terburu-buru. Lebih-lebih lagi kalau melihat barisan orang ramai beratur terlalu panjang di pejabat pos, mereka masih boleh datang hari lain,’’ katanya.
Katanya, fasa pertama tuntutan rebat subsidi petrol dan diesel melibatkan 1.7 juta kenderaan dengan pembayaran berjumlah RM800 juta.
Shaziman menambah, pengguna kenderaan yang menggunakan gas asli untuk kenderaan (NGV) tidak boleh membuat tuntutan rebat kerana harga NGV tidak naik seperti harga petrol dan diesel baru-baru ini.
Katanya, mereka yang memiliki kad pengenalan sementara pula perlulah membawa laporan polis bagi mendapatkan pembayaran tersebut.
Sementara itu, Pos Malaysia Berhad dalam kenyataannya berkata, setiap urusan hanya memakan masa tidak lebih tiga minit kecuali di beberapa pejabat pos yang dikesan mengalami gangguan sistem.
Gangguan tersebut berlaku dalam tempoh yang singkat dan berjaya dipulihkan pada pukul 9.05 minit.
‘‘Selepas ia dipulihkan, sistem kembali stabil hingga ke petang. Pos Malaysia meminta maaf terhadap kesulitan yang dialami oleh semua pelanggan kami yang terlibat ekoran berlakunya gangguan tersebut,’’ kata kenyataan itu di sini hari ini.
Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop sebelum ini memberitahu, kerajaan memperuntukkan RM5 bilion untuk pembayaran rebat selepas mengambil kira anggaran jarak perjalanan pengguna kenderaan itu sejauh 50 kilometer sehari.
Peruntukan tersebut akan digunakan untuk membayar rebat tunai kepada pemilik kenderaan persendirian sebanyak RM625 setahun bagi kenderaan berkapasiti enjin sehingga 2,000cc serta trak pikap dan jip berkapasiti enjin sehingga 2,500cc.
Pemilik motosikal persendirian berkapasiti enjin sehingga 250cc pula akan menerima bayaran tunai sebanyak RM150 setahun selepas memperbaharui cukai jalan masing-masing.
Dalam pada itu, Pos Malaysia turut mengumumkan beberapa pejabat pos terpilih termasuk semua Pejabat Pos Besar akan beroperasi esok (Ahad) bagi memudahkan pemilik kenderaan menuntut rebat tunai mereka.
Dalam perkembangan yang sama kenyataan itu menjelaskan, rakyat asing termasuk mereka yang bertaraf Penduduk Tetap (PR) tidak layak untuk menerima rebat tunai.
Pemilik kenderaan juga boleh memuat turun borang tuntutan rebat daripada laman web www.pos.com.my.
‘‘Borang ini kemudian hendaklah diisi dan diserahkan di kaunter pejabat pos berdekatan untuk tujuan tuntutan,’’ katanya.
Menurut kenyataan itu, Pos Malaysia turut diberitahu terdapat usaha individu yang tidak bertanggungjawab menjual borang tuntutan rebat.
‘‘Borang ini adalah percuma dan boleh didapati di pejabat pos atau di laman web kami. Kakitangan kaunter kami sedia membantu para pelanggan yang memerlukan bantuan dan tiada sebarang bayaran dikenakan,’’ katanya.
utusan online