Saturday, July 19, 2008

DINOSOR, DNA, NORDIN KARDI DAN ALTANTUYA

Petikan: Laman Marhaen

“Itu sudah lama. Kena minta sample barulah. Apa salahnya. Kalau dia betul-betul kata tidak terlibat, bagi sampel. Buat sekarang. Saya hendak tengok.” – Utusan Online.

Petikan kata-kata Perdana Menteri Abdullah Badawi yang dilapor dalam akhbar merujuk kepada sampel DNA Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI).

Kata-kata PakLah itu tidak ada beza langsung dengan soalan Nordin Kardi dan bahas Menteri Kabinetnya, Datuk Shabery Chik dalam debat baru-baru ini. Serupa juga tarafnya dengan kenyataan Syed Hamid Albar juga menteri dalam kabinet PakLah.

Persoalan sekarang, keputusan DNA DSAI telah direkod masa kes 1998 dulu. REKOD DNA itu adalah asasnya bukanya sampel DNA. Bukan persoalan sampel lama atau baru, tetapi rekodnya hendaklah kekal dan unik.

Kalau Negara ini mempunyai sistem pentadbiran yang baik, sepertimana sistem yang Najib yakin itu, kenapa tidak dirujuk kepada REKOD yang telah dibuat dulu.?

Kenyataan Perdana Menteri yang mengatakan sampel DNA itu sudah lama dan memerlukan sample baru adalah amat memalukan Negara.

Seolah-olah sampel itu masih ada tetapi tidak boleh diguna untuk dianalisis kerana lama. Betapa bodohnya kenyataan tersebut, kerana anggota badan Dinosor binatang zaman purbakala pun masih boleh diguna untuk analisis DNA.

Tak adakah think-thank dari Biro TataNegara dan Institut Pemikiran Mahathir yang diterajui Nordin Kardi nasihat kepada perdana menteri dan tokoh-tokohnya supaya bercakap cerdik sedikit sesuai dengan jawatan dan kuasa yang ada, walaupun tak lebih dari mempertahankan kedurjanaan saja.?

Kalau REKOD DNA itu sudah hilang, ia jelas menunjukkan betapa pentadbiran undang-undang dan keselamatan Negara sudah tidak boleh diharap lagi kepada pemimpin yang mentadbir Negara sekarang ini.

Tambahan pula, REKOD kemasukan Altantuya juga dilaporkan hilang yang mana tidak boleh membantu siasatan kes kematiannya yang diletup oleh bom C4 dari Kementerian Pertahanan yang dijaga Najib.

Adalah amat dibimbangi kerana Najib (bakal Perdana Menteri ) berkata bahawa dia yakin dengan sistem!. Sebaliknya keadaan yang berlaku adalah amat tidak menyakinkan!.

muramatsu
United Kingdom

Siapakah Rakan Bertanding Ong Tee Keat

19 Julai, 2008 21:40 PM

Oleh Alan Ting

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Tidak sampai tiga jam selepas tiba dari London menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang malam tadi, Naib Presiden MCA dan Menteri Pengangkutan Datuk Ong Tee Keat mengumumkan keputusannya untuk bertanding jawatan tertinggi parti pada pemilihan Oktober ini.

Seperti yang telah dijangkakan oleh kebanyakan pemerhati politik dan anggota parti, "Lone Ranger MCA" ini berkemungkinan akan bertanding jawatan tertinggi parti selepas presiden parti Datuk Seri Ong Ka Ting mengumumkan keputusannya bulan lepas untuk tidak mempertahankan jawatan pada pemilihan kali ini.

Namun yang mengejutkan ramai pihak, ialah masa pengumuman yang dibuat oleh Tee Keat.

Beliau dijangkakan mengumumkan keputusannya itu selepas pemilihan bahagian hujung minggu ini, tetapi sebaliknya beliau mengumumkannya selepas menghadiri satu majlis di Serdang malam tadi.

"Selepas majlis tersebut berakhir, Tee Keat memberitahu saya beliau akan mengadakan sidang akhbar. Saya kemudiannya menyediakan sebuah bilik untuk sidang akhbar tersebut. Kemudian beliau memberitahu saya, beliau mahu membuat pengumuman untuk bertanding jawatan presiden parti.

"Saya terkejut dan memberitahunya bahawa sekiranya beliau mengumumkannya di sini malam ini, hanya terdapat empat orang wartawan dari akhbar berbahasa Cina, kesemuanya pula adalah pemberita junior," kata bekas naib presiden MCA, Datuk Yap Pian Hon.

Namun Tee Keat berkata ia tiada menjadi masalah dan hampir tengah malam, kebanyakan media termasuk dari stesen televisyen dan radio telah menghantar berita segera mereka mengenai cerita tersebut, kata Yap.

Seorang pemimpin veteran MCA, Datuk Wong Mook Leong berkata keputusan Tee Keat untuk mengumumkan lebih awal untuk bertanding adalah ekoran gesaan dari akar umbi untuk beliau membuat pendirian.

"Akar umbi telah meminta beliau membuat pendirian. Mereka berkata beliau tidak membuat sebarang pendirian selepas Ka Ting membuat pengumuman. Itulah yang membuatkan beliau membuat pengumuman sekembalinya dari London.

"Tambahan pula wujud khabar angin bahawa beliau tidak akan bertanding," katanya.

Kini timbul pula persoalan siapa rakan Tee Keat untuk bertanding bagi jawatan timbalan presiden nanti.

Mengenai perkara ini, Wong berkata beliau telah memberitahu Tee Keat betapa perlunya beliau membentuk pasukan untuk berkempen dan mendapat sokongan daripada golongan akar umbi kerana beliau tidak boleh hanya "duduk dan bergerak secara perseorangan".

Tee Keat memang dikenali gemar bergerak seorang diri kerana tidak mahu dilihat mempunyai pakatan dengan mana-mana pemimpin.

"Namun kali ini saya memberitahunya beliau tidak boleh mendiamkan diri. (Barrack) Obama (calon presiden Amerika Syarikat) juga tidak berbuat demikian. Tee Keat perlu membentuk pakatan untuk bertanding jawatan tertinggi parti kali ini," kata Wong.

Bagaimanapun Tee Keat yang ditanya hari ini, enggan menyatakan siapa rakannya untuk bertanding, tetapi sekadar berkata beliau akan mengeluarkan manifestonya tidak lama lagi.

Beliau berkata beliau tidak mempunyai masalah untuk berbincang dengan sesiapa tetapi menafikan langkah itu sebagai berpakat dengan orang yang dibincangkannya itu.

Namun wujud spekulasi bahawa setiausaha agung parti Datuk Ong Ka Chuan, adik kepada Ka Ting akan menjadi rakan bertanding di samping Tee Keat.

Ka Chuan yang ditanya hari ini bagaimanapun enggan mengulas sama ada beliau akan bertanding jawatan nombor dua parti.

"Saya belum lagi mendapat inspirasi," katanya ringkas.

Juga timbul spekulasi bahawa ketua pemuda dan Menteri Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai akan menjadi rakan Tee Keat, namun setakat ini beliau tidak membuat sebarang kenyataan mengenainya.

Malah sumber dalaman parti berkata naib presiden Datuk Donald Lim Siang Chai dan ketua wanita Datuk Dr Ng Yen Yen juga berpotensi menjadi calon bagi jawatan nombor dua itu.

Namun seperti Liow, kedua-duanya belum menyatakan sebarang pendirian.

Apapun perkembangannya, seorang pemimpin kanan parti yakin Tee Keat akan mengumumkan rakan bertandingnya selepas selesai pemilihan bahagian parti nanti.

-- BERNAMA

Musa Dan Abdul Gani Tidak Akan Terlibat Siasatan Kes Liwat Terbaru Anwar Ibrahim

19 Julai, 2008 19:39 PM

KEPALA BATAS, 19 Julai (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini memberi jaminan bahawa Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail tidak akan terlibat dalam siasatan berhubung tuduhan liwat melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata berikutan laporan oleh Anwar kepada Badan Pencegah Rasuah berhubung tuduhan pemalsuan fakta melibatkan Musa dan Abdul Gani, maka adalah wajar bagi kedua-dua mereka dikecualikan daripada siasatan terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

"Ketua Polis Negara dan Peguam Negara tidak akan mengambil apa jua peranan berkaitan kes Anwar," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan tawaran melanjutkan pengajian dan pembiayaan pelajaran kepada 350 pelajar MARA ke Island College of Technology (ICT) di Dewan Millenium Kepala Batas, di sini, Sabtu.

Rabu lepas Anwar memberikan keterangan kepada BPR di Putrajaya, yang meliputi tiga aspek utama iaitu pemalsuan fakta, penghilangan fakta dan pemalsuan laporan perubatan dari Jabatan Forensik, yang membabitkan Musa dan Abdul Gani.

Sebelum itu pada 1 Julai lepas, Anwar membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam, mendakwa Musa dan Abdul Gani terlibat memalsukan keterangan dalam siasatan kes beliau dipukul pada tahun 1998, oleh Ketua Polis Negara ketika itu Tan Sri Abdul Rahim Noor.

Abdul Gani ketika itu merupakan Timbalan Pendakwa Raya manakala Musa ialah pegawai penyiasat kes.

Anwar ditahan oleh sepasukan polis berhampiran rumahnya pada hari Rabu lepas dan dibebaskan dengan jaminan polis pada keesokkan harinya, bagi membantu siasatan berhubung laporan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, kepada polis pada 28 Jun lepas, mendakwa dirinya diliwat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Ketika ditanya sama ada Musa dan Abdul Gani akan digantung tugas berikutan laporan polis yang dibuat oleh Anwar terhadap mereka, Abdullah berkata beliau tidak nampak keperluan untuk menggantung perkhidmatan mereka.

Abdullah berkata pegawai yang membuat siasatan ketika ini tidak akan merujuk hasil siasatan kes itu kepada mereka.

"Pegawai itu tidak membuat sebarang rujukan kepada mereka dan (saya) tidak nampak (mengapa) mereka perlu digantung perkhidmatan," katanya.

Mengenai cadangan kerajaan Pulau Pinang supaya kerajaan Persekutuan menggantikan kos pembinaan projek Jalan Lingkaran Luar Pulau Pinang (PORR) dan monorel yang ditangguhkan sebanyak RM4.7 billion dalam bentuk pemberian wang tunai, Abdullah berkata kerajaan persekutuan tidak berhasrat untuk melaksanakan permintaan itu.

"Tak ada cita-cita pun. Tidak ada cadangan untuk laksanakan permintaan seperti itu," katanya.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebelum ini meminta supaya kerajaan persekutuan memberikan wang tunai RM4.7 bilion sebagai ganti projek yang ditangguhkan pelaksanaannya semasa kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) baru-baru ini.

Mengenai laporan kononnya UEM Berhad tidak lagi menjadi kontraktor bagi pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang, Abdullah meminta supaya perkara itu tidak dibincangkan secara terperinci, kerana kerajaan tetap akan melaksanakan pembinaannya.

"Jangan pergi terlalu terperinci, walau apapun kerajaan akan tetap membina jambatan itu, itu sahaja yang ingin diketahui orang ramai," katanya.

Sementara itu merujuk kepada hasrat Naib Presiden MCA, Datuk Ong Tee Keat untuk bertanding ke jawatan presiden parti itu berikutan penyandangnya, Datuk Seri Ong Ka Ting tidak mempertahankan jawatan itu, Abdullah berkata terpulang kepada anggota parti berkenaan untuk menentukan pemimpin mereka.

-- BERNAMA

Pertembungan Umno Di Hulu Terengganu sangat sengit

Petikan: http://penawarrinduku.blogspot.com/

Suasana Umno Hulu Terengganu nampak semacam tenang, namum hakikat gelora yang melanda bukan lagi menjadi rahsia.Dari Ajk Bahagian hingglah ke Ajk cawangan amat maklum dengan situasi Umno Hulu Terenganu.


Walaupun ada seorang Adun Bekas Exco yang baru-baru ini menafikan bahawa umno Hulu berkocak.Beliau telah memberi alasan selalu minum bersama-sama selepas mesyuarat."Selalu? berapa kali mesyuarat AJK Bahagian?" tanya seorang veteran umno dari DUN Manir, Salleh Abdullah apabila diajukan perkara ini kepada beliau.

Sebenarnya Adun bekas Exco di hulu Terengganu sangat tertekan selepas pelan beliau sudah hancur.Kedudukan beliau sendiri sebagai orang no.2 belum tentu selamat.Sebab itulah beliau menggunakan istilah mempertahan jawatan,bukan bertanding jawatan no.2 itu.Agaknya adun bekas exco ini merasakan jawatan no.2 tu sebagai hak milik kekal beliau.



Kalau tak ada angin pokok tak bergoyang, tapi ingat pokok juga boleh bergoyang tanpa angin kalau ramai-ramai goyangkan pokok tersebut.Adun bekas exco ini telah cuba mempetaruhkan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Cikgu Mohd Nor @ Alias Othman untuk berdepan dengan Tengku Putera Awang bagi merebut kerusi ketua Bahagian Hulu Terengganu.

Sementara penyokong Tengku Putera di Hulu Terengganu pula difahamkan sedang mengatur strategi untuk mencalonkan YB Rozi Mamat bagi merebut jawatan no.2 dari Adun bekas Exco.


Menurut Cikgu Roslan ( AJK Pemuda Hulu) keputusan tersebut hampir 80% menjadi kenyataan, usaha sekarang ialah memastikan 3 DUN ( tidak termasuk Ajil) membuat percalonan YB Rozi dalam mesyuarat Agong cawangan yang bermula malam ini.

Namum begitu sekiranya pelan tersebut tidak menjadi, dijangkakan naib ketua Bahagian, Yusof Awang Hitam (Dari DUN Manir) sekarang akan dicalonkan untuk merebut jawatan no.2. Beliau dijangka turun gelanggang sekiranya keputusan disaat akhir masih memerlukan agar YB Rozi kekal sebagai ketua Pemuda Bahagian.

Apa pun keadaan, apapun suasana semacam ada satu fenomena baru dikalangan 2 kem di Hulu Terengganu ini.Kedua-dua kem ini telah menggunakan akhbar Sinar Harian sebagai pentas untuk meluahkan pandangan dan sekaligus mengharap simpati perwakilan.

Samaada Sinar Harian memperalatkan mereka ,atau mereka memperaltkan Sinar Harian, sama-samalah kita tunggu dan lihat perkembangan ini.

Sesungguhnya Umno retak menunggu belah.
Ingat-ingatlah.

Umno Cawangan Kampung Ubai calon Najib tanding Presiden

PEKAN: Umno Cawangan Kampung Ubai, Bahagian Pekan meluluskan usul tergemapr mencadangkan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak bertanding jawatan Presiden pada pemilihan parti Disember depan.

Usul sebulat suara itu diumumkan ketua cawangan itu, Mohammad Hanapi Salleh pada mesyuarat yang berakhir lewat malam tadi dan dihadiri 42 daripada 123 anggota cawangan berkenaan.

Umno cawangan Kampung Ubai adalah cawangan pertama yang bermesyuarat di Pahang dan mencadangkan Najib, yang juga Ketua Bahagian Umno dan Ahli Parlimen Pekan, untuk bertanding jawatan Presiden.

Terdapat 139 cawangan Umno di bahagian Pekan dan bahagian itu adalah bahagian yang paling ramai keanggotaannya di Pahang itu 32,087 ahli.

Mohammad Hanapi ketika dihubungi berkata, semua anggota yang hadir termasuk wakil daripada sayap Pemuda, Wanita dan Puteri sebulat bersuara mengambil keputusan itu.

Sambil menyatakan pihaknya mengambil pendekatan mengemukakan usul tergempar itu berdasarkan beberapa faktor, beliau berkata:

“Antaranya, tempoh peralihan kuasa yang dipersetujui antara Perdana Menteri yang juga Presiden parti Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada timbalannya iaitu dua tahun adalah terlalu panjang.”

Selain itu, kata beliau pihaknya juga mengambil kira faktor kekalahan Umno dan Barisan Nasional (BN) di bawah kepemimpinan Abdullah di lima negeri dalam pilihan raya umum ke-12 Mac lalu.

“Faktor lain ialah kegagalan pimpinan sedia ada untuk menyelesaikan isu harga minyak dan makanan yang semakin membimbangkan,” katanya.

Mesyuarat cawangan, yang dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Manis Khairuddin Mahmud, bagaimanapun tidak menamakan calon untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan Disember itu nanti. - Bernama

Anwar intai p'raya kecil Kulim

Petikan Malaysia Kini
Jul 18, 08 4:35pm

Selepas terlepas peluang untuk bertanding di kerusi Parlimen Kuala Kangsar apabila mahkamah menolak petisyen PAS untuk membatalkan keputusannya, kini ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mensasarkan untuk bertanding di kerusi parlimen Kulim-Bandar Baharu.

Mahkamah Tinggi Alor Star akan mendengar Ahad ini, petisyen calon BN, memohon supaya dibatalkan keputusan pilihanraya bagi kerusi parlimen Kulim-Bandar Baharu, di selatan Kedah.

Dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu, calon PKR, Zulkifli Noordin menang dengan majoriti 5,583 undi.

Zulkifli mendapatkan 22,255 undi untuk menewaskan calon BN, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir yang memperolehi 16,672 undi.

anwar ibrahimSelepas menjalani hukuman penjara selepas disabitkan atas kesalahan salahguna kuasa, Anwar dilarang aktif dalam politik selama lima tahun sehingga 14 April lalu.

Hakim Balia Yusoff Wahi telah menetapkan kes itu dengar mulai Ahad hingga Khamis depan, selepas menolak bantahan yang dibangkitkan oleh Zulkifli untuk membatalkan petisyen tersebut.

Petisyen tersebut difailkan oleh Aziz atas alasan Zulkifli telah gagal mengemukakan kenyataan perbelanjaannya sewaktu kempen pilihanraya umum 2004.

Mengikut akta pilihanraya, setiap calon yang tidak mengemukakan kenyataan perbelanjaan kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), tidak dibenarkan bertanding dalam pilihanraya seterusnya.

Sedia beri laluan

Pada 2004, Zulkifli bertanding kerusi parlimen Kuala Langat di Selangor tetapi kalah kepada calon BN dari Umno, Datuk Dr Shafie Mohd Salleh.

bm version bandar kulim bharu kedah parliament seat results 180708Dalam petisyennya, Abdul Aziz juga mendakwa bahawa pegawai pengurus pilihanraya telah gagal bertindak terhadap Zulkifli walaupun mempunyai dokumen yang mengesahkan kegagalannya mengemukakan kenyataan perbelanjaannya.

Sekiranya pilihanraya kecil diadakan bagi kerusi tersebut, dalam tempoh 60 hari, Zulkifli dijangka memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding di situ.

Bagaimanapun, terlalu awal untuk dipastikan sama ada Abdul Aziz akan dicalonkan semula bertanding di kerusi tersebut.

Dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu, kerusi Parlimen tersebut mempunyai 51,995 pengundi, yang terdiri daripada 69.50 peratus Melayu, China (18.60 peratus), India (11.70 peratus), lain-lain (0.20 peratus).

Zulkifli memberitahu Malaysiakini bahawa yakin dapat memenangi kes tersebut. Menurutnya, Abdul Aziz telah memfail petisyennya di bawah Akta Pilihanraya yang silap.

Ditanya sama ada beliau bersedia memberi laluan kepada Anwar sekiranya pilihanraya kecil diadakan, Zulkifli berkata, beliau sedia berbuat demikian.

"Semua ahli Parlimen PKR sebelum ini telah berjanji sedia melepaskan kerusi mereka untuk Anwar, termasuk kerusi saya, di Permatang Pauh,
Bandar Tun Razak dan Gombak," katanya.

Anwar akan diberi salinan laporan jika dituduh - Ismail

Petikan: mStar Online
19-07-2008 10:38:42 AM

KUALA LUMPUR: Polis hanya akan menyerahkan salinan laporan yang dibuat oleh bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd. Saiful Bukhari Azlan kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu hanya apabila beliau dihadapkan ke mahkamah kelak.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, pihaknya tidak akan memberikan Anwar satu salinan laporan memandangkan siasatan masih dikendalikan.

"Apa sahaja yang kami lakukan adalah selari dengan Seksyen 51(A) Kod Prosedur Jenayah yang menjelaskan peruntukan itu.

"Terlalu banyak tuduhan dan dakwaan dilemparkan ke atas kami dalam soal ini dan perkara lain. Kami akan terus bertindak secara profesional dalam pendekatan kami dan menjalankan tugas kami mengikut undang-undang," kata beliau kepada The Star.

Ismail berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Anwar sejak dibebaskan atas jaminan polis bahawa pihak polis masih belum memberikan salinan laporan polis yang dibuat Mohd. Saiful kepadanya.

Chelsea datang tanpa Drogba

Petikan: Utusan Online


KUALA LUMPUR - Kelab Liga Perdana England, Chelsea mengotakan janjinya apabila bakal membawa semua pemain utamanya dalam Siri Jelajah Asia-Malaysia 2008 apabila singgah di Kuala Lumpur selama tiga hari mulai 27 Julai ini, lapor SAYED HESHAM IDRIS.

Cuma yang tercicir dalam senarai yang dikeluarkan oleh penganjur ialah penyerang berbisa kelab itu, Didier Drogba.

Ketua Pegawai Eksekutif Proevents International Sdn. Bhd, iaitu promoter jelajah kelab itu, Julian Kam berkata, para pemain Chelsea termasuk jurulatih baru Felipe Scolari akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Macau pada 27 Julai ini.

Katanya, antara pemain utama kelab itu yang mengesahkan kehadiran termasuk Nicolas Anelka, Michael Ballack, Petr Cech, bekas pemain Barcelona, Deco, Frank Lampard, Andriy Shevchenko dan John Terry.

Mengenai ketiadaan Drogba dalam senarai pemain yang akan datang ke Malaysia, Julian Kam menjelaskan, senarai yang diterima oleh pihaknya ialah senarai pemain yang akan menaiki penerbangan dari Macau pada 27 Julai ini.

''Senarai yang kami terima ini adalah berdasarkan senarai pemain yang akan menaiki penerbangan dari Macau selepas perlawanan persahabatan dengan skuad negara tersebut,'' katanya pada sidang media di sini, semalam.

Hadir sama Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad dan ketua jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan, B. Sathianathan.

Naib juara Liga England musim lalu, Chelsea akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan Pilihan Malaysia di Shah Alam pada 29 Julai pada pukul 8.45 malam.

Menurut Julian Kam, sebelum datang ke Malaysia, para pemain Chelsea akan mengadakan perlawanan persahabatan di Guangzhou, China (23 Julai) diikuti di Macau (26 Julai) sebelum berada di Malaysia pada keesokannya.

''Sepanjang berada di sini, pemain kelab itu akan mengadakan sesi latihan dan aktiviti bersama penaja sebelum mengadakan perlawanan dengan skuad Pilihan Malaysia.

''Para peminat di sini bertuah kerana bakal menyaksikan skuad baru musim depan Chelsea yang datang bersama pemain baru,'' katanya.

Anggota polis didakwa rogol, seks oral

PETALING JAYA 18 Julai - Seorang anggota polis berpangkat konstabel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan, merogol dan memaksa seorang pelajar melakukan seks oral ke atasnya di Balai Polis Putra Heights.

Konstabel Jamil Abdul Sah , 27, didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu terhadap mangsa yang berusia 17 tahun antara pukul 6 hingga 7 pagi, 18 Jun lalu di dalam bilik maklumat balai tersebut.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(f) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan seks oral pula, Jamil didakwa mengikut Seksyen 377B kanun yang sama. Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Penolong Pendakwa Raya, Nor Shamsinar Mohamad membantah jaminan terhadap tertuduh. Namun sekiranya mahkamah cenderung untuk membenarkan jaminan, beliau mencadangkan jumlah jaminan yang tinggi beserta dua orang penjamin dan syarat tambahan.

Peguam Ariff Azami Hussein yang merayu agar tertuduh dibenarkan ikat jamin, mengemukakan surat makluman dan pengesahan gantung kerja bertarikh 23 Jun lalu yang menunjukkan tertuduh kini tidak mempunyai kuasa menjalankan tugas.

Malahan sejak tarikh tersebut, menurut Ariff Azami, tertuduh juga perlu melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya setiap Isnin dan Khamis.

"Tertuduh yang berkhidmat sejak 1 Jun 2001 mempunyai dua anak berusia lima dan dua tahun sementara isterinya tidak bekerja. Tertuduh tinggal di Damansara sementara mangsa difahamkan tinggal di Kilometer 21, Puchong," kata beliau.

Gobind Singh Deo turut memohon kebenaran untuk bercakap dalam kapasitinya selaku peguam pemerhati kepada keluarga mangsa.

"Ketika kejadian, menurut mangsa, tertuduh memberitahunya supaya jangan takut kerana ramai lagi perempuan sepertinya. Sejak kejadian, mangsa mendakwa tertuduh sering menghubunginya dan mengajaknya balik ke rumahnya di Damansara," kata Gobind.

Memandangkan seluruh ahli keluarga mangsa dalam ketakutan disebabkan kes itu melibatkan pihak polis, Gobind memohon jaminan tidak diberikan kerana tertuduh sanggup melakukan perbuatan yang begitu keji.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Hakim Balqis Aini Mohd. Ali membenarkan Jamil dibebaskan dengan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah juga memberi amaran bahawa tertuduh secara peribadi mahupun melalui ejennya sama ada kawan atau keluarganya tidak boleh mendekati dan menghubungi mangsa serta keluarga mangsa melalui telefon.

Jamil yang berasal dari Sabah akan dibicarakan pada 22 Oktober ini.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, Gobind memberitahu beliau akan memfailkan saman terhadap tertuduh dan kerajaan Malaysia dalam masa terdekat.

Menurut Gobind, kes tersebut melibatkan isu kepentingan awam dan persoalan yang timbul adakah balai polis di negara ini, selamat?

"Dalam keadaan pelajar terbabit pergi ke balai polis untuk membuat laporan tiba-tiba dia pula yang kena. Dalam kes ini, mangsa dirogol dan tertuduh memaksa mangsa membuat seks oral," kata Gobind.

Difahamkan, mangsa dan rakannya telah ditahan ketika mereka menaiki sebuah motosikal dan dibawa ke balai polis untuk soal siasat.

Polis buat kerja gila - Mohd Sabu

Petikan: Harakah Daily
Intan Abdullah

Fri | Jul 18, 08 | 5:28:08 pm MYT

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Hrkh) - Pihak polis sengaja menimbulkan suasana ketegangan sebagai provokasi dengan mengadakan sekatan jalan raya dalam kehangatan isu liwat Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan ura-ura usaha Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan pusat.

Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu menyelar tindakan pihak polis yang disifatkan mengadakan sekatan jalan raya yang tidak perlu dan tidak menitik beratkan kesan dan masalah yang terpaksa ditanggung pengguna jalan raya akibat sekatan tersebut.

"Ini semua kerja gila, dan sengaja diada-adakan atau mungkin polis sudah tiada kerja lain yang hendak dibuat," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Mengulas mengenai dakwaan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar mengenai kemungkinan suatu perhimpunan akan dianjurkan dalam masa terdekat, beliau dengan tegas menafikannya.

"Kita (PAS) tidak ada sebarang perancangan untuk mengadakan perhimpunan buat masa ini.

"Bahkan sekiranya hendak diadakan perhimpunan pun, polis buat sekatanpun perhimpunan tetap boleh dijalankan," ujarnya.

Mantan Pengerusi Jawatankuasa Perhimpunan Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) itu turut menjelaskan perhimpunan 100,000 rakyat pada 10 November tahun lalu membuktikan sekatan jalan raya tidak memberikan apa-apa kesan kepada 'kekuatan suara hati dan kehendak' rakyat untuk menyampaikan hasrat mereka.

Sementara itu, Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua pula menyifatkan tindakan polis mengadakan sekatan yang masih berterusan itu sebagai tidak bertanggung jawab serta menyusahkan rakyat.

"Ini satu perkara yang tidak masuk akal dan tidak bertanggung jawab," tegasnya.

Ahli Parlimen Batu itu melahirkan kehairanan terhadap pendirian dan tindakan pihak polis yang kelihatan sudah mula tersasar daripada peranan dan tanggung jawab mereka yang sebenar.

"Kerja polis bukan buat sekatan kerana ia tidak akan membantu apa-apa malah operasi tersebut akan melibatkan anggota polis yang ramai," ujarnya.

Dalam suasana indeks jenayah negara kian meningkat khususnya di Lembah Klang, beliau juga melahirkan kekesalan dengan sekatan tersebut yang telah memberi kesan buruk kepada ekonomi rakyat.

"Apa yang berlaku menyebabkan orang ramai marah kerana ia menyusahkan.

"Mereka tidak mempertimbangkan kesan apabila para peniaga terjejas pendapatannya, selain pengguna jalan raya yang mengejar urusan kerja masing-masing," katanya lagi.

Memburukkan lagi keadaan, pihak polis katanya mengambil keputusan menjalankan sekatan jalan raya dengan menggunakan khabar angin semata-mata.

"Itulah lambang tahap profesional dan integriti polis kita," ujarnya.

Semalam, menurut Khalid, sekatan jalan raya di 22 lokasi di seluruh negeri dibuat bagi membendung kecenderungan pihak tertentu mengadakan perhimpunan tanpa permit.

Selain mencegah jenayah, beliau berkata, sekatan jalan yang sentiasa berubah lokasi itu perlu bagi memastikan tidak ada elemen tidak sihat yang mengganggu ketenteraman dan keselamatan masyarakat khususnya di Selangor.

"Saya sedar sekatan jalan ini menimbulkan ketidakselesaan tetapi saya mohon maaf. Ini membabitkan keselamatan, jadi kita perlu beri perhatian," katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Beliau ditanya mengenai sekatan jalan raya menghala ibu negara yang menyebabkan kesesakan teruk sejak Isnin lalu.

Dilaporkan lebih 1,600 pegawai dan anggota membabitkan Pasukan Simpanan Persekutuan, Unit Anjing Pengesan, Pasukan Gerakan Am (PGA), Unit Berkuda dan Unit Udara dikerah mengawal semua pintu masuk ke ibu kota.

Khalid berkata, walaupun Anwar Ibrahim dibebaskan semalam, polis tidak menolak kemungkinan penyokongnya mungkin mengadakan perhimpunan dalam tempoh terdekat. - mns _

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...