Tuesday, April 7, 2009

Petugas PKR tahan bas 'pengundi hantu' - MalaysiaKini

Muda Mohd Noor & S Pathamawathy | Apr 7, 09 2:20pm

Petugas PKR DUN Bukit Selambau menahan dan membawa sebuah bas yang dipercayai membawa pengundi hantu ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Gurun kira-kira jam 11.25 pagi tadi.

Naib ketua AMK, Feriz Musa berkata, petugas PKR mengesan kehadiran bas tersebut tetapi tidak tahu ke mana ia pergi.

Bagaiamanpun, katanya, bas itu dikesan semula di Kampung Bukit Lembu pagi tadi.

Katanya, selepas diperiksa petugas mendapati penumpang bukan orang tempatan.

"Berikutan itu kita mengsyaki mereka adalah pengundi hantu dan membuat keputusan menghantarnya ke IPD Gurun," katanya ketika dihubungi hari ini.

Feriz berkata, beliau dimaklumkan bas berkenaan telah mula dikesan masuk ke Bukit Selambau tengah malam tadi.

Katanya, pihaknya akan terus membuat pemantauan bagi mengesan kemungkinan ada bas lain yang membawa pengundi hantu ke Bukit Selambau.

Polis tahan dua lelaki


Sementara itu, polis melepaskan bas yang disyaki membawa pengundi hantu di Bukit Selambau, tetapi menahan dua lelaki yang dipercyai penyokong Pakatan Rakyat yang menahan bas tersebut.

Menurut pengawai perhubungan media polis Bukit Selambau, Hanzan Darus, kedua-dua mereka yang berusia 37 dan 54 tahun, ditahan di bawah Seksyen 341 Kanun Keseksaan.

Bas dan 32 penumpangnya yang terdiri daripada ahli Umno Padang Besar, berhenti bermalam di Bukit Lembu di Sungai Petani selepas menghadiri majlis bersama Tun Dr Mahathir Mohamad semalam.

Ketika hendak bertolak dari Bukit Lembu untuk merayu undi bagi calon BN, Datuk S Ganesan, mereka ditahan oleh dua lelaki kerana didakwa membawa pengundi hantu.

Menurut polis, dua lelaki yang memandu kereta jenis Toyota Avanza, memotong bas tersebut dan memaksanya berhenti.

Mereka kemudiannya menaiki bas tersebut dan menghalang pemandunya daripada meneruskan perjalanan.

Seorang pemandu bas tersebut, kemudiannya menghubungi polis dan bas serta dua lelaki berkenaan dibawa ke balai polis Gurun untuk siasatan lanjut.

Polis bagaimanapun, melepaskan penumpang bas tersebut selepas memeriksa status mereka dengan senarai nama pemilih.

Mafrel pula melaporkan bahawa pemantaunya juga telah mengesan dua buah bas yang disyaki membawa pengundi hantu.

Sebuah daripada bas tersebut dilihat di Taman Ria Jaya, manakala sebuah lagi dilihat menghala ke Tasek Apong.

Penumpangnya mendakwa mereka adalah penyokong BN dari Alor Star.

Monday, April 6, 2009

Mahathir tidak lupa Anwar di Bkt Gantang - MalaysiaKini

Apr 6, 09

Tun Dr Mahathir Mohamad mencecahkan kaki di kawasan parlimen Bukit Gantang pada hari akhir kempen pilihanraya kecil di situ dengan membidas bekas timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Tidak ada orang yang saya angkat (begitu tinggi), angkat sehingga dia sampai ke langit, tinggal sikit lagi sahaja (untuk jawatan perdana menteri), tapi (dia) tidak tahan, tidak boleh tunggu, nak juga bagi saya jatuh cepat-cepat," katanya.

mahathir in bukit gantang by election ceramah 060409 01"Jadi, orang yang semacam ini kalau kita angkat, kita akan dapat nasib macam sayalah. Sampai dia naik atas, dia tendang jatuh semua tangga-tangga."

Merujuk penyisihan yang dialaminya dalam era pentadbiran penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi, mantan perdana menteri itu bagaimanapun tidak meneruskan kecamannya.

Beliau hanya berkata "kita tahulah siapa orang yang saya cakap ini."

"Bila dia (Anwar) pergi tempat ini, dia jadi orang ini. Bila dia pergi tempat lain, dia jadi orang lain. Dia sokong orang India, tapi kalau dia pergi tempat lain, jumpa orang Melayu, dia kata orang India ini jahat," katanya.

"Demikian juga bila jumpa orang Cina, oh orang ini, orang itu jahat, (mereka) tidak layan langsung kehendak orang Cina. Ini tidak benar."

Anwar juga ditempelak berhubung usahanya menumbangkan kerajaan persekutuan pada 16 September lalu.

Ucapan Dr Mahathir di Batu 2.5 Jalan Simpang dalam kawasan parlimen itu lebih kurang 40 minit disiarkan secara langsung melalui TV1 mulai kira-kira jam 11 pagi.

Selain menggesa pengundi menyokong calon BN Ismail Saffian - yang kemudian tampil berdiri di sebelahnya dan tangannya dijulang oleh tokoh Umno itu - Dr Mahathir turut membidas calon PAS Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berhubung kenyataannya "patik mohon derhaka" kepada Sultan Perak.

Dengan mengakui kesilapan BN meletakkan "calon luar", Datuk Azmi Zabidi yang juga bendahari Umno, pada pilihanraya umum lalu, Dr Mahathir berkata: "bukan tidak ada bakat di sini, ada."

mahathir in bukit gantang by election ceramah 060409 02"Saya tidak mahu mengata sangat kepada parti lawan, ... tidak payahlah, semua sudah tahu, siapa dia parti lawan, semua sudah tahu, ... ada yang derhaka pun ada," katanya, disambut jeritan para penyokongnya.

"(Mengajuk kata-kata Mohammad Nizar:) 'saya pohon derhaka'. Cukup special. Tidak pernah dengar perkataan ini sejak (peristiwa) Sultan Mahmud mangkat dijulang, inilah kali pertama kita dengar," katanya di depan kira 2,000 orang.

"Mujurlah dia tidak ada tombak nak sula. Inikah orang nak jadi pemimpin kita?

"Kalau tidak bersetuju (kepada raja), kita tidak bersetuju, OK. Tapi jangan sampai kata mohon menderhaka. Wah, bukan main, besar."

Dr Mahathir juga mendakwa Mohammad Nizar, sewaktu menjadi menteri besar Perak, memperkenalkan dasar pemberian tanah kepada komuniti Cina untuk mempopularkan dirinya sendiri dan bukan jujur untuk membantu masyarakat.

mahathir in bukit gantang by election ceramah 060409 03Dalam perhimpunan tersebut, beliau juga menyeru kepada ahli dan penyokong Umno yang telah meninggalkan parti itu agar kembali bersama parti itu.

Dr Mahathir juga menyatakan keyakinan kepada kepemimpinan Datuk Seri Najib Abdul Razak sebagai perdana menteri baru, sambil menceritakan bagaimana bapa presiden Umno itu pernah menerima borang keahliannya pada awal 1970-an selepas dipecat oleh Tunku Abdul Rahman.

Bekas presiden Umno itu juga meminta rakyat menolak demonstrasi dengan alasan ia tidak membawa sebarang manfaat untuk memajukan negara.

Selepas acara pagi ini, Dr Mahathir dijadual turun berkempen kira-kira 3 petang ini di DUN Bukit Selambau yang menyaksikan persaingan calon PKR S Manikumar dan S Ganesan (BN) bersama 13 lagi calon bebas.

Gantung: Harakah rugi RM400,000 - MalaysiaKini

Ali Bukhari Amir | Apr 6, 09 4:16pm

Walaupun lega dengan penarikan balik penggantungan Harakah pada Jumaat lepas, tetapi sidang pengarangnya tetap kesal dengan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengakibatkan ia mengalami kerugian besar.

Akhbar dwi-mingguan PAS itu - terbit setiap Isnin dan Jumaat - gagal diterbitkan selama tiga keluaran sejak arahan itu dikuatkuasakan serta-merta 23 Mac lalu.

Menurut satu sumber akhbar itu, selain kerugian RM300,000 hasil jualan akhbar, ia juga kehilangan RM100,000 pendapatan iklan dalam tempoh tersebut.

Sumber yang sama menyebut, ia juga mengalami kerugian setelah mencetak 50,000 keping pelekat dan 30,000 poster kempen 'Bebaskan Harakah' bagi membantah tindakan KDN itu.

PAS melancarkan Hujjah mulai Jumaat lepas sebagai menggantikan Harakah - hari yang sama perdana menteri baru Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penarikan balik arahan kementerian tersebut.

Selepas pengumuman itu, tabloid politik berusia 22 tahun itu diterbitkan seperti biasa mulai hari ini - dengan ketebalan 56 halaman dan harga kekal RM2 senaskhah.

Akhbar baru PAS itu dicetak lebih 100,000 naskhah, termasuk untuk menghadapi pilihanraya kecil parlimen Bukit Gantang yang ditandingi calonnya Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Selang 12 jam sebelum pengumuman mengejut Najib itu, KDN merampas Hujjah, yang tidak mempunyai permit penerbitan, di beberapa tempat di seluruh negara.

Kira-kira 1,300 naskhah tabloid politik itu dirampas di Bukit Mertajam, sementara pegawai kementerian itu merampas filem reka bentuk akhbar tersebut di syarikat percetakannya di Shah Alam.

Maklumat lengkap rampasan di tempat-tempat lain belum diperolehi, kata sumber kepada Malaysiakini.

Walaupun kerajaan telah membatalkan tindakannya terhadap Harakah, tetapi kempen untuk kebebasan media alternatif akan diteruskan, kata pengarang berita Harakah Tarmizi Mat Jam.

"Semua pihak mesti sedar bahawa tindakan Najib baru-baru ini bukanlah pembaharuan, ia hanya tindakan politik.

"Dan, itu bukanlah tindakan politik yang bijak," katanya.

PAS ramal bolot 60% undi menewaskan calon BN di Bukit Gantang

Petikan daripada PAS ramal bolot 60% undi menewaskan calon BN di Bukit Gantang

PAS dan BN masing-masing merasa calon mereka menang di Parlimen Bukit Gantang berdasarkan perkembangan terakhir menjelang hari mengundi esok, lapor Muda Mohd Noor dari Malaysiakini.

PAS meramalkan Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin menang dengan mendapat 60 peratus sokongan pengundi, termasuk sokongan padu pengundi kaum Cina yang berjumlah kira-kira 15,000 orang.

Umno pula mendakwa kehadiran mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membantu berkempen calon BN, Ismail Saffian pagi tadi akan menarik sokongan pengundi Melayu serta pengundi atas pagar.

Ketua Pemuda PAS Perak, Norazli Musa ketika dihubungi hari ini berkata, Mohamed Nizar yang juga menteri besar Pakatan di Perak, boleh menang dengan majoriti sekurang-kurangnya 1,000 undi.

"Kedudukan terkini ialah Datuk Seri Mohd Nizar mendapat sokongan padu dari pengundi kaum Cina. Majoriti pengundi Cina bersama kita... trend sekarang sama dengan pilihanraya umum 8 Mac lalu.

“Pengundi Cina kata Mohamed Nizar akan menang sehingga 5,000 undi tetapi saya berpendapat tidak sampai sebanyak itu,” katanya kepada Malaysiakini. Norazli juga menegaskan, pengundi Melayu yang menyokong bekas ahli Parlimen Roslan Saharum dalam pilihanraya umum lalu, akan terus mengundi Mohd Nizar esok.

“Tiada tanda-tanda mereka akan mengundi calon BN. Kita akan dapat apa yang diperolehi sebelum ini,” katanya. Menurutnya, kehadiran Dr Mahathir tidak memberi kesan besar kepada sokongan untuk PAS di kalangan pengundi Melayu. Bagaimanapun, ahli jawatankuasa (AJK) Umno bahagian Bukit Gantang, Mohd Saadin Yusof pula berkata, ramai pengundi Cina yang akan mengundi Ismail, esok.

“PAS tidak akan dapat apa yang mereka perolehi dalam pilihanraya umum lalu kerana mereka akan mengundi BN. Maklumat ini berdasarkan risikan yang kita lakukan di kalangan pengundi Cina di sini (Bukit Gantang),” katanya.

Mohd Saadin juga berkata, pengundi atas pagar menyebelahi calon BN kali ini. Katanya, dalam pilihanraya umum lalu, BN tidak mendapat sokongan dari pengundi atas pagar. Bagaimanapun, beliau tidak tahu jumlah pengundi atas pagar itu tetapi mengatakan ia ramai.

“Orang Melayu akan lebih ramai mengundi Ismail kerana mereka marah dengan hubungan Mohd Nizar dan pemimpin DAP terutama sekali Nga Kor Ming. Satu lagi, penyokong Adun Changkat Jering, Osman Jailu yang sebelum ini mengundi PAS akan menyokong Ismail.

“Osman sendiri turut membantu calon BN. Ini bermakna undi untuk Mohd Nizar akan berkurangan berbanding yang diperolehi oleh Roslan Saharum,” katanya.

S'gor tuntut pulangkan RM9.9 juta wang Balkis - MalaysiaKini

Apr 6, 09 1:36pm

Kerajaan negeri Selangor meminta Jabatan Insolvensi memulangkan RM9.9 juta dana milik Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis) kepadanya.

Ini kerana dana tersebut merupakan hasil sumbangan agensi-agensi kerajaan negeri, kata Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Nik Nazmi Ahmad.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan Selangor menulis surat rasmi kepada jabatan tersebut hari ini untuk mendapatkan kepastian mengenai kedudukan dana RM9.9 juta milik Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Selangor (Balkis).

Surat bertarikh 6 April dihantar melalui pejabat peguam yang telah dilantik.

Dalam surat itu, katanya, kerajaan negeri antara lain meminta pengesahan jika benar Jabatan Insolvensi sedang mengendali dana tersebut.

Minggu lalu, pegawai Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Selangor, Tairah Yusof telah memberitahu siasatan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawab dan Ketelusan (Selcat) bahawa wang tersebut sedang dikendalikan oleh Jabatan Insolvensi.

"Jika benar dana tersebut ada dalam pengendalian Jabatan Insolvensi Malaysia, (maka) kerajaan negeri Selangor meminta agar dana tersebut diberi dan diamanahkan kepada pihak kerajaan untuk tindakan sewajarnya.

"Perlu ditegaskan di sini, kerajaan negeri Selangor mempunyai tanggungjawab terhadap dana RM9.9 juta tersebut memandangkan dana tersebut adalah, antara lain, hasil sumbangan agensi-agensi kerajaan negeri," katanya.

Tambahan pula, tegas Nik Nazmi, mengikut nasihat undang-undang yang diberi kepada kerajaan negeri, pembubaran Balkis adalah salah di sisi undang-undang.

Kerajaan negeri Selangor berharap Jabatan Insolvensi akan bersikap profesional dalam mengendali kes ini dengan memberi pengesahan yang diperlukan secepat mungkin.

Sunday, April 5, 2009

Muhyiddin, Anwar 'memacu' di Bukit Gantang, Khairy juga muncul - mStar

TAIPING: Khairy Jamaluddin yang dipilih Ketua Pemuda Umno, hari ini menafikan andaian bahawa beliau tidak dialu-alukan dengan turun gelanggang berkempen untuk calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Bukit Gantang.

Sekurang-kurangnya lapan program telah diaturkan untuk dihadiri beliau.

Pukul 10.30 pagi tadi, Ahli Parlimen Rembau itu menyaksikan perlawanan bola sepak pasukan MyTeam menentang DreamTeam di Matang.

Kemudian beliau bermesra dengan peserta-peserta Bengkel Motosikal di pekarangan Bilik Gerakan Induk Pemuda BN.

Selain itu Khairy juga mengadakan pertemuan dengan pengundi-pengundi muda di kawasan Trong.

Dalam pada itu, ketika tinggal dua hari menjelang hari pengundian, parti-parti politik yang bertanding pilihan raya kecil kerusi Bukit Gantang menggunakan cuti mingguan hari ini dengan jadual program berkempen yang agak ketat.

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menghabiskan masanya di Batang Ai semalam, memulakan kembali tumpuan beliau di kawasan Bukit Gantang sejak tengah hari tadi.

Petang ini, beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan masyarakat India di kawasan Simpang dan tiga pertemuan dengan pengundi-pengundi Cina di Simpang dan Kuala Sepetang.

Dalam pada itu, Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga padat dengan programnya yang bermula 9 pagi tadi.

Antara 9 dan 11 pagi tadi, Anwar yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen mengadakan program bersama Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang bertanding di Bukit Gantang mewakili Pakatan Rakyat.

Ia disusuli dengan dialog dengan warga guru bermula 11 pagi.

Anwar, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) kemudian menghadiri majlis jamuan rakyat di bahagian Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sepetang.

Pada sebelah petang, beliau menghadiri majlis hi-tea di DUN Changkat Jering.

Majlis ceramah perdana juga diaturkan untuk Anwar dengan turut dihadiri beberapa pemimpin PAS dan DAP.

Kejutan Anwar hanya selepas 7 April? - mStar

SUNGAI PETANI: Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih membiarkan rakyat berteka-teki apabila tidak mengumumkan 'kejutan' yang didakwa beliau amat penting dalam ceramahnya sempena pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau malam tadi.

Anwar berkata, beliau hanya akan mengumumkan perkara itu pada 7 April ini selepas Pakatan menang di tiga pilihan raya kecil termasuk juga di Parlimen Bukit Gantang dan DUN Batang Ai.

"Saya harus menggunakan majlis ini untuk menambah satu pengumuman yang penting.

"Kita bincang semalam dan kita tahu, kalau kita bagi pengumuman itu malam ini, risikonya terlalu besar.

"Oleh yang demikian, saya nak tunggu sampai 7 hari bulan (April).

"Kita menang di Bukit Selambau, menang di Bukit Gantang, menang di Batang Ai dan kita sambung pengumuman penting kepada rakyat Malaysia semua," katanya di hadapan kira-kira 3,000 orang di Dewan Hock Seng, Sungai Lalang di sini.

Jumaat lalu, Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution menyatakan Anwar akan mengumumkan satu kejutan yang didakwa beliau akan memberi ‘nilai tambah’ kepada Pakatan Rakyat dan impak besar kepada pilihanraya kecil tersebut.

Pada majlis itu juga, seramai 6,000 ahli PPP daripada lapan bahagian di Kedah telah meninggalkan parti itu dan menyertai PKR termasuk Naib Presidennya, V. Nadarajan.

Tindakan itu didakwa telah menyebabkan enam bahagian parti itu termasuk Kubang Pasu, Kuala Kedah, Pokok Sena, Kulim, Baling dan Merbok dibubarkan.

Nadarajan dalam ucapannya berkata, PKR telah memberi nafas baru kepada mereka menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk meninggalkan PPP.

Dalam reaksi segera, Pengerusi Perhubungan PPP Kedah, R Daass pula berkata, tidak ada mana-mana ahli yang meninggalkan parti itu kerana pihaknya tidak menerima sebarang surat keluar parti.

"Kami tidak menerima sebarang surat. Mereka boleh dakwa apa yang mereka mahu tetapi sepanjang pengetahuan kami, tidak ada yang meninggalkan parti kerana mereka tidak memulangkan kad keahlian," katanya.

Sabotaj poster PAS, BN melampau! - Harakah

Johari Jaafar
Sun | Apr 05, 09 | 12:35:36 pm MYT

BUKIT GANTANG, 5 April (Hrkh) - Menjelang hari pengundian 7 April ini, petugas-petugas BN mulai bertindak melampau dan kurang ajar dengan menampal stiker ke atas banner PAS dan ini dapat dikesan oleh petugas-petugas PAS.

Tidak sekadar itu sahaja, petugas-petugas BN telah bertindak menampal lambang dacing pada poster dan kain rentang calon, termasuk tindakan mereka melekatkan poster Dato' Zambry Abdul Kadir ke atas poster Dato' Seri Ir Mohamad Nizar Jamaludin

Dalam sidang media semalam di Markas Induk PAS di Air Kuning, Pengarah Jentera Pilihan raya PAS Perak menyatakan kekesalannya dengan tindak tanduk petugas petugas BN yang sengaja bertindak kurang ajar .

Beliau menyifatkan perbuatan itu sebagai melampau kerana ternyata petugas BN telah menceroboh poster dan kain rentang calon PAS.

"Nampaknya petugas-petugas masih lagi berperangai lama, tidak berubah walaupun pemimpin mereka mahu Umno berubah.

"Petugas kita telah pun membuat aduan polis berkaitan dengan kejadian tersebut," katanya.

Beliau turut kesal dengan dengan taktik kotor BN menjelang hari pembuangan undi dengan membuat serangan peribadi kepada calon PAS.

Terdapat poster dan kain rentang yang ditulis dengan perkataan-perkataan yang menyerang peribadi calon PAS seperti "Nizar Boneka DAP"dan berbagai lagi yang dituju kepada calon PAS.

PAS katanya, tidak sama sekali akan menyerang peribadi calon BN walaupun BN berbuat demikian.

"Pilihan raya kecil ini parti lawan parti, kerana itu kita tidak menmbuat serangan peribadi calon, biarlah Umno dengan cara lamanya untuk meraih undi dari rakyat," jelasnya. - mks._

PAS mampu menang dengan pertambahan majoriti - HarakahDaily

Johari Jaafar
Sat | Apr 04, 09 | 10:51:13 am MYT

BUKIT GANTANG, 4 April (Hrkh) - PAS mampu mempertahankan kemenangannya di Bukit Gantang pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang pada 5 April ini walaupun mendapat tentangan yang sengit dari pihak BN.

Demikian dinyatakan oleh Yang Dipertuanya Ustaz Nordin Jaafar dalam satu pertemuan dengan wartawan Harakah di sini semalam.

Menurutnya berdasarkan perkembangan terkini, sokongan yang diperolehi calon PAS mampu meraih kemenangan pada pilihan raya kecil ini dengan pertambahan majoriti .

"Kita menjangkakan pertambahan undi dari kalangan kaum Cina dan India, dalam masa yang sama kita cuba meningkatkan sokongan pengundi Melayu kepada calon PAS, dengan ini calon PAS tidak ada masalah besar untuk menang ," ujarnya.

Menurutnya, petugas-petugas parti akan meningkatkan gerak kerja terutama di tiga hari terakhir menjelang hari pengundian, dengan dibantu kelab penyokong PAs dan beliau yakin PAS tidak menghadapi laluan sukar untuk mempertahankan kemenangan pada pilihan raya kecil ini.

Tambahnya lagi, tema kempen PAS iaitu 'Mempertahankan Kemenangan Untuk Rakyat' telah menaikkan semangat seluruh petugas Pakatan Rakyat untuk mencipta kemenangan pada kali ini.

"Walaupun BN membawa slogan 'Mohon Restu Rakyat', tetapi ternyata pengundi-pengundi di sini tidak mudah terpedaya dengan taktik-taktik BN, bagi mereka BN tidak perlu mohon restu rakyat kerana apa yang dilakukan oleh Umno/BN terutama merampas kuasa di Negeri Perak telah mengguris perasaan rakyat Perak," katanya.

Dalam masa yang saMa beliau mengingatkan pertugas-petugas dan penyokong Pakatan Rakyat jangan terlalu yakin dengan kemenangan kerana BN boleh melakukan apa sahaja di saat saat akhir menjelang hari pengundian. - mks. _

Naib presiden PPP sertai PKR - MalaysiaKini

Abdul Rahim Sabri | Apr 4, 09 11:22pm

Naib presiden Parti Progresif Rakyat (PPP), V Nagarajan menyertai PKR bersama 6,000 ahli selepas lapan bahagian dengan 62 cawangan PPP di Kedah dibubarkan.

nagarajan joining pkr 050409Lapan bahagian yang dibubarkan itu ialah Alor Star, Kubang Pasu, Kuala Kedah, Pokok Sena, Kulim, Baling, Sungai Petani dan Merbok.

Perkara itu diumumkan oleh anggota Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPT) PKR, Johari Abdul yang juga ahli Parlimen Sungai Petani malam ini.

Beliau membuat pengumuman itu dalam satu majlis ceramah di Dewan Hock Seng, Sungai Petani, dalam DUN Bukit Selambau.

Nagarajan kemudiannya menyerahkan borang keahlian untuk menyertai PKR kepada Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Nagajaran memberitahu pemberita kemudiannya bahawa hari ini beliau menyerahkan 300 borang keahlian manakala bakinya akan diserahkan selepas pilihanraya kecil Bukit Selambau pada 7 April depan.

ceramah anwar bukit selambau 050409Johari juga mengumumkan kemasukkan ketua Umno cawangan Kampung Jerai, Marzuki Md Akib bersama 51 ahli cawangan tersebut menyertai PKR.

Turut menyertai PKR malam ini ialah pemimpin masyarakat siam di Bukit Selambau, Nao Bai Seong bersama 100 orang masyarakat siam.

Dalam ucapannya, Anwar berkata beliau akan membuat satu lagi pengumuman penting pada 7 April depan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...