Monday, March 29, 2010

Pameran keranda di Muzium Negara 1 April hingga 20 Jun

KUALA LUMPUR 29 Mac – Keranda kayu balak berusia lebih 1,000 tahun yang pernah digunakan oleh masyarakat di Sabah dan keranda Salong yang digunakan oleh masyarakat Sarawak adalah antara tarikan yang disediakan bagi membawa orang ramai ke pameran keranda yang akan berlangsung di Muzium Negara dari 1 April hingga 20 Jun ini.

Selain keranda berusia lebih 1,000 tahun yang bermotifkan kehidupan manusia dan alam semula jadi masyarakat Sabah, 28 buah lagi keranda lama dari pelbagai kaum di Malaysia dan rantau ASEAN iaitu Indonesia, Thailand dan Filipina akan turut dipamerkan.

Ketua Pengarah Jabatan Muzium Negara, Datuk Ibrahim Ismail berkata, pameran keranda itu bertujuan memberi pendedahan buat orang ramai mengenai kepercayaan, adat serta amalan masyarakat lain khususnya dalam upacara pengebumian.

"Kami ingin memberitahu pengunjung mengenai cara-cara pengebumian serta kepercayaan yang diamalkan oleh masyarakat dahulu, di mana perkara seperti ini tidak diketahui oleh masyarakat masa kini,” katanya dalam satu persidangan media mengenai pameran keranda itu di sini hari ini.

Beliau berkata, keranda moden bersalut emas yang digunakan oleh masyarakat Cina yang bernilai hampir setengah juta ringgit akan turut dipamerkan tetapi hanya selama tiga hari mulai 1 April.

Pameran itu dibuka setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang. – Bernama

Pemangku Raja Kelantan diharap ambil tindakan sewajarnya

29/03/2010 9:55pm

KUALA LUMPUR 29 Mac – Persatuan Anak-Anak Kelantan Darul Naim Malaysia (Pakatan), yang mewakili anak-anak Kelantan di perantauan, hari ini berharap agar Pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra mengambil tindakan-tindakan sewajarnya berdasarkan hak dan kuasa baginda berhubung kemelut yang berlaku di negeri itu.

"Kami memohon ampuni perkenan YMM Pemangku Raja Kelantan yang mempunyai kuasa seperti yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Perlembagaan negeri Kelantan supaya memastikan negeri Kelantan berada dalam keadaan harmoni,” kata Presidennya, Datuk Dr. Noordin Ab. Razak dalam satu kenyataan.

Katanya, Pakatan melahirkan kebimbangan berhubung keadaan kesihatan Sultan Kelantan dan keutuhan institusi Kesultanan Kelantan berikutan penyiaran kenyataan-kenyataan yang mengelirukan di media dan Internet.

Sehubungan itu, Dr. Noordin berharap agar Pemangku Raja Kelantan mengambil tindakan sewajarnya termasuklah memastikan kesihatan Sultan Kelantan terjaga dan diberi rawatan sewajarnya oleh doktor-doktor pakar.

"Melantik panel doktor pakar supaya membuat pemeriksaan lanjut ke atas KDYMM Al-Sultan dan membuat laporan tepat mengenai status keadaan KDYMM Al-Sultan supaya kami tidak tertanya-tanya akan keadaan sebenar tahap kesihatan KDYMM Al-Sultan,” katanya.

Sambil melahirkan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada Sultan Kelantan dan Pemangku Raja Kelantan, Dr. Noordin berkata, tindakan tegas oleh Pemangku Raja adalah perlu untuk menegakkan perlembagaan dan undang-undang bagi menghentikan kemelut yang berlaku supaya perlembagaan dan undang-undang Tubuh Negeri Kelantan terus dihormati.

PM: Belum ada rombakan kabinet lagi

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata belum ada keputusdan dibuat behubung rombakan kabinet berikutan keputusan pemilihan parti MCA semalam.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen, Najib berkata tiada ruang masa yang ditetapkan bagi rombakan itu kerana beliau perlu berbincang dengan presiden MCA yang baru, Datuk Seri Chua Soi Lek terlebih dahulu.

“Tiada keputusan lagi. Kami akan menganalisis keputusan itu untuk memahami mesej yang cuba disampaikan oleh perwakilan.”

Ditanya mengenai kedudukan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Kong Cho Ha yang kedua-dua mereka tewas pada pemilihan semalam itu, Najib berkata: “Ia bergantung.”

Beliau juga berharap tidak ada lagi puak-puak dalam MCA dan semua pemimpin akan bersatu semula.

“Ini adalah titik baru bagi MCA jika semua orang mengotakan apa yang dijanjikan mereka. Tetapi kita harus memberi mereka masa untuk melupakan sengketa,” katanya.

Ditanya sama ada skandal seks Chua akan menjadi liabiliti kepada BN, Najib berkata perkara itu belum jelas dan nyata.

“Ada pelbagai pandangan berhubung perkara itu tetapi lebih 900 perwakilan MCA telah memberikan mandat kepada Chua. Justeru beliau mempunyai kekuatan tersendiri yang dihargai oleh perwakilan,” katanya.

Perdana Menteri juga memilih untuk tidak mengulas ketika ditanya berhubung spekulasi bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Mohd Taib akan diletakkan sebagai calon BN pada pilihan raya kecil Hulu Selangor .

“Siapa bagi tau? Beri kami masa. Kita perlu membuat keputusan yang betul dan menjalankan kajian sendiri,” katanya.

Mengulas peletakan jawatan 36 anggota jawatankuasa bahagian Bukit Bendera hari ini, Najib berkata apa yang dilakukan perlu mengikut perlembagaan parti.

Sunday, August 2, 2009

530 orang dibebaskan, 59 masih ditahan

KUALA LUMPUR: Seramai 530 daripada 589 orang yang ditahan semalam kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan perhimpunan haram mansuhkan ISA di ibu negara dibebaskan hari ini.

Antara baki 59 orang yang masih ditahan ialah Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) R.Sivarasa.

Mereka kini ditempatkan di Balai Polis Bukit Jalil untuk menunggu sama ada akan dikenakan perintah reman atau dibebaskan.

Suasana di balai polis itu sedikit kecoh apabila ibu kepada seorang yang ditahan merayu di perkarangan balai itu untuk bertemu dengan anak lelaki dan menantunya yang ditahan dalam insiden semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman dalam sistem pesanan ringkasnya (SMs) kepada media hari ini berkata mereka dibebaskan selepas keterangan mereka selesai diambil.

Katanya kesemua yang ditahan semalam disiasat mengikut Seksyen 43 Kanun Acara Jenayah dan Seksyen 27 (5) Akta Polis. Syahredzam Johan, antara peguam dari Majlis Peguam yang bertindak mewakili mereka yang ditahan, ketika ketika ditemui di balai itu berkata proses menanti pembebasan atau dikenakan tahanan reman mengambil masa kerana ia melibatkan proses dokumentasi yang rumit selain melibatkan jumlah yang ramai ditahan.

Mereka yang ditahan di beberapa lokasi sekitar ibu negara semalam termasuk 44 remaja di bawah umur 18 tahun.

Beberapa kawasan utama di ibu kota menjadi kelam kabut semalam apabila lebih 10,000 penyokong Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) meneruskan perhimpunan dan perarakan haram itu untuk menyerahkan memorandum kepada kepada Yang diPertuan Agong bagi pemansuhan akta itu.

Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Khalid menafikan laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang mendakwa penasihat Undangundang Majlis Gabungan Badan Bukan Kerajaan Pembela Negara (Magaran) Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berjaya menyerahkan memorandum kekalkan ISA di Istana Negara petang semalam.

Menurut Abdul Bari, Mohd Khairul Azam gagal menyerahkan memorandum terbabit kerana tiada pegawai istana yang layak menerima memorandum berkenaan. BERNAMA

Pilihan raya kecil Permatang Pasir bulan Ramadan?

SPR adakan mesyuarat khas pada 10 Ogos tentukan tarikh

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 10 Ogos ini bagi menentukan tarikh pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, di sebalik spekulasi kempen kemungkinan jatuh pada bulan Ramadan.

"Kami dah putuskan untuk mengadakan mesyuarat pada 10 Ogos ini, tarikh mesyuarat juga sudah ditentukan," kata Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi mStar Online hari ini.

SPR mempunyai tempoh 10 hari sejak kekosongan wujud untuk memanggil mesyuarat khas bagi menentukan tarikh pilihan raya kecil yang merangkumi hari keluar notis, penamaan calon, tempoh kempen dan hari pengundian.

Tempoh 10 hari itu berakhir 10 Ogos.

Mengikut Perlembagaan, pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh wujudnya kekosongan.

Oleh itu, SPR mempunyai masa sehingga 29 September untuk mengadakan pilihan raya kecil.

Dalam kes DUN Permatang Pasir, hari kekosongan bermula sehari selepas wakil rakyatnya meninggal dunia pada 31 Julai.

"Kekosongan kerusi ini (Permatang Pasir) dikira wujud bermula 1 Ogos memandangkan 31 Julai (hari ADUN Datuk Mohd. Hamdan Abdul Rahman) meninggal dikira setengah hari," katanya.

Kelmarin, laporan Bernama menyebut SPR dijangka mengumumkan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi pilihan raya kecil Permatang Pasir selewat-lewatnya 10 Ogos ini.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dipetik berkata, pilihan raya kecil itu akan diadakan berikutan kematian penyandang, Hamdan, dan SPR masih menunggu surat makluman kekosongan kerusi DUN Permatang Pasir daripada Speaker DUN Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain.

"Kami jangka surat makluman itu akan diterima selewat-lewatnya Isnin ini (esok) dan selepas itu satu mesyuarat akan diadakan bagi membincangkan soal tarikh hari penamaan dan pengundian bagi pilihan raya kecil DUN berkenaan," katanya.

Hamdan yang mewakili kawasan Permatang Pasir selama tiga penggal merupakan satu-satunya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS di Pulau Pinang.

Beliau meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) kelmarin kerana sakit jantung.

KEMPEN BULAN RAMADAN?

Ketika ditanya sama ada pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir akan diadakan pada bulan Ramadan, di mana umat Islam akan berpuasa, Wan Ahmad enggan mengulas soal itu.

"Perkara itu terserah kepada panel SPR (yang akan bermesyuarat 10 Ogos ini) untuk memutuskan," katanya.

Bagaimanapun jelas beliau, semua pihak perlu memahami dan menerima hakikat bahawa pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh 60 hari mengikut lunas perundangan.

"Jika pilihan raya kecil diadakan pada bulan Ramadan dan bulan puasa, ia satu perkara yang kita tidak dapat elakkan... harus kita terima," katanya.

Bulan Ramadan dijangka bermula 22 Ogos manakala 1 Syawal pula dijangka jatuh pada 21 September.

Jika SPR bermesyuarat pada 10 Ogos bermakna masa adalah terlalu singkat untuk mengadakan pilihan raya kecil sebelum 21 atau 22 Ogos.

Hari penamaan calon hanya boleh diadakan selepas empat hari notis pilihan raya dikeluarkan manakala tempoh minimum kempen pula ialah tujuh hari.

Pada perkiraan minimum ia memerlukan 11 hari iaitu sehari sebelum bermulanya bulan Ramadan.

Pun begitu, jika diadakan secara maraton, pilihan raya kecil 'kilat' masih boleh diadakan pada 21 Ogos ini.

Begitu juga untuk mengadakan penamaan calon dan hari pengundian sebelum 29 September jika 1 Syawal jatuh pada 21 September.

Tempoh itu merupakan hari-hari awal musim perayaan.

Bagaimanapun pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir jika diadakan dalam bulan Ramadan, ia bukan kali pertama dalam sejarah pilihan raya negara ini.

"Pilihan raya kecil DUN Lunas (tahun 2000), misalnya pernah berlangsung semasa bulan puasa," kata Wan Ahmad.

Pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir adalah pilihan raya kecil kelapan sejak berakhirnya pilihan raya umum ke-12 pada Mac 2008.

Monday, July 27, 2009

Marina kecam Kosmo! dedah sejarah peribadi Yasmin

Aktivis popular Datuk Marina Mahathir mengecam keras akhbar Kosmo! kerana mendedahkan latar belakang pengarah terkenal Yasmin Ahmad yang sejak lahir dikenali sebagai Zulkifli.

Menyifatkan akhbar dalam kumpulan Utusan Melayu Bhd itu sebagai "makhluk yang hina", aktivis wanita itu berang dengan media berkenaan yang melaporkan pengarah itu sebagai seorang naib juara bintang RTM pada 1975 dan penyerang bolasepak Melaka pada zaman persekolahannya sewaktu dikenali dengan nama asalnya.

NONE"Malangnya terdapat makhluk hina yang dipanggil Kosmo! yang mengaibkan nama baiknya (Yasmin).

"Remuk perasaan keluarganya," kata Marina.

"Yasmin belum lama disemadikan dan Kosmo! telah mula menerbitkan bermacam-macam sampah mengenainya.

"Bukannya menghormati seseorang yang percaya pada apa yang boleh dicapai oleh Malaysia dan rakyatnya, Kosmo! sebaliknya memilih mencemarkan reputasinya.

"Apakah tidak ada rasa hormat di kalangan editor dan pemberita di sana?"

marina mahathir 220807Anak mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu turut menggesa pembaca membantah pemberitaan itu dan memulaukannya.

"Beginikah caranya kita mengenang mereka yang pernah memberi sumbangannya kepada negara?

"Apakah ini maksudnya Satu Malaysia?" kata Marina di blognya RantingsbyMM hari ini.

Akhbar tabloid harian itu menyifatkan filem-filem iklan Yasmin, selalunya pada musim perayaan, "yang penuh dengan suasana hidup 1Malaysia" - slogan yang yang dipromosikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Yasmin, 51, meninggal dunia lewat malam Sabtu lalu setelah dikejarkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Pakar Damansara petang Khamis lepas akibat diserang angin ahmar ketika di stesen TV3.

Pemergian Yasmin, seorang pengarah yang mengangkat perfileman negara mutakhir ini bersama kontroversinya tersendiri, ditangisi oleh tokoh politik, penggiat seni dan peminatnya.

Filem-filemnya Sepet, Gubra dan Mukhsin cukup terkenal, termasuk di di luar negara dan menggondol beberapa anugerah di beberapa festivel filem antarabangsa seperti di Berlin, San Francisco, Singapura dan Cannes.

Jenazah Yasmin selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya, kira-kira 1 petang semalam.

Sunday, July 26, 2009

Yasmin Ahmad Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Pengarah filem dan iklan terkenal Yasmin Ahmad meninggal dunia kira-kira 11.25 Sabtu malam.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Media Prima Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan yang berada di Hospital Pakar Damansara ketika dihubungi Bernama.

Yasmin, 51, rebah ketika membentangkan kertas kerja di Sri Pentas, ibu pejabat stesen televisyen TV3, pada Khamis dan dikejarkan ke hospital berkenaan.

Beliau dilaporkan mengalami strok dan pendarahan di bahagian otak.

-- BERNAMA

Bekas Naib Presiden MIC S.S. Subramaniam sertai PKR

KUALA LUMPUR 25 Julai — Bekas naib presiden MIC Datuk S.S Subramaniam hari ini menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) .

Keputusan itu dibuat tepat seminggu selepas bekas naib presiden MCA Datuk Chua Jui Meng memutuskan untuk melompat ke parti yang sama.

Semasa mengesahkan perkara itu hari ini, Subramaniam berkata beliau menyertai PKR demi perpaduan kerana parti itu menyatukan semua bangsa di negara ini.

“Saya rasa ini parti untuk masa depan, Saya menyertai parti ini atas kerelaan sendiri,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Subramaniam turut menafikan dakwaan bahawa beliau menyertai PKR kerana ditawarkan kedudukan tertentu dalam parti.

“Saya tidak dijanjikan sebarang jawatan (dalam PKR). Saya menyertainya sebagai anggota biasa,” katanya.

Semasa dalam MIC, Subramaniam beberapa kali menjadi tumpuan kerana beliau banyak kali menentang presiden parti Datuk Seri S. Samy Vellu, menyebabkannya digugurkan daripada jawatan naib presiden pada 1994, untuk memberi laluan kepada pengantinya yang mempunyai nama serupa dengannya iaitu Dr S. Subramaniam.

Beliau merupakan bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan anggota Parlimen Segamat.

— BERNAMA

Sunday, July 19, 2009

Chua Jui Meng umum sertai PKR

Bekas menteri kesihatan, Datuk Chua Jui Meng hari ini mengumumkan keluar dari MCA dan menyertai PKR di di majlis forum anjuran PKR di Sunway.

Sebelum ini, Chua yang juga bekas menteri naib presiden MCA muncul di majlis tersebut bersama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Chua sebelum ini mengumumkan melepaskan jawatan ketua MCA bahagian Bakri Khamis lalu.

Kira-kira 800 hadirin di majlis itu bertepuk tangan ketika Chua dan Anwar melangkah masuk ke dewan pada jam 3.30 petang.

Terdapat kain pemidang yang mengucap tahniah kepada Chua kerana menyertai PKR", yang dipegang hadirin ketika Chua berjalan masuk.

Dalam ucapannya, Chua berkata beliau telah melepaskan jawatan ketua MCA bahagian Bakri untuk menempuh perjalanan baru untuk perubahan.

Katanya, sebab beliau menyertai PKR ialah kerana sistem dua parti ini berdepan dengan ancaman dari Umno.

Menurut Chua, beliau yakin telah membuat keputusan yang betul, untuk menyertai PKR, terutama dalam detik penting dalam sejarah negara.

Menurutnya, kematian Teoh Beng Hock - setiausaha politik exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah, menjadi pendorong penting baginya untuk melompat menyertai pembangkang.

Mayat Teoh ditemui Khamis lalu di atas bumbung bangunan bersebelahan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Shah Alam, selepas disoal siasat semalam oleh SPRM, berhubung dakwaan salahguna wang peruntukan untuk DUN di Selangor.

Chua hadir bersama bekas senator MCA, David Yeoh dan bekas ahli Parlimen Lumut. Kedua-duanya turut mengumumkan menyertai PKR.

Dua hari lalu, Malaysiakini melaporkan bahawa Chua akan melompat menyertai PKR.

Dalam sidang akhbar selepas itu, Chua ditanya mengenai laporan yang menyebut beliau menafikan akan menyertai PKR.

Dalam jawapannya, Chua menafikan berkata demikian tetapi sebaliknya berkata beliau telah disalahlapor.

Ada persamaan

Menurut bekas menteri kesihatan itu, beliau menyertai PKR kerana mempunyai persamaan idealisme dan visi dengan manifesto PKR untuk membawa perubahan di Malaysia.

“Saya sudah keluarkan manifesto saya beserta dengan idealisme dan visi untuk MCA.

“Saya membuat perbandingan manifesto beliau (Anwar) dalam agenda Malaysia dan manifesto PKR. Saya nampak isu-isu ada perkiraan yang sama. Itu mustahak bagi saya. Kalau ada idea-ide yang bercanggah saya tidak akan masuk PKR,” katanya

Beliau juga menafikan beliau kecewa dengan MCA dan menyifatkan perkara tersebut "tidak berbangkit sama sekali".

“Pada pemilihan tahun 2008 saya tewas, (kemudian) saya jemput Datuk Seri Ong Tee Keat ke bahagian saya dan minta beliau menjelaskan kepada masyarakat Tiong Hua, walaupun kami bertanding satu jawatan yang sama, atas nama prisip, maka kita boleh kekal berkawan,” katanya.

Kata Chua, presiden MCA itu, pernah hadir ke bahagiannya sebanyak dua kali selepas beliau kalah dalam permilihan parti tahun lepas.

Menurutnya lagi, beliau mula membuat pertimbangan untuk menyertai PKR sebelum dan selepas pemilihan MCA pada tahun lalu.

“Kemasukannya saya ke dalam PKR adalah tanpa syarat.

“Saya ada idea dan wawasan yang sama dengan PKR. Kalau ada tempat ada platform, tempat itu bermula dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” tambahnya.

Katanya, keputusan untuk menyertai PKR juga dibuat selepas beberapa kali perbincangan dengan Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh.

Friday, July 17, 2009

'Saya akan besarkan anak kami'

Manusia hanya merancang, Tuhan yang menentukan. Jodoh pertemuan dan ajal maut semuanya di tangan Tuhan.

Itulah hakikat pahit yang perlu ditelan oleh Soh Sher Wei, 28, bakal isteri Teoh Beng Hock yang mati secara tragis semalam.

Pasangan itu merancang mendaftarkan perkahwinan mereka hari ini sebelum melangsungkan perkahwinan mereka pada Oktober.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Ean Yong Hian Wah, exco pembangunan kampung baru Selangor, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam selepas disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagaimanapun Soh (foto, baju putih) masih beruntung kerana zuriat mereka berdua masih ada dan bertekad akan melahirkannya, kini berusia dua bulan, lapor laman web China Press hari ini.

Bercakap kepada akhbar itu pagi ini di hospital Kelang - tempat bedah siasat mayat Teoh dijalankan - guru di Semenyih itu berkata tunangnya mengetahui kehamilannya.

Menurut akhbar yang sama, beberapa teman Teoh sukar menerima kemungkinan mendiang membunuh diri kerana, pada pagi Rabu, bekas wartawan itu menghubungi mereka dan mengundang ke majlis persandingannya.

Panggilan itu dibuat beberapa jam sebelum diminta hadir di pejabat SPRM kira-kira 6 petang bagi memberi keterangan sebagai saksi siasatan kes salah guna wang peruntukan DUN -

Teoh, yang berasal dari Alor Gajah, Melaka, bertanya kepada rakan-rakan yang dihubunginya sama ada mereka akan memeriahkan saat-saat manis beliau mengakhiri zaman bujangnya.

Seorang rakannya, yang tidak sempat menjawab panggilan tersebut, dilaporkan berasa kesal atas kesempatan terakhir itu. Rakan itu juga sukar menerima kemungkinan pemuda ini mati membunuh diri.

Sementara itu laman web akhbar Guang Ming Daily hari ini pula melaporkan ibunya Chong Saw Huay, 56, menangis tidak henti-henti sejak menerima berita tragis itu petang semalam.

Setiap kali melihat gambar anaknya, yang terbaring kaku, di dada akhbar, ibunya dilaporkan akan menangis sementara menunggu mayatnya dibawa pulang ke pangkuannya.

Mayat mendiang dijangkan akan disemadikan di Alor Gajah, 11 pagi Isnin ini.

Wanita itu semalam dilaporkan pengsan sewaktu menerima panggilan telefon daripada seorang pembantu exco kanan Selangor, Teresa Kok.

Bercakap kepada akhbar itu di rumahnya hari ini, Chong berkata anaknya itu bersama Soh, berasal dari Batu Pahat, sepatutnya pulang ke Alor Gajah untuk menguruskan majlis perkahwinan mereka yang dirancang 3 Oktober ini - bersempena Pesta Tanglung.

Pasangan juga merancang akan mencuba pakaian pengantin hari ini.

Dewan untuk melangsungkan majlis tersebut dan makanan telah ditempah, Chong dilaporkan berkata lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Guang Ming Daily juga melaporkan bapa mendiang Teoh Liang Fai, 61, sanggup menerima anak yang bakal dilahirkan Soh walaupun hanya mengetahui kehamilan itu hari ini.

Hamil sebelum perkahwinan "perkara biasa, tolong jangan pandang serong," pemandu teksi itu dipetik berkata.

Beliau juga bersedia meletakkan nama Soh sebagai "isteri" di iklan belasungkawa di akhbar.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...