Sunday, April 4, 2010

Sub-kontraktor hospital Shah Alam tuntut hutang RM10j

Sub-kontraktor pembinaan Hospital Shah Alam, GMH Healthcare, telah menghantar surat tuntutan hutang pinjaman berjumlah RM10 juta, kepada kontraktor turnkey pembinaan hospital bernilai RM482 juta itu - Sunshine Fleet.

Sehubungan itu, Sunshine Fleet milik adik Sultan Selangor - Tengku Putri Arafiah Sultan Abd Aziz Shah - berdepan dengan kemungkinan diisytihar muflis kerana didakwa gagal membayar balik hutang tersebut.

Perkembangan terbaru ini mungkin mengakibatkan kelewatan menyiapkan pembinaan hospital tersebut.

GMH telah mengeluarkan notis tuntutan itu, bertarikh 31 Mac mengikut Seksyen 218 Akta Syarikat 1965, kepada Sunshine Fleet milik adik Sultan Selangor, Tengku Putri Arafiah Sultan Abd Aziz Shah.

Seksyen tersebut menyebut bahawa mahamah boleh mengeluarkan perintah penggulungan sekiranya syarikat terbabit gagal membayar hutangnya. Jika perintah itu dikeluarkan, aset syarikat berkenaan akan dirampas dan digunakan untuk membayar hutangnya,

Dalam surat tersebut yang diserahkan kepada Sunshine Fleet Khamis lalu, GMH menuntut syarikat Tengku Arafiah - yang merupakan kontraktor utama projek pembinaan Hospital Shah Alam - membayar jumlah dihutang berkenaan.

Sunshine Fleet dimiliki oleh Tengku Arafiah (70%), anak lelakinya Putera Azamuddin Shah Abdul Aziz (10%), dan bapa saudaranya, Tengku Abdul Samad Shah Sultan Salahuddin Abdul Aziz.

Selepas memenangi kontrak tersebut pada 2007, projek itu disub-kontrak oleh Sunshine Fleet kepada syarikat pembinaan Isyoda. Bagaimanapun Isyoda gagal menyiapkan projek tersebut selepas ia dinyah-senarai dari Bursa Malaysia, dan kini dalam proses diisytiharan muflis.

Projek tersebut kemudiannya disub-kontrak kepada GMH.


GMH mendakwa, selepas ia mengambil alih projek tersebut tahun lalu daripada Isyoda, ia telah membayar RM10 juta bon dengan Jabatan Kerja Raya bagi pihak Sunshine Fleet.

Menurut prosedurnya, bon tersebut perlu dibayar oleh kontraktor turnkey Sunshine Fleet selaku pemegang kontrak utama.

Sunshine Fleet mempunyai tempoh 21 hari dari tarikh menerima surat tersebut, untuk membayar balik RM10 juta atau berdepan dengan tindakan selanjutnya.

Mafrel bidas 'sogokan' pilihan raya

Badan pemantau pilihan raya, Malaysian for Free and Fair Election (Mafrel) membidas tindakan kerajaan menyogok pengundi Hulu Selangor dengan limpahan projek perumahan dan sekolah.

Pengerusi Mafrel, Syed Ibrahim Syed Noh berkata Umno-BN sekali lagi menunjukkan ia tidak menghormati proses pilihan raya demokratik, dan menggesa Suruhanjaya Pilihanraya bertindak tegas terhadap parti itu.

"Ini satu jenis kempen dan kalau berbalik kepada peraturan pilihan raya dia merupakan satu kesalahan peraturan pilihanraya.

“Jadi seharusnya pihak SPR memberikan amaran dan kemudian mungkin mengambil tindakan supaya mengeluarkan arahan supaya tidak ada berlaku apa-apa kempen sekarang sehinggalah apabila hari penamaan calon," katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut Mafrel, pihak kerajaan mungkin mendakwa apa yang dilakukan mereka itu dalam rangka menjalankan tanggungjawab sebagai penjawat jawatan kerajaan tetapi hakikatnya ia jelas berunsurkan kempen.

Kempen pilihanraya kecil Hulu Selangor sepatutnya belum boleh dimulakan selagi proses penamaan calon pada 17 April ini belum berlansung.

Namun, semalam Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa Hulu Selangor akan mendapat empat sekolah baru, dan projek pembinaan banjir bernilai RM2 juta ringgit.

Muhyiddin juga berkata Kementerian Pendidikan sedang mengenalpasti tapak sesuai untuk membina sebuah sekolah aliran Cina.

Hari ini pula Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan projek perumahan baru untuk warga Felda di Gugusan Sungai Dusun.

Projek bernilai RM32 juta ringgit ini membabitkan 2,50 unit, setiap satunya bernilai antara RM42,000 dan RM75,000 ringgit.

Saturday, April 3, 2010

Dua Beranak Meninggal Dunia Akibat H1N1 Di Melaka, Kata Liow

KUALA KUBU BHARU, 3 April (Bernama) -- Seorang ibu dan anaknya yang sarat mengandung adalah dua mangsa terbaru yang meninggal dunia akibat jangkitan Influenza A (H1N1) di negara ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata kedua-dua wanita yang disahkan positif H1N1 itu meninggal dunia masing-masing pada Rabu dan semalam di Hospital Melaka.

Bagaimanapun, Liow memberitahu pemberita bahawa keadaan jangkitan H1N1 di negara ini pada keseluruhannya semakin baik.

"Saya nak yakinkan orang ramai keadaan semakin pulih. Kementerian Kesihatan lebih tahu situasi dan faham keadaan lebih baik. Sekiranya ada gelombang kedua pihak kementerian akan umum," katanya di sini.

Mengulas mengenai kedua-dua kes tersebut, Liow berkata dalam kes pertama wanita berusia 54 tahun itu meninggal dunia akibat komplikasi diabetes selepas dimasukkan ke hospital pada Selasa lepas dengan simptom Penyakit Serupa Influenza (ILI).

Wanita itu telah diberikan rawatan Tamiflu bagaimanapun masalah kencing manis yang tidak terkawal menyebabkan komplikasi 'severe metabolic acidosis' akibat kegagalan buah pinggang, jangkitan kuman lain dan kencing manis, katanya.

Liow berkata anak wanita itu pula yang berusia 29 tahun dan sedang mengandung 36 minggu dimasukkan ke hospital dengan tanda kelemasan bayi dalam kandungan.

"Pada masa yang sama, wanita itu turut menunjukkan gejala ILI dan disahkan positif H1N1. Rawatan Tamiflu dimulakan bagi menyelamatkan bayi dan pembedahan dilakukan pada hari yang sama.

"Selepas pembedahan, wanita itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) tetapi mengalami komplikasi dan meninggal dunia semalam akibat 'Adult Respiratory Distress Syndrome'," katanya.

Beliau berkata ujian terhadap bayi wanita itu bagaimanapun negatif untuk H1N1 dan kini berada dalam keadaan stabil.

Mengulas mengenai jangkitan itu pada keseluruhannya, Liow berkata sehingga pukul 6 petang semalam seramai 26 orang telah disahkan positif H1N1, dan sebanyak 375 kes ILI sedang dirawat di hospital di seluruh negara.

Liow berkata orang ramai yang berisiko seperti wanita hamil, penghidap penyakit kronik boleh mendapatkan suntikan vaksin H1N1 di 104 fasiliti kesihatan.

Orang ramai boleh layari laman web www.moh.gov.my atau http://h1n1.moh.gov.my untuk maklumat lanjut.

Sekolah baru: Kera di hutan disusukan...

Pengumuman projek politik Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjanjikan empat sekolah baru bagi Hulu Selangor, RM2 juta untuk mengatasi masalah banjir di Kampung Sentosa di Batang Kali serta meluluskan permohonan RM100,000 bagi Masjid Al-Sajdin di kampung yang sama, semalam mendatangkan padah.

Beliau dibidas oleh pelbagai pihak termasuk rakyat yang beranggapan BN cuba menggula-gulakan masyarakat di Hulu Selangor.

PAS dalam satu kenyataan berkata sebagai timbalan perdana menteri dan bukannya menteri kewangan, Muhyiddin berkuasa dengan sewenang-wenangnya mencurahkan peruntukan itu tanpa merrujuk kepada kementerian bertanggungjawab.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Ketua Penerangan Pas, Idris Ahmad.

Menurut beliau, dalam kesibukan BN cuba menjadi juara memperjuangkan masalah rakyat di Hulu Selangor, Muhyiddin telah dimalukan dengan pendedahan laporan dari Bernama.

Laporan itu memaparkan kisah empat guru di sekolah rendah Long Latin, Ulu Baram, Sarawak, termasuk sepasang guru suami isteri yang terpaksa tidur dalam sebuah bilik sempit yang daif sejak tiga tahun lalu.

Laporan Be
rnama itu disiarkan oleh beberapa media arus perdana hari ini.

“Lebih menyedihkan lagi, bilik kediaman guru-guru yang cekal ini adalah di bawah bilik darjah tempat mereka mengajar. Tidak dapat dibayangkan penderitaan yang mereka alami lantaran layanan 'double standard' menteri pelajaran yang lebih ghairah mengumumkan projek-projek meganya di Hulu Selangor.

“Jika dibandingkan dengan rumah sebahagian guru-guru yang mengajar dan tinggal di Putrajaya, saiz 20 x 10 kaki itu, bersamaan dengan ruang tempat letak kereta di rumah mereka sahaja. Memang mewah guru di Putrajaya kerana kerajaan begitu menjaga imej sekolah di Putrajaya berbanding Ulu Baram,” katanya.

Menurut Idris, pendedahan itu amat memalukan kerana guru-guru berkenaan mengajar di kawasan parlimen BN, yang diwakili oleh Datuk Jacob Dungau Sagan (kiri) yang juga adalah timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri.

“Apakah Muhyiddin mahu tunggu sampai ahli parlimen Baram ini meninggal dunia baru hendak umumkan peruntukan bagi pembinaan rumah baru bagi guru-guru malang ini? Sewajar sebagai ahli parlimen bertaraf timbalan menteri, kawasan Jacob mendapat peruntukan yang lebih baik sekarang,” katanya.

Idris (kanan) berkata PAS melihat, pendedahan Bernama ini hanyalah sebahagian kecil daripada kudis-kudis yang ada dalam pengurusan menteri pelajaran dan kerajaan BN.

Justeru, beliau berharap rakyat, khususnya di Hulu Selangor tidak tertipu dengan taktik projek politik itu kerana BN akan menabur sebanyak mana janji dan peruntukan yang mampu semata-mata untuk merampas semula kerusi Hulu Selangor.

Kerusi Hulu Selangor kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad dari PKR pada 25 Mac lalu akibat barah otak.

Suruhanjaya Pilihan Raya, semalam mengumumkan pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor ditetapkan pada Ahad, 25 April, manakala penamaan calon pula ialah pada 17 April.

Tiada kempen tapi empat sekolah baru dijanjikan

Meskipun Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata lawatannya ke Hulu Selangor hari ini bukan untuk berkempen, namun kawasan parlimen itu dijanjikan empat buah sekolah baru.

Berucap kepada 500 guru dari Hulu selangor yang dihimpunkan di Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor, Muhyiddin mengumumkan sebuah sekolah menengah dan tiga sekolah rendah akan dibina.

Dalam ucapan 30 minitnya itu, Muhyiddin, yang juga menteri pelajaran berkata guru berperanan membawa tahap pendidikan negara ke tahap antarabangsa.

Beliau juga menggunakan sessi soal jawab selama 15 minit untuk mengulangi janji kerajaan mengkaji keperluan guru dan pelajar.

Bagaimanapun sebelum mengakhiri ucapannya, timbalan perdana menteri mengingatakan bahawa tarikh pilihan raya kecil Hulu Selangor telah diumumkan.

"Saya tidak akan berkempen hari ini tetapi saya akan datang kembali untuk berkempen pada masa yang lain.

"17 April adalah hari penamaan calon manakala 25 April pula adalah hari mengundi. Tandakan hari-hari dalam diari anda dan catatkan juga undilah Barisan Nasional," katanya sambil berseloroh.

Selesai majlis itu, Muhyiddin bergegas ke sebuah masjid di Kampung Sentosa di batang Kali.

Selepas menunaikan solat asar, beliau mengumumkan peruntukan RM2 juta untuk mengatasi masalah banjir di kampung berkenaan.

Sehubungan itu, timbalan presiden Umno mengarahkan Jabatan Kerja Raya menyempurnakan projek berkenaan dengan kadar segera selaras dengan prinsip rakyat didahulukan.

Dalam pada itu, beliau turut meluluskan permohonan Masjid Al-Sajdin di Kampung Sentosa untuk mendapatkan van jenazah dan tempat wuduk jemaah perempuan yang menelan belanja RM100,000.

Beliau bagaimanapun enggan berjumpa dengan wartawan.

Esok, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak dijangka memulakan lawatannya pula untuk bermesra dan berjumpa dengan rakyat.

Palanivel dakwa dia calon tunggal MIC

Timbalan Presiden MIC Datuk G Palanivel mengesahkan hanya namanya dicalonkan parti itu bagi pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor untuk pertimbangan perdana menteri.

"Presiden MIC hanya pilih saya sebagai calon. Ini kerana saya adalah ketua bahagian (MIC Hulu Selangor), Pengerusi MIC Selangor dan Timbalan Presiden. Kalau tidak hanya satu nama, calon lain mari akan timbul persaingan. Itu akan menggegarkan cawangan MIC di seluruh negara," katanya kepada Bernama di Batang Kali di Kuala Kibu Bahru, petang semalam.

Difahamkan MIC sebelum ini menyenarai beberapa nama kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Razak sebagai calon pilihan raya kecil itu yang ditetapkan pada 25 April ini.

Palanivel, bekas wakil rakyat kawasan itu selama empat penggal sejak 1990 sebelum tewas pada pilihan raya umum 8 Mac 2008, disebut-sebut mewakili BN di kawasan itu walaupun ada desakan supaya diketengahkan calon daripada Umno.

Ditanya adakah beliau bersedia memberikan laluan kepada calon Umno, pemimpin nombor dua MIC itu mengakui ada usaha melobi calon lain, namun perkara itu terpulang kepada keputusan Perdana Menteri.

Pilihan raya kecil parlimen itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zainal Abidin Ahmad akibat barah otak pada 25 Mac lalu.

Penamaan calon ditetapkan 17 April ini.

Friday, April 2, 2010

Hulu S'gor: 25 April undi, 17 April penamaan calon

Suruhanjaya Pilihan Raya sebentar tadi mengumumkan pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor ditetapkan pada Ahad, 25 April.

Menurut pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, penamaan calon pula ditetapkan pada Sabtu, 17 April.

Beliau membuat pengumuman itu selepas mengadakan mesyuarat selama dua jam di pejabatnya di Putrajaya.

Katanya, SPR menerima pemakluman kekosongan kerusi Hulu Selangor pada 29 Mac oleh speaker Dewan Rakyat.

Writ pilihan raya akan dikeluarkan hari ini - 2 April dan notisnya pula akan dikeluarkan tiga hari selepas itu.

SPR juga mengumumkan pelatinkan pegawai daerah Hulu Selangor, Nor Hisham Ahmad Dahalan sebagai pegawai pengurus pilihan raya dan tujuh orang pembantunya.

Abdul Aziz berkata, Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan telah mensyaratkan supaya kekosongan kerusi yang berlaku perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan.

Katanya, Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Pejabat Daerah Hulu Selangor akan digunakan sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi sementara pusat mengundi akan melibatkan 46 buah sekolah dan sebuah dewan orang ramai dengan 146 saluran mengundi.

Kawasan pilihan raya parlimen Hulu Selangor itu mempunyai 64,500 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 63,701 pengundi biasa dan 799 pengundi pos.

Katanya 32,380 pengundi terdiri daripada pengundi lelaki manakala 32,120 adalah wanita.

Daripada jumlah tersebut, Abdul Aziz berkata kaum Melayu merupakan pengundi majoriti dengan 34,020 pengundi atau 52.7 peratus manakala kaum Cina dan India masing-masing mencatatkan bilangan 16,964 atau 26.3 peratus dan 12,453 atau 19.3 peratus.

Mengenai undi pos, beliau berkata ia mungkin diadakan dua hari sebelum hari mengundi dan proses pengeluaran dan pengiraan undi pos akan dilakukan di Pejabat Daerah Hulu Selangor.

Beliau juga berkata SPR akan menubuhkan enam pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) mengikut Seksyen 27B AKta Kesalahan Pilihan Raya 1954 untuk memantau dan mengawal aktiviti calon sepanjang tempoh berkempen dari hari penamaan calon sehingga tamat hari pengundian.

Kerusi Hulu Selangor kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac lalu akibat barah otak.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, Zainal membuat kejutan dengan merampas kerusi selamat BN di Hulu Selangor daripada penyandang Datuk G.Palanivel yang juga merupakan Timbalan Presiden MIC, dengan majoriti tipis 198 undi.

Kematian Zainal Abidin dilihat ramai penganalisis memburukkan lagi keadaan di PKR yang baru-baru menghadapi masalah apabila tiga ahli parlimennya berpaling tadah manakala seorang lagi dipecat.

Bagaimanapun, kekosongan kerusi Hulu Selangor juga bukan berita gempira bagi Barisan Nasional yang menghadapi dilema untuk mencari calon yang sesuai.

Sejak kematian bekas timbalan menteri besar Selangor itu, Umno berusaha keras untuk melobi kerusi itu yang secara tradisinya diserahkan kepada sekutunya, MIC.

Umno hantar memo pada PM tuntut kerusi

Umno bahagian Hulu Selangor telah menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mendesak supaya kerusi parlimen kawasan itu dikembalikan kepada Umno.

Memorandum tersebut telah diserahkan kepada Najib yang juga presiden Umno dan pengerusi BN pada 30 Mac lalu.

Ia diserahkan oleh naib ketua Umno bahagian tersebut, Datuk Adnan Buyong.

Ketika dihubungi, Adnan mengesahkan perkara itu dan berkata beliau telah menyerahkan memorandum melalui seorang pegawai perdana menteri.

Katanya, ia merupakan memorandum bersama dari 54 pengerusi jawatankuasa keselamatan dan kemajuan kampung persekutuan (JKKP) di Hulu Selangor, yang antaranya ketua Umno cawangan.

"Dalam memorandum itu, kita menyuarakan tentang sejarah kerusi tersebut, perasaan dan harapan (akar umbi) supaya kerusi itu dikembalikan kepada Umno," katanya.

Penghantaran memorandum tersebut dilihat sebagai langkah serius dan bersungguh-sungguh Umno bahagian untuk mendapatkan kembali kerusi tersebut yang kini ditandingi oleh calon MIC.

Kerusi parlimen itu kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad, 71, akibat barah otak Khamis lalu.

Zainal Abidin memenangi kerusi tersebut dalam pilihan raya umum 2008 selepas menewaskan calon BN dari MIC, Datuk G Palanivel.

Parlimen Hulu Selangor mempunyai 63,539 pengundi dengan 53.9 peratus Melayu; Cina (26.7 peratus) dan India (19 peratus).

Kesemua tiga kerusi DUN dalam parlimen Hulu Selangor - Kuala Kubu Bharu (MCA), Batang Kali (Umno) dan Hulu Bernam (Umno) dikuasai oleh BN.

Sementara itu, ketua Umno cawangan Seri Keledang Mokhtar Hassan berkata Adnan juga telah mengadakan pertemuan selama dua jam dengan 50 pengerusi JKKP di Hulu Selangor. Empat pengerusi JKKP tidak hadir dalam pertemuan di Bukit Beruntung itu.

"Dalam memorandum tersebut kami meminta agar Datuk Seri Najib (Tun Razak) meletakkan calon Umno di situ. Kesemua pengerusi JKKP telah menandatangani memorandum tersebut," katanya dihubungi Malaysiakini.

Ditanya sama ada memorandum tersebut mencadangkan calon tertentu dipilih bertanding dalam pilihan raya tersebut, Mokhtar berkata, mereka tidak menyatakannya.

Sebaliknya Mokhtar berkata mereka berbisik sesama mereka mengenai calon yang sesuai, antaranya bekas menteri besar Tan Sri Muhammad Muhd Taib; ketua Wanita bahagian, Rosni Sahar dan setiausaha Umno bahagian, Nazri Dahlan.

Dalam perkembangan berkaitan tinjauan Malaysiakini semalam di Hulu Selangor mendapati terdapat kain rentang yang menyokong agar Muhammad yang juga bekas menteri kabinet, dicalonkan bertanding di parlimen tersebut.

Kain rentang itu dinaikkan di persimpangan jalan masuk ke Kampung Sungai Buaya dalam DUN Batang Kali.

Menurut seorang peniaga di situ, beliau tidak mengetahui pihak mana yang menggantung kain rentang tersebut dan hanya menyedarinya tengahari semalam.

Kain rentang yang sama juga turut ditemui digantung di jalan utama Kuala Kubu Bharu menuju ke Rawang.

Chew tetap bertahan meskipun di hujung tanduk

Di sebalik asakan menuntut beliau mengotakan janjinya untuk melepaskan jawatan Ketua Wanita MCA sekiranya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek memenangi pemilihan presiden parti itu, Datin Paduka Chew Mei Fun enggan berbuat demikian.

"Saya telah menyatakan selepas keputusan pemilihan diumumkan bahawa 'pendirian saya tidak berubah'. Saya telah nyatakan pendirian saya itu dengan jelas.

"Mengen
ai bila dan di mana saya patut mengumumkan keputusan saya, saya berpandangan bahawa saya tidak perlu mengikut jadual sesiapa," katanya dalam satu kenyataan.

Chew pada pemilihan parti itu Ahad lalu adalah penyokong kuat bekas presiden Tan Sri Ong Ka Ting.

Sejak kebelakangan ini, penentangnya mula menghambur pelbagai sms, panggilan telefon dan email supaya memaksanya melepaskan jawatannya.

Terbaru, sekumpulan penentangnya menggunakan Facebook bagi membuat tuntutan berkenaan.

Kumpulan itu yang mempunyai lebih 2000 peminat memaparkan gambar kartun Ketua Wanita itu memakai apron sambil memegang sepinggan 'Meehon' dengan kata-kata “Bantu Chew untuk menggoreng dirinya”.

Kata-ka
ta sindiran itu dalam bahasa Cina mempunyai sebutan yang sama dengan nama Chew.

Chew sekembalinya dari tugasan rasmi di Bangkok sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, menegaskan pendirian yang dibuatnya sebelum keputusan pemilihan parti Ahad lalu tidak berubah.

Katanya, beliau akan membuat satu kenyataan rasmi selepas mesyuarat pertama jawatankuasa pusat sayap pada Khamis ini.

Ketua Wanita itu dilaporkan oleh Bernama sebagai berkata walaupun keputusan yang akan diumum beliau bukan perkara besar, beliau masih perlu memastikan langkah-langkah yang sepatutnya telah diambil.

"Sebagai Ketua Wanita saya memikul banyak sokongan dan harapan. Mereka mempunyai hubungan yang rapat dengan saya dan kami berkongsi matlamat yang sama.

“Justeru saya berasa perlu untuk memberikan mereka ruang bagi meluahkan pandangan sebelum saya mengumumkan keputusan saya," katanya.

"Saya tidak akan mengelak. Saya akan bertemu dengan banyak pihak yang telah meminta untuk berjumpa dengan saya. Sebaik sahaja mereka telah menyatakan pandangan mereka, saya akan jelaskan kepada mereka mengenai keputusan yang telah saya buat dan pendirian saya," katanya.

Chew berkata beliau juga telah menerima banyak khidmat pesanan ringkas (SMS), emel dan panggilan telefon memujuknya agar kekal dengan jawatan itu.

"Saya berharap apabila saya membuat kenyataan selaras dengan hasrat awal saya, hanya gelombang kecil akan tercetus dan pada masa yang sama tidak menyebabkan perpecahan dalam parti," katanya.

Din Beramboi Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR: Pelawak dan penyampai radio popular Din Beramboi atau nama sebenar Mior Ahmad Fuad Mior Badri, 44, disahkan meninggal dunia sekitar pukul 12.35 malam tadi di Hospital Selayang.

Kematian Allahyarham disahkan oleh Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani yang dihubungi oleh mStar Online.

Ketika diminta untuk mengulas mengenai berita sedih itu, Nizam bagaimanapun masih belum bersedia memberikan sebarang komen kerana masih terkejut. Pihak keluarga dan rakan terdekat Allahyarham juga gagal dihubungi.

Din yang dimasukkan ke Wad Rawatan Rapi (ICU) kerana mengidap Dengue Shock Syndrome sudah berada dalam keadaan kritikal sejak petang semalam. Allahyarham dimasukkan ke hospital pada petang Isnin lalu selepas mengalami demam yang mempunyai tanda-tanda denggi.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...