Wednesday, April 14, 2010

CD rampas kuasa: Kekanda Sultan buat laporan polis

Kekanda Sultan Kelantan, Tengku Merjan Tengku Yahya Petra hari ini membuat laporan polis berhubung satu kandungan cekera padat (CD) yang didakwa mengandungi cubaan rampasan kuasa terhadap kedudukan dan jawatan Sultan Kelantan Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra.

Tengku Merjan membuat laporan itu di Ibupejabat Polis Daerah Ampang Jaya, Kuala Lumpur kira-kira jam 2.30 petang.

Antara lain, Tengku Merjan dalam laporannya menyatakan beliau telah mendapat satu salinan CD perbincangan tertutup antara pengelola istana Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad dan peguam Datuk Sukri Mohamed yang menunjukkan terdapat satu perancangan untuk menghasut, mengugat serta mencampuri urusan istana Kelantan.

Tengku Merjan dalam kenyataannya berkata perjumpaan sulit dan tertutup antara Halim dan Sukri di sebuah hotel di Kota Bharu adalah berniat jahat dengan tujuan menghasut wartawan dan masyarakat untuk menghina sultan Kelantan.

Mereka katanya telah membocorkan maklumat sulit mengenai kesihatan sultan Kelantan kepada pihak ketiga tanpa kebenaran empunya diri dengan tujuan menjatuhkan maruah dan kredebiliti sultan.

Tengku Merjan berkata mereka juga telah memberi fakta yang salah mengenai
kesihatan sultan Kelantan dan mencampuri urusan peribadi Tuanku dengan membuat kenyataan yang boleh mempengaruhi masyarakat berhubung penceraian sultan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang ACP Abdul Jalil Hassan ketika ditemui mengesahkan menerima laporan tersebut.

Katanya, beliau akan menghantar laporan itu kepada IPD Kota Baharu kerana kes itu berlaku di Kota Bharu.

- Bernama

Sibu: DAP wakili Pakatan Rakyat

Pakatan Rakyat akan diwakili oleh calon DAP pada pilihan raya kecil kawasan parlimen Sibu yang bakal diadakan, kata ketua umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, satu mesyuarat khas akan diadakan dengan barisan pemimpin DAP kawasan tersebut pada 18 April untuk membincangkan rangka kerjasama dengan PAS dan PKR bagi memenangi kerusi berkenaan.

"Kita akan letakkan hanya satu calon daripada DAP untuk tunjukkan muafakat kita," katanya kepada pemberita di pejabat ketua pembangkang di parlimen hari ini.

Beliau juga menepis tanggapan bahawa berlakunya 'pertengkaran' di kalangan pemimpin DAP dan PKR di Sarawak.

"Tidak ada pertengkaran, mereka hanya bertukar pandangan secara secara kekeluargaan. Cuma bezanya bertukar pandangan itu secara terbuka di media. Kita sudah nasihatkan untuk bertukar pandangan dalam mesyuarat.

"Saya mahu yakinkan rakan-rakan kita, dalam kes ini DAP di Sarawak akan tegas, semua pemimpin yang mewakili PKR, saya percaya dalam semangat persahabatan kita juga, akan sokong calon DAP.

"Tidak ada kompromi dalam memastikan disiplin yang efektif untuk meamastikan kemenangan selesa untuk calon kita," katanya dalam sidang media yang turut dihadiri presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang dan penasihat DAP Lim Kit Siang.

Tambahnya lagi, Pakatan bagaimanapun belum menetapkan calon untuk kerusi berkenaan memandangkan tarikh pemilihan itu juga masih belum ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Mungkin (SPR) akan tunda (pilihan raya) sehingga dua bulan," katanya.

Kerusi parlimen Sibu kosong berikutan kematian Datuk Robert Lau yang juga adalah timbalan menteri pengangkutan pada 9 April lalu, akibat barah.

Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia dijadualkan bermesyuarat pada Jumaat ini bagi menentukan tarikh pilihan raya kecil dan juga penamaan calon.

Lau, 68, dari SUPP memenangi kerusi tersebut pada pilihan raya umum 2008 dengan majoriti 3,235 undi. Beliau menewaskan calon DAP Wong Ho Leng dan calon PKR Lim Chin Chuang.

Dia mendapat 19,138 undi manakala Wong mendapat 15,903 undi dan Lim (812).

Lau mewakili parlimen Sibu sejak 1990.

Dalam pilihan raya umum 2008, parlimen Sibu mempunyai 53,679 pengundi, dengan majoriti kaum Cina (60 peratus), Melanau (20 peratus), Iban (18 peratus) dan Orang Ulu (1.1 peratus).

Keluarga Lau memiliki kumpulan KTS - sebuah konglomerat yang terbabit dalam industri pembalakan dan media.

Kumpulan KTS memiliki beberapa akhbar termasuk Borneo Post dan Oriental Daily News.

Thursday, April 8, 2010

MIC: Palanivel calon tunggal kami

Pemimpin MIC menolak dakwaan kononnya timbalan presiden G Palanivel bukan calon tunggal parti itu yang dikemukakan kepada pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Razak untuk bertanding kerusi parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini.

Penafian itu dibuat ketika pelbagai khabar angin timbul yang Palanivel (kiri) akan digugurkan kerana masalah dalaman dan akan digantikan oleh calon lain dari MIC dan mungkin juga daripada Umno.

Spekulasi itu semakin panas apabila Najib ketika ucapannya semalam di konvensyen BN mengesahkan BN akan mengemukakan calon dari MIC tetapi tidak mendedahkan namanya.

BN dijadualkan menamakan calon mereka pada 15 April ini dan lobi-melobi dijangka berterusan apabila Najib ke luar negara hujung minggu ini.

Palanivel yang menjadi ahli parlimen Hulu Selangor selama empat penggal sejak 1990 tetapi ditumbangkan dengan majoriti tipis pada pilihan raya umum 2008 berharap dapat kembali ke Dewan Rakyat.

Ke
tika dihubungi, naib presiden MIC, Datuk Dr S Subramaniam (kanan) mengesahkan Palanivel adalah calon tunggal parti itu.

Beliau juga menolak khabar angin bahawa pencalonan Palanivel menghadapi masalah kerana beliau akan menuntut jawatan kabinet jika menang kelak.

"Memenangi pilihan raya kecil itu adalah keutamaan kami,” kata Subramaniam, yang dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia sejak tahun 2008 kerana beliau adalah pemimpin tertinggi MIC yang menang pada pilihan raya umum lalu.

Seorang lagi naib presiden MIC, Datuk M Saravanan juga tidak mahu melayan soalan jika ada tuntutan supaya Palanivel digugurkan.

“Tidak ada 'jika' dalam politik,” tegas Saravanan.

Saravanan, yang juga adalah timbalan menteri wilayah persekutuan berkata masyarakat India di Hulu Selangor berdiri teguh di belakang Palanivel.

Yu ketua baru wanita MCA

Datuk Yu Chok Tow dilantik sebagai ketua baru wanita MCA bagi menggantikan Datin Paduka Chew Mei Fun yang meletakkan jawatan hari ini.

Beliau sebelum ini adalah timbalan ketua pergerakan itu.

Manakala Naib Presiden, Tan Ah Eng pula dijadikan timbalan ketua yang baru.

Chew melepaskan semua jawatannya itu dengan alasan mempertahankan keseimbangan gender serta hak dan maruah wanita di negara ini.

Pada masa sama, Chew juga meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Wanita MCA bahagian Selangor dan Pengerusi Skuad Bantuan Bencana MCA dan perletakan jawatan tersebut berkuatkuasa hari ini.

Katanya, beliau juga akan menyerahkan surat perletakan jawatannya sebagai timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat serta senator kepada pejabat Perdana Menteri, Datuk Najib Razak esok.

Jelasnya, beliau dilantik sebagai timbalan menteri dan senator kerana beliau merupakan sayap wanita MCA, oleh itu, beliau patut berundur daripada jawatan kementerian apabila memutuskan meletakkan jawatan dalam parti.

Surat perletakkan jawatan dalam kementerian akan berkuatkuasa pada 29 April ini atau sekiranya Kabinet dirombak sebelum tarikh berkenaan.

Chew juga berkata beliau akan mula percutiannya esok sehingga 28 April ini.

Umno Hulu Bernam terima MIC tapi tolak Palanivel

Umno bahagian Hulu Bernam menerima keputusan pucuk pimpinan untuk mengekalkan MIC bertanding dalam pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor tetapi menolak Datuk G Palanivel sebagai calonnya.

"Inilah merupakan pendirian bersama pemimpin Umno cawangan dalam bahagian kami," kata ketua cawangan Umno Seri Keledang, Mokhtar Hassan hari ini.

Hulu Bernam merupakan satu daripada tiga DUN dalam parlimen Hulu Selangor. Dua lagi ialah Kuala Kubu Baru dan Batang Kali.

DUN Hulu Bernam dan Batang Kali diwakili oleh Umno, manakala DUN Kuala Kubu Baru diwakili oleh MCA.

Mokhtar yang juga pengerusi jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung persekutuan (JKKKP) berkata selain Palanivel, antara calon MIC yang boleh diketengahkan ialah ketua pemuda MIC bahagian, V Mugilan dan timbalan ketua bahagian, V Chandran.

Palanivel (kiri) adalah ketua MIC bahagian Hulu Selangor.

Mokhtar berkata, Mugilan dan Chandran dianggap sebagai pemimpin yang bersih dan tidak menghadapi apa-apa masalah di segi pentadbiran.

Sebelum ini, Mokhtar adalah antara 54 pengerusi JKKKP di Hulu Selangor yang menandatangani memorandum yang dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mendesak supaya kerusi parlimen di situ dipulangkan kepada Umno.

Ditanya sama ada Umno kecewa dengan keputusan pucuk pimpinan mengekalkan calon MIC, beliau berkata: "Kecewa memang kecewa, tapi apa nak buat. PM dah cakap kecewa atau tidak, kita kena sokong..."

"Mereka (akar umbi) boleh menerima MIC tetapi bukan Datuk Palanivel sebagai calonnya. Yang lain mungkin OK," tambahnya.

Hulu Selangor pernah diwakili oleh Datuk G Palanivel (bawah) daripada MIC selama empat penggal tetapi dalam pilihan raya umum lalu beliau kalah kepada Datuk Zainal Abidin Ahmad daripada PKR.

Zainal Abidin yang meninggal dunia pada 25 Mac lalu akibat barah otak menang tipis dengan menumbangkan Palanivel yang juga merupakan timbalan presiden MIC, dengan majoriti tipis 198 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu pada 17 April ini manakala pengundian pada 25 April.

Harris: 'Ada niat jahat siasat nahas udara 1976'

Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Harris Salleh (bawah, kiri) mempertikaikan keperluan membangkitkan semula penyiasatan nahas udara 6 Jun 1976 yang meragut nyawa ketua menteri ketika itu, Donald Mohd Fuad Stephens dan beberapa pemimpin yang lain.

Nahas itu menyebabkan majlis pemeteraian perjanjian berhubung hasil minyak kerajaan negeri Sabah dan Petronas yang dijadualkan di Labuan itu tergendala. Ia kemudiannya ditunda dan dimeterai di Kota Kinabalu.

Pemimpin PKR Sabah, Jeffrey Gapari Kitingan dan presiden Parti Progresif Sabah, Datuk Yong Teck Lee baru-baru ini menuntut siasatan diadakan semula.

Harris melabelkan tuntutan supaya siasatan baru diadakan sebagai “berniat jahat dan bertujuan memalu dan memfitnahkanya secara peribadi.

Jumaat lalu, bekas pengerusi Petronas dan juga bekas menteri kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah pada satu majlisnya di Kota Kinabalu menimbulkan semula insiden nahas udara itu.

Razaleigh dilaporkan berkata beliau juga berada di pesawat yang membawa Stephen tetapi diarahkan keluar oleh Harris (yang ketika itu adalah Ketua Menteri) sebelum pesawat itu dijadualkan berlepas.

Menurut Harris, apa yang didakwa itu sebenarnya tidak benar.

Katanya, dua pesawat Nomad dijadualkan berlepas dari Labuan pada waktu yang hampir sama. Sebuah pesawat dijadualkan ke Kudat manakala sebuah lagi ke Kota Kinabalu.

“Penumpang bagi pesawat ke Labuan termasuk Abdul Rahman Yaacob, Razaleigh, diri saya dan beberapa yang lain,” kata Harris dalam satu kenyataan.

Harris bersumpah bahawa Razaleigh tidak dijadualkan terbang bersama Stephens ke Kota Kinabalu tetapi sebaliknya menuju ke Kudat dahulu sebelum ke Pulau Banggi

“Tujuan lawatan adalah supaya Razaleigh menyaksikan sendiri projek ternakan lembu yang pertama di Sabah,” katanya.

Oleh itu, katanya, dakwaan yang Razaleigh diarah keluar dari pesawat malang itu pada saat terakhir adalah satu kesilapan.

Wednesday, April 7, 2010

PM: MIC bertanding di Hulu S'gor tapi tak sebut calon

Persoalan parti mana dari komponen BN yang akan bertanding dalam pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor terjawab hari ini apabila perdana menteri berkata ia akan ditandingi oleh calon dari MIC.

"Kerusi (parlimen) Hulu Selangor akan ditandingi oleh seorang calon dari MIC, kerana itu kerusi MIC," kata Datuk Seri Najib Razak kepada pemberita di Shah Alam hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak mengumumkan siapakan calon dari MIC itu.

"Biar calon ditentukan oleh pengerusi BN (Najib) sebab saya nak kita menang," kata Najib yang juga pengerusi BN.

Sebelum ini, MIC telah mengemukakan timbalan presidennya, Datuk G Palanivel untuk bertanding sekali lagi di Hulu Selangor.

Umno bahagian juga mendesak supaya kerusi itu dikembalikan kepada Umno.

Bagaimanapun, semalam dilaporkan bahawa, Umno boleh menerima calon dari MIC tetapi bukan Palanivel.

'Makam kita tak sama'

Sementara itu, naib ketua Umno bahagian Hulu Selangor, Datuk Adnan Buyong, ketika diberitahu mengenai pengumuman najib itu berkata:

"Nak tanya apa? Pemimpin sudah umum. Dia pemimpin kita, apa dia cakap kita kena terimalah," katanya.

Ditanya sama ada ia akan memberi kesan negatif kepada pengundi, Adnan menjwab:

"Kita sebelum ini bagi pandangan sahaja. Dia mungkin ada kajian dia (yang tersendiri). Dia pemimpin, makam (kedudukan) kita tak sama.

"(Ketawa) Apa dia kata kita kena terimalah," kata Adnan.

Beliau bagaimanapun tidak mahu mengulas panjang kerana sedang sibuk berkonvenysen di Shah Alam.

Sementara itu, Najib berkata walaupun mungkin terdapat pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusannya memberikan laluan kepada MIC, ia hanya "merupakan adat biasa".

Batu loncatan pulihkan BN

"Kita ada beberapa perhitungan lain. Tetapi macam mana pun bila sampai kepada penentuan calon, mesti ada orang yang setuju dan ada yang tidak setuju.

"Itu merupakan adat biasa. Yang penting soal kepercayan dan kesetiaan. Setelah keputusan itu dibuat, mereka kena terima," katanya.

Ditanya sejauh mana pentingnya pilihan raya kecil di Hulu Selangor kepada BN, Najib berkata ia diharapkan menjadi "batu loncatan" ke arah pemulihan gabungan 13 parti pemerintah itu.

Perdana menteri juga yakin, berdasarkan kepada sentimen pengundi pada masa ini, sokongan memihak kepada BN.

"Bagaimanapun dalam pilihan raya kecil, ada faktor-faktor lain yang kita (perlu) ambil kira. Salah satu daripadanya, faktor calon. Sebab bila pilihan raya kecil, ia lebih fokus kepada calon.

"Kalau pilihan raya umum ia lebih kepada kepimpinan negara dan soal isu nasional," katanya.

Sultan: "Dok... tok se nyanyi. Payoh"

Buat pertama kali setelah hampir setahun gering, Sultan Kelantan Sultan Ismail Petra berkenan bertemu rakyat, dalam keadaan baginda yang seringkali tersenyum dan semakin sihat, pada satu majlis di Istana Mahkota di Kota Bharu hari ini.

Sultan Ismail, yang berpakaian kemeja hitam bercorak bunga putih, berkenan untuk bertemu rakyat jelata pada 5.20 petang dengan menaiki kerusi roda dan diiringi Raja Perempuan Kelantan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid pada majlis meraikan 150 anak yatim Taman Sabariah dan pemberian sumbangan zakat.

Baginda turut berbual dengan kenalan lama, malahan Tengku Anis pula sempat berseloroh dengan bertanya sama ada baginda ingin menyanyi.

Sambil tersenyum baginda bertitah: "Dok... tok se nyanyi (Tidak... tidak mahu menyanyi). Payoh (susah)."

Biarpun suara baginda serak dan agak sukar untuk melafazkan kata-kata namun senyuman yang sentiasa terukir di bibir membuktikan keadaan kesihatan baginda yang semakin pulih.

Turut hadir pada majlis itu adalah Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra dan bekas pengerusi Majlis Perajaan Negeri, Tengku Abdul Aziz Tengku Hamzah di samping bekas setiausaha kerajaan negeri, Datuk Wan Hashim Wan Daud yang juga `setiausaha sulit' baginda.

Sultan Ismail Petra yang gering sejak Mei tahun lalu, kembali ke tanah air pada 4 Mac lalu setelah mendapat rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.

Semalam, baginda dibawa bersiar-siar di sekitar bandar ini dengan menaiki kereta Bentley yang dipandu oleh anakanda baginda, Tengku Temenggung Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra.

Sementara itu, Rosli Ngah, iaitu pakar fisioterapi dan jurupulih di Hospital Raja Perempuan Zainab II, berkata keadaan baginda kini semakin pulih.

Ketika berucap pada majlis itu, beliau berkata pihaknya menjalankan rawatan muzik terapi untuk membolehkan baginda bertitah semula.

"Tuanku dapat hafal satu lagu... burung kakak tua. Alhamdulillah percakapan tuanku kini semakin pulih," katanya.

Beliau berkata Sultan Ismail Petra turut menjalani terapi cara kerja dan fisioterapi tiga kali sehari.

Selain rawatan, kakitangan Istana dan Raja Perempuan sentiasa mengerjakan solat hajat serta bacaan Yasin setiap hari sejak baginda dirawat di Singapura lagi.

Beliau berkata rawatan terkini ialah membawa baginda bersiar-siar keluar dari istana sebagai 'environmental stimulation'.

Katanya keadaan mata baginda juga masih elok setelah diperiksa semalam dan cuma memerlukan cermin mata baru akibat rabun dekat.

Majlis diakhiri dengan nyanyian selamat hari jadi dan upacara memotong kek yang dilakukan oleh Tengku Muhammad Fakhry Petra dengan disaksikan oleh Sultan dan Raja Perempuan Kelantan.

- Bernama

Lagi maklumat dicurigai - kontrak hostel RM77.8j

Lebih banyak kesilapan dan maklumat yang tidak lengkap dikesan dalam portal perolehan elektronik MyProcurement, kata wakil Petaling Jaya Utara Tony Pua.

Menurut beliau, maklumat di dalam portal itu juga tidak lengkap kerana hanya mengandungi maklumat kontrak daripada 16 buah kementerian.

"Kerajaan perlu menurunkan laman berkenaan segera, akui kesilapan mereka dan lancarkan semula," katanya.

Bercakap pada sidang media di parlimen hari ini, Pua berkata beliau juga menemui satu lagi maklumat yang dicurigai dalam portal berkenaan - satu kontrak untuk membina sebuah hostel 200 bilik dengan nilai RM77.8 juta.

"Lebih murah lagi kalau beri setiap orang pelajar itu sebuah banglo," katanya berseloroh.

Tambahnya, kementerian pelajaran perlu membuat penjelasan berhubung kontrak berkenaan.

Beliau juga mengaitkan kementerian pebangunan luar bandar dan wilayah yang menerima peruntukan sebanyak RM2.64 bilion melalui bajet 2009.

"Tap
i hanya RM15 juta (nilai kontrak) yang telah didedahkan di dalam portal ini.

Selain itu, beliau juga memetik maklumat kontrak daripada Jabatan Perdana Menteri yang memperoleh peruntukan sebanyak RM11.2 bilion sebelum ini.

Namun, kontrak yang dipaparkan di portal berkenaan bagi kementerian berkenaan hanyalah sebanyak 1.5% daripada jumlah peruntukan berkenaan.

"Ini akan meningkatkan kecurigaan bahawa kerajaan tidak mempunyai political will untuk membanteras rasuah," katanya lagi.

Portal MyProcurement merupakan pusat maklumat perolehan kerajaan yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Cho Har setiausaha agung baru MCA

Cho Har setiausaha agung baru MCA
Apr 7, 10 3:56pm
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek hari ini menamakan sekutunya Datuk Seri Kong Cho Har yang tewas pada pemilihan bulan lalu bagi jawatan timbalan presiden sebagai setiausaha agung parti itu yang baru.

Dengan pelantikkan itu, Kong yang juga menteri perumahaan dan kerajaan tempatan dijangka akan kekal sebagai menteri kabinet meskipun ditumbangkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong lai.

Chua juga menamakan dua pemimpin yang menyokong seteru politiknya ke barisan barunya itu - Datuk Heng Seai Kei yang bersekutu dengan bekas presiden Datuk Seri Ong Tee Keat dilantik sebagai timbalan setiausaha penganjur manakala Datuk Hou Kok Chung yang menyokong bekas presiden Tan Sri Ong Ka Ting dinamakan sebagai timbalan setiausaha agung.

Kedua-dua mereka kini adalah timbalan menteri.

Chua juga menamakan dirinya sebagai ketua di kubu kuatnya di Johor dan juga Perak.

Beliau juga menambah jawatankuasa pusat kepada 25 anggota dengan lapan yang dilantik terdiri daripada penyokongnya.

Berikut senarai penuh:

Setiausaha agung: Kong Cho Har
Bendahari: Tan Chai Ho
Setiausaha penganjur: Tee Siew Keong

Timbalan setiausaha agung: Hou Kok Chung
Timbalan bendahari: Khoo Keok Hai
Timbalan setiausaha penganjur: Heng Seai Kie

Perlis: Por Choo Chor
Kedah: Chong Itt Chew
Pulau Pinang dan Kelantan: Ng Yen Yen
Pahang: Liow Tiong Lai
Selangor: Donald Lim
Perak dan Johor: Chua Soi Lek
Kuala Lumpur: Tan Chai Ho
Melaka: Gan Tian Loo
Negeri Sembilan: Yeow Chai Tham
Terengganu: Toh Chin Yau
Sabah: Khoo Keok Hai

Lapan anggota CC yang dilantik:

Mah Hang Soon
Tan Chin Ming
Lau Chiek Tuan
Koay Kar Huah
Khoo Keok Hai
Khoo Soo Seang
Ei Kim Hock
Yeow Chai Tham
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...