Wednesday, September 17, 2008

Saya Masih Mahu Jadi Senator: Zahid Ibrahim - BERNAMA

17 September, 2008 20:57 PM

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Datuk Zaid Ibrahim yang meletak jawatan selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada Isnin mahu mengekalkan jawatan Senator untuk terus memperjuangkan kepada perubahan undang-undang di negara ini.

Beliau yang sebelum ini menjaga hal ehwal berkaitan perundangan akan menggunakan kepakaran dan pengalamannya dalam bidang perundangan untuk membawa perubahan kepada sistem kehakiman negara.

"Saya yakin perdana menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) mahu saya meneruskan tugas sebagai Senator untuk memperkenalkan perubahan dalam perundangan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Kaukus Parlimen yang baru ditubuhkan Pakatan Rakyat (PR) untuk membantu membebaskan Anggota Parlimen (MP) Seputeh, Teresa Kok yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Jumaat lepas, di sini hari ini.

Semua MP PR menghadiri mesyuarat tersebut.

Zaid meletak jawatan setelah kecewa dengan pelaksanaan ISA terhadap tiga individu termasuk Teresa, penulis laman blog Raja Petra Kamarudin dan wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng.

Tan kemudian dibebaskan pada Sabtu.

Dengan menyertai majlis tersebut, Zaid bagaimanapun menafikan kemungkinan beliau akan menyertai PR.

"Saya hanya menyertai mesyuarat untuk menyokong pembentukan Kaukus Parlimen untuk membantu membebaskan YB Teresa daripada ISA.

"Pendirian saya berhubung ISA ialah ia perlu digunakan untuk kepada orang yang mahu mengguling kerajaan dengan kekerasan dan bukan sebaliknya," katanya.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata penubuhan kaukus tersebut bertujuan untuk membebaskan Teresa dan menghapuskan ISA.

Katanya PR mungkin meminta bantuan Jawatankuasa Parlimen Komanwel untuk membebaskan Teresa sekiranya perlu.

-- BERNAMA

Penulis Blog 'kickdefella' Ditahan Mengikut Akta Hasutan - BERNAMA

17 September, 2008 20:05 PM

KOTA BAHARU, 17 Sept (Bernama) -- Polis hari ini menahan penulis blog "Kickdefella", Syed Azidi Syed Aziz, di rumahnya di Demit di sini mengikut Akta Hasutan.

Isteri Syed Azidi, Bariah Ishak berkata polis yang datang ke rumah mereka dengan menaiki sebuah Pajero berwarna putih dan bercermin gelap, menahan suaminya 5.05 petang.

"Tiga lelaki, yang berpakaian preman, datang ke rumah kami dan memaklumkan bahawa mereka datang untuk menahan suami saya di bawah Akta Hasutan.

"Mereka datang dengan baik walaupun tidak mempunyai waran untuk menahan suami saya," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata salah seorang daripada pegawai polis itu memaklumkan suaminya akan dibawa ke Kuala Lumpur hari ini untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan SAC II Amir Hamzah Ibrahim ketika dihubungi tidak dapat mengesahkan mengenai tangkapan itu kerana tiada maklumat yang diterima oleh polis Kelantan mengenainya.

"Kita akan periksa dahulu mengenai perkara itu," katanya.

Syed Azidi, 38, adalah Pegawai Perhubungan Awam Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

Menerusi blog Kickdefella, beliau pernah pernah mencadangkan agar bendera Malaysia dikibarkan secara terbalik semasa menyambut ulang tahun kemerdekaan negara.

Beliau juga pernah mengarahkan filem pendek bertajuk 'Lautan Biru di Waktu Subuh'.

-- BERNAMA

SAPP keluar BN - MALAYSIAKINI

Sep 17, 08 4:59pm

Parti Maju Sabah (SAPP) telah memutuskan untuk keluar dari Barisan Nasional.

Majlis Tertinggi SAPP yang bermesyuarat hari ini, bagaimanapun memutuskan bahawa ia tidak akan menyertai Pakatan Rakyat.

Timbalan Presiden SAPP, Datuk Raymond Tan yang kecewa dengan keputusan itu, telah meninggalkan mesyuarat tersebut.

Katanya, beliau akan meletak jawatan timbalan ketua menteri dan menteri pembangunan infrastruktur negeri.

SAPP mempunyai dua ahli parlimen dan empat anggota dewan undangan negeri.

Abdullah Dan Najib Tukar Portfolio Kementerian, Komited Dengan Peralihan Kuasa -BERNAMA

17 September, 2008 15:50 PM

PUTRAJAYA, 17 Sept (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini bertukar portfolio pertahanan dan kewangan sebagai sebahagian daripada proses penyerahan kuasa daripada Perdana Menteri kepada timbalannya itu pada Jun 2010.

Kedua-dua pemimpin juga komited dengan tempoh peralihan kuasa seperti yang ditetapkan sebelum ini, dan untuk pemilihan Umno pada Disember ini, Abdullah akan mempertahankan jawatan Presiden Umno dan Najib sebagai Timbalan Presiden parti.

Bercakap pada sidang akhbar yang turut dihadiri oleh Najib di sini hari ini, Perdana Menteri berkata portfolio kewangan adalah penting dalam mengambil kira situasi ekonomi semasa dan ketidaktentuan ekonomi dunia.

Katanya beliau yakin Najib akan dapat melaksanakan peranannya yang amat penting itu terutama dalam memastikan ekonomi teguh dan kuat menghadapi cabaran.

Abdullah berkata dengan kedudukan Najib sebagai Menteri Kewangan kini, beliau (Najib) boleh memainkan peranan yang lebih penting apabila berada di New York untuk menghadiri Persidangan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) minggu depan.

Ini kerana, sebagai Menteri Kewangan, Najib akan dapat menemui pelabur dan pengurus dana semasa di New York nanti, kata Perdana Menteri.

Abdullah turut mengumumkan Najib kini mengambil alih jawatan Timbalan Pengerusi Khazanah sejajar dengan kedudukannya sebagai Menteri Kewangan. Jawatan itu sebelum ini disandang oleh Abdullah.

Najib pula berkata langkah Perdana Menteri melantiknya sebagai Menteri Kewangan menggambarkan keikhlasan Abdullah bahawa beliau adalah penggantinya kelak.

"Ia melambangkan keyakinan Perdana Menteri pada saya sebab saya akan sentiasa bincang dan rujuk pada Perdana Menteri, khususnya berkaitan dengan ekonomi, hala tuju ekonomi dan keutamaan ekonomi, supaya dasar-dasar kerajaan lebih jelas dan tepat," kata Najib.

Ditanya mengenai penurunan harga minyak mentah dunia sekarang, Abdullah berkata: "Lagi turun lagi baik."

Harga minyak mentah dunia semalam mencatatkan US$92 setong.

Bagaimanapun Abdullah berkata penurunan harga minyak dunia itu juga akan menyebabkan pengurangan pendapatan Petronas.

Ditanya sama ada harga pengguna bagi petrol dan diesel akan dikurangkan, Abdullah berkata: "Tunggulah lain kali."

-- BERNAMA

Najib kini menteri kewangan, Pak Lah menteri pertahanan - MALAYSIAKINI

Beh Li Yi | Sep 17, 08 2:36pm

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau menyerahkan jawatan menteri kewangan kepada Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak dan mengambil alih jawatan menteri pertahanan.

Bercakap dalam satu sidang akhbar tengahari ini, Abdullah berkata, pertukaran jawatan itu berkuatkuasa serta merta.

Perdana menteri yang memegang jawatan menteri kewangan sejak 2004 berkata, beliau telah memaklumkan keputusannya itu kepada kabinet.

Abdullah yang juga presiden Umno berkata, beliau mungkin bersara lebih awal daripada tahun 2010 bergantung kepada prestasi Najib.

Bagaimanapun, kedua-dua pemimpin tersebut tetap berpegang kepada pelan peralihan kuasa pada 2010.

Abdullah berkata, beliau dan Najib akan mempertahankan jawatan masing-masing dalam pemilihan Umno Disember ini.

Najib turut hadir di sidang akhbar tersebut dan apabila ditanya komennya, menjawab: "Kami telah bersetuju. Saya menyerahkannya kepada parti. Kami menawarkan diri kepada parti dan saya berharap mereka akan menerimanya".

Terdapat desakan yang semakin meningkat ke atas Abdullah supaya bersara lebih awal, tetapi kini nampaknya Najib telah mencapai persetujuan dengan bosnya itu untuk menenangkan tuntutan dari akar umbi Umno.

Kedua-dua mereka kini berdepan dengan kekalutan politik yang berpunca daripada pergeseran dalam Umno, di tengah-tengah cabaran ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berusaha untuk menubuhkan kerajaan baru.

MCA: Pertembungan 2 Ong lwn 2 Chua - MALAYSIAKINI

Sep 17, 08 12:04pm

Pemilihan pucuk pimpinan MCA bulan depan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden bakal menyaksikan pertembungan dua Ong denga dua Chua.

Persaingan bagi jawatan presiden akan menyaksikan pertembungan antara naib presiden, Datuk Ong Tee Kiat dan bekas naib presiden, Datuk Chua Jui Meng.

Kedua-duanya telah mengesahkan hasrat mereka untuk bertanding jawatan presiden yang dikosongkan oleh Datuk Ong Ka Ting.

Dan hari ini, seorang lagi bekas naib presiden, Datuk Dr Chua Soi Lek mengesahkan hasratnya bertanding jawatan timbalan presiden.

Ini bermakna, beliau akan bertembung dengan Datuk Ong Ka Chuan yang juga setiausaha agung MCA yang telah mengesahkan bertanding jawatan berkenaan.

Pemilihan pucuk pimpinan MCA akan berlangsung pada 18 Oktober depan.

Soi Lek mengumumkan keputusannya untuk bertanding jawatan timbalan presiden dalam satu sidang akhbar di ibunegara hari ini.

Keputusannya itu dilihat sebagai usahanya untuk kembali aktif dalam politik setelah melepaskan semua jawatannya dalam parti itu selepas terbabit dalam satu skandal seks.

Sebelum ini, beliau diramalkan bertanding jawatan presiden.

Bagaimanapun, difahamkan, Soi Lek memilih jawatan timbalan bagi mengelak pertembungan tiga penjuru dalam perebutan jawatan presiden.

Dalam sidang pagi ini, Soi Lek turut melancarkan satu manifesto untuk menghadapi pemilihan parti itu bulan depan.

Secara umumnya, dalam manifesto, beliau menjanjikan perubahan untuk MCA dalam menghadapi masa depan.

Muhyiddin nafi SMS masuk PKR - MALAYSIAKINI

Muda Mohd Noor | Sep 17, 08 12:25am

Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan beliau akan menyertai Pakatan Rakyat seperti yang tersebar dalam SMS.

Bercakap kepada media selepas majlis berbuka puasa di ibu negara hari, beliau berkata, berita itu palsu dan merupakan satu pembohongan.

umno selangor najib muhyiddin event anti pak lah banners 160408 04"Ada nama saya diberitahu akan melompat menyertai Pakatan dan SMS itu tersebar begitu luas.

"SMS itu mengatakan saya meninggalkan Umno untuk menyokong Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim).

"Saya tidak pernah bercakap sebelum ini tetapi saya mahu bercakap hari ini," katanya.

Muhyiddin berkata, berita ini dibuat begitu rapi supaya ada pihak yang terpengaruh.

Katanya, ia merupakan sebahagian perbuatan Anwar yang tidak bermaruah supaya orang cepat masuk Pakatan.

Beliau juga ditanya hasrat Anwar untuk menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menubuhkan kerajaan Pakatan.

"Berjumpa perdana menteri adalah taktik Anwar. Apabila orang tengok Anwar jumpa perdana menteri, supaya rakyat terpengaruh.

"Ini bertujuan hendak menunjukkan dia ambilalih kerajaan. Apa yang Anwar nak buat tidak seperti yang kita fikirkan," katanya.

Muhyiddin mencabar Anwar supaya menyebut ahli-ahli parlimen yang hendak menyertai Pakatan.

"Mengapa hendak tangguh, ini karut," katanya.

Beliau juga tidak setuju Abdullah berjumpa Anwar kerana mendakwa Anwar mempunyai muslihat mengenai pertemuan tersebut.

Jerlun tawar tempat pada Dr M - MALAYSIAKINI

Sep 17, 08 5:50am

Exco Pemuda Umno Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad memutuskan untuk kembali semula ke dalam Umno setelah dipujuk oleh beberapa pihak yang mahukan beliau kembali membantu memperkukuhkan Umno.

mukhriz mahathir hari raya open house 091106 smileBeliau berkata hasrat itu juga disuarakan setelah bapanya menyedari dan mengambil kira pandangan banyak pihak yang menyatakan bahawa khidmat beliau sangat diperlukan dan untuk tujuan itu beliau perlu berada di dalam dan bukan di luar Umno.

Sehubungan itu, katanya, keputusan untuk kembali semula Umno diputuskan oleh bapanya sendiri dan akan menyerahkan borang dalam masa terdekat.

Mukhriz memberitahu media demikian selepas menghadiri majlis berbuka puasa anjuran Biro Perhubungan Antarabangsa dan Badan Bukan Kerajaan Pemuda Umno serta sumbangan anak yatim hari ini.

Menurut laporan Bernama, Mukhriz yang juga ahli Parlimen Jerlun berkata beberapa cawangan dan bahagian turut menawarkan tempat kepada Tun Dr Mahathir, dan terpulang kepada bapanya untuk membuat pilihan.

Sementara itu mengulas mengenai peletakan jawatan Datuk Zaid Ibrahim sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mukhriz berkata tindakan itu boleh disifatkan seperti 'langgar lari' kerana sekejap dia (Zaid) berada dalam kerajaan, dan tiba-tiba lari pula dari kerajaan.

"Saya nampak apa yang dia lakukan semasa dalam kerajaan ialah merealisasikan manifesto pembangkang, contohnya Suruhanjaya Kehakiman, isu Badan Pencegah Rasuah (BPR), polis, Majlis Peguam dan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri). Ini tidak disebut pun dalam manifesto Barisan Nasional dalam pilihanraya baru-baru ini.

Serah pada akar umbi

"BN nak tunaikan janji kita kepada rakyat dan bila beliau masuk dalam kerajaan itu pulak yang diberi tumpuan, (perkara yang tiada dalam manifesto BN)jadi saya tak rasa kecewa langsung bila dia letak jawatan," katanya.

mukhriz mahathir hari raya open house 091106 sniggerSementara itu merujuk kepada pemilihan Umno peringkat bahagian bulan depan, Mukhriz berkata, seharusnya tidak ada sebarang sekatan atau arahan daripada
pihak tertentu untuk tujuan peribadi pada pemilihan itu nanti.

Beliau berkata dalam suasana politik semasa negara yang menyaksikan beberapa episod kebelakangan ini terutamanya kegagalan mempertahankan kemenangan di Pulau Pinang, Selangor, Perak, Kedah dan Wilayah Persekutuan dalam pilihanraya umum lalu, amalan demokrasi yang sebenar perlu dilaksanakan.

"Perlu diingat pemilihan adalah usaha untuk mengukuhkan parti, bukan untuk jadi juara. Jadi jika wujud sebarang arahan atau sekatan yang menjurus kepada kepentingan peribadi, ia tidak memperbaiki keadaan dan memberikan kekuatan kepada parti," katanya.

‘Saya fikir sudah tiba masanya untuk kita memberikan mandat memilih pemimpin sampai ke peringkat akar umbi parti. Ia juga dapat mendekatkan pemimpin dengan ahli peringkat bawah selain mengelak amalan politik wang," katanya.

Mukhriz berkata dalam perlembagaan Umno sendiri menyatakan bahawa pemilihan mestilah bermula di peringkat bahagian termasuk untuk jawatan tertinggi dalam
parti.

Sehubungan itu, beliau berkata pelan peralihan kuasa 2010 yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, tidak menepati citarasa dan aspirasi ahli Umno buat masa ini.

Harga minyak menjunam,apa tunggu lagi? - HARAKAHDAILY

Ketua Perusuh
Wed | Sep 17, 08 | 12:49:35 pm MYT

1. Harga minyak mentah global kini telah jatuh menjunam pada paras USD$91 setong dari paras tertinggi USD$145 beberapa bulan yang telah lalu. Ianya secara mendadak menyebabkan kenaikan harga bahan bakar di Malaysia dari RM1.92 kepada RM2.70. Persoalannya sekarang ialah bila agaknya Abdullah Ahmad Badawi (Perdana Menteri Malaysia) akan menurunkan harga bahan bakar di Malaysia?

2. Kedudukan Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri Malaysia kini agak goyah setelah terdengar khabar bahawa Anwar Ibrahim kini telah mendapat sokongan lebih dari 31 orang wakil rakyat (Ahli Parlimen BN) yang dikenalpasti akan melompat ke Pakatan Rakyat. Persoalannya sekarang ialah bila agaknya Abdullah Ahmad Badawi akan meletakkan jawatan?

3. Khairy Jamaluddin (KJ) khabarnya mendapat sokongan lebih dari separuh perwakilan dari Negeri Perak untuk merebut jawatan Ketua Pemuda Umno. Malah beberapa perwakilan khabarnya telah mendapat durian runtuh atas sokongan mereka ini. Persoalannya sekarang ialah bila agaknya Khairy Jamaluddin akan mengesahkan akan turut serta merebut jawatan Ketua Pemuda Umno?

4. Khabarnya hampir 70% peringkat akar umbi sedang mendesak Abdullah Ahmad Badawi membuat peralihan jawatan Perdana Menteri kepada Najib Razak sebelum November ini. Jika Abdullah Ahmad Badawi berdegil, maka November ini beliau pastinya akan tersungkur didalam pemilihan. Persoalannya sekarang ialah bila agaknya Abdullah Ahmad Badawi akan membuat peralihan kuasa?

5. Tiga nama besar (Muhyidin Yassin, Tengku Razaleigh, Najib Razak) kini sebenarnya sedang bertarung sesama mereka untuk jawatan Presiden Umno. Persoalannya sekarang ialah bila agaknya rakyat (Ahli Umno) dapat melihat taring sebenar tiga nama besar ini?

6. Anwar Ibrahim diberitakan telah berjaya mendapat mandat besar yang membolehkannya untuk membentuk kerajaan baru (Pakatan Rakyat). Persoalannya sekarang ialah bila agaknya Pakatan Rakyat akan dapat beroperasi di Putrajaya tanpa berlakunya MAGERAN hasil usaha terakhir Abdullah Ahmad Badawi untuk menyelamatkan diri?

7. Ekonomi negara sememangnya sedang menguncup dan ramai pelabur asing telah dan sedang dalam proses untuk membawa keluar pelaburan mereka dari Malaysia. Persoalannya sekarang ialah bila agaknya akan ada usaha dipihak Abdullah Ahmad Badawi (jika beliau masih lagi memimpin Malaysia) untuk menyakinkan pelabur asing ini untuk meneruskan pelaburan di Malaysia?

"Selamat Menyambut Malaysia Baru"

Pencen Pesara Dibayar Awal Sempena Aidilfitri - BERNAMA

17 September, 2008 10:39 AM

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Pesara kerajaan yang mempunyai waran pencen bertarikh 20 Sept hingga 30 Sept boleh menunaikan waran pencen mereka mulai Jumaat ini.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Malaysia dalam kenyataan di sini pada Rabu berkata kerajaan memutuskan pembayaran awal itu kerana umat Islam akan menyambut perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

Katanya para pesara yang dibayar melalui Sistem Pembayaran Melalui Bank pada 21 Sept boleh menuntut pembayaran pencen mereka di bank berkenaan mulai Jumaat.

"JPA telahpun memaklumkan keputusan kerajaan dan arahan bayaran awal kepada semua pihak bank yang terlibat bagi maksud pelaksanaan," katanya.

Sebarang pertanyaan berkaitan pembayaran awal, para pesara boleh menghubungi Pusat Panggilan Setempat di talian 03-88854906/4475/4476/4477/4478.



-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...