Monday, July 6, 2009

'Istana gaya Bali' Khir Toyo cetus kontroversi

Rumah mewah milik Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo di Shah Alam mencetus kontroversi kerana kosnya dikatakan melebihi kemampuannya atau menteri besar yang berkhidmat selama lapan tahun.

khir toyo mansion 060709 08ADUN Sekincan, Ng Suee Lim mendakwa anggaran kos pembinaan rumah di kawasan seluas 50,000 kaki persegi atau 0.5 hektar itu, ialah RM20 juta, manakala tanahnya dibeli dengan harga RM3.8 juta.

"Beliau berhak untuk membina sebuah rumah sebesar mana sekalipun. Tetapi sebagai bekas menteri besar, beliau mesti menjelaskan bagaimana beliau membiayai pembinaan rumah tersebut," kata wakil rakyat DAP itu, yang membawa sekumpulan wartawan untuk menyaksikan rumah Dr Mohd Khir pagi tadi.

Rumah tersebut terletak di Jalan 1/7L di Seksyen 7, Shah Alam.

khir toyo mansion 060709 06Berbekalkan dokumen dari Pejabat Tanah dan Galian Selangor, Ng menunjukkan bukti bahawa Dr Mohd Khir, 44, dan isterinya Zahrah Kechik, 44, memberi secara bersama tanah tersebut dari Ditamas Sdn Bhd pada 2007.

Dokumen itu menunjukkan bahawa seorang pengarah Ditamas - yang dikenali sebagai Shamsuddin Hayroni - didakwa Ng sebagai kawan Dr Mohd Khir.

Sambil menggelarkan rumah tersebut sebagai "istana bergaya Bali", Ng berkata, pakar industri pembinaan menganggarkan kos pembinaan dan kelengkapan rumah tersebut ialah kira-kira RM20 juta.

"Pintu gerbang sahaja berharga kira-kira RM290,000. Jubin yang anda lihat adalah diimport," katanya.

Ng juga mendakwa, rumah Dr Mohd Khir itu jauh lebih besar daripada bunglo 17 bilik yang dibina oleh allahyarham Zakaria Mat Deros sehingga mencetuskan kontroversi pada 2006.

khir toyo mansion 060709 01Merujuk pengisytiharan harta oleh Menteri Besar Selangor sekarang Tan Sri Khalid Ibrahim, Ng berkata pendapatan seorang menteri besar ialah RM576,000 setahun dan oleh itu, Dr Mohd Khir tidak mungkin dapat mengumpulkan wang yang cukup untuk membayar kosnya sebanyak RM24 juta.

Dr Mohd Khir seorang doktor gigi sebelum meningkat dalam hirarki Umno dan menjadi menteri besar pada 2001 ketika berusia 33 tahun.

Tunku Abdul Aziz dilantik Senator

Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Ibrahim dan Setiausaha PKR Pulau Pinang, Mustafa Kamal Mohd Yusuff hari dilantik sebagai Senator hari ini.

tunku abdul aziz tunku ibrahimTunku Abdul Aziz, 75, dan Mustafa Kamal, 56, mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Negara untuk tempoh tiga tahun di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh.

Turut mengangkat sumpah ialah Naib Ketua, Dewan Muslimat PAS Kelantan, Mumtaz Md Nawi, 37, bagi penggal kedua, lapor Bernama.

Tunku Abdul Aziz, yang merupakan Senator pertama daripada DAP berkata, beliau berterima kasih kepada kerajaan Pulau Pinang kerana memberi kepercayaan kepadanya sebagai seorang Senator.

Katanya, beliau akan berusaha untuk menyuarakan kepentingan rakyat dan kerajaan negeri itu di Dewan Negara.

Menurutnya, pengalaman luasnya dalam sektor perbankan dan perniagaan akan dimanfaatkan bagi menjalankan tanggungjawabnya sebagai Senator.

"Saya masih baru (dalam persidangan dewan) dan masih perlu banyak belajar dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaaan negeri Pulau Pinang kerana memberi kepercayaan kepada saya," katanya kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah itu.

Tunku Abdul Aziz pernah memegang jawatan tinggi di pelbagai organisasi swasta dan awam di Malaysia, Hong Kong dan United Kingdom.

Beliau juga pernah menjadi presiden Persatuan Transparensi dan Integriti Malaysia, Pengarah Kumpulan Sime Darby Bhd dan kini sebagai penulis kolum mingguan untuk akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily.

Thaksin bolos pihak berkuasa M'sia

Bekas perdana menteri Thailand yang dikehendaki di negaranya Thaksin Shinawatra berjaya melarikan diri daripada pihak berkuasa Malaysia sewaktu berada di Kuala Lumpur baru-baru ini, kata timbalan
menteri dalam negeri Thailand.

Thaworn Sennian berkata, dalam insiden tersebut pegawai kedutaan Thailand memaklumkan kepada pihak berkuasa Malaysia bahawa Thaksin ketika itu sedang menginap di Hotel Shangri-La, lapor Bernama.

"Pegawai-pegawai kedutaan (Thailand) memaklumkan kepada pihak berkuasa Malaysia berhubung kehadiran Thaksin, namun entah bagaimana Thaksin dapat tahu mengenainya dan berjaya melepaskan diri," Thaworn dipetik berkata di Pattani hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan sebarang maklumat lanjut mengenai insiden itu berlaku.

Menurut agensi berita itu lagi, selepas insiden itu Thaksin berlepas ke Fiji.

Bekas anggota polis yang kemudiannya menjadi jutawan telekomunikasi memerintah Thailand selama lima tahun sebelum kerajaannya ditumbangkan dalam rampasan kuasa tentera pada 19 September 2006 semasa beliau menghadiri perhimpunan agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Beliau kembali ke Thailand untuk tempoh yang singkat tahun lepas sewaktu sekutunya memenangi pilihanraya pada Disember 2007, dan kemudiannya menjadi pelarian dalam usaha melepaskan diri daripada menjalani hukuman penjara dua tahun selepas didapati bersalah terhadap tuduhan menyalahguna kuasa.

Dua perdana menteri selepasnya yang dikatakan menyokong beliau terpaksa melepaskan jawatan dan parti mereka pula kehilangan kuasa kepada kerajaan pakatan yang diketuai oleh parti Demokrat, yang diterajui perdana menteri Abhisit Vejjajiva.

Thaksin kemudiannya merantau antara rumahnya di luar negara
seperti London, Dubai, Hong Kong dan baru-baru ini di Jerman, menggunakan pelbagai pasport negara luar selepas pasportnya dibatalkan oleh kerajaan Thailand.

Sunday, July 5, 2009

Manohara: Tengku Temenggong tuntut taat setia, pulang wang

Tengku Temenggong Kelantan ,Tengku Muhammad Fakhry Petra dan isteri, Cik Puan Temenggong ,Manohara Odelia Pinot pada majlis perkahwinan Ahmad Syafi Datuk Husam dan Indah Purnamasari Didin di kampung Kota , Kota Bharu April lalu.

KOTA BHARU: Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry tengah hari tadi memfailkan dua saman iaitu tuntutan kembali taat setia dan memulangkan wang yang dipinjamkan kepada isterinya, Manohara Odelia Pinot.

Tuntutan wang sebanyak RM972,750 yang dipinjamkan kepada Manohara difailkan di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu manakala soal tuntut taat setia pula di Mahkamah Syariah Kota Bharu.

Kedua-dua permohonan tuntutan diterima oleh Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan/Tinggi Syariah Kelantan, Abu Bakar Abdullah Kutty.

Tuntutan difailkan melalui peguam Tengku Muhammad Fakhry, Zainul Rijal Abu Bakar dan Abdul Halim Bahari pukul 12 tengah hari tadi.

Mahkamah menetapkan 2 Ogos depan untuk tarikh sebutan semula kedua-dua kes tersebut.

Zainul turut memfailkan permohonan interlocaltry kepada mahkamah untuk memohon menyampaikan saman diluar bidang kuasa mahkamah kerana Manohara kini berada di Indonesia.

Sebelum ini dilaporkan Tengku Muhammad Fakhry mengarahkan Manohara, 17, kembali taat kerana perlu menjalankan tanggungjawab sebagai isteri yang dituntut syarak dan tugas Cik Puan Temenggong Kelantan seperti diperakui undang-undang.

Tengku Temenggong menegaskan tempat isteri di sisi suami dan dia perlu mematuhi perintah jika tidak melanggar hukum syarak.

Manohara melarikan diri ke Indonesia ketika mengikut suaminya ke Singapura menziarahi Sultan Kelantan di Hospital Mt Elizabeth pada 1 Jun lalu.

Sekembalinya ke Indonesia, Manohara memberitahu media negara itu dia didera suaminya secara fizikal dan seksual sepanjang berada di negara ini.

Husam: Manek Urai gelombang tumbangkan BN - MalaysiaKini

Abdul Rahim Sabri
Jul 5, 09

Exco Kelantan, Datuk Husam Musa mahu menjadikan kemenangan di Manek Urai sebagai satu arus yang membawa gelombang untuk menumbangkan BN yang menguasai kerajaan persekutuan.

"Kita mahu hantar mesej bahawa rakyat sudah tidak mahu menerima BN. Dan BN Harus bersiap sedia keluar daripada Putrajaya.

nik aziz nik mat manek urai"Dan Manek Urai adalah sebahagian daripada strategi untuk menaikkan gelombang kebangkitan rakyat itu," kata Husam.

Beliau menegaskan demikian dalam satu majlis "Amanat Tok Guru untuk Anak Manek Urai" di sebuah hotel di ibunegara malam tadi.

Majlis tersebut - anjuran Persatuan Anak Kelantan di perantauan (Perakan) dengan kerjasama urusetia penerangan Kerajaan Kelantan - dihadiri kira-kira 400 pengundi Manek Urai dari sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Terdapat 867 anak Kelantan daripada Manek Urai yang tinggal sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Husam yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Kelantan turut mengingatkan agar rakyat negeri itu supaya pulang mengundi dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai pada 14 Julai ini.

'Ujian kepimpinan Nik Aziz'

Katanya, ini kerana mengundi merupakan satu kewajipan untuk meneruskan pemerintahan Islam di negeri yang terkenal dengan jolokan 'Serambi Mekah".

"Sebagaimana difardukan solat, begitulah kewajipan mengukuhkan kerajaan Islam Kelantan agar gagasan Islam tidak pupus dan lupus tidak kira dalam pilihanaraya kecil atau pilihanraya umum," katanya.

manek urai candidate fauzi abdullahTurut hadir di majlis tesebut termasuk Bendahari PAS pusat, Mohd Hatta Ramli yang juga ahli Parlimen Kuala Krai; Pengerusi Perakan, Abdul Fatah Mahmood;

Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim; dan calon PAS di Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah.

Husam yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat menyifatkan pilihanraya kecil ini juga sebagai satu ujian Allah untuk menguji kepimpinan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Katanya, Umno cuba untuk memperlekehkan calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah yang tidak dilihat mempunyai sijil kelulusan yang tinggi untuk berkhidmat kepada rakyat.

Sebaliknya kata Husam, pengundi di Manek Urai mementingkan calon yang mempunyai tingkah laku yang baik dan melihat perangai calon yang bertanding.

"Mereka mahu calon seperti (Allahyarham) Pak Su Wei (Ismail), iaitu orang yang boleh dilihat (dalam masyarakat), tak kunci pintu rumah dan mudah mesra dengan rakyat. Berkhidmat untuk rakyat tidak perlu sijil tapi komitmen," katanya.

Jelas isu royalti minyak

Menurut Husam lagi, PAS Kelantan akan menjelaskan isu royalti minyak kepada pengundi sebagai satu isu yang akan menjadi strategi kempen di Manek Urai.

Pihaknya akan menaikan poster besar berhubung isu tersebut, sebagai isyarat "harapan rakyat Kelantan terhadap tuntutan royalti" tersebut.

Mengulas mengenai lawatan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew yang mengunjungi Nik Aziz yang juga mursyidul am PAS bulan lalu, Husam berkata: "Lee kata parti PAS kuat disebabkan anak-anak muda dan orang yang berpelajaran menyokong perjuangan PAS."

manek urai nik azizMenurut Husam lagi, dasar keadilan untuk semua kaum, yang menjadi dasar parti, menyebabkan PAS diterima oleh semua kaum.

Dengan keadilan tersebut, tambah Husam, Lee menganggap, Kelantan akan berbuat baik dengan negara berjiran dengan Malaysia dan negara serantau.

"Ini kerana dasar PAS adalah Islam yang diterima umum. Kalau Kelantan boleh diiktiraf oleh negara luar, kita maju setapak lagi," katanya sambil menyatakan keyakinan bahawa

PAS akan mencapai kemenangan di Manek Urai.

Manakala Nik Aziz pula, ketika berucap di majlis itu, menggesa pengundi Manek Urai agar pulang mengundi pada 14 Julai ini - dengan apa cara sekalipun - untuk memberi kemenangan kepada PAS.

Islam sebagai cara hidup

"Kena balik, tak boleh naik bas, naik motosikal. Tak boleh naik motosikal, jalan kaki," katanya berseloroh sambil disambut gelak ketawa para hadirin.

Nik Aziz yang juga pesuruhjaya PAS Kelantan menasihatkan Umno supaya menjadikan Islam sebagai cara hidup.

"Bumi yang kita duduk ini, Tuhan buat. Udara yang kita bernyawa (dengannya) yang ada sukatan tertentu, ada oksigen, Tuhan buat... Sayur-sayuran yang kita tanam, kita makan, pun Tuhan buat.

"Semua benda yang manusia berkehendak, Tuhan buat belaka, tiba-tiba kita tolak Islam. Islam bukan datang daripada PAS. Islam datang daripada Allah Taala," katanya.

Sementara itu Pengerusi Perakan, Abdul Fatah Mahmood berkata kemenangan PAS di Kelantan pada 1990 adalah kerana anak Kelantan di perantauan menelefon ibu bapa dan keluarganya di kampung supaya mengundi PAS.

Beliau yang juga exco kerajaan negeri Kelantan berharap agar pengundi Manek Urai di luar mengambil langkah yang sama dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai pada 14 Julai ini.

"MU (Manek Urai) adalah langkah awal untuk memenangi piliharaya umum yang ke-13 dan (seterusnya) Pakatan Rakyat dapat menerajui kerajaan persekutuan," katanya.

Manakala calon PAS di Manek Urai, Mohd Fauzi turut memeriahkan perrtemuan dengan berucap selama lima minit untuk memperkenal dirinya.

Beliau juga meminta agar pengundi di luar Kelantan, dapat pulang ke kampung untuk memberi sokongan kepada parti PAS dan seterusnya mengekal kerusi tersebut.

Tol: Protes terbaru penduduk BMC

Rahmah Ghazali
Jul 5, 09

Selepas hampir setahun, penduduk Bandar Mahkota Cheras (BMC) hari ini sekali lagi berdemonstrasi membantah jalan tol ke kawasan perumahan mereka.

cheras mahkota protest 050709 05Kira-kira 50 penduduk berhimpun sekitar jam 9.30 pagi untuk mendesak kerajaan membuang tol yang menjadi isu selama ini.

Mereka mendakwa, operato tol Grand Saga Sdn Bhd telah mengaut keuntungan yang mencukupi dari kutipan tol dan sepatut memulangkan jalan tersebut untuk digunakan secara percuma oleh penduduk di situ.

Protes Mei tahun lalu mencetuskan insiden buruk ketika polis meleraikan perhimpunan penduduk terbabit. Beberapa orang tercedera termasuk wakil rakyat pembangkang.

cheras mahkota protest 050709 03Bagaimanapun, tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku pagi ini. Mereka mematuhi arahan polis supaya bersurai.

Mereka yang menyertai perhimpunan hari ini termasuk ahli parlimen DAP Cheras, Tan Kok Wai, bersurai selepas berdemonstrasi selama kira-kira 15 minit. Mereka kemudiannya menuju ke pusat perkhidmatan DAP dekat situ.

Penduduk BMC membantah kutipan tol di situ sejak beberapa tahun lalu.

Protes tahun lalu diadakan kerana membantah penutupan jalan akses ke situ oleh Grand Saga.

cheras mahkota protest 050709 04Ia ditutup oleh Grand Saga atas arahan Lembaga Lebuh Raya (MHA) ekoran pertikaian perundangan antara Grand Saga dengan pemanju Bandar Mahkota Cheras, Narajaya Sdn Bhd.

Keadaan menjadi buruk apabila penduduk bertindak meruntuhkan halangan yang diletak oleh Grand Saga untuk menutup jalan akses tersebut.

Dan penduduk di situ bertindak meruntuhkan halangan ersebut setiap kali ia dipasang semula oleh pihak Grand Saga.

Pada 30 Mei, kabinet mengarahkan supaya jalan akses tersebut dibuka sehingga pihak mahkamah membuat keputusan mengenainya.

Friday, July 3, 2009

H1N1 terus menular di SM Tsun Jin

Jul 3, 09

Tiga lagi pelajar SM Tsun Jin, Kuala Lumpur yang ditutup hingga hari ini terkena jangkitan tempatan kes selesema A (H1N1) daripada 47 kes baru, menjadikan jumlah keseluruhannya 291 kes.

Semalam, lima orang pelajar sekolah tersebut tersenarai dalam kes tempatan, manakala kelmarin tiga kes direkodkan di pusat pengajian itu yang diarah ditutup sejak Isnin lalu bagi mengawal penularan wabak.

sekolah menengah Tsun JinAwal minggu ini dua pelajar sekolah tersebut, yang tiada rekod perjalanan ke luar negara, mengalami jangkitan tempatan wabak tersebut.

Sekolah itu bersama ST Chung Hwa, Seremban akan mula dibenarkan dibuka mulai esok.

Akibat penularan tempatan terbaru terhadap dua murid lagi, dua buah sekolah lain diarah menutup kelas terbabit sehingga Khamis depan.

Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata jumlah kes terbaru itu, 28 daripadanya melibatkan rakyat Malaysia, selebihnya Indonesia (sembilan orang), Australia (5), Filipina (2) dan masing-masing satu
dari Botswana, Iraq dan Amerika Syarikat.

Daripada enam kes tempatan yang direkodkan hari ini, tiga lagi kes melibatkan jangkitan kes import.

Seorang daripadanya pelajar 19 tahun yang dijangkiti daripada kes ke-143, gadis Malaysia 18 tahun yang pulang dari United Kingdom pada 26 Jun.

sri cempaka international school cheras 230609Seorang pelajar SK Setapak Indah, Kuala Lumpur dijangkiti daripada kes ke-147, seorang pelajar lelaki 25 tahun yang melawat Jakarta bersama sembilan rakan antara 18 hingga 21 Jun lalu.

Seorang lagi bersekolah di Sekolah Antarabangsa Sri Cempaka, Cheras yang merupakan kontak kes ke-170, seorang pelajar 20 tahun yang menuntut di Victoria, Australia dan pulang bercuti di tanah air pada 28 Jun lepas.

"Dua buah sekolah terbaru itu telah diarah menutup kelas terbabit sehingga Khamis (minggu) depan, dan murid-murid yang terlibat akan diberi arahan kuarantin oleh Pejabat Kesihatan Daerah," kata Dr Mohd Ismail dalam kenyataan hariannya.

Sekolah Antarabangsa Sri Cempaka, yang ditutup selama seminggu, dibuka semula mulai Isnin lalu.

Jumlah pesakit yang disahkan positif dan masih dirawat mengikut hospital seperti berikut: Hospital Sungai Buloh (11 pesakit), Hospital Kuala Lumpur (16), Hospital Pulau Pinang (7), Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Star (1), Hospital Tuanku Jaafar, Seremban (3), Hospital Umum Sarawak (2), Hospital Raja Pemaisuri Bainun, Ipoh (3), Hospital Sibu (1), Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu (2), Hospital Tawau (1), Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru (1), Hospital Batu Pahat (2), Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (4), Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu (1), Hospital Melaka (1), Hospital Tengku Ampuan Afzan (1), Hospital Sultan Ahmad Shah Temerloh (1), dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (1).

"Selain daripada itu terdapat sejumlah 890 kontak terdekat yang sedang menjalani kuarantin di rumah dan dimaklumkan tiada kontak yang dikuarantin tersebut mempunyai simptom," katanya lagi.

Daripada 2,586 kes yang disiasat kerana disyaki jangkitan influenza A(H1N1), 134 kes masih menunggu keputusan

Amaran Guan Eng pada pemaju Kpg Buah Pala

Jul 3, 09

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memberi amaran akan memberhentikan projek pembangunan di Kampung Buah Pala, Bukit Gelugor jika pemajunya terus mengancam untuk merobohkan rumah dan enggan membayar pampasan kepada penduduk di situ.

"Jangan cuba untuk uji kesabaran kerajaan negeri. Saya tidak teragak-agak untuk memberhentikan projek pembangunan itu," katanya.

Lim juga berkata, kerajaan negeri bersedia menanggung risiko membayar gantirugi kepada pemaju jika terpaksa membatalkan projek itu, lapor Bernama.

Ditanya mengapa beliau enggan menemui penduduk kampung itu, Lim berkata:

"Saya sudah serahkan tugas ini kepada Mansor (Timbalan Ketua Menteri I, Mansor Othman) dan Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II, Prof.Dr P. Ramasamy).

"Jadi saya tidak mahu orang mempersoalkan kebolehan mereka," katanya.

Sementara itu, Jawatankuasa Kerja Pusat DAP dijangka
akan mengadakan mesyuarat minggu depan bagi membincangkan tindakan DAP Kedah keluar daripada pakatan pembangkang di negeri itu.

Lim yang juga setiausaha agung DAP berkata mesyuarat itu akan diadakan selepas mendapat maklum balas daripada Penasihat DAP, Lim Kit Siang, esok.

"Saya percaya surat (daripada DAP Kedah) telah dihantar ke ibu pejabat (DAP). Saya belum baca surat itu lagi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Fotografi sempena pengisytiharan Georgetown sebagai Tapak Warisan Dunia, di Pulau Pinang hari ni.

Rabu lalu, Pengerusi DAP Kedah, Thomas Su mengumumkan DAP keluar daripada pakatan pembangkang negeri kerana tidak berpuas hati dengan beberapa isu termasuk tindakan merobohkan satu-satunya pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya, Alor Star.

Beliau juga menyifatkan kerajaan Kedah pimpinan PAS sebagai lemah dan sering menimbulkan masalah termasuk mengenakan kuota perumahan Bumiputera sebanyak 50 peratus.

Wednesday, July 1, 2009

DAP Kedah keluar Pakatan Rakyat

Jul 1, 09
DAP Kedah memutuskan untuk keluar dari gabungan Pakatan Rakyat negeri itu kerana membantah tindakan kerajaan negeri merobohkan satu-satunya pusat penyembelihan babi di Alor Star.

Sebelum itu, pada jam 3.30 petang petugas Majlis Bandaraya Alor Star menjalankan operasi merobohkan pusat penyembelihan tersebut.

Berikutan itu, Pengerusi DAP Kedah/Perlis, Thomas Su dan penyokongnya cuba menghalang operasi tersebut tetapi tidak berjaya.

DAP negeri kemudiannya mengadakan satu mesyuarat tergempar untuk membincangkan insiden tersebut.

Dan pada kira-kira jam 5 petang tadi, Thomas mengumumkan keputusdan DAP Kedah/Perlis untuk keluar dari Pakatan Rakyat.

Sementara itu, difahamkan ibupejabat DAP di ibungara akan mengadakan mesyaurat tergempar esok untuk membincangkan perkara tersebut.

Siswa UM bertindak jika dipecat - MalaysiaKini

Abdul Rahim Sabri
Jul 1, 09


Kumpulan mahasiswa bersedia melancarkan bantahan besar jika Universiti Malaya mengambil tindakan tatatertib terhadap dua pelajarnya yang diseret ke mahkamah semalam.

Sehubungan itu, Persatuan Mahasiswa Islam UM juga berharap pentadbiran kampus tidak mengambil tindakan pecat seperti yang pernah dialami oleh tujuh mahasiswa institusi pengajian tinggi awam yang dituduh terbabit dalam satu perhimpunan haram pada 2001.

"Di pihak universiti pula, penulis ingin memberi peringatan supaya jangan sesekali mengambil tindakan dengan menghukum mereka sebelum mereka dibuktikan bersalah," kata presidennya Shazni Munir Mohd Ithnin di blognya hari ini.

"Jika seandainya hal yang pernah berlaku pada mangsa-mangsa ISA 7 berulang, penulis dan seluruh mahasiswa yang di dadanya kejap dengan perjuangan kemahasiswaan, tidak akan teragak-agak untuk membuat bantahan di segenap sudut."

Kes tujuh pelajar itu - yang dikenali "ISA 7" kerana membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri - berlarutan hingga 18 Jun lalu apabila lima daripada mereka bersalah dan didenda RM3,900 tiap seorang.

Seorang daripada mereka - yang menyertai perhimpuan di Masjid Negara pada 8 Jun 2001 - dilepaskan, sementara seorang lagi tidak menghadiri perbicaraan.

Shazni Munir, kini sedang dicari polis bagi membantu siasatan berhubung kes menconteng dan cubaan membakar dewan Akademi Pengajian Islam, juga berharap proses mahkamah berjalan dengan adil.

"Penulis dengan pengharapan yang menggunung, masih lagi mengharapkan proses perbicaraan berlangsung tanpa 'tangan-tangan ghaib' yang mengganggu, dan hakim mengadilinya dengan penuh adil serta saksama," katanya lagi.

Semalam, dua pelajar UM dituduh di mahkamah atas dakwaan menconteng dan cubaan membakar dewan sebelum kedatangan isteri perdana menteri Rosmah Mansor, 24 Jun lalu.

Mereka juga dituduh menyimbah petrol di permaidani beberapa jam sebelum dilalui oleh isteri Datuk Seri Najib Razak untuk menyertai kempen derma 'Power of 10 Sen: Gaza Dibela' bagi anak-anak Palestin di dewan utama Akademi Pengajian Islam.

Mohd Izzuddin Hilmi dan Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli dibebaskan hari ini selepas dijamin RM5,500 tiap seorang.

Satu sumber polis memberitahu Malaysiakini semalam, kesalahan tersebut dipercayai dilakukan oleh lima orang, termasuk dua menconteng, dua mengawasi kawasan sekeliling sewaktu kejadian dan seorang lagi dianggap dalang perbuatan itu, .

Selain Shazni Munir, polis juga sedang menjejaki Muhammad Aizat Roslan dan Muhammad Saufi Jelani - kedua-duanya dipercayai pelajar akademi Islam - bagi membantu siasatan.

Menurut tulisannya itu, Shazni Munir juga menyatakan kerisauan berhubung perjalanan perbicaraan terhadap dua rakannya itu.

"Masakan tidak, siapakah yang dapat memberikan jaminan kepada penulis yang mereka berdua akan dibicarakan dengan seadil-adilnya?" katanya.

"Bukanlah ingin menimbulkan kesangsian secara membuta-tuli, akan tetapi perbicaraan-perbicaraan sebelum ini yang melibatkan orang penting negara, pastinya berakhir dengan keputusan yang mengecewakan sekelian banyak pencinta kebenaran".

Dalam tulisannya semalam, Shazni pula berkata, PMIUM memutuskan untuk memberikan bantuan guaman kepada kedua-duanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...