Saturday, January 15, 2011

Malaysia Airports kendali 34.3 juta Penumpang Di KLIA Pada 2010

SEPANG: Malaysia Airports mengendalikan 34.3 juta penumpang tahun lepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), peningkatan kira-kira 14.8 peratus daripada 29.1 juta penumpang yang dicatatkan pada 2009.
Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Operasinya Datuk Azmi Murad berkata, pertumbuhan itu hampir berganda daripada apa yang dijangkakan oleh pengendali lapangan terbang itu bagi tahun tersebut, yang mana merupakan kira-kira lapan peratus.
"Kami melihat peningkatan dari segi kekerapan daripada syarikat penerbangan yang beroperasi ke KLIA, terutamanya dari Timur Tengah," kata Azmi, Sabtu.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima pesawat baharu Boeing 737-800 Garuda Indonesia bagi operasinya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Azmi berkata Emirates, Qatar Airways dan Etihad Airways telah meningkatkan kekerapan mereka ke Malaysia sepanjang tahun lepas. Pada masa yang sama, syarikat penerbangan tambang murah AirAsia dan Air Asia X juga menyumbang kepada pertumbuhan yang kukuh.
"AirAsia X menghubungkan penumpang dari Australia ke Terminal Penerbangan Tambang Murah sebelum memindahkan mereka ke Eropah," jelasnya.
Mengenai perkembangan lain, Azmi berkata iklim ekonomi global yang bertambah baik juga menyumbang kepada pertumbuhan penumpang di KLIA.
Pada 2006 KLIA disenaraikan sebagai lapangan terbang ke-13 paling sibuk di dunia dari segi trafik penumpang antarabangsa.
Bagi tahun ini, beliau berkata Malaysia Airports menyasar pertumbuhan tujuh peratus dalam pengendalian penumpang.
"Tahun ini, kami telahpun mempunyai satu syarikat penerbangan baharu, Firefly Jet. Hari ini, syarikat penerbangan itu memulakan operasi dari sini dengan dua penerbangan masing-masing ke Kuching dan Kota Kinabalu.
"Ini akan menjadi satu yang positif bagi kami. Kami menjangka menyaksikan bilangan penumpang yang bertambah menggunakan Firefly," katanya.
Mengulas mengenai Garuda Indonesia menggunakan pesawat generasi baharu Boeing 737-800 bagi operasinya ke Kuala Lumpur bermula hari ini, Azmi berkata:"Ia juga bakal menyumbang kepada peningkatan penumpang dari republik itu."
Menurut Malaysia Airports, ia menerima sejumlah 3,896,054 penumpang dari Indonesia tahun lepas, peningkatan 7.3 peratus dari 2009.
Sementara itu, Naib Presiden Pemasaran Garuda Indonesia, Don Jusuf Palito Bustan berkata, pesawat baharu itu yang akan meningkatkan kapasiti muatan sehingga 40 peratus, akan melipatgandakan bilangan penumpang yang menggunakan perkhidmatan penerbangan di laluan permintaan tinggi ini.
"Potensi pasaran masih terbuka kepada kami. Kami melihat trafik yang menggalakkan. Itulah sebabnya mengapa kami menggunakan pesawat baharu ini," katanya.
Don Jusuf juga berkata syarikat penerbangan utama Indonesia itu bersiap sedia untuk memanfaatkan Polisi Langit Terbuka Asean yang berkuat kuasa pada 2015.
"Kami bukan hanya merancang meningkatkan kekerapan tetapi juga destinasi seperti dari Jakarta ke Pulau Pinang atau Medan ke Kuala Lumpur," katanya.
Menurutnya, orang Medan selalu terbang ke Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan perubatan menggunakan syarikat penerbangan lain untuk pergi ke negeri tersebut.
Selain menggunakan pesawat lebih besar, Garuda Indonesia juga meningkatkan kekerapannya dari Jakarta kepada dua kali sehari daripada tiga kali seminggu sebelumnya. -BERNAMA

Bakar patung bantah peguam minta perlahan azan

Kira-kira 100 orang berhimpun di perkarangan Masjid Al-Ikhlasiah, Kampung Kerinchi membantah tindakan seorang peguam bukan Islam yang meminta laungan azan diperlahankan.
NONE
Dengan memegang kain rentang serta laungan Allahuakbar, mereka juga turut membakar patung peguam berkenaan.

Bantahan itu diketuai oleh Pengerusi Majlis Ayahanda Wilayah Persekutuan, Zakaria Awang selepas solat Jumaat.

Dalam kenyataan yang dibacanya, Zakaria berkata Majlis Ayahanda, NGO dan persatuan penduduk dukacita dan terhiris dengan tindakan peguam itu.

Katanya, masjid itu wujud 30 tahun lalu dan sepanjang tempoh tersebut, tidak pernah kedengaran tohmahan seperti itu.

Semalam, pihak pengurusan Majid Al-Ikhlasiah dilaporkan mengambil pendekatan memperlahankan bunyi pembesar suara ketika laungan azan termasuk ketika solat Jumaat, ekoran aduan seorang peguam bukan Islam yang mendakwa bunyi solat di masjid itu "amat lantang".

NONEKetua imam masjid berkenaan Mahadi Abdullah berkata pihaknya mengurangkan kadar laungan azan itu selepas mengadakan perbincangan dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akhir Disember lalu.
Zakaria yang juga pengerusi Pertubuhan Kebajikan & Dakwah Islamiah SeMalaysia (Pekida) Lembah Pantai menegaskan bahawa azan adalah sebahagian daripada ibadah umat Islam dan telah lama dipraktikkan. 

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan mengambil tindakan termasuk di bawah akta hasutan, atau menggunakan peruntukan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana mendakwa ia menggugat keharmonian kaum.

Zakaria juga menuntut peguam berkenaan memohon maaf, serta mendesak ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar menyatakan pendiriannya berhubung isu ini.

NONETurut menyertai perhimpunan itu adalah Persatuan Penduduk Kariah Masjid Al-Ikhlasiah, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Sementara itu, ketika ditemui media, wakil Persatuan Penduduk Kariah Masjid Al-Ikhlasiah Fauzi Che Ahmad mempersoalkan tindakan peguam itu yang menurutnya, seolah-oleh "tidak faham sensitiviti" umat Islam di situ. 

"Islam adalah agama rasmi, sepatutnya beliau menghormati sensitviti orang Melayu dan Islam demi keharmonian satu Malaysia," katanya.

Orang ramai yang menyertai demontrasi tersebut turut membawa kain rentang bertulis "Laungan azan, laungan keramat" dan "Kami rela mati demi mempertahankan agama Islam".

Manakala beberapa keping poster turut dipamerkan antaranya bertulis "Jangan main api", "Jangan kurang ajar" dan "Ini negara aman, kenapa bikin panas".

NONEPerhimpunan selama setengah jam mulai 2 petang itu, berakhir tanpa sebarang insiden yang tidak diingini. Kira-kira 20 anggota polis mengawal di sekitar masjid tersebut.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, Nurul Izzah berkata Islam menuntut umatnya mencari kebenaran secara beradab. 

"Kesederhanaan dan keharmonian harus dipelihara," kata naib presiden PKR itu, sambil mengajak pihak yang terbabit untuk bersama dengannya mencari kebenaran dalam isu azan di Masjid Al-Ikhlasiah.

Beliau yang menggesa agar umat Islam mendapatkan penjelasan bertulis daripada pihak berkuasa agama, sama ada wujudnya garispanduan berhubung laungan azan di masjid dan surau.

Puvaneswaran, Nicol atlet Olimpian 2010

R.Puvaneswaran menunjukkan pingat Olimpian Lelaki 2010 dan cek RM10,000 yang diterimanya pada majlis penyampaian khas anugerah tersebut di Kuala Lumpur, semalam. – Utusan/Foto Rashid Mahfof



KUALA LUMPUR – Atlet karate negara, R. Puvaneswaran melakar kejutan apabila mengetepikan calon pilihan, yang juga jaguh berbasikal keirin dunia, Azizulhasni Awang apabila dinobat Olimpian Lelaki Negara 2010, semalam.

Datuk Nicol David pula menepati ramalan apabila pemain skuasy No. 1 dunia itu dipilih sebagai Olimpik Wanita Negara, mengetepikan saingan jaguh wusyu negara yang memenang pingat emas Sukan Asia, Chai Fong Ying dan atlet terjun, Pandelela Rinong.

Ia merupakan kemenangan kedua buat Nicol, selepas menerima anugerah yang sama untuk 1998. Kemenangan tersebut membolehkan Puvaneswaran dan Nicol masing-masing membawa pulang RM10,000 sumbangan Coca-cola beserta trofi. Hadiah disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Puvaneswaran, pemenang pingat emas acara Kumite lelaki bawah 55kg pada Sukan Asia 2010, berkata, dia terkejut dan tidak menyangka dipilih sebagai pemenang.

‘‘Saya tidak menduga boleh terpilih sebagai pemenang kerana calon untuk kategori lelaki cukup hebat seperti Azizulhasni, Alex Liew (boling) dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong (badminton).

‘‘Ini adalah pengiktirafan tertinggi yang saya terima sepanjang karier saya dalam sukan ini.
‘‘Lebih penting, anugerah ini merupakan pengiktirafan kepada sukan karate, kerana saya adalah penerima pertama dari sukan karate,’’ katanya.

Sementara Nicol tidak dapat hadir pada majlis semalam dan hadiah diterima oleh pengurus pasukan skuasy negara ke Sukan Asia, Peter Chee.

Menerusi rakaman video yang disiarkan pada majlis tersebut, Nicol mengucapkan terima kasih kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan semua pihak.

Katanya, anugerah itu pasti akan menyuntik semangat juangnya bagi menampilkan persembahan yang lebih mantap di masa depan.

Tahun lepas, pemain skuasy wanita No. 1 dunia itu meraih satu emas pada Sukan Komanwel dan dua emas pada Sukan Asia.

Beliau juga merupakan pemenang `National Sportswomen Award’ dari tahun 2006 hingga 2009.

Sathia dapat ilham 'skuad bayangan'

KOTA BHARU - Ketua Jurulatih Kelantan, B. Sathianathan sudah menemui skuad bayangan yang akan membarisi kesebelasan utama Red Warriors untuk menghadapi perlawanan pembuka tirai menentang Selangor pada 29 Januari ini.

Menurutnya, senarai tersebut bagaimanapun masih lagi peringkat awal, memandangkan ada beberapa pemainnya mengalami kecederaan dan mungkin memerlukan rombakan.

"Skuad bayangan sudah ada, namun semua ini bergantung kepada tahap kecergasan pemain dan saya harap pemain yang cedera dapat pulih secepat mungkin. Mulai esok (hari ini) kita akan beraksi dalam empat siri perlawanan.
"Bermula dengan Kedah dan harap pemain dapat menunjukkan peningkatan. Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk melihat peningkatan mendadak yang ditunjukkan oleh para pemain kerana kita ada banyak yang perlu dihadapi," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Stadium Sultan Muhammed IV di sini, semalam.
Tambahnya, beliau mahu pemainnya menunjukkan peningkatan secara berperingkat dalam setiap perlawanan yang diharungi.

Menurut Sathianathan, dia tidak akan mengambil mudah perlawanan persahabatan ini dan mahukan pemainnya memberikan tumpuan sepenuhnya.

"Perlawanan ini cukup penting buat kita dalam membentuk persefahaman yang mantap di kalangan pemain, selain memperbaiki kelemahan yang ada.

"Inilah peluang buat semua pemain untuk mendapatkan semula rentak permainan, kerana ia tidak boleh datang dalam satu atau dua perlawanan sahaja,'' katanya.

Jelasnya, pasukan-pasukan lain termasuk dari utara tanah air sudah beraksi sepuluh perlawanan, sedangkan pasukannya baru sahaja memasuki perlawanan kelima.

Sesi latihan semalam menyaksikan Red Warriors turun tanpa beberapa pemain utama seperti Khalid Jamlus dan K. Soley. Namun, ia merupakan penampilan sulung anak pengurusi Kelab Bola Sepak Cardiff City, Nicholas Can yang akan menyarung jersi pasukan itu.

"Saya beri Soley pelepasan kerana emaknya masuk hospital dan berada dalam keadaan kritikal, manakala Khalid di hantar ke Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mendapat rawatan bagi memulihkan kecederaan yang dihadapinya," katanya.

Sepanjang enam siri perlawanan persahabatan setakat ini, Kelantan tewas tiga, selebihnya mencatatkan keputusan seri.

Harga minyak kekal AS$105 setong

KUALA LUMPUR 14 Jan. - Momentum industri minyak dijangka tidak berubah dan harga-harga berada pada purata AS$105 (RM320) setong dalam tempoh 12 bulan, iaitu semakan secara menaik daripada anggaran awal MIDF Research pada AS$90 (RM275) hingga AS$95 (RM290) setong.
Ia berkata kecairan dan kemerosotan dalam dolar AS, diikuti dengan permintaan yang meningkat, terutamanya dari pasaran-pasaran baru muncul mendorong kenaikan komoditi itu.
Harga minyak mentah mengukuh kepada AS$91.55 (RM279) setong pada 3 Januari, paras paling tinggi sejak krisis kewangan 2008.
"Ia ada merosot sedikit lewat ini tetapi ia tidak mengubah keyakinan kami yang harga akan kembali kukuh tahun ini," katanya dalam satu nota penyelidikan.
Menurut kaji selidik industri yang dikendalikan oleh Barclay Capital Global, perbelanjaan cari gali dan pengeluaran minyak seluruh dunia telah meningkat sebanyak 16 peratus daripada AS$422 bilion (RM1.287 trilion) tahun lepas kepada AS$490 bilion (RM1.495 trilion) tahun ini dengan kadar pertumbuhan terbesar berpusat di pasaran-pasaran baru muncul di Timur Tengah, Afrika Utara, Amerika Selatan dan Asia Tenggara.

Friday, January 14, 2011

ADUN Merlimau diserang sakit jantung

ADUN Merlimau, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan dimasukkan ke Hospital Putra di Melaka hari ini selepas mengalami serangan jantung, lapor Utusan Malaysia Online.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri kini ditempatkan Unit Rawatan Kardiologi (CCU) bagi rawatan lanjut.

Pemandu peribadinya, Hassan Rahim berkata, Mohamad Hidhir mengadu sakit dada ketika berada di Japerun Merlimau kira-kira pukul 1 petang ini.

“Sebaik beliau mengadu sakit dada, saya terus membawanya ke Hospital Putra untuk membuat rawatan tetapi doktor terpaksa menahannya untuk rawatan lanjut,'' katanya.

Katanya, beliau sering mengadu sakit dada sejak pulang dari Taiwan baru-baru ini.

Sementara itu menurut jurucakap Hospital Putra, keadaan Mohamad Hidhir dilaporkan stabil sejak dimasukkan ke ICU petang tadi.

Thursday, January 13, 2011

Umi Hafilda mahu heret Anwar ke mahkamah

Seorang saksi utama dalam kes perbicaraan Datuk Seri AnwarIbrahim lebih 10 tahun lalu, kini muncul kembali dengan niat untuk mengheret ketua umum PKR itu ke mahkamah.

NONEUmi Hafilda Ali hari ini berkata beliau akan memulakan saman terhadap Anwar berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa yang menyebabkan dirinya ditahan pada 1997.

Anwar merupakan timbalan perdana menteri pada masa itu.

Selain Anwar, tindakan saman berjumlah berjumlah RM300 juta itu, juga akan mengaitkan abangnya Azmin.

Bercakap dalam satu sidang media di Subang Jaya hari ini, Umi Hafilda berkata beliau bagaimanapun masih belum menetapkan sama ada langkah itu merupakan tindakan saman fitnah.

Namun, beliau berkata ia mungkin berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh Anwar.

Tambahnya, peguam beliau masih meneliti peruntukan yang boleh digunakan.

Tindakan saman itu akan dilakukan "secepat mungkin."

Selain itu, beliau juga akan mengemukakan saman terhadap parti PAS, Karpal Singh dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Turut hadir dalam sidang medianya hari ini ialah penasihat undang-undangnya Mohd Khairul Azam Abd Aziz.

"Saya rasa penyalahgunaan kuasa telah berlaku melampaui batas pada 1997," katanya.

Tambahnya, beliau ditahan pada 17 Ogos pada tahun berkenaan, dua hari selepas beliau menulis sepucuk surat.

Ummi mendakwa, penahanan itu semata-mata untuk menutup konspirasi di kalangan mereka, di antara Azmin, Anwar dan pihak polis untuk menangkapnya.
"Sudah sampai masanya saya menuntut hak saya. Beliau telah didapati salah pada selama enam tahun, membuktikan bahawa dia bersalah dan saya rasa saya berhak menuntut hak saya.

Katanya lagi, beliau juga tampil mengemukakan saman kali ini bagi membolehkan masyarakat mengetahui "cerita sebenar".

"Sebab itulah saya rasa terpanggil untuk muncul semula mengadakan sidang akhbar hari ini untuk meneruskan saman saya sebanyak RM700 juta terhadap lima individu dan satu parti," katanya.

Katanya lagi, beliau juga akan menyaman Karpal yang didakwa sebagai peguam yang "tidak amanah" sebanyak RM200 juta.

Jelasnya, beliau telah menemui Karpal pada waktu itu bersama seorang lelaki yang didakwa sebagai mangsa liwat Anwar untuk mendapat pandangan peguam tersebut.

"Tetapi kepercayaan yang saya berikan kepadanya disalahgunakan untuk kepentingan parti dan dirinya," katanya.

Katanya lagi, PAS juga disaman sebanyak RM100 juta kerana didakwa terlibat dalam satu konspirasi yang menjejaskan maruahnya.

Ummi mendakwa, PAS telah menghantar beberapa orang wakil termasuk Mohamad Sabu untuk menemuinya berhubung satu kes.

"Kedua-dua PAS dan Karpal mengenakan tekanan tinggi kepadaMahathir ketika itu untuk membongkar kes tersebut.

"Bila kes ini terbongkar saya hairan mengapa PAS dan Karpal menggunakan kes tersebut untuk menghentam saya," katanya.

Tambahnya, konspirasi yang didakwa itu juga melibatkan maruah dan harga dirinya tercemar serta turut menjejaskan perniagaan yang diusahakannya.

Pembelian syarikat judi: MCA terus berdolak-dalih

Di sebalik spekulasi kencang bahawa MCA akan membeli syarikat perjudian Da Ma Cai, anak syarikat Tanjong PLC, nasib presiden parti Cina itu, Datuk Donald Lim terus tidak mahu bercakap mengenainya.

NONE“Setakat pengetahuan saya, tiada maklumat bahawa MCA membeli Da Ma Cai. Sudah tentu, ada spekulasi mengenai isu ini tetapi presiden MCA telah membuat penjelasan.

“Tiada permohonan mengenainya di pejabat saya. Saya juga tidak pasti bahawa syarikat itu hendak dijual,” kata Lim yang juga timbalan menteri kewangan.

Dengan industri perjudian, sebahagian daripda potfolio tanggungjawab Lim, beliau juga berdolak-dalih mengenai kemungkinan Da Ma Cai, atau Pan Malaysian Pools Sdn Bhd, diambil-alih oleh pemilik baru.

“Mereka adalah syarikat swasta jadi mereka berhak mencari pemilik baru. Da Ma Cai adalah di bawah lesen Kementerian Kewangan, jadi sudah tentu kita akan memantau.

NONE“Tetapi jika mereka cari pemilik baru, kita tak boleh halangmereka,” katanya kepada pemberita pada majlis kebajikan Pan Malaysian Pools sempenan tahun baru Cina di Kuala Lumpur pagi ini.

Namun, Lim mengesahkan bahawa beliau akan dimaklumkan atas kapasiti dirinya sebagai timbalan menteri jika Pan Malaysian Pools diambil-alih oleh pihak lain.

Sebelum ini terdapat laporan di portal berita bahawa badan pelaburan MCA, Huaren Holdings Sdn Bhd sedang meninjau mendapatkan pegangan di industri perjudian melalui Tanjong PLC yang dimiliki jutawan Tan Sri Ananda Krishnan berikutan penjualan 42 peratus pegangannya di akhbar berbahasa Inggeris, The Star.

Namun, difahamkan bantahan mengenai rancangan itu juga disuarakan di kalangan pemimpin MCA sendiri, dengan ketua pemudanya, Datuk Wee Ka Siong berkata perniagaan perjudian tidakmenarik minat MCA.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek juga sebelum ini telah menafikan laporan berkenaan.

Kelantan hilang hak tuan rumah?

PETALING JAYA - Juara Piala Malaysia 2010, Kelantan bakal kehilangan hak dan kelebihan bermain di gelanggang sendiri serta sepak mula sebelah malam bagi beberapa perlawanan awal Liga Malaysia musim ini, apabila Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu masih belum memenuhi dua syarat utama pertandingan tempatan.
Gara-gara keadaan padang dan tahap pencahayaan kurang memuaskan, gelanggang keramat Wira Merah itu kini diarahkan diperbaiki dalam tempoh antara 15 hari sehingga seminggu sebelum perlawanan awalnya oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam.
Kelantan bagaimanapun akan membuka Liga Super musim ini dengan bertandang ke Stadium Shah Alam bagi perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah dengan juara bertahan, Selangor pada 29 Januari ini, serentak dengan enam lagi perlawanan lain.
Turut mendapat amaran itu ialah empat lagi pasukan Liga Super; Terengganu, Sabah, Perak dan Johor FC manakala Sarawak, Sime Darby, PKNS, Angkatan Tentera Malaysia, Pos Malaysia, Harimau Muda B, Majlis Perbandaran Muar dan Johor mewakili Liga Perdana.
Gelanggang sendiri semua pasukan ini didapati rosak, botak, berumput tidak sejenis, tidak rata dan berlopak, selain tidak memiliki tahap pencahayaan lampu sehingga 800 lux untuk dilangsungkan perlawanan yang bermula pukul 8.45 malam.
Pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Hamidin Amin berkata, gelanggang terlibat ialah Stadium Sultan Muhammed IV Kota Bharu, Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu, Stadium Likas Kota Kinabalu, Stadium Perak Ipoh dan Stadium JCorp, Pasir Gudang.
"Lain-lain stadium yang terlibat ialah Stadium Sarawak Kuching, Stadium Petaling Jaya, Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Stadium Larkin Johor Bahru," katanya yang juga Naib Presiden FAM selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kali kelima di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
Katanya, jawatankuasa masih cuba bertolak ansur dengan kesemua pasukan terlibat dan pihak pengurusan gelanggang apabila mengurangkan tahap pencahayaan lampu stadium kepada cuma 800 lux sedangkan ia sepatutnya ditetapkan pada 1,200 lux jika menurut peraturan pertandingan antarabangsa.
"Kami bukan mahu menghukum secara melulu dengan memberikan tempoh muktamad ini tetapi kami mahu semua pihak terlibat, mengambil berat dan mengenakan langkah berjaga-jaga, sejajar syarat pertandingan dan kualiti Liga Malaysia mulai musim 2011," katanya.
Tegas Hamidin, kegagalan pihak berkenaan mematuhinya juga akan menyebabkan mereka terpaksa mengalihkan beberapa perlawanan awal di tempat sendiri ke stadium yang mungkin di tempat terdekat, negeri berjiran atau lebih jauh sekiranya tuan rumah asal di situ, dijadualkan bermain di gelanggang lawan pada hari berkenaan.
"Ini bererti ada kemungkinan Kelantan dan Terengganu umpamanya, terpaksa bermain di Stadium Darul Aman, Alor Setar bagi perlawanan tempat sendiri, selagi gelanggang utama mereka masih gagal mencapai syarat utama pertandingan iaitu padang dan lampu.
"Jawatankuasa juga membenarkan permintaan Pulau Pinang untuk melangsungkan perlawanan Liga Perdana musim ini di Stadium Bandaraya mulai 4.45 petang, begitu juga di gelanggang yang dilarang dimainkan perlawanan sebelah malam atau 4.15 petang bagi Sabah dan Sarawak," katanya.

RM65,000 imbuhan setiap pemain

PUTRAJAYA - Kerajaan semalam menganugerahkan insentif RM65,000 kepada setiap pemain dan jurulatih skuad bola sepak kebangsaan yang menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 bulan lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, insentif itu berupa unit Amanah Saham Wawasan 2020 berjumlah RM50,000 yang hanya boleh dikeluarkan selepas tempoh 10 tahun serta imbuhan wang tunai sebanyak RM10,000 daripada kerajaan.
Mereka juga turut menerima RM5,000 melalui Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) daripada Majlis Sukan Negara (MSN).
"Kerajaan juga bersetuju untuk menaja sepenuhnya pemain skuad kebangsaan yang terpilih menjalani latihan bersama kelab-kelab bola sepak ternama dari luar negara.
"Pada masa sama, Kementerian Belia dan Sukan akan memperuntukkan RM500,000 kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menaik taraf kemudahan gimnasium dan membina bilik sauna di Wisma FAM di Kelana Jaya bagi kemudahan pemain," katanya.
Beliau berucap pada majlis jamuan makan tengah hari bagi meraikan skuad kebangsaan itu di Seri Perdana, semalam.
Turut hadir Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Skuad Harimau Malaya menjuarai Piala Suzuki AFF buat julung kalinya dengan menumpaskan pasukan Indonesia dengan agregat 4-2 setelah menang 3-0 di Kuala Lumpur meskipun kalah 1-2 di Jakarta.
Najib berkata, kejayaan menjuarai kejohanan tersebut perlu dijadikan sebagai batu loncatan untuk skuad kebangsaan memburu kejayaan lebih yang tinggi lagi pada masa depan.
"Kita mengimpikan supaya Malaysia menjadi skuad bola sepak yang terkemuka di peringkat rantau Asia dan keduanya, layak pula ke Sukan Olimpik 2012 di London," katanya.
Dalam ucapannya itu, beliau turut menyatakan rasa bangga dengan semangat juang dan keazaman tinggi ditunjukkan oleh skuad kebangsaan, walaupun menghadapi tekanan hebat ketika berkunjung ke Stadium Gelora Bung Karno untuk pusingan kedua final kejohanan itu.
"Selain mempunyai kemahiran, tahap kecergasan yang tinggi dan taktikal, kita juga berbangga dengan daya juang dan semangat serta kekuatan mental yang ada pada para pemain.
"Cuba bayangkan tekanan yang dialami pemain apabila tiba di hotel dan kemudiannya diiringi oleh pasukan polis Indonesia ke stadium dengan menaiki kenderaan perisai yang dilengkapi submesingun," katanya.
Perdana Menteri turut menarik perhatian mengenai semangat sukan bola sepak yang tidak mengenal batas kaum kerana para pemain perlu patuh kepada arahan jurulatih, K. Rajagobal.
"Bila kita dapat arahan daripada jurulatih, kita tidak kira dia daripada kaum mana kerana kita kena ikut cakap dia.
"Kita perlu bersikap terbuka yang selaras dengan semangat 1Malaysia kerana ia bukan sekadar kejayaan biasa tetapi boleh mencetus rangsangan kuat kepada rakyat untuk terus berjuang bersama berdasarkan ikatan 1Malaysia," katanya.


NAJIB Tun Razak bergambar bersama pemain skuad Harimau Malaya pada majlis ramah mesra meraikan kejayaan Malaysia memenangi Piala Suzuki AFF 2010 di Seri Perdana, Putrajaya, semalam. Turut kelihatan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Subahan Kamal dan K. Rajagobal . - UTUSAN/Zaki Amiruddin
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...